ADA APA DI DALAM BUKU INI?


Ada apa di dalam buku 9 MEI

BUKU yang ditulis Nik Nazmi Nik Ahmad ini mengisahkan 9 Mei menyaksikan detik-detik BN ditumbangkan oleh Pakatan Rakyat setelah 61 tahun memerintah negara, sekali gus mencipta sejarah dalam politik di Malaysia.

Perjuangan dan pengorbanan bukan sahaja dilakukan oleh ahli politik lain, ia turut melibatkan Nik Nazmi sendiri.

Ya, perjuangan Nik Nazmi tiada batasnya. Demi keadilan rakyat, beliau meneruskan hati kentalnya dengan memutuskan bertanding di kerusi Parlimen Setiawangsa.

Ia kerusi tunggal di ibu negara di mana BN sendiri belum pernah tewas, meskipun mereka hampir hilang semua kerusi di Kuala Lumpur pada 2008.

Bagaimana ini berlaku? Apa propaganda dan muslihat yang terjadi sebelum dan selepas PRU 14? Buku ini menjawab 1001 persoalan bermain di fikiran rakyat. Buku ini harus dimiliki agar segala persoalan itu terungkai.

Buku ini boleh didapati di https://www.karangkrafmall. com dengan harga RM25 dan akan berada di pasaran selepas 26 Januari ini.

Berikut petikan buku, 9 Mei 2018: Catatan dari Garis Depan oleh Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad. Buku ini diterbitkan oleh Alaf 21 dan akan dilancarkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin di AEON AU2 Setiawangsa, jam 2 petang, 26
Januari 2019.

Bab 8: Rundingan  
Pada Januari 2018, PH mengadakan konvensyennya yang pertama. Satu persefahaman bersejarah telah dicapai bagi menghadapi PRU14: Dr Mahathir Mohamad akan menjadi calon Perdana Menteri ketujuh bagi pakatan ini. Beliau sudah berusia 92 tahun dan akan mencapai usia 93 tahun pada Julai tahun ini.

Pemimpin yang dipecat dan dipenjarakan olehnya, Anwar Ibrahim akan dinamakan sebagai Perdana Menteri kelapan. Isteri Anwar, Dr Wan Azizah yang merupakan Ketua Pembangkang, akan dilantik Timbalan Perdana Menteri Dr Mahathir.

Rundingan kerusi PH di Semenanjung Malaysia juga telah disimpulkan. Bersatu mendesak mendapat kerusi paling banyak – mereka akhirnya bertanding di 52 kerusi, Keadilan 51 kerusi, DAP 35 kerusi dan Amanah 27 kerusi.

Amanah Johor memboikot konvensyen kerana mereka tidak gembira dengan agihan kerusi di negeri itu.

Bab 9: Memenangi Undi Anak Muda
Ketika tanggal Tahun Baharu 2018, kami bersama NGO mengadakan perhimpunan Turun Turun: Turun Minyak Turun Najib.

Kami berarak seperti biasa di tempat perhimpunan di Sogo, Kuala Lumpur menuju Dataran Merdeka tetapi disekat dari masuk ke dalamnya. Bulan berikutnya, Pemuda Harapan menganjurkan satu konvensyen di Subang Jaya. Dalam konvensyen ini dikemukakan tawaran dasar kepada pengundi Anak Muda Malaysia–Tawaran Harapan Anak Muda.

Dalam ucapan dasar, saya menyatakan tidak cukup hanya beri fokus kepada skandal Najib. Tidak cukup untuk kita memberi gambaran bahawa diri kita hanyalah versi BN yang lebih baik.

Apa yang diperlukan ialah perubahan politik yang besar: untuk memberi kesan perubahan ekonomi, pentadbiran dan sosial. Pemuda Harapan memberi fokus kepada pekerjaan dan gaji; kos sara hidup dan kualiti hidup, perumahan, pendidikan dan rekreasi. Seperti gerakan Turun Turun, kami fokus kepada ekonomi.

Kami kemudian memulakan jelajah ke seluruh negara untuk mempromosi Tawaran Harapan Anak Muda.

 

KALENDAR ALAF 21
KATEGORI BUKU
Sebarang pertanyaan/jemputan, sila emelkan ke [email protected]