TIPS ELAK ANAK TERTINGGAL DI DALAM KERETA

@wien | 25-02-2020

Beberapa minggu lepas, kita dikejutkan dengan berita seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan ditemui mati di dalam kereta di Indera Mahkota, Kuantan. Ini disebabkan bayi tersebut ditinggalkan di dalam kereta kira-kira empat jam.

Difahamkan, Annur Jannatul Syuhada Mohd Khalil tertinggal dalam kenderaan itu akibat bapanya yang berusia 38 tahun terlupa menghantar bayi itu ke taska sebelum ke tempat kerja di Kompleks Tun Razak (Komtur) di Indera Mahkota.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu hanya ditemui ketika bapanya keluar makan tengah hari pada waktu rehat berkerja, kira-kira 1 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, berdasarkan siasatan, bapa bayi itu sepatutnya menghantar mangsa ke sebuah taska di Indera Mahkota 15.

Bagaimanapun, bapanya terlupa menghantar bayi berkenaan ke taska itu sebelum ke tempat kerja dan mangsa ditinggalkan di dalam kereta kira-kira empat jam, bermula 9 pagi.

Sesungguhnya berita seperti ini amat meruntun jiwa seorang ibu dan merupakan mimpi ngeri sepanjang hayat. Memang takdir Allah, ajal sudah menjemputnya. Namun, kita boleh mengelak takdir seperti ini jika kita sentiasa berjaga-jaga dan peka dengan keadaan sekeliling.

Antara Tips Elak Tertinggal Anak Dalam Kereta daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

1. Jangan letak kerusi kanak-kanak di belakang kerusi pemandu.

2. Jadikan amalan sentiasa memeriksa ruang dalam kereta sebelum mengunci.

3. Letakkan patung mainan besar anak anda di kerusi hadapan sebagai tanda anak anda ada di kerusi belakang.

4. Letakkan beg susu anak anda di kerusi hadapan sebagai tanda anak anda berada di kerusi belakang.

5. Letakkan barang penting anda bersama anak anda.

6. Letakkan label pada pemegang pintu sebelah luar sebagai simbol anak anda ada di dalam kereta.

7. Pesan pada pasangan anda untuk mengingatkan anda sekiranya rutin menghantar anak bertukar.

8. Gunakan aplikasi telefon untuk mengingatkan anda seperti Chilminder Softclip.

9. Aplikasi Waze: Child Reminder > Advanced Setting > General > Child Reminder.

Semoga info ini berguna kepada kita dan menjadikan kita ibu ayah yang prihatin dengan keberadaan anak. Kita mampu mengubahnya!

 

Sumber: Selangor Kini

Sumber: Petikan MyMetro

 

 

 

 

KALENDAR ALAF 21
KATEGORI BUKU
Sebarang pertanyaan/jemputan, sila emelkan ke [email protected]