Kuih tradisional terus digemari ramai


GUA MUSANG: "Tidak mustahil kuih tradisional seperti buah tanjung, jala mas dan puding raja, 'terkubur' pada masa depan kerana generasi baharu kurang berminat mempelajari cara membuatnya.

 

"Sebaliknya, mereka lebih cenderung mempelajari resipi kuih moden mengikut peredaran zaman walaupun juadah tradisional masih ada peminat tersendiri."

 

Wan Samihat Wan Ahmad, 58, yang mewarisi ilmu menghasilkan kuih tradisional daripada nenek moyangnya, mengaku rata-rata generasi muda kini menganggap pembuatan juadah itu rumit kerana menggunakan kaedah lapuk dan mengambil masa lama.

 

"Jarang orang hendak belajar membuat kuih tradisional ini sebab mereka kata susah dan ia juadah 'zaman lama' serta tiada daya tarikan.

 

"Namun atas minat mendalam, saya belajar selama tiga tahun untuk melipat jala emas menjadi kepingan kemas dan cantik," katanya yang sudah lebih 20 tahun berpengalaman membuat kuih tradisional itu.

Beliau berkata, kebanjiran aneka juadah moden dengan dekorasi menarik, tidak menggugat kecekalannya untuk terus mengusahakan kuih tradisional warisan turun-temurun di daerah ini.

 

Katanya, bahan utama diguna untuk menghasilkan kuih-muih terkenal dengan rasa manis itu ialah gula dan telur ayam hingga 300 biji setiap hari.

 

"Kuih tradisional seperti buah tanjung, jala mas dan puding raja yang dahulunya merupakan juadah manis hidangan istana, terbukti masih ada ramai peminat.

 

"Malah, juadah ini mendapat tempahan tinggi daripada masyarakat, terutama pada Ramadan berikutan keenakan rasanya dan semakin sukar diperoleh pada bulan lain," katanya yang menetap di Taman Wangi, di sini.

 

Wan Samihat berkata, perusahaan kuih-muih tradisional menjadi sumber rezekinya dan mampu meraih pendapatan lebih RM5,000 sebulan pada Ramadan setiap tahun.

 

Sempena Ramadan tahun ini, katanya, beliau perlu menyiapkan tempahan kuih tradisional untuk berbuka puasa di lima sekolah sekitar daerah ini setiap hari.

 

Beliau berkata, harga jala mas dan bunga tanjung ialah RM5 satu bekas, manakala puding raja RM10 satu bekas.

 

"Kuih moden memang terlalu banyak dengan pelbagai resipi, namun juadah tradisional masih terus menjadi pilihan ramai penggemar," katanya.

 

Kredit artikel: Berita Harian Online

KALENDAR ALAF 21
KATEGORI BUKU
Sebarang pertanyaan/jemputan, sila emelkan ke [email protected]