BIDANG KULINARI, BUKAN SEKADAR MASAKAN


ADAKAH anda gemarkan makanan? Tahu memasak? Atau biasa dengan bahan-bahan masakan, persembahan makanan dan melakukan penilaian melalui rasa?

Jika ya, sudah tentu bidang kulinari adalah pilihan tepat untuk anda pilih selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Jika tidak, mungkin anda akan jatuh cinta selepas mengetahui rahsia yang terdapat dalam bidang masakan yang semakin popular ini.

 

Bidang kulinari merupakan salah satu cabang industri perkhidmatan yang semakin mendapat permintaan tinggi di Malaysia. Apa tidaknya, Malaysia menerima purata seramai 24.6 juta pelancong setiap tahun. Oleh itu, kita memerlukan lebih ramai generasi muda bertauliah dalam bidang ini bagi menyokong aktiviti pelancongan.

Malah, seperti anda sedia maklum, Malaysia dilabel sebagai syurga makanan oleh pelancong serata dunia dek kepelbagaian jenis makanannya. Kita boleh merasai 1001 rahsia kekayaan masakan bangsa Melayu, Cina, India sehinggalah bumiputera Sabah dan Sarawak serta masyarakat peranakan seperti Baba dan Nyonya, Chetti serta Serani.

Senang cerita, kepelbagaian budaya di Malaysia adalah selaras dengan kepelbagaian makanan yang ada di negara kita.

Sekiranya anda mempunyai minat serta bakat untuk mencipta resepi baru dan mendalami karya kulinari, tentu anda tidak akan mengalami masalah untuk mendapatkan pekerjaan.

Peningkatan kesedaran pengguna dalam nilai nutrisi dan penjagaan kesihatan telah mewujudkan permintaan tinggi untuk makanan segar yang diproses secara organik dan dihasilkan semula jadi daripada tumbuhan dan makanan laut. Oleh itu, lebih ramai pakar dalam bidang ini diperlukan sehingga kerjaya yang dahulunya disebut sesuai untuk perempuan atau ‘lelaki lembut’ sudah tidak relevan lagi pada masa kini.

Jom, ikuti .com. Kita dekati remaja yang memilih bidang kulinari sebagai kerjaya hidup di masa hadapan. Mungkin mereka ada jawapannya. – DHIYA’ZULHILMI DAUD / IZHAM JAAFAR

Lokasi: MSU shah alam

Apakah itu seni kulinari?

Seni yang memberi tumpuan kepada kemahiran dan kesenian dalam memasak makanan.

Siapa Mereka?

Seorang yang bekerja dalam seni kulinari. Mereka yang bekerja di restoran-restoran kebiasaannya dikenali sebagai tukang masak atau chef.

MITOS

Seni kulinari hanyalah berkaitan tentang masakan semata-mata.

REALITI

Lebih daripada sekadar seni masakan. Menguruskan dapur dan kakitangan, sebahagian seni kulinari. Dari segi pekerjaan, bukan sahaja bekerja di dapur hotel, tetapi di dapur pasukan-pasukan beruniform dan cabang pekerjaan lain seperti penulis makanan dan selebriti.

INDUSTRI pelancongan yang merupakan salah satu daripada sektor utama dalam Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), dilihat menjadi antara sebab peningkatan permintaan tenaga kerja dalam bidang hospitaliti khususnya kulinari dan perhotelan.

Menurut Dekan Sekolah Hospitaliti & Seni Kreatif, Management and Science University (MSU), Prof. Arfah Kassim, permintaan tinggi juga dirangsang dengan sasaran kerajaan untuk meletakkan Malaysia dalam senarai 10 negara teratas dikunjungi pelancong global.

“Umum mengetahui, penawaran program ini adalah bagi menyokong perkembangan pesat industri hospitaliti di Malaysia yang memerlukan modal insan terlatih.

“Ini menuntut tenaga kerja tersebut mempunyai pengetahuan lengkap secara menyeluruh dalam memberikan sokongan kepada pertumbuhan industri hospitaliti, pelancongan dan rekreasi,” katanya.

Katanya, bidang kulinari di Malaysia juga mempunyai kelebihannya sendiri berbanding di negara lain kerana kita menitikberatkan aspek halal dari permulaan penyediaan makanan hingga ia dihidangkan.

Sementara itu, dua tenaga pengajar sekolah kulinari di MSU, Chef Mohd. Shukri Abd. Ghani (Chef Shukri) dan Chef Areff Adli Fabil (Chef Areff) turut menyokong pandangan Arfah.

