8 Perkataan Bahasa Inggeris Yang Berasal Daripada Istilah Melayu

Sueraya | 03-07-2019


8 Perkataan Bahasa Inggeris Yang Berasal Daripada Istilah Melayu

Bahasa merupakan satu bentuk komunikasi yang sangat telus, sehingga membolehkan pengambilan terma atau istilah tertentu yang berasal daripada sesuatu jenis bahasa, ia digunakan atau diangkat sebagai terma rasmi dalam bahasa lain.

Bahasa Melayu tidak terkecuali. Dalam penggunaan bahasa seharian, sering kali kita akan menggunakan perkataan-perkataan bahasa Melayu yang sebenarnya diambil daripada bahasa lain, seperti bahasa Inggeris atau Arab.

Tetapi bagaimana pula dengan bahasa lain yang meminjam daripada bahasa Melayu? Ada ke? Ada! Banyak sebenarnya. Bagaimanapun, untuk hari ini mari kita melihat 8 perkataan bahasa Inggeris yang sebenarnya dicedok daripada istilah dalam bahasa Melayu.

1. "Amok"

 

Digunakan dalam bahasa Inggeris bagi menggambarkan tindakan seseorang yang sedang marah, perkataan 'amok' sebenarnya datang daripada istilah Bahasa Melayu 'amuk' tanpa ada perubahan maknanya. Perkataan Inggeris 'amok' mula digunakan secara rasmi sejak tahun 1665, selepas pelawat ke Tanah Melayu mendapati dalam kalangan lelaki Melayu ada satu sindrom di mana seseorang boleh mengamuk dan marah-marah, sehingga sanggup membunuh semua individu yang ada di sekelilingnya.

Contoh penggunaan : "The father ran amok without realizing he is not wearing any pants."

2. "Bamboo"

 

Siapa sangka perkataan ini datang daripada istilah Bahasa Melayu, sila angkat tangan! Perkataan ini sebenarnya datang daripada perkataan 'mambu' yang merujuk kepada sejenis tumbuhan (pokok mambu). Kedatangan orang Belanda meminjam perkataan itu kepada 'bamboes', bagi merujuk kepada pokok buluh. Kenapa? Tidak diketahui kenapa orang Belanda menggunakan nama 'pokok mambu' untuk merujuk pokok buluh. Bagaimanapun, istilah Belanda itu lekat dengan ejaan 'bamboo' diperkenalkan dalam Bahasa Inggeris pada tahun 1586. Istilah 'bambu' juga wujud dalam kamus bahasa kita tetapi hanya di Indonesia, mereka menggunakannya secara meluas.

Contoh penggunaan : "Stop hitting your son with the bamboo stick."

3. "Cananga"

 

Zaman sekarang dah tak ada dah orang Melayu menamakan nama anak-anak mereka dengan nama bunga. Kalau ada pun, jarang sekali ditemui. Apa kata untuk bakal anak perempuan anda kelak, namakan dia dengan nama 'Cananga'? Cananga diambil daripada istilah 'kenanga' yang kita gunakan bagi merujuk kepada pokok kenanga, yang dijumpai di kawasan sekitar kita. Bukan setakat nama 'kenanga' dipinjam, malahan nama spesisnya turut sama menggunakan istilah asalnya iaitu 'canangium.'

Contoh penggunaan : "Don't step on the cananga please."

4. "Cockatoo"

 

Sejenis burung yang dikatakan pandai bercakap, istilah 'cockatoo' yang digunakan dalam bahasa Inggeris datang daripada istilah Belanda 'kaketoe' yang sebenarnya dipinjam daripada istilah bahasa Melayu 'kakatua.' Istilah 'cockatoo' mula dimasukkan ke dalam kamus bahasa Inggeris sejak tahun 1634.

Contoh penggunaan : "The cockatoo wings is hurt, so it cannot fly."

5. "Durian"

 

Admin tidak pasti mengapa ejaan 'durian' diambil tanpa dilakukan sebarang perubahan pada ejaannya, berbeza dengan perkataan-perkataan lain dalam senarai ini. Perlu ke admin perkenalkan apa itu durian? Baiklah. 'Durian' adalah sejenis buah berduri yang kebiasaannya berwarna hijau gelap atau coklat, mempunyai isi berwarna kuning yang rasanya sangat padu. Bagaimanapun, bukan semua orang tahan dengan bau durian yang agak kuat aromanya. Perkataan 'durian' direkodkan ke dalam Bahasa Inggeris sejak tahun 1588.

Contoh penggunaan : "Let's eat a lot of durian when we visit Malaysia!"

6. "Gambier"

 

Gambir adalah istilah yang digunakan oleh kita untuk merujuk kepada sejenis tumbuhan yang banyak didapati di negeri Sarawak. Dikenali sebagai penawar sakit gigi yang sangat mujarab, khasiat gambir adalah kesan kebasnya yang mampu membuatkan seseorang dapat melawan kesakitan. Walaupun demikian, lebih ramai orang lelaki menggunakan gambir untuk perkara tertentu. Istilah gambir dalam bahasa Inggeris adalah 'gambier', dengan ejaannya sedikit sahaja diubah untuk membezakan cara sebutannya sejak tahun 1800.

Contoh penggunaan : "Try to put some gambier on your tooth ache. It will help to sooth things out."

7. "Rattan"

 

Apabila dilihat dalam senarai ini, baru admin perasan majoriti istilah pinjaman ke bahasa Inggeris meliputi tumbuh-tumbuhanlah. Samalah seperti 'rattan', perkataan asalnya adalah rotan yang mewakili sejenis tumbuhan berbatang yang keras dan tahan lasak. Selain itu, rotan juga digunakan oleh orang Melayu sebagai kata kerja yang selalu diucapkan oleh ibu bapa kepada anak-anak mereka. Istilah 'rattan' telah pun dipinjam bahasa Inggeris sejak tahun 1606.

Contoh penggunaan : "All my furniture are made of rattan as I like the look of it."

8. "Sarong"

 

Salah satu trend fesyen yang tak pernah ketinggalan zaman sama ada secara tradisional atau pemakaian moden, kain sarung merupakan aksesori yang terkenal di seluruh dunia - hasil ciptaan dan rekaan orang Melayu zaman dahulu. Boleh dipakai oleh lelaki dan wanita, warga barat kerap mengenakan 'sarong' ketika memakai baju mandi, membolehkan tubuh mereka dapat dilindungi daripada pandangan-pandangan liar. Istilah 'sarong' dijadikan penggunaan secara rasmi bahasa Inggeris sejak tahun 1830 dan sehingga kini popular untuk digayakan setiap masa.

Contoh penggunaan : "Please wear sarong if you are planning to wear that bikini."

Sumber: https://iluminasi.com

Malay Words in English (PDF)

 

 


KATEGORI BUKU
Sebarang pertanyaan/jemputan, sila emelkan ke [email protected]