PENING, KELETIHAN KALORI TERLALU RENDAH


Memiliki berat badan ideal sememangnya diimpikan setiap orang malah dari segi kesihatan, berat badan memainkan peranan penting dalam menentukan tahap kesihatan seseorang.

Ini kerana seseorang yang mengalami masalah berat badan berlebihan atau obesiti berisiko diserang pelbagai penyakit kronik antaranya diabetes, penyakit jantung, kegagalan buah pinggang dan banyak lagi penyakit yang boleh mengakibatkan kematian.

Bagi mereka yang berdepan masalah berat badan ini pasti terdetik untuk mengurangkan berat badan demi kesihatan yang baik. Ada yang berusaha mengurangkan berat badan dengan melakukan senaman teratur disusuli pengambilan diet seimbang.

Namun, tidak kurang juga yang mengambil jalan pintas dengan mengamalkan pelbagai pelan diet yang tidak selamat dan berisiko terhadap kesihatan yang juga dikenali sebagai diet ‘fad’.

Menurut portal rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan, diet fad adalah pelan diet yang menjanjikan penurunan berat badan yang cepat. Ia biasanya diikuti mereka yang terdesak untuk mengurangkan berat badan. Diet ini tidak sihat, tidak seimbang dan kemungkinan besar mempunyai kesan sampingan.

Diet fad tidak boleh membentuk tabiat makan secara sihat. Sesetengah diet ini tidak menghilangkan lemak, tetapi hanya menghilangkan air dari badan. Kebanyakan diet fad menggalakkan pembuangan air melalui air kencing justeru, badan akan kehilangan air serta vitamin dan mineral yang penting.

Ada sesetengah diet ini menjadi popular kerana berkesan dalam masa yang singkat. Contohnya, diet tinggi protein dan diet tinggi lemak mencetuskan ketosis dan menyebabkan pengurangan berat badan dalam jangka masa yang singkat.

Pengurangan berat badan juga berlaku kerana kesan duretik akibat pengambilan karbohidrat yang rendah, kehilangan air dari badan, penggunaan glikogen dan ketosis. Mereka yang mengamalkan diet fad biasanya akan mengalami pertambahan semula berat badan.

Sesetengah pelan diet sukar diikuti kerana ia membosankan dan mengehadkan pengambilan sesetengah jenis makanan. Lama-kelamaan anda mungkin akan mengalami pengurangan berat badan, tetapi anda mungkin akan dapati selera makan tidak dapat dikawal justeru, ia mengakibatkan pertambahan berat badan lebih daripada berat badan asal.

Sesetengah diet ini juga membahayakan diri. Diet yang terlalu rendah kalori boleh mengakibatkan keletihan, ketidakselesaan dan kekejangan otot. Kekurangan protein dan karbohidrat pula menyebabkan rasa pening, keletihan dan pelbagai penyakit lain.

Diet fad dikatakan menjadi semakin popular kerana ramai yang suka mencuba diet fad yang menjanjikan hasil yang cepat berbanding berusaha mengurangkan berat badan dengan melakukan perubahan jangka panjang menerusi tabiat pemakanan dan senaman.

Sementara itu, strategi pemasaran yang agresif oleh syarikat pengeluar diet fad juga mengambil kesempatan atas fakta ini.

Jenis diet:

Diet terlalu rendah kalori - diet yang mengandungi kurang daripada 800 kalori sehari

Rasional:

Apabila pengambilan tenaga rendah, tubuh akan mendapatkan tenaga yang diperlukan daripada simpanan lemak. Bagaimanapun, tubuh akan menjadi lebih efisien dan berfungsi menggunakan tenaga yang rendah itu dan kadar metabolisme tubuh akan menurun, juga cenderung untuk menggunakan tisu tanpa lemak daripada otot.

Risiko:

Diet ini dikaitkan dengan pelbagai kesan sampingan dan komplikasi seperti pembentukan batu dalam pundi hempedu, kehilangan jisim otot, ketosis dan peningkatan asid urik dalam darah akibat ketidakseimbangan tenaga.

Kematian mengejut boleh berlaku pada pesakit yang mempunyai penyakit lain terutama pengambilan kurang daripada 600 kalori sehari.

Diet rendah lemak

Rasional:

Menghindarkan pengambilan makanan yang tinggi kandungan lemak akan mengakibatkan pengurangan pengambilan jumlah kalori harian.

Risiko:

Sesetengah pengikut diet rendah lemak memberi gambaran yang salah seperti menyebarkan mitos bahawa selulit adalah disebabkan bahan toksik dan amalan diet ini boleh membantu mengurangkan lemak terutama pada paha atau pinggang.

Diet tinggi serat

Rasional:

Diet tinggi serat boleh membantu penurunan berat badan kerana ia memberi rasa yang mengenyangkan dengan pengambilan kalori yang sedikit.

Risiko:

Jumlah serat yang disarankan biasanya terlalu tinggi dan boleh menyebabkan kesan sampingan seperti senak perut (kembung) dan cirit-birit.

Bagi mereka yang mempunyai masalah sistem penghadaman, ia akan memburukkan lagi keadaan. Pengambilan bran yang ba­nyak akan mengurangkan penyerapan mineral seperti zat besi dan zink.

Diet tinggi protein

Rasional:

Pengambilan karbohidrat dihadkan kepada kurang daripada 30 gram sehari. Pengambilan protein dan lemak yang terlalu tinggi melambatkan perut kosong. Ini mengurangkan keinginan untuk makan dan mengehadkan pengambilan tenaga.

Risiko:

Diet ini mungkin meningkatkan pengambilan kolesterol dan lemak tepu. Diet ini juga kurang kandungan serat daripada sumber berasaskan karbohidrat terutama bijirin penuh daripada tumbuhan.

Pengamal diet ini mungkin mengalami sembelit dan fungsi kognitif yang terjejas. Pengambilan protein yang tinggi meningkatkan paras asid urik dalam buah pinggang dan berisiko untuk pembentukan batu dalam buah pinggang.

Kesimpulannya, seseorang itu tidak sepatutnya mencuba diet fad tanpa mendapat nasihat daripada doktor. Jika anda berasa sesuatu yang tidak kena, hentikan diet terbabit dengan segera. Tahap keberkesanan diet ini juga rendah malah ia boleh menyebabkan kesan sampingan.

 

Kredit artikel: harian Metro Online

KALENDAR ALAF 21
KATEGORI BUKU
Sebarang pertanyaan/jemputan, sila emelkan ke [email protected]