“Pelajar kulinari tidak semestinya bekerja sebagai chef kerana mereka juga boleh menjadi pengulas makanan, pendidik dan pengusaha restoran,” kata Chef Shukri.

Bagi Chef Areff pula, permintaan tinggi dalam bidang kulinari turut disokong sektor sosial seperti trend penerbitan rancangan realiti yang dilihat mengasah minat remaja terhadap bidang itu.

TERUJA untuk menguasai pelbagai resipi pastri sejak kecil menjadi sebab Nur Amirah Mazlan, 24, menceburi bidang kulinari.

“Pastri merupakan minat saya sejak kecil. Bukan mudah untuk menyediakan pastri kerana ia memerlukan tugasan kompleks yang jarang orang sukai seperti menghasilkan hiasan dan rasa yang sama enak dan lazat.

“Melalui bidang kulinari, saya bukan sahaja dapat menghasilkan pastri yang baik malah pada masa sama, saya dapat menguasai banyak resipi tempatan dan global,” katanya yang merupakan pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Seni Kulinari, MSU.

Kata Amirah, setakat ini dia telah mempelajari lebih 50 resipi hidangan tersebut baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

“Resipi-resipi tersebut termasuklah sajian pastri dari Asia Tenggara, Asia dan Eropah,” ujarnya yang meminati hidangan pastri, ‘Black Olive Panna Cotta’.

SEMUANYA bermula daripada rancangan realiti masakan yang ditonton di saluran Asian Food Channel (AFC), Chuck Hughes.

“Saya sangat teruja untuk menjadi chef terkenal seperti dalam program tersebut. Semasa di bangku sekolah, saya hanya menonton rancangan itu untuk mengisi masa lapang.

“Namun, bila mengikutinya setiap minggu, saya jatuh cinta dengan bidang masakan. Alangkah indah dapat menjadi chef terkenal seperti dalam kaca televisyen tersebut,” seloroh Muhammad Syukran Rosmadi, 23.

Ujar anak muda berasal dari Klang, Selangor itu, tidak wajar memandang rendah kerja dapur dan menganggapnya hanya layak dilakukan perempuan atau ‘lelaki lembut’ sahaja kerana tidak semua mengetahui bahawa kerja-kerja di dapur adalah sukar dan berat.

“Bayangkan, seorang chef perlu mengangkat kuali besar, dulang berat ke dalam mesin pembakar serta bahan-bahan mentah dari peti sejuk.

“Tugasan ini bukanlah pekerjaan mudah untuk seorang perempuan. Ia memerlukan tenaga lelaki,” katanya.

GAYA Chef Sherson Liew memasak membuatkan personaliti terkenal dari bidang kulinari itu dijadikan idola oleh Muhammad Arif Zulkipli, 23, dari Ipoh, Perak.

Katanya, dia meminati Sherson Liew kerana teknik masakannya bebas dan lebih mengutamakan cita rasa dalam setiap masakan.

“Sesetengah chef hanya memasak mengikut panduan buku resipi tetapi berbeza dengan Sherson Liew yang memasak secara bebas mengikut kemahiran sendiri.

“Tidak semestinya untuk menghasilkan hidangan enak dan lazat perlu mengikut panduan buku resipi. Ini kerana kelazatan sesuatu makanan bermula dari cita rasa seseorang chef tersebut,” katanya.

Malah, chef itu juga mempunyai pakej lengkap untuk membuktikan bahawa kategori lelaki maskulin juga boleh melakukan kerja dapur.

“Beliau merubah suasana dapur menjadi tempat yang menyeronokkan,” tambahnya lagi.

Bagi Mohd. Fitri Abdul Ghani, kerjaya kulinari adalah peluang untuk dia berjalan ke luar negara bagi menguasai masakan tempatan di negara yang dikunjunginya.

“Saya melihat, bidang kulinari boleh membuatkan saya berjalan ke luar negara dengan mempelajari teknik dan resipi masakan setiap negara yang dilawati.

“Bidang masakan di luar negara menjanjikan pengalaman berbeza. Seperti di Eropah, mereka mempunyai hidangan dan teknik masakan berbeza mengikut peredaran empat musim,” ujarnya yang berusia 26 tahun.

Fitri memberitahu, hasil daripada pengalaman berjalan ke luar negara dan menguasai pelbagai teknik masakan, ia dapat membantunya memulakan perniagaan berasaskan makanan di negara sendiri suatu hari nanti.



Kredit artikel: Utusan online

KALENDAR ALAF 21
KATEGORI BUKU
Sebarang pertanyaan/jemputan, sila emelkan ke [email protected]