Khasiat herba dan tanaman


Ramai penyelidik di negara ini berjaya dalam bidang masing-masing hasil daripada usaha mereka tidak kenal jemu. Mereka menumpukan kajian masing-masing berdasarkan kepakaran yang dimiliki. Fokus yang mendalam selain usaha berterusan itulah yang menjadi antara faktor penting kejayaan seseorang penyelidik apabila sering berkampung di makmal.

Misalnya, seorang penyelidik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Suri Roowi yang terkenal dengan kejayaan meneroka potensi dan khasiat pelbagai jenis tanaman dan herba yang boleh dimanfaatkan terutama untuk tujuan kesihatan.

Beliau telah berkecimpung dengan penyelidikan tersebut sejak 1995 dan hasil ketekunan itu, beliau menghasilkan banyak produk makanan kesihatan yang berkhasiat dan kini telah pun dilancarkan.

“Perasaan rasa ingin tahu yang mendalam terhadap khasiat sesuatu jenis sumber dan ingin menabur bakti agar masyarakat Malaysia menjadi lebih sihat antara sebab saya suka dengan penyelidikan ini,

“Selain itu saya ingin membangunkan produk makanan kesihatan yang berkhasiat dan berkualiti dan setanding atau lebih baik berbanding produk import,’’ demikian luahan Dr. Suri apabila diminta berkongsi pengalaman terlibat dalam dalam penyelidikan yang diceburinya sekarang.

Antara bahan tanaman semula jadi yang menjadi fokus beliau adalah buah limau kasturi.

Menurutnya, tidak siapa menyangka dengan saiz yang kecil, buah limau kasturi sebenarnya mempunyai khasiat yang lebih tinggi dan lebih banyak berbanding sebiji epal hijau.

Perahan jus limau kasturi bukan sahaja mampu menambah keenakan rasa dalam masakan dan minuman, malah ia juga dapat membantu merawat pelbagai penyakit seperti batuk, sakit tekak, pening kepala dan sebagainya.

Katanya, khasiatnya tidak terhenti di situ sahaja, limau kasturi juga banyak digunakan untuk tujuan kecantikan misalnya dijadikan sebagai bahan untuk mengatasi masalah badan berbau, mengurangkan masalah kelemumur dan menguruskan badan.

Keistimewaan yang terdapat pada buah limau kasturi telah berjaya menarik perhatian Dr. Suri yang juga merupakan Timbalan Pengarah, Pusat Penyelidikan Sains Teknologi Makanan, MARDI yang banyak terlibat dalam penyelidikan antioksidan.

Sebagai contoh, minuman kasturi Nutrima-Cellcode merupakan idea yang terhasil daripada kesukaran dalam melakukan eksperimen untuk menentukan bahan aktif berkhasiat yang ada pada limau kasturi.

Menerusi penyelidikan itu sahaja, beliau memperoleh sembilan anugerah iaitu lima pingat emas serta empat anugerah inovasi terbaik sehingga ke peringkat antarabangsa.

Menurut Dr. Suri, bahan aktif di dalam limau kasturi amat jarang ditemukan dalam limau-limau lain. Limau jenis itu tergolong dalam kumpulan dihidro-kalkon dan hadir dengan salah satu komponen berkhasiat yang dipanggil Floretin-G.

“Floretin biasanya didapati di dalam buah epal, sebahagian limau tropika dan teh rooibos. Namun kajian mendapati bahan floretin banyak terdapat pada bahagian tertentu pada limau kasturi.

“Saya telah menjalankan kajian dengan menguji setiap bahagian dan peringkat kematangan limau kasturi bagi mendapatkan kandungan Floretin-G paling tinggi,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di ibu pejabat MARDI Serdang baru-baru ini.

Katanya, bahan floretin-G juga boleh dijumpai di dalam epal hijau dan kombinasi antara bahan floretin bersama asid ferulic telah dijual di pasaran antarabangsa sebagai bahan kosmetik anti kedut dan pemutih wajah semulajadi.

