Dari dawaai ke aksesori


Mungkin ramai tidak pernah terfikir, dari seutas dawai lurus boleh terhasil aksesori yang menarik bahkan siapa sangka ia juga mampu menjana pendapatan lumayan selepas diberi sentuhan kreatif.

Seni aksesori dawai atau lebih dikenali sebagai ‘wire jewelry’ sudah lama popular di Eropah dan Amerika. Kini, seni ini mula diminati di negara Asia seperti Indonesia, Thailand dan Malaysia.

Aksesori yang unik pastinya digemari kaum Hawa, aksesori dawai juga tidak terkecuali. Walaupun bahan utamanya cuma dawai, namun setiap jenis perhiasan ini memiliki harga yang berbeza bergantung pada jenis dawai digunakan, teknik, kehalusan seni hingga tempoh yang diambil untuk menyiapkannya.

Bermula hanya hobi, pereka aksesori dawai, Mastura Mustaffa tidak menyangka dia mampu menempatkan aksesori dawai buatannya dalam kelas yang tersendiri dan menjana pendapatan melaluinya.

Bidang yang diceburinya itu pada awalnya hanya sekadar suka-suka memandangkan dia perlu memberi sepenuh perhatian terhadap anak keduanya yang mengalami masalah autism.

Bagaimanapun selepas anaknya itu memasuki tingkatan satu pada 2009 dan mampu berdikari, Mastura mengambil kesempatan untuk terus serius menghasilkan aksesori yang semakin mendapat tempat di hati pelanggan.

“Aksesori dawai adalah aksesori unik, tersendiri, halus seni buatannya dan nilainya terletak pada bahan yang digunakan serta tahap kesukaran pembuatannya.

“Ketika mula-mula memperkenalkan aksesori ini menerusi dalam talian pada April tahun itu, bukan semudah yang disangka, malah selepas hampir lima bulan hanya satu jualan berjaya dibuat.

“Jualan pertama bernilai RM30, tapi sudah cukup menggembirakan hati saya. Pembelinya pula dari negeri lain, ketika itu saya merasakan satu kejayaan besar memandangkan pada tahun itu pemasaran melalui media sosial masih baru.

“Melalui blog, Whimsical & Quirky yang saya tubuhkan ketika itu, saya mula bina jaringan dengan penulis blog lain. Pada masa itu, modal pun tidak banyak saya gunakan iaitu hanya kira-kira RM60 untuk membuat sebuah laman web.

“Semakin lama, ramai yang menyedari hasil kerja tangan saya termasuk syarikat kosmetik antarabangsa yang menempah cenderahati eksklusif selain membuat aksesori untuk jenama fesyen terkemuka sempena Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2010,” katanya.

Minat sejak sekolah

Berkelulusan Diploma Lanjutan Pengurusan Perniagaan (Pengangkutan) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Mastura berkata, dia meminati kraf dan kerja tangan sejak zaman persekolahan lagi dan bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang berkaitan.

Bagaimanapun, minat Mastura tidak dipersetujui bapanya kerana mahu dia memilih bidang yang lebih menjamin masa depan. Sebagai anak, dia akur dengan kehendak bapa dan menjadikan minatnya itu sebagai hobi saja.

Selepas berkahwin, suami, Ridzuan Hashim, menyokong Mastura untuk meneruskan hobinya dan dia kini mampu tersenyum puas melihat hasil kerja tangannya sentiasa dinanti peminat kraf ini.

Reka bentuk yang diketengahkan Mastura beraneka gaya dan memperlihatkan ciri kontemporari. Gabungan manik dan batu permata serta penyatuan warna dalam rekaan tampak harmoni yang menyerlahkan kreativitinya.

Aksesori yang diciptanya iaitu anting-anting, rantai, gelang, cincin, kerongsang, loket dan pin tudung, bermotifkan alam semula jadi seperti bunga dan daun hinggalah vintaj, setiap satunya ada tarikan tersendiri.

Mastura berkata, koleksi rekaan seni aksesori menggunakan dawai dicipta menggunakan gabungan keindahan pelbagai jenis manik dan batu permata itu tampak lebih menyerlah serta memperlihatkan identiti tersendiri di samping memenuhi cita rasa pelanggan yang sukakan keindahan kilauannya.

Antara batu permata yang sering digunakan termasuk akik, lapis lazuli, kristal Swarovski, ros dan quartz manakala aksesori paling diminati gelang Viking knit.

Ibu kepada tiga cahaya mata ini berkata, kebanyakan pelanggannya terdiri daripada golongan profesional yang sukakan sesuatu yang berbeza daripada aksesori biasa terdapat di pasaran.

Meskipun hasil kerja tangannya sentiasa menjadi buruan, Mastura tidak lokek berkongsi ilmu menerusi kelas yang dianjurkannya dengan bayaran berpatutan agar lebih ramai pereka seni dawai dapat dihasilkan di negara ini.

“Kepuasan bagi saya apabila daripada ratusan pelajar yang mengikuti kelas, sekurang-kurangnya 10 daripada mereka menjadi usahawan dalam bidang ini.

“Disebabkan masa yang agak terhad, kini kelas dianjurkan mengikut temu janji,” katanya.

Selain kraf dawai, Mastura kini giat menghasilkan aksesori dan cenderahati peribadi daripada bahan kulit dan kain bagi mempelbagaikan hasil kerja tangannya.

Antara barangan yang boleh ditempah khas seperti gegelung kunci kulit, beg tangan kulit, bekas pensil, dompet syiling dengan nama pembeli atau dijadikan sebagai hadiah.

Berharga daripada RM10 ke atas bagi pin tudung, paling mahal yang pernah dibeli pelanggan ialah rantai daripada dawai perak berharga lebih RM1,000.

Mastura berkata, dia menjual produknya melalui kedai atas taliannya whimsicalnquirky.com atau Instagram dan Facebook whimsicalnquirky.

Menurutnya, dalam menghasilkan rekaan itu, antara cabarannya ialah untuk memenuhi cita rasa pelanggan. Namun, prinsip dan konsep diamalkan amat mudah iaitu membuat tempahan mengikut personaliti dan tema yang dikehendaki serta bajet pelanggan.

“Saya perlu mengkaji apa yang pelanggan suka dan tidak suka supaya mereka berpuas hati apabila memakainya. Kesukaran sesuatu aksesori itu bukan bergantung kepada kategorinya, tetapi pada kerumitan rekaan dan teknik digunakan.

“Saya puas hati apabila pelanggan memberi maklum balas suka dengan rekaan dan perkhidmatan saya. Saya juga bangga apabila melihat ada pelanggan memakai koleksi rekaan saya,” katanya.

Kredit : Harian Metro

KALENDAR ALAF 21
KATEGORI BUKU
Buku terlaris

Novel
KRAF
    UMUM
      RESEPI

        NEWSLETTER

        Sebarang pertanyaan/jemputan, sila emelkan ke [email protected]