TAK PUAS BELI DI KEDAI




Ibu bapa dulu sangat menitikberatkan setiap anak perempuan mempunyai kemahiran memasak dan menjahit. Bahkan jika ingin mengahwinkan anak lelaki, kebiasaannya ibu bapa akan melihat terlebih dulu sama ada bakal menantu mereka pandai memasak dan menjahit sebelum calon pilihan 'lulus' untuk dijadikan ahli keluarga.

Namun kini, dua kemahiran itu sudah ditolak ketepi. Jika ada, ia dianggap satu bonus. Namun ada sebabnya mengapa ibu bapa dulu memastikan anak mereka memiliki kemahiran ini sebagai persediaan menjadi isteri dan ibu.

Kemahiran menjahit banyak kebaikannya bukan saja pada diri sendiri dan ahli keluarga malah ia mampu menambah pendapatan sampingan untuk membantu suami.

Pun begitu, untuk memiliki kemahiran ini perlu ada minat. Jika tidak minat, berilah mesin jahit mahal pun belum tentu ia akan digunakan kerana ramai yang menganggap kerja menjahit ini rumit.

Namun, bagi yang meminati dunia jahitan, mereka sanggup bersengkang mata bagi mendapatkan ilmu walaupun perlu meredah jarak yang jauh untuk mengikuti kelas atau bengkel berkaitan.

Bukan hanya wanita bergelar suri rumah saja, malah ada juga individu yang memiliki kerjaya tetap masih bersedia mengorbankan waktu rehat semata-mata untuk belajar menjahit atau menyiapkan tempahan.

Jamilah Said, 43, contohnya juga mengaku dia tidak pandai menjahit. Namun dia tidak mahu terus hidup dalam 'kekurangan' itu lantas cuba belajar sendiri dengan melihat tutorial melalui Internet terutama di laman Youtube bagi memahami teknik menjahit.

Hasilnya, lahirlah pelbagai rekaan beg kain yang comel. Beg tote bersaiz besar dengan rekaan biasa adalah hasil kreativitinya yang pertama sebelum ia diubah berulang kali menjadi koleksi yang menarik dan unik.

"Saya akui tidak berputus asa untuk mencuba. Saya mengambil masa selama setahun memperbaiki kekemasan jahitan sebelum benar-benar yakin untuk menerima tempahan atau mengadakan kelas.

"Sebelum ini saya menerima tempahan menjahit baju secara sambilan memandangkan masih bekerja ketika itu. Namun, saya dapat rasakan banyak halangan yang perlu dihadapi ketika menyiapkan tempahan pakaian," kata­nya.

Tambahnya, jahitan beg dan pakaian sangat berbeza. Jahitan pakaian sangat teliti kerana perlu mengikut ukuran badan yang betul supaya tidak berlaku sebarang kesilapan selepas ia siap dijahit sekali gus menyebabkan pelanggan tidak berpuas hati.

Pada masa sama, dia turut mengembangkan kemahiran dimiliki dengan mencuba menjahit telekung dan barangan kraf lain seperti beg.

Tambahnya, jahitan beg membuatkan dia boleh mengembangkan idea dan kreativiti kerana dapat mencuba pelbagai bentuk, rekaan dan corak untuk menghasilkan rekaan yang menarik.

Menariknya, semua ilmu jahitan itu dipelajari sendiri melalui Internet. Walaupun percubaan pertama menjahit beg berjaya, dia kurang berpuas hati kerana kekemasannya masih belum sempurna.

Jamilah membuat percubaan berulang kali dan beg yang dibuat akan dipakai sendiri atau diberikan kepada saudara dan rakan untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai beg ciptaannya itu.

Dia tidak menafikan bahawa bidang jahitan untuk semua kategori mempunyai perbezaan dan kesukaran tersendiri. Baginya, kesukaran yang dimaksudkan ialah untuk mendapatkan kesempurnaan pada rekaan yang dihasilkan.

"Dulu, saya pernah belajar menjahit secara asas di luar waktu sekolah ketika berusia 15 tahun. Kemudian, selepas berhenti kerja saya jadikan kemahiran menjahit ini sebagai satu alternatif untuk menjana pendapatan memandangkan anak-anak masih bersekolah.

