BURASAK BUKAN SEKADAR JUADAH PERAYAAN




PONTIAN 20 Julai – Permintaan tinggi terhadap Burasak tidak kira dalam sambutan Hari Raya Aidilfitri atau Aidiladha adalah antara faktor Raja Shamsul Bahrin dan Noreenherlina Nordin mengusahakan juadah tersebut.

Malah dengan tema ‘Hari Hari, Hari Raya’, syarikat Bugis Delight di Pekan Nanas, di sini yang diusahakan pasangan suami isteri itu berusaha untuk menjadikan makanan tradisional masyarakat Bugis tersebut sebagai hidangan di luar musim perayaan menerusi jenama ‘Burasak Induk’.

Menurut Raja Shamsul, sejak dimulakan sebelum musim pera­yaan tahun lalu, resepi burasak yang merupakan warisan keluarganya itu mendapat permintaan yang tinggi termasuk daripada pe­langgan berketurunan Bugis yang berada di negeri lain.

“Burasak tradisional biasanya memakan masa lapan jam untuk dimasak namun dengan adanya teknologi seperti periuk tekanan tempoh itu dapat disingkatkan kepada empat jam. Malah kami hanya menggunakan daun pisang nipah sebagai keunikan tradisi dalam Burasak Induk.

“Selain penghasilan burasak untuk pasaran tempatan dan dihantar ke negeri lain, kami juga membuka Burasak Induk Cafe berhampiran Balai Bomba Pekan Nanas untuk mereka yang mahu menikmati juadah itu setiap hari,” katanya ketika ditemui, di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Noreenherlina berkata, selain asam pedas ikan parang yang merupakan hidangan wajib kepada burasak, Bugis Deligt turut menyediakan pilihan seperti ayam masak Bugis dan rendang daging kepada pelanggannya.

Ujarnya, idea perusahaan makanan tradisional Bugis itu timbul setelah ibunya mencadangkan perniagaan tersebut memandang­kan permintaan terhadapnya adalah tinggi terutama di musim perayaan.

Tambah Noreenherlina, mereka yang berminat untuk mencuba sendiri Burasak Induk boleh meng­hubungi Bugis Delight di talian 019-7816566 dan 019-7626556 sama ada untuk penghantaran sekitar Johor Bahru dan Pasir Gudang atau tempahan untuk di luar Johor.
 

Kredit artikel: Utusan online


KATEGORI BUKU
Sebarang pertanyaan/jemputan, sila emelkan ke [email protected]