PUAS "MAIN" TEPUNG




MEMILIKI kerjaya sebagai akauntan dan kini beralih menjadi pembuat kek sepenuh masa, Izzhani D Isahak, 28, mengakui dia semakin selesa dengan apa yang dilakukannya sekarang. Jika dulu kerjaya akauntan membuatkan wanita ini terpaksa berada di pejabat selama lapan jam, tetapi selepas ‘bermain’ dengan tepung, gula dan mentega, dia sedar ini kepuasan yang dicari selama ini.

Memiliki ijazah perakaunan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Izzhani hanya sempat bekerja dalam bidang ini selama dua tahun. Namun ketika itu dia sudah menjadikan memasak sebagai hobi pada hujung minggu.

“Percaya atau tidak, saya langsung tiada kepakaran memasak. Namun sebagai penggemar manisan terutama kek, saya cuba mengikut panduan buku resipi bagi menghasilkan kek yang sedap. Lama-kelamaan selepas mencuba beberapa kali dan diberikan kepada keluarga, mereka mengakui kek dihasilkan sangat sedap dan menepati cita rasa.

“Pujian ini sudah tentu membuatkan saya teruja dan berbesar hati untuk memperbaiki rasa dalam setiap kek yang dihasil­kan. Ada antara pelang­gan mula membuat tempahan dan menyebarkan mengenai keenakan kek saya kepada orang lain. Di sini perniagaan saya bermula,” katanya

yang datang ke Studio Balai Berita, Kuala Lumpur ditemani suami, baru-baru ini.

Mengambil kursus jangka pendek di Pastry Institute of St Honore, selepas mendalami sepenuhnya seni membuat kek baru dia berani melepaskan jawatan sebagai akauntan. Itu pun selepas dua tahun berkecimpung dalam bidang kewangan.

“Ayah orang pertama bertanya adakah saya tidak menyesal melepaskan jawatan sebagai akauntan. Tetapi saya jelaskan yang bersungguh-sungguh untuk berjaya dalam bidang baru ini. Apatah lagi rasa cinta dan sayang dalam masakan semakin menebal,” ceritanya.

Sebagai pembuat kek, Izzhani bukan hanya mendapat ilmu memasak menerusi seorang guru sebaliknya mula mencari kelas yang menawarkan pengajaran sama. Ini kerana setiap kelas berbeza cara dan pendekatannya.

“Menerusi kelas berbeza saya mendapat pelbagai ilmu yang dapat diaplikasikan ketika menghasilkan manisan ini. Tidak semua teknik saya gunakan, ia bergantung kepada jenis kek yang saya hasilkan. Antara kek yang mendapat perhatian pelanggan adalah kek gula Melaka pandan, kek span, kek mentega serta pelbagai jenis kek membabitkan perisa coklat, beri dan keju,” katanya.

Tidak pernah mengalah untuk mendapatkan rasa yang diinginkan, untuk setiap manisan ini walaupun Izzhani terpaksa membuat berulang kali, dia berpuas hati kerana pada akhirnya dia dapat menghasilkan kek premium yang menjadi sebutan pelanggan.

“Saya pernah membuat lima biji kek yang kemudian terpaksa dibuang dalam tong sampah disebabkan tidak menepati cita rasa. Sedih juga kerana terpaksa membazir untuk mendapatkan rasa sesuai,” katanya yang pernah menangis kerana kek tidak menjadi.

Kata Izzhani, untuk setiap kek dihasilkan dia akan memastikan menepati cita rasa keluarga terutama abang yang menjadi peminat tegar. Selepas itu baru diperkenalkan kepada pelanggan.

Menurutnya, dia percaya untuk mendapatkan kek yang enak perlu disertakan rasa gembira ketika menghasilkannya. Ini kerana emosi yang ceria akan mempengaruhi seni dalam pembuatan, adunan dan rasanya.

“Sebab itu saya akan membuat kek pada waktu pagi supaya keceriaan ini akan mempengaruhi emosi ketika menghias kek. Bagi memastikan kek sentiasa segar untuk hiasan saya hanya menghiasnya sebelum penghantaran,” katanya.

Menerima tempahan kek pada setiap hari namun wanita ini menasihatkan pelanggan supaya membuat tempahan seminggu lebih awal. Ini bagi memastikan dia dapat mengatur jadual supaya semua kek dapat disiapkan mengikut waktunya. Setakat ini dia melakukan seorang diri bermula membeli barang, membuat dan menghias kek.

“Mujur suami turut membantu membeli barang keperluan sekurang-kurangnya bebanan saya dapat dikurangkan. Suami juga pendorong utama dan selalu memberikan kata semangat ketika mula-mula membuat kek. Jika kek kurang sedap dia juga pengkritik utama saya. Alhamdulillah setakat ini suami sangat memahami dan tidak pernah mematahkan semangat saya walaupun saya bermula dari bawah,” katanya.

Guna bahan premium

Menggunakan bahan berkualiti tinggi dan diimport dari luar negara, menurut wanita manis ini, itu kekuatan The Flour Whisperer. Sebab itu biarpun harganya sedikit mahal namun kebanyakan pelanggan berpuas hati dan terus menjadi pelanggan setia.

“Saya sedar dengan ramai pembuat kek dari rumah, persaingan sudah tentu sangat sengit. Tambah pula makanan yang dijual menerusi dalam talian tidak boleh dirasa, hanya melihat menerusi skrin telefon. Sebab itu saya sangat mementingkan rasa dan kualiti kek kerana ini yang akan bertahan. Namun bukan bermakna hiasan tidak penting. Itu perkara kedua, kerana pada akhir­nya kek yang enak itu juga akan diingati,” katanya.

Dia yang turut mempunyai pengalaman manis ketika berkunjung ke Hong Kong memberitahu, pengalaman menikmati sepotong kek ketika berkunjung di sebuah hotel di sana masih diingati sehingga sekarang.

“Kunjungan itu sudah lama berlalu namun keenakan kek yang saya makan itu masih segar dalam ingatan. Saya masih terbayang kenikmatan gigitan pertama kek coklat itu. Ia sangat enak dan menggembirakan saya,” katanya yang inginkan pelanggan merasai pengalaman yang sama ketika menikmati buatan tangan manisannya.

Pada masa akan datang anak kelahiran Kuala Lumpur ini berazam untuk mengembangkan kerjaya kepada guru membuat kek agar lebih ramai mendapat manfaat. Namun begitu bukan dalam masa terdekat kerana dia mengakui dirinya masih bertatih untuk menguasai semua jenis kek.

“Saya tahu kerjaya ini semakin berkembang, semakin ramai wanita tampil menjadi pembuat kek sepenuh masa. Mungkin dengan melebarkan ilmu ia akan memberi manfaat kepada orang lain pula,” katanya mengakhiri perbualan.

 

Kredit artikel : Harian Metro Online


KATEGORI BUKU
Sebarang pertanyaan/jemputan, sila emelkan ke [email protected]