PPE 'tempahan' paling utama bengkel jahitan Penjara Penor


KUANTAN, 30 Mac -- Bengkel jahitan Penjara Penor di sini, hanya 'mengendalikan' tempahan paling penting buat masa ini, iaitu peralatan perlindungan diri (PPE) untuk kegunaan petugas kesihatan yang mengendalikan pesakit COVID-19.

Bermula jam 9 pagi sehingga 5 petang setiap hari, seramai 18 banduan yang ditempatkan di bengkel itu akan bertungkus-lumus mengukur, memotong dan menjahit PPE yang diperbuat daripada material khas berwarna biru.

Pengarah Penjara Penor Datuk Abu Hasan Hussain berkata mereka menerima 2,000 meter material berkenaan bagi menghasilkan PPE yang memerlukan lima meter bagi sepasang PPE ‘dari hujung kepala ke hujung kaki’.

"Bengkel kami mula menjahit PPE pada Jumaat lepas dan setiap hari kami boleh menghasilkan lebih 20 pasang PPE yang akan terus dihantar ke pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang untuk diagihkan kepada Jabatan Kesihatan negeri. 

"Buat masa ini, bengkel jahitan turut beroperasi pada Sabtu dan Ahad berbeza daripada kelaziman kerana menyedari keperluan mendesak terhadap PPE ekoran peningkatan jumlah pesakit COVID-19," katanya semasa ditemui Bernama di sini, hari ini. 

Abu Hasan berkata beberapa kakitangan penjara telah mengikuti taklimat pembuatan PPE pada 25 Mac, bagi memastikan PPE yang dihasilkan adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) pihak kesihatan. 

Selain PPE, Abu Hasan berkata Persatuan Isteri, Anak dan Anggota serta Kakitangan Wanita Penjara Malaysia (PERSIAP) di situ juga telah menghasilkan 525 unit pelindung muka untuk kegunaan petugas barisan hadapan. 

Sementara itu, pegawai selia bengkel jahitan Penjara Penor Sarjan Muhd Mulyadi Abd Ghani berkata banduan yang terlibat tidak mengambil masa lama untuk memahami kaedah menjahit PPE kerana sudah mahir mengendalikan mesin jahit ekoran sering menerima tempahan pakaian seragam. 

"Untuk melancarkan tugas, kami wujudkan tiga stesen khas yang terdiri daripada membahagikan material, memotong dan menjahit. PPE yang siap juga perlu melalui kawalan kualiti oleh kakitangan penjara. 

 

"Proses yang paling renyah untuk dilakukan ialah memasukkan getah yang bertujuan mengetatkan bahagian pergelangan tangan, dagu topeng muka dan pelindung kasut," katanya. 

Mengenai tugas baharu itu, Man, 26, yang dipenjarakan kerana kesalahan dadah menyifatkan bantuannya memotong PPE mengikut pola yang diberikan adalah 'sumbangan kecil' dirinya kepada negara yang sedang berdepan situasi mencabar. 

Anak jati Kuala Ibai, Terengganu itu berkata dia tahu mengenai wabak COVID-19 kerana emaknya yang melawat pada 15 Mac lepas sempat ‘bercerita’ mengenai wabak itu yang semakin menular di Malaysia. 

"Saya tahu ia mudah berjangkit...dalam diam, saya bangga juga kerana masih dapat membantu walaupun dari penjara. Sumbangan saya tidak besar, namun saya harap ia boleh melindungi kakitangan kesihatan yang sedang berjuang," katanya.

Rakannya yang dikenali sebagai Saiful, 33, pula berharap PPE yang dihasilkan mereka dapat menampung kekurangan peralatan itu yang difahamkan amat penting dalam mengendalikan pesakit COVID-19. 

Saiful yang menjalani hukuman penjara selama 18 tahun kerana menyamun berkata dia gembira kerana kemahiran menjahit yang dipelajari selepas 'berada di dalam' membolehkan dia membantu mereka yang memerlukan. 

Kredit: BERNAMA

 

KALENDAR ALAF 21
KATEGORI BUKU
Sebarang pertanyaan/jemputan, sila emelkan ke [email protected]