SENARAI IKAN YANG BOLEH DIMAKAN KETIKA BERPANTANG




Resipi makanan ketika berpantang selepas melahirkan si comel adalah perkara yang perlu dititikberat oleh para ibu terutama kepada yang baru saja melalui fasa ini.

Biasanya makanan yang selalu diberi atau dimasak buat wanita yang sedang berpantang adalah ikan. Tapi hati-hati, bukan semua ikan boleh dimakan ya. Silap pilih ikan nanti boleh terkena alahan pula.

Kali ini Donna akan kongsikan beberapa jenis ikan dan menu masakan khas buat para ibu yang berpantang. Lepas ini tidaklah rasa bosan bila melalui tempoh berpantang, ihiks!

Ikan Haruan

Ikan haruan sangat popular untuk dijadikan pilihan sajian sepanjang tempoh berpantang. Malah, ikan haruan dipercayai mempunyai khasiat dan zat dalam membantu menyembuhkan luka dalaman serta luaran.

Rasa isinya sedap seperti lemak-lemak manis. Antara menu yang boleh dimasak adalah sup ikan haruan atau ikan haruan bakar. Jangan sesekali menggoreng!

Jenahak

Ikan Jenahak hidup di paya bakau, muara dan air tawar. Ikan ini agak sukar untuk didapati jadi, ia agak mahal berbanding ikan yang lain. Antara menu hidangan ketika berpantang adalah sup ikan.

Ikan Tenggiri

Ikan Tenggiri khasiatnya adalah untuk memberi tenaga dan memberi zat kepada ibu yang menyusukan si manja. Antara menu untuk hidangan ini adalah singgang ikan tenggiri.

Ikan Kerisi

Ikan kerisi khasiatnya adalah untuk menyembuhkan luka dalam tetapi, tidak sehebat ikan haruan di mana kesannya hanya sekejap saja. Tapi, kalau makan ikan haruan hari-hari pun boleh jemu kan? Anda boleh tukar menu hidangan kepada ikan kerisi pula.

Ikan Selar

Isi ikan selar rasanya manis, ia sangat sesuai untuk ibu berpantang. Walau bagaimanapun, ikan selar mempunyai dua jenis iaitu ikan selar kuning dan ikan selar yang tiada garisan kuning pada badannya.

Yang boleh dimakan adalah ikan selar yang tidak mempunyai garisan kuning pada badannya. Ikan selar kuning, tak boleh makan kerana akan memberi bisa pada badan yang mempunyai luka dalaman.

Antara menu yang boleh dimasak adalah ikan selar bakar. Tak perlu goreng kerana takut memberi kesan buruk kepada luka si ibu.

Ikan Merah

Ikan merah lebih kurang seperti ikan kerisi. Tetapi, yang membezakan dua jenis ikan ini adalah harganya kerana ikan merah lebih mahal kerana saiz dan sukar untuk didapati.

Antara menu yang boleh dimasak adalah stim atau sup ikan merah. Dalam hidangan, anda perlulah masukkan halia lebih sedikit untuk zat lebih dalam badan.

Senangin

Ikan senangin sama saja seperti ikan selar. Para ibu boleh meminta suami membakar ikan senangin untuk dimakan ketika berpantang. Kalau nak berkuah, mungkin boleh masak singgang.

Itulah beberapa jenis ikan yang boleh dimakan ketika berpantang. Tetapi, perlu diingatkan lain orang lain penerimaannya. Sebaiknya, makan dulu sikit. Kalau okay tak ada gatal-gatal pada luka atau tiada alahan, teruskan makan. Selamat berpantang!

Kredit: Blod Donna


KATEGORI BUKU
Sebarang pertanyaan/jemputan, sila emelkan ke [email protected]