"Saya tidak menyesal berhenti kerja malah bersyukur kerana kemahiran menjahit ini menambah rezeki. Malah dengan berhenti kerja saya berpeluang memahirkan diri dengan jahitan beg.

"Selain mengajar di beng­kel atau kelas jahitan yang diadakan di rumah persatuan Jenaris, Kajang, saya juga ada membuat beg sedia dipakai manakala akan menerima tempahan jika mempunyai waktu terluang. Semua koleksi ini akan dimuat naik ke dalam blog," katanya.

Tambah Jamilah yang mempunyai Ijazah Pentadbiran Awam dari Universiti Utara Malaysia (UUM) ini lagi, setiap hari dia akan cuba menyiapkan sekurang-kurangnya satu beg.

Setiap beg yang dihasilkan akan menggunakan corak dan fabrik terkini serta berlainan untuk dimuat naik ke laman blog miliknya sebagai entri baru agar pembaca mendapat idea menarik saban hari.

Dua koleksi beg akan dihasilkan menggunakan fabrik sama agar tampak eksklusif. Kebanyakan pelanggan memberikan maklum balas positif dengan hasil kreativitinya dan rata-rata mengakui jahitannya kemas.

Ada juga yang mengakui beg ciptaan Jamilah sedikit berlainan kerana mempunyai corak atau reka bentuk tersendiri iaitu lipatan untuk menjadikan koleksinya lebih menarik.

Kebiasaannya, dia memilih untuk menggunakan fabrik linen dan kapas. Kain linen mampu menjadikan beg tampak eksklusif kerana material yang cantik dan tebal. Selain itu, coraknya juga kelihatan menarik dan warnanya ditampilkan adalah semula jadi.

Berbeza dengan kain kapas, walaupun ia sedikit nipis berbanding fabrik linen namun keistimewaannya ialah dari segi corak dan warna yang lebih istimewa dan santai.

Baginya, antara beg yang mudah disiapkan dalam masa 15 minit ialah beg untuk mengisi barang ketika membeli belah. Manakala beg tote pula agak rumit kerana memerlukan banyak lapisan dan poket.

Lima tahun serius dalam jahitan beg dan pada masa sama aktif mengemas kini blok miliknya, http://sewcraftlover71.blogspot.com, Jamilah juga berkongsi beberapa panduan menarik di dalam penjagaan beg fabrik ini.

Bukan hanya koleksi beg daripada SC Lover Collection saja, malah semua beg fabrik boleh dibasuh jika kotor atau menggunakan cucian kering untuk membersihkannya.

Beg fabrik juga jauh lebih tahan daripada kebanyakan beg yang menggunakan material berlainan seperti PU. Namun, kelemahannya adalah beg berkenaan tidak kalis air.

Mewarisi kemahiran ibu

Zaharatun Fauziah Abdol Wahed, 29, mula terbabit dalam bidang jahitan sejak di bangku sekolah lagi. Di saat kanak-kanak lain sibuk bergaya dengan pakaian yang dibeli, dia sudah pandai menjahit baju kurung dan tudung sekolah sendiri.

"Saya belajar menjahit dengan emak dan kebetulan adik beradik emak ramai yang pakar dalam bidang ini. Jadi sejak kecil saya sudah biasa dengan jarum, gunting dan mesin jahit.

"Namun, saya mula berminat menjahit beg sejak menjadi ahli kumpulan jahit beg dan kraf di laman sosial. Ia bermula dengan koleksi yang kecil seperti beg syiling, beg genggam dan bekas pensil.

"Selepas benar-benar yakin dan berpuas hati dengan hasilnya, saya mencuba pula dengan rekaan beg bersaiz besar seperti beg silang dan sandang," katanya.

Ujarnya, di sebalik kejayaannya membuat beg sendiri, suami juga sentiasa memberi galakan sehingga beg kerjanya dijahit sendiri Zaharatun Fauziah.

Dia akui memang peminat beg tegar dan sering membeli koleksi yang dilihat menarik. Malangnya, kebanyakan beg yang dibeli dengan corak menarik itu cepat rosak terutama di bahagian zip.

Bukan itu saja, dia juga sering memerhatikan beg sekolah yang digunakan adik dan anak saudaranya mudah koyak hinggakan ibu bapa