7 Herba Itali Yang Anda Patut Kenali Sebelum Guna Untuk Memasak


Di tahun-tahun awal Rom purba, makanan yang dihidangkan kebanyakannya mudah dan ringkas tanpa herba atau rempah. Semasa Empayar Rom, hidangan ringkas tadi telah diubah suai dan diperbaiki rasanya dengan memperkenalkan penggunaan rempah serta herba.

Kini, dalam menu Itali, herba dan rempah segar digunakan untuk meningkatkan rasa, tekstur dan warna makanan; bagi tujuan kesihatan dan juga rasa yang lebih lazat.

Penggunaan herba dalam apa jua jenis masakan; Asia, Timur Tengah, India atau Barat, bertujuan untuk meningkatkan rasa, memberi lebih tekstur, warna dan aroma kepada masakan tersebut.

GAMBAR: JACKSON & PERKINS

Bagi mereka yang gemar menanam sendiri pokok-pokok herba yang sering digunakan, beruntunglah kerana herba tersebut dapat digunakan secara segar dengan memetiknya terus semasa hendak menggunakannya.

Namun, jika tiada, terdapat pilihan lain untuk dapatkan herba yang sama. Boleh pilih herba yang telah dikeringkan dan dipek, yang juga mudah digunakan bila-bila masa serta tahan lebih lama.

Apakah perbezaan antara herba dengan rempah?

Herba diperolehi daripada daun hijau tumbuhan tersebut sedangkan rempah diperolehi daripada bahagian-bahagian lain pada tumbuhan seperti biji benih, buah, kulit, akar, ‘berry’ atau bunga.

Herba lazimnya digunakan dalam kuantiti yang lebih banyak berbanding rempah kerana kekuatan rasanya.

Berbalik kepada herba dalam menu masakan Itali, antara yang penting dan sering kali digunakan adalah seperti basil, rosemary, oregano dan sage. Terdapat juga herba lain yang digunakan, mengikut kesesuaian menu. Baca seterusnya.

1. Basil

GAMBAR: GOURMET GARDEN

Basil sering digunakan dalam hidangan yang mengandungi tomato, lemon atau bawang putih. Masakan yang sesuai dimasukkan daun basil adalah seperti salad, sup, berkeju, atau piza.

Basil segar lebih bagus berbanding yang dikeringkan. Masakan yang ditambah daun basil memberi lebih kesegaran kepada masakan tersebut.

Jika anda penggemar daun basil, bolehlah tanam sepokok di rumah. Dari segi kesihatan pula, basil mengandungi sifat anti-bakteria.

2. Oregano

GAMBAR: 1CENT1LIFE

Turut dikenali sebagai ‘wild marjoram’, oregano merupakan salah satu bahan penting dalam kebanyakan hidangan Itali seperti piza, sos dan kaserol. Berbanding herba lain yang lebih baik digunakan segar, oregano pula memberi lebih rasa jika menggunakan dalam bentuk dikeringkan.

Ia mengandungi kandungan omega-3 yang tinggi, di samping zat besi, mangan dan antioksidan lain menjadikan oregano salah satu herba yang memberi kesan positif kepada kesihatan tubuh. Minyak pati oregano pula digunakan sebagai antioksidan.

3. Parsli

Bukan sekadar sebagai hiasan hidangan, tetapi juga memberi rasa yang berbeza pada hidangan. Ia sesuai digunakan dalam hidangan makanan laut, sos sayur, hidangan pasta dengan sos atau sup.

Cincang halus sebatang parsli, masukkan ke dalam telur dan digoreng hancur. Boleh beri rasa berbeza dan mudah pula!

4. Rosemary

GAMBAR: MNN

Rosemary memberikan rasa ‘lada’ dan sedikit berkayu. Ia sesuai dimasukkan ke dalam hidangan kambing, sayur panggang, sup dan stew.

Namun, hati-hati dengan kuantiti yang digunakan, kerana herba ini walaupun menggunakan sedikit sahaja, sudah cukup untuk memberikan rasa yang kuat. Penggunaan rosemary yang berlebihan boleh menjejaskan rasa pada masakan.

Masukkan rosemary ke dalam stok atau stew, atau taburkannya ke dalam perapan ayam gril untuk aroma dan rasa yang lebih menyelerakan.

5. Sage

GAMBAR: SECRETLY HEALTHY

Perkataan ‘sage’ berasal daripada perkataan Latin yang bermaksud ‘kesihatan’. Ia bersifat anti radang dan membantu pencernaan tubuh.

Dari segi penggunaannya pula, hidangan pasta seperti gnocchi dan risotto, daging panggang atau sup lebih enak dengan menambahkan sedikit herba sage ini.

Selain itu, ia juga sesuai digunakan dalam hidangan yang mengandungi hati dan daging.

6. Bay

GAMBAR: SAVORY SPICE SHOP

Lazimnya daun bay digunakan ke dalam hidangan sup, sos atau stew. Perasakan daging, makanan laut, jeruk atau sayur dengan daun bay untuk nikmati rasa yang berbeza.

Dari segi kesihatan pula, herba ini mengandungi vitamin A dan C, asid folik, potasium, kalsium dan zat besi.

7. Thyme

Thyme begitu serasi jika ditambah pada saat akhir masakan berasaskan telur, sayur-sayuran dan juga produk berasaskan kacang soya. Ia juga wangi. Thyme turut dimasukkan ke dalam bouquet garni (macam sup bunjut tu) untuk memperisakan stok, sup, dan stew.

Dari segi kebaikannya pula, thyme sudah lama digunakan dalam perubatan untuk membantu mengatasi masalah pernafasan dan dada seperti batuk, bronchitis dan dada rasa sesak.

kredit artikel: Blog Vocket

KALENDAR ALAF 21
KATEGORI BUKU

NEWSLETTER

Sebarang pertanyaan/jemputan, sila emelkan ke [email protected]