MERAIH CINTA DI BULAN RAMADAN


Berbicara tentang cinta di bulan Ramadan, apa yang terfikir di dalam kepala kita adalah bagaimana cara untuk meraih cinta ALLAH. Bersyukur kepada ALLAH SWT kerana memberi kesempatan untuk kita mengumpulkan sebanyak mungkin pahala di bulan yang penuh rahmat dan keampunan ini. Jadi, sangat rugi jika kita biarkan masa berlalu begitu sahaja tanpa melakukan ibadah.

Namun sayang, masih ramai yang tidak tahu caranya untuk meraih cinta di bulan Ramadan ini. Ada yang puasa semata-mata ingin menurunkan berat badan. Rela menahan lapar dan dahaga, tapi kata-katanya sering menyakiti hati, menceritakan keburukan orang lain, bahkan ada yang malas melakukan pekerjaan dan lebih suka menghabiskan masa dengan tidur.

Itu sebabnya, Rasulullah SAW bersabda: “Betapa banyak orang yang berpuasa, tapi mereka tidak mendapatkan apa-apa daripada puasanya itu kecuali lapar dan dahaga.(H.R. Ahmad)

Jadi, jika kita ingin meraih cinta ALLAH di bulan Ramadan ini, kita harus tahu sesuatu yang membuatkan ALLAH cinta kepada kita. Antaranya, melakukan semua yang diperintahkan oleh ALLAH SWT kepada kita seperti solat, zakat, puasa dan memperbanyakkan amalan sunat lainnya seperti solat sunat, berzikir, membantu orang dan menjauhi segala larangan-NYA.

Dalam sebuah hadis disebutkan bahawa ALLAH akan membukakan pintu-pintu Syurga dan menutup pintu Neraka. Maksudnya, ALLAH memberi kesempatan kepada kita untuk berbuat lebih banyak kebaikan demi mengumpulkan pahala.

Sabda Rasulullah SAW: “Apabila tiba bulan Ramadan, dibuka pintu-pintu Syurga dan ditutup pintu-pintu Neraka serta syaitan-syaitan dibelenggu.” (H.R. Bukhari dan Muslim)

Oleh kerana itu, jika kita ingin mendapatkan pahala di bulan Ramadan kerana cintanya kita kepada ALLAH SWT, kita harus meraihnya dengan melaksanakan segala aturan yang sudah diperintahkan oleh ALLAH dan Rasul-NYA.


Sumber: http://www.dakwatuna.com/2012/07/27/21905/meraih-cinta-di-bulan-ramadhan/#ixzz5nx9QgpYL 

 

KALENDAR ALAF 21
KATEGORI BUKU
Sebarang pertanyaan/jemputan, sila emelkan ke [email protected]