AZAM JADI KAYA TAK SIA-SIA




Menyandang jawatan sebagai ketua jabatan di syarikat teknologi maklumat terkemuka, wanita ini sepatutnya sudah boleh berpuas hati dengan apa yang dimilikinya. Namun pada usia 42 tahun, Datuk Jahlilawati Abu Bakar, merasakan dia belum mencapai tingkat kejayaan yang boleh dibanggakan walaupun pernah menerima anugerah kecemerlangan dalam syarikat dan menjadi wanita pertama menjawat jawatan itu.

“Ketika kerjaya berada di puncak saya mendapati tiada apa yang boleh dibanggakan. Walaupun ketika itu pendapatan sudah mencecah belasan ribu. Memang benar saya mampu memiliki apa yang diinginkan, namun dari sudut lain bukan itu yang saya mahukan,” katanya jujur ketika ditemui di pejabatnya yang terletak di Bandar Kinrara.

Ketika masih bekerja dia terfikir perlu mengubah diri untuk menjadi lebih kaya supaya dapat membantu ramai orang. Namun impian itu sukar dicapai jika terus bekerja makan gaji. Minat membaca menyebabkan Jahlilawati mencari pelbagai jenis bahan bacaan berkaitan bisnes. Daripada situ dia mendapati berniaga (menjual produk), dia memerlukan modal dan teknik yang betul.

“Walaupun saya mampu mengeluarkan modal sendiri tetapi saya tidak sanggup mengambil risiko. Perniagaan pemasaran rangkaian saja tidak memerlukan modal yang banyak tetapi mendapat pulangan yang tinggi,” katanya.

Secara tidak sengaja Jahlilawati menghadiri satu taklimat program pendidikan bertujuan melanggan untuk anak-anaknya. Dia amat teruja apabila mengetahui individu yang membuat perkongsian kejayaan itu adalah seorang pengawal keselamatan dan kerani tetapi pendapatan mereka mencecah RM25,000 sebulan walaupun tidak sampai setahun melakukannya.

“Mendengar cerita pengawal keselamatan itu membuatkan saya rasa tercabar. Tanpa ijazah mereka mampu mendapat gaji melebihi pendapatan saya yang bekerja selama 20 tahun. Saya mulai sedar selama ini dengan berniaga membolehkan saya mendapat pendapatan lumayan. Jika dulu saya menolak untuk berniaga kerana merasakan ia susah tetapi menerusi perkongsian daripada pengawal keselamatan itu menyebabkan fikiran saya berubah,” katanya.

Selepas menghadiri satu seminar keusahawanan, semangatnya bagaikan dibakar untuk menceburi bidang perniagaan. Dia nekad berhenti kerja dan menumpukan perhatian kepada perniagaan berasaskan pemasaran rangkaian. Namun rasa malu yang masih menebal untuk berjumpa prospek menyebabkan dia tidak mendapat keuntungan pada bulan pertama.

Tetapi memasuki bulan kedua Jahlilawati mula resah kerana dia memerlukan pendapatan sendiri untuk membayar sewa rumah, kereta dan pembiayaan yang lain.

“Mahu atau tidak saya perlu buang rasa malu dan bertemu orang ramai untuk menerangkan mengenai produk. Alhamdulillah, saya mendapat mentor yang tepat dan mereka banyak memberikan tunjuk ajar kepada saya.

“Apa saja yang diajar, saya lakukan bersungguh-sungguh. Saya konsisten mengatur strategi. Tambahan pula pengalaman sebagai ketua jabatan banyak membantu untuk berkomunikasi dengan pelanggan. Keyakinan ketika berbual menyebabkan ramai individu daripada golongan profesional seperti doktor, peguam dan jurutera menyertainya,” katanya.

Hasil usaha yang gigih dan konsisten, Jahlilawati berjaya mencapai status jutawan wanita pertama dan terpantas dalam masa hanya tujuh bulan dan mengumpul RM1 juta dalam masa 13 bulan.

