PEMANIS MULUT MENJADI SUMBER REZEKI


Bukan mudah bagi seorang ibu tunggal meneruskan kehidupan membesarkan permata hati tersayang. Selain perlu cekal dalam mengharungi suka duka kehidupan, si ibu juga bertanggungjawab memberikan yang terbaik demi masa depan lebih cerah buat si anak.

Bagi wanita cekal ini, Nurul Abidah Thalha, 31, status ibu tunggal sejak dua tahun lalu tidak sedikit pun mematahkan semangatnya untuk terus berjaya dalam bidang diceburi malah ia menjadikan dia seorang wanita yang lebih kuat dalam semua segi.

Berkecimpung dalam industri pembuatan kek dan pastri sejak lebih lima tahun lalu, Nurul Abidah kini menumpukan sepenuh perhatian dan semangatnya untuk memajukan bidang diminati.

Pengasas jenama Sweet Buffet itu turut mengakui dia mengorbankan seluruh masanya demi memastikan perniagaan diusahakan berjalan lancar atas usahanya sendiri.

“Saya mula menjalankan perniagaan ini secara sambilan sejak 2009 dan kini bergerak lebih serius bermula 2014.

“Saya peminat tegar makanan pemanis mulut dan pastri. Dari situlah timbul minat terhadap dekorasi kek cawan dan kek yang menyebabkan saya mula memberanikan diri terbabit dalam bidang ini,” katanya.

Menurutnya, cubaannya pada ketika itu membuahkan hasil apabila ramai pelanggan mula meminati kek dan pastri yang dihasilkannya.

“Apa yang mendorong saya berniaga dalam bidang ini adalah rasa seronok setiap kali pelanggan membeli dan suka dengan kek serta pastri saya.

“Biarpun saya memulakan perniagaan ini secara suka-suka pada mulanya, saya kemudian mengambil keputusan untuk lebih serius dan fokus mengambil tempahan,” ujarnya.

Tambah Nurul Abidah, dia mengambil langkah berani apabila meletakkan jawatan sebagai Eksekutif Perkhidmatan Pelanggan bagi menumpukan sepenuh perhatiannya dalam bidang itu.

“Tahun terakhir saya bekerja, fenomena kek cawan mula mendapat tempat di hati penggemar makanan pastri ini. Ketika itu hampir semua peniaga kek cawan dalam talian menjalankan perniagaan mereka melalui laman blog.

“Melihat pelbagai laman blog menawarkan kek cawan dengan pelbagai hiasan comel, ia menimbulkan keseronokan dan saya mula mengikuti pelbagai kelas bakeri dan pastri bagi mempelajari pelbagai teknik terbaik dalam menghasilkan kek serta pastri,” katanya.

100 PERATUS MENTEGA PERANCIS

Antara produk dihasilkan Nurul Abidah yang mendapat sambutan paling menggalakkan dalam kalangan peminat Sweets Buffet ialah tat Nutella.

Tat Nutella hasil air tangan Nurul Abidah dihasilkan dengan menggunakan 100 peratus mentega Perancis dan adunan untuk tat itu juga sentiasa dijaga rapi.

Menurut Nurul Abidah, adunannya tidak dibancuh menggunakan mesin pengadun tetapi diuli sendiri menggunakan tangan bagi mendapatkan hasil terbaik.

Selain tat Nutella, kek pandan gula Melaka dan kek keju mangga juga menjadi pilihan pelanggan apabila semua produk itu menerima tempahan menggalakkan daripada pelanggan.

“Harga setiap manisan yang saya hasilkan juga berpatutan iaitu dalam lingkungan RM60 hingga RM150 kerana bagi saya soal harga bukan menjadi keutamaan namun kepuasan pelanggan menikmati hidangan manisan yang saya hasilkan itu lebih penting.

“Namun saya akui di sebalik keseronokan dalam menyiapkan setiap tempahan pelanggan, terselit dugaan dalam menjalankan perniagaan ini,” katanya.

Menurutnya, bukan mudah untuk menguruskan sesuatu perniagaan walaupun perniagaan diusahakan tidak berskala besar kerana segalanya dilakukan sendiri tanpa pembantu.

“Segalanya saya lakukan sendiri namun saya perlu terus kuat dalam menguruskan perniagaan ini kerana ia sumber pendapatan saya.

“Tahun lalu saya menerima tempahan daripada pelanggan di Singapura yang menempah 30 biji kek yang menyebabkan saya hampir putus asa kerana tidak tahu bagaimana hendak menyiapkan semua tempahan itu sendiri,” ujarnya.

Tambah Nurul Abidah, dia kemudiannya bertekad untuk menerima tempahan itu dan pergi ke rumah ibu saudaranya di Singapura bersama anak lelakinya.

“Saya bawa anak dan semua bahan yang diperlukan untuk menghasilkan kek di Singapura dan berjaya menyiapkan tempahan pada masa yang dijanjikan.

“Walaupun agak kekok menghasilkan berpuluh-puluh kek di rumah orang, syukur saya berjaya menyiapkan tempahan itu,” katanya.

Semua kek dan produk dihasilkan Nurul Abidah boleh dilihat di laman Instagram @sweets.buffet atau di Facebook sweetsbuffetbakery.

 

Kredit artikel: Harian Metro Online. Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 April 2017 @ 10:20 AM

KALENDAR ALAF 21
KATEGORI BUKU
Sebarang pertanyaan/jemputan, sila emelkan ke [email protected]