REBUT REZEKI RAMADAN




Ramadan membuka pintu rezeki kepada masyarakat kita untuk menjalankan pelbagai perniagaan.

Sepanjang Ramadan juga permintaan terhadap barangan atau makanan sebagai keperluan berbuka puasa dan persiapan menyambut Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi melonjak naik.

Tempias itu turut menyaksikan sebilangan mahasiswa di institut pengajian tinggi (IPT) di negara ini mengambil peluang berniaga untuk mendapat duit poket.

Bijak merebut peluang, ada sesetengahnya berjaya mengumpul lebih RM3,000 hasil jualan sama ada secara langsung atau dalam talian.

Kebanjiran pelbagai produk yang menerusi perniagaan tanpa mengeluarkan modal atau dropship membolehkan siswa merebut peluang itu.

Dropship adalah kaedah perniagaan yang memerlukan anda menjual produk bagi pihak orang lain. Bahasa lebih mudah adalah anda berfungsi sebagai ‘orang tengah.’

Penuntut Sarjana Muda Sains dan Geomatik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Arau, Perlis, Nada Syifaa Inani Rosli, 23, berkata, sudah dua tahun dia mengambil peluang pada Ramadan untuk menjual biskut raya.

Perniagaan biskut yang diusahakan ibu saudaranya membuka peluang kepada Nada Syifaa Inani untuk menjadi ejen dropship.

Gadis kelahiran Kangar, Perlis ini berkata, dia menerima komisen antara RM5 hingga RM10 bagi sebekas biskut yang berjaya dijual.

“Untuk musim Aidilfitri, biskut raya mendapat permintaan tinggi, lebih 100 balang berjaya saya jual.

“Selalunya universiti akan mula bercuti seminggu sebelum raya, jadi saya ambil pula peluang membantu ibu saudara berniaga bazar di Kangar,” katanya.

Katanya, komisen yang diperoleh akan digunakan sebaik mungkin selain mengutamakan yuran pengajian terlebih dulu.

“Sebahagian pula akan disimpan dan diberikan kepada emak dan ayah untuk mereka gunakan,” katanya yang menjual lebih 10 jenis biskut raya bermula daripada harga RM15 sebekas itu.

Sementara itu, bagi penuntut tahun akhir Linguistik Melayu Universiti Malaya (UM), Mohamad Iqmal Mohamad Noor, 23, dia begitu meminati dunia perniagaan dan mengakui Ramadan membuka peluang rezeki kepadanya.

Katanya, walaupun ia memerlukan masa, sebagai seorang mahasiswa, dia perlu pandai menguruskannya antara pengajian dan perniagaan.

“Sesetengah menganggap berniaga sambil belajar boleh mengganggu prestasi akademi, realitinya tidak. Kelebihannya ada, iaitu kita dapat duit tambahan untuk menanggung kos sara hidup.

“Selain itu, dapat belajar hidup berdikari, menguruskan masa, menimba pengalaman bekerja dan membina rangkaian,” katanya.

Mohamad Iqmal menjual pelbagai barangan, tapi untuk Aidilfitri ini dia menumpukan kepada barangan seperti tudung, baju raya dan produk kecantikan iaitu lulur muka.

“Bagi mendapatkan kepuasan dan keberkesanan, saya membuat lulur muka sendiri yang dinamakan Hadabell Skrub untuk dijual.

“Nak raya, ramai yang cari produk kecantikan. Hasil jualan produk, tudung dan baju raya membantu saya untuk mendapatkan duit poket Ramadan ini,” katanya.

Katanya, setiap produk yang dijual membolehkannya mendapat keuntungan antara RM5 sehingga RM60 bergantung kepada jenis.

Bijak mengambil peluang, Nor Arina Mokhtar, 26, yang sedang mengikuti pengajian Sarjana Sains (Matematik) memasuki tahun ketiga menjalankan perniagaan jus mangga kisar iaitu sepanjang Ramadan ini.

Berbeza dengan tahun sebelum ini, kali ini dia membuka gerai di kolej kediaman bersama rakannya selain turut menjual kek batik.

Memilih untuk menyediakan kek batik sendiri, Nor Arina, berkata lebih 100 bekas kek batik berharga RM5 sebekas terjual setakat ini.

“Bagi mengelakkan badan terlampau penat, saya akan buat kek batik selang sehari iaitu kira-kira 20 bekas.

“Selalunya sebelum sahur, saya luangkan masa siapkan kek batik yang mengambil masa hampir dua jam,” katanya.

Anak jati Kuantan, Pahang ini berkata, dia mempunyai waktu terluang sebelum jam 3 petang, dan masa itu akan diisi dengan menelaah dan menyiapkan tugasan pengajian.

“Selepas jam 3 petang saya akan bergerak keluar menghantar kek batik kepada pelanggan sebelum ke tapak gerai membantu kawan menjual jus mangga pula.

“Setakat ini, rutin harian itu tidak menjejaskan pengajian, kerana di peringkat sarjana kebanyakannya tiada kelas,” katanya.

Kredit Artikel: Harian Metro Online


KATEGORI BUKU
Sebarang pertanyaan/jemputan, sila emelkan ke [email protected]