NILAI KOMERSIAL SENI QUILT




BERHENTI kerja tidak bermakna dia tidak boleh mencari rezeki dengan cara lain. Sering mengingatkan dirinya bahawa akan ada rezeki jika rajin berusaha tidak membuatkan Rohana Saadan, 50, berkeluh-kesah risau tentang pendapatannya.

Pernah bekerja sebagai pegawai di Kontena Nasional Berhad lebih 10 tahun, dia beralih angin ke firma baharu namun hanya mampu bertahan selama setahun setengah.

 

Jemu dengan masalah kesesakan jalan raya dan melakukan perkara yang sama setiap hari, dia mengambil keputusan berhenti kerja.

Namun sebelum berhenti, dia menyiapkan diri dengan mempelajari jahitan quilting (seni jahitan perca) dan tampalan.

“Wang bukan segalanya,” kata Rohana semasa ditemui di Kompleks Kraftangan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Enam bulan Rohana menyertai kelas jahitan quilting di Bangsar. Sememangnya dia suka menjahit dan berasakan bidang itu boleh dilakukan sebagai sumber rezeki setelah berhenti kerja.

“Menjahit adalah minat utama saya. Sejak di sekolah menengah lagi saya sudah pandai menjahit baju kurung. Mungkin bakat menjahit ini diwarisi daripada ibu saya.

“Jika orang kata menjahit susah, tetapi bagi saya ia mudah asalkan seseorang itu berminat dan sanggup belajar,” katanya yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perdagangan dari University of Tasmania, Australia.

Rohana berkata, dia tertarik dengan quilting dan tampalan setelah melihat majalah-majalah kerja tangan Australia yang menunjukkan hasil seni jahitan yang cantik dan boleh dijual.

Selepas habis belajar, Rohana membuka sebuah kedai quilting dikenali sebagai Anna Patchwork House di Sunway Pyramid, Petaling Jaya, Selangor.

Selain menjual hasil jahitan yang telah siap, dia turut menyediakan kelas kepada mereka yang berminat, mengambil tempahan, menjual aksesori dan bahan-bahan quilting.

“Pada masa itu, saya sudah pun mempunyai ramai pelanggan. Saya rasa perlu mencari tempat yang lebih besar dan fleksibel, serta mudah untuk pelanggan datang.

“Tiga tahun saya membuka kedai di sini. Ramai yang menyukai jahitan quilting lebih-lebih lagi pelancong asing seperti dari Afrika, United Kingdom, New Zealand dan Asia Barat.

“Mereka sangat menghargai quilting kerana mengetahui seni ini cukup unik dan dibuat tangan dengan penuh teliti. Walaupun harga produk yang dijual tinggi, mereka akan membeli kerana mengetahui nilainya.

“Saya banyak membuat beg, sarung kusyen, cadar, set alas tidur bayi dan sebagainya. Mereka akan membeli untuk dibawa pulang ke negara masing-masing. Seorang pelancong Amerika Syarikat mempamerkan hasil quilting saya di kedainya di Houston dan mengirimkan gambarnya pada saya,” ujar Rohana gembira.

Bagaimanapun atas beberapa masalah, dia menutup kedainya di Sunway Pyramid dan membuka sebuah kedai quilting di Ara Damansara, tetapi masih menyediakan perkhidmatan yang sama.

Rohana mengakui hasil daripada jualan quilting agak lumayan, walaupun kadangkala mengambil masa beberapa hari bagi menyiapkan sesuatu jahitan.

Tempoh masa jahitan juga bergantung kepada saiz produk yang hendak dijahit.

Dalam sehari, dia boleh menyiapkan dua helai kusyen yang boleh dijual pada harga di antara RM80 hingga RM100 sehelai. Sementara bagi sehelai cadar bersaiz King boleh dijual pada harga sehingga RM3,500.

Dia menambah, kaum wanita sama ada yang bekerja atau suri rumah juga boleh mempelajari quilting dan menjadikan hobi ini sebagai pendapatan.

Mungkin pada permulaan terasa sukar, namun apabila dilakukan setiap hari, akan berasa seronok.

“Tidak rugi jika kita belajar menjahit quilting ini atau apa juga kemahiran yang boleh mendatangkan pendapatan.

“Saya juga mahu menyarankan pelajar sekolah yang masih menunggu keputusan peperiksaan supaya belajar menjahit. Jika berminat, lebih mudah namun jika tidak, minat itu boleh dipupuk.

“Serlahkan kreativiti anda. Buat yang kecil-kecil dahulu seperti produk cenderamata, bekas syiling, beg mekap, bekas pensel dan sebagainya. Produk-produk seperti ini lebih mudah dijual.

“Setelah itu buat rangkaian niaga. Penting ada rangkaian niaga kerana boleh bertukar-tukar maklumat dan peluang yang ada. Saya juga mengajar wanita di Perumahan Rakyat Lembah Subang bagi memberi kemahiran kepada mereka.

“Pendapatan yang diperoleh mungkin tidak sama dengan gaji tetap, tetapi setidak-tidaknya mereka masih mempunyai wang sendiri,” katanya yang berdaftar dengan Kraftangan Malaysia sebagai usahawan dan pemenang tempat kedua Pitching Session pada acara Wanita Kreatif Fest 2016 baru-baru ini.- Gambar AMIR KHALID



Kredit artikel: Utusan Online


KATEGORI BUKU
Sebarang pertanyaan/jemputan, sila emelkan ke [email protected]