Mengapa Perlu Belajar Menjahit?


Mengapa Saya Perlu Belajar Menjahit?? Mungkin soalan ini pernah muncul di benak fikiran anda. Dan pasti setiap jawapan adalah berbeza bagi setiap orang.

 

Mungkin ada dikalangan anda yang merasakan tidak perlu untuk anda belajar menjahit kerana tidak mempunyai minat, tidak berbakat(ini kena test dulu baru tahu berbakat @ tidak), berkemampuan untuk membayar upah jahit @ beli pakaian siap, sibuk dengan tugas seharian dan bermacam macam sebab lagi untuk tidak belajar menjahit.

 

Jadi, apa yang menyebabkan seseorang itu mengambil keputusan untuk belajar menjahit?

Kita boleh pecahkan ia kepada 3 sebab utama;

 

1) HOBI

Mereka yang mempunyai hobi menjahit tidak menjadikan
alasan sibuk atau berkemampuan menghalang mereka dari mempelajari ilmu jahitan. Jika menjahit itu suatu hobi, dengan masa yang sedikit terluang, mereka mampu menghasilkan pakaian idaman mereka. Mereka ini kebiasaannya terdiri dari mereka yang telah berkerjaya, pelajar dan juga surirumah.

2) KEPERLUAN

Dengan kos sara hidup yang makin meningkat, dimana upah jahit juga turut meningkat, bebanan pasti terasa apabila menjelang hariraya dimana persiapan baju baru untuk setiap ahli keluarga harus disediakan secara serentak.

Contoh, jika seseorang ibu itu mempunyai 3 orang anak, 2 perempuan dan 1 lelaki. Sekurang kurangnya sepasang baju melayu untuk ayah & anak lelakinya. Yang perempuan pula, takkanlah cukup sepasang seorang, kurang kurang 3 pasang baju kurung. Jumlah semua baju kurung untuk hariraya sahaja sudah 11 pasang untuk disediakan. Itu belum cerita lagi persediaan langsir, kuih muih, kos balik kampung dan macam macam lagi kos menjelang Hari Raya. Upah jahit sahaja paling kurang RM400 untuk 11 pasang dan mungkin lebih lagi mengikut kawasan dan fesyen baju kurung yang ditempah. Jika si ibu menggunakan kos RM400 itu untuk belajar menjahit baju, beliau mampu untuk mengurangkan kos tempahan jahitan untuk keluarga pada masa hadapan. Ilmu dapat dan dapat pula save family budget. Bukankah bagus begitu.

3) KERJAYA

Menjadikan pekerjaan tukang jahit sebagai KERJAYA. Siapakah mereka? Mereka mungkin surirumah yang ingin mendapat pendapatan sampingan atau bercita cita mempunyai kedai jahit sendiri. Atau mereka yang sudah bekerjaya tetapi memilih untuk menambah pendapatan sampingan dengan mengambil upah jahit( 2 punca income). Atau mereka yang telah bekerjaya(makan gaji), ingin menukar kerjaya kepada kerja sendiri dalam bidang jahitan kerana minat yang mendalam dalam senijahitan.

Walau apapun sebab anda, teruskan usaha anda. Menjahit adalah kemahiran yang boleh dipupuk. Latihan berterusan membolehkan anda menajamkan kemahiran jahitan untuk menghasilkan jahitan yang kemas dan cantik. 

 

Mulakan langkah anda dengan menuntut ilmu jahitan, praktikkan dan insyaallah anda akan berjaya mencapai cita cita anda di bidang jahitan ini.

Kredit: Akademi jahitan dhiya

KALENDAR ALAF 21
KATEGORI BUKU

NEWSLETTER

Sebarang pertanyaan/jemputan, sila emelkan ke [email protected]