Empat tahun selepas itu, wanita ini tertarik dengan perniagaan membabitkan telekomunikasi kerana merasakan pasarannya lebih luas berbanding pendidikan. Mempunyai strategi tersendiri, dia menggunakan pendekatan yang sama sehingga mencapai tahap jutawan selepas setahun menceburinya.

Ujar Jahlilawati usaha keras yang dilakukan bukanlah untuk diri sendiri sebaliknya dia banyak membantu mereka yang ingin berniaga dengan menunjukkan cara-caranya. Malah ramai jutawan lahir daripada program Jahlilawati.

“Saya gembira melihat orang lain berjaya. Walaupun dulunya matlamat saya untuk menjadi jutawan tetapi selepas melihat lebih ramai individu yang boleh dibantu menyebabkan saya lebih bersemangat mengubah masa depan mereka. Saya bukan setakat membawa mereka menyertai bisnes tetapi menunjukkan cara yang betul sehingga berjaya,” katanya.

Beri latihan keusahawanan

Sikapnya yang peramah, mudah didekati dan mempunyai bakat sebagai ketua membuatkan Jahlilawati menubuhkan Akademi Bisnesjaya yang memberi tumpuan kepada kursus dan latihan bagi memantapkan jati diri sebagai usahawan. Pengalaman sepanjang lapan tahun menceburi perniagaan pemasaran digunakan sepenuhnya untuk berkongsi dengan individu lain.

“Akademi Bisnesjaya adalah tempat melahirkan lebih ramai jutawan. Perniagaan bukan hanya berasaskan modal tetapi memilih mentor yang dapat membantu mencapai impian dengan cepat dan mudah,” katanya.

Tambahnya lagi kursus dan bimbingan Bisnesjaya bukan hanya diberikan kepada mereka yang sudah mempunyai produk tetapi individu yang masih tiada hala tuju dalam bisnes. Dia lebih bersemangat mengubah nasib orang lain kerana dilahirkan dalam keluarga susah dan tinggal di rumah setinggan.

“Sebenarnya inilah yang mendorong saya untuk menjadi lebih baik. Sejak berusia 12 hingga 30 tahun saya menetap di rumah setinggan, namun semua ini menjadi kenangan paling berharga kerana ia menyuntik semangat untuk berusaha dalam kerjaya dan kehidupan,” ujarnya.

Ditanya apakah yang menyebabkan dia boleh mencipta kejayaan dalam apa juga perkara dilakukan, sambil tersenyum Jahlilawati memberitahu sikapnya yang mudah diajar dan menerima pelajaran menyebabkan dia menjadi seperti hari ini.

Namun yang lebih banyak membantu adalah pengalaman sebagai jurulatih, analisis program, sistem analisis kanan, pengurus projek dan jawatan terakhir sebagai ketua jabatan yang membentuk jati diri, disiplin, komunikasi dan cara membuat keputusan.

“Sepanjang 20 tahun saya banyak terbabit dalam projek negara. Ini menyebabkan saya menjadi sangat komited membangunkan program yang diberikan. Pada masa yang sama saya gemar berbincang dan mudah menerima pendapat orang lain,” katanya yang melahirkan lebih 10 jutawan dan ribuan individu berpendapatan empat, lima dan enam angka sehingga dikenali sebagai Jurulatih Istimewa Bersama Datuk Jah.

Selain masih menjalankan tiga perniagaan berasaskan pemasaran rangkaian, dia juga sudah mengeluarkan produk makanan kesihatan sendiri sebagai usaha jangka panjang bagi memberi lebih nilai kepada peserta kursus yang ingin berniaga pada masa sama membantu golongan yang memerlukan.


KATEGORI BUKU
KATALOG
Lihat senarai penuh produk Alaf21 deskripsi dan harga di sini :
  

If you are unable to view file, you can download from here or download Adobe PDF Reader to view the file.
Sebarang pertanyaan/jemputan, sila emelkan ke [email protected]