MINAT CETUS KEJAYAAN


Kombinasi usaha dan minat mampu mencipta kejayaan. Apatah lagi jika ia ditambah dengan ilmu, pastinya kejayaan dapat dikecapi dalam apa juga bidang kerjaya yang diceburi.

Gabungan tiga elemen inilah yang meletakkan wanita dari Batu Pahat, Johor ini pada kedudukan selesa dalam bidang solekan dan seni walaupun asalnya kerjaya ini dilakukan untuk menambah pendapatan saja.

Dia tidak menyangka usahanya itu membuahkan hasil dan mampu memiliki perniagaan sendiri dalam bidang yang diminati itu apabila solekannya mula diterima ramai. Dari situ perkhidmatannya berkembang kepada pakej perkahwinan dan rawatan badan.

Penerimaan baik dan sambutan menggalakkan itulah yang menyemarakkan semangat wanita berusia 42 tahun ini untuk mendalami bidang berkenaan daripada guru yang mahir. Jika tidak mengorak langkah awal, pastinya kejayaan yang dikecapi hari ini tidak mampu dimiliki dan itulah juga yang terjadi dalam kehidupan Rahayu Ramli.

Ketika usianya awal 20-an, Rahayu sudahpun berjinak-jinak dalam bidang solekan. Ia bermula dengan cubaan menyolek rakan pejabatnya untuk majlis pertunangan dan makan malam.

“Waktu itu, saya masih bekerja sebagai kerani. Bermula umur 25 tahun, saya mula ambil kursus solekan dan kecantikan secara separuh masa.

“Selepas tamat belajar, saya beranikan diri untuk menawarkan pakej kecantikan, solekan dan perkahwinan. Saya bersyukur kerana setiap minggu rezeki yang diterima tidak pernah putus, ada saja yang menempah khidmat saya.

“Pada usia awal 30-an saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan memberi tumpuan penuh pada perniagaan. Bermula daripada merawat wajah dan badan bakal pengantin, memasang pelamin hinggalah menyolek pada hari perkahwinan pelanggan, semuanya disediakan,” ujarnya.

Usahanya yang bermula dari bawah itu membuahkan hasil apabila Pengarah Urusan MR Studio & Academy dan Sureanggun Beauty House itu diiktiraf sebagai pakar industri (kecantikan) daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran selain memiliki sijil pegawai latihan vokasional (VTO).

Sejak lapan tahun lalu hingga ke hari ini, Rahayu memberi tumpuan terhadap kerjayanya sebagai tenaga pengajar kemahiran di samping masih menawarkan khidmat solekan, menguruskan akademi serta salun dan spa miliknya di Batu Pahat, Johor.

“Saya bersyukur dan gembira kerana ditemukan dengan pelanggan yang dianggap kawan hingga ke hari ini. Namun di sebalik kemanisan itu, ada juga cabarannya.

“Contohnya pada awal pembabitan dulu, saya alami kesukaran mendapatkan lesen kerana lokasi yang dipilih tidak bersesuaian untuk perniagaan kecantikan.

“Namun, saya terus bersabar dan akur dengan peraturan dikenakan di samping memikirkan penyelesaian terbaik,” katanya.

Dia bersyukur kerana ibu, suami dan dua anaknya menjadi penguat semangat selain sentiasa memberi sokongan untuk terus kekal berkhidmat dalam bidang berkenaan.

Baginya, bidang kecantikan mempunyai potensi tinggi dan sentiasa diperlukan terutama dalam kalangan wanita yang mementingkan penjagaan diri.

Ia bukan saja membabitkan penampilan harian, malah diperlukan untuk majlis perkahwinan, kesihatan diri selepas bersalin, penjagaan kulit serta tubuh agar sentiasa segar dan sihat walaupun dimamah usia.

“Justeru, setiap pengusaha spa atau salun kecantikan perlu ada sijil walaupun daripada syarikat swasta, tapi sebaiknya ia diiktiraf seperti Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), GiatMara dan Kolej Komuniti.

“Untuk kekal dalam bidang ini, ia memerlukan kesungguhan, keberanian, ketabahan (tidak mudah berputus asa) dan elak daripada memberikan banyak alasan. Ini kerana alasan negatif adalah punca utama yang menghalang kita daripada meraih kejayaan dalam apa juga bidang diceburi,” katanya.

 

Kredit artikel: Harian Metro Online

KALENDAR ALAF 21
KATEGORI BUKU
Buku terlaris

Novel
KRAF
UMUM
RESEPI
Sebarang pertanyaan/jemputan, sila emelkan ke [email protected]