“Kuantiti Floretin-G yang diekstrak didapati telah meningkat jika dirawat menggunakan campuran enzim terpilih. Malah, bahan floretin-G yang terdapat dalam produk Nutrima-Cellcode juga stabil pada suhu dan tekanan tinggi.

“Kajian jangka hayat minuman limau kasturi juga menunjukkan kandungan floretin-G dalam produk ini masih stabil walaupun telah disimpan selama 18 bulan pada suhu bilik selain pelbagai ujian termasuk sensori dan penerimaan pengguna terhadap produk minuman ini telah dijalankan.

“Kajian preklinikal ke atas produk ini juga menunjukkan ia boleh menstabilkan sel darah merah, menurunkan trigliserida dan kreatinin.

“Hasilnya, ramai yang menyukai minuman limau kasturi ini kerana rasanya kurang pahit selain penuh dengan khasiat semulajadi,” katanya.

Menurut Dr. Suri, antara bahan penting dalam produk makanan dan minuman kesihatan adalah bahan antioksidan yang boleh merencatkan (tetapi tidak menghalang sepenuhnya) pengoksidaan lemak, protein, karbohidrat dan asid deoksiribonukleik (DNA)

Proses pengoksidaan tersebut disebabkan oleh kehadiran bahan radikal bebas. Apabila kandungan radikal bebas tinggi dalam darah, ia boleh menyebabkan tekanan oksidatif dan fenomena ini sering dikaitkan dengan penyebab penyakit kronik seperti kanser, darah tinggi dan kencing manis.

Sebenarnya, keberkesanan sesuatu produk antioksidan tidak diukur dari tinggi nilai antioksidan yang tertulis pada label semata-mata, tetapi bergantung kepada keupayaan tubuh manusia memetabolisma atau memecahkan bahan antioksidan kepada bahan ringkas yang dikenali sebagai asid fenolik dan seterusnya diserap dalam badan.

Menurutnya lagi, kebanyakan makanan dan minuman yang tinggi bahan antioksidan mengambil masa yang agak lama untuk dimetabolismekan kepada asid fenolik dalam usus besar iaitu lebih kurang lima hingga 24 jam.

“Keupayaan tubuh memetabolismekan bahan antioksidan yang berstruktur besar juga akan berkurang dengan kehadiran bahan matrik makanan seperti lemak dan protein.

“Sebagai contoh, jika seseorang mengambil makanan atau minuman yang tinggi kandungan antioksidan, diikuti pengambilan bahan berlemak atau tinggi protein, maka bahan antioksidan tidak dapat dimetabolismekan atau dipecahkan kepada asid fenolik.

“Hal ini kerana bahan antioksidan akan diikat dengan lemak atau protein dalam perut dan tidak dapat dimetabolismekan dalam usus besar oleh bakteria yang dikenali sebagai mikroflora,” jelasnya.

Oleh itu, melalui penyelidikan secara intensif selama lima tahun, Dr. Suri telah berjaya menghasilkan produk minuman yang tinggi kandungan asid fenolik bebas berasaskan buah-buahan campuran terpilih. Nutrima -Cellcode telah dilancarkan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sempena pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) di ibu negara baru-baru ini Minuman JustGreat yang dibangunkan daripada dana Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di bawah Program Agrobioteknolgi Kebangsaan itu menunjukkan keberkesanan apabila asid fenolik bebas hanya memerlukan masa penyerapan antara lima hingga 30 minit untuk diserap dalam tubuh manusia.

Jelas Dr. Suri lagi, minuman JustGreat itu dihasilkan menggunakan buah-buahan dan madu terpilih.

Antara produk lain yang berpotensi besar telah dihasilkan beliau juga adalah minuman kesihatan berasaskan khasiat bunga misai kucing atau nama saintifiknya Orthosiphon stamineus yang dinamakan Nutrima Stamenus, sejenis minuman yang kaya dengan pelbagai jenis bahan aktif seperti asid rosmarinik, sinensetin dan asid kafeik.

Menurut Dr. Suri, kajian sebelum ini menunjukkan asid kafeik mampu menurunkan paras glukosa dalam darah dan meningkatkan paras insulin plasma darah.

Bahan tersebut merupakan antioksidan mudah serap dan boleh meningkatkan aktiviti glukokisne. Glukokisne ialah sejenis enzim yang boleh membawa molekul glukosa ke dalam sel atau organ untuk menjana tenaga.

Kekalisan terhadap insulin pada pesakit diabetis menyebabkan glukokinase kurang diaktifkan dan ini boleh menyebabkan seseorang pesakit diabetis menjadi kurang bertenaga.

“Dalam tubuh manusia, asid rosmarinik biasanya dipecahkan membentuk asid kafeik iaitu hasilan akhir metabolisma bahan klorogenik yang biasanya terdapat dalam kopi.

“Walau bagaimanapun, pengambilan kopi secara berlebihan boleh memberi kesan kepada kesihatan kerana mengandungi kafein. Berlainan dengan asid kafeik yang membantu menurunkan paras gula, sekaligus meningkatkan insulin dalam darah,” jelasnya.


Dalam pada itu, beliau menambah, kajian awal menunjukkan asid kafeik dalam kuantiti yang agak tinggi terdapat dalam bunga misai kucing, namun memandangkan kuantiti bunganya yang terhad, agak sukar untuk embangunkan produk kesihatan berasaskan bunga misai kucing pada skala industri.

“Oleh itu, MARDI telah melakukan kajian dengan menggunakan jenis daun dari variati misai kucing terpilih mengikut kematangan tertentu, diikuti dengan memecahkan bahan aktif dalam daun tersebut untuk membentuk asid kafeik.

“Pembangunan produk minuman ini melibatkan penggunaan daun terpilih yang berkualiti tinggi, optimasi pengekstrakan, perubahan struktur kimia menggunakan campuran enzim terpilih atau mikrob dan pemilihan matrik makanan terpilih,” ujarnya.


Bahan antioksidan ringkas dan melibatkan penggunaan teknologi enzim serta fermentasi.

Teroka khasiat antikanser

Dalam pada itu Dr. Suri Roowi tidak menoleh kebelakang lagi dalam usaha beliau mencari khasiat makanan berasaskan buah-buahan dan herba.

“Buat masa ini saya sedang menjalankan kajian pembangunan produk antioksidan menggunakan campuran sumber-sumber pewarna semula jadi seperti ceri terengganu, roselle dan lain-lain,’’ujar beliau.

Ini kerana katanya bahan pewarna seperti antosianin merupakan bahan yang mudah serap dan memberikan banyak kebaikan.

Selain itu beliau masih meneruskan kajian terhadap khasiat kelulut dan pelbagai jenis herba seperti misai kucing, kacip fatimah dan pokok rerama.

Pokok rerama menjadi pilihan kajian beliau datang kerana ramai menyatakan ia bersifat antikanser.

“Saya berharap agar dapat menghasilkan lebih banyak makanan berkhasiat yang dapat dipasarkan di dalam negara malah dapat menembusi pasaran antarabangsa,’’ ujarnya.

Mengulas mengenai pencapaiannya setakat ini, beliau yang memperoleh ijazah sarjana muda dan sarjana dalam bidang bioteknologi Universiti Putra Malaysia (UPM) menyatakan rasa syukur apabila kesemua produk yang dibangunkan memenangi pelbagai anugerah di dalam dan luar negara dan sebahagian besarnya telah dikomersilkan

“Saya berterima kasih kepada pengurusan MARDI yang memberikan sokongan penuh terhadap penyelidikan yang saya jalankan dan sentiasa berdoa agar ramai mendapat manfaat daripadanya,’’ kata beliau

 

Kredit artikelk: Utusan Online

KALENDAR ALAF 21
KATEGORI BUKU
Sebarang pertanyaan/jemputan, sila emelkan ke [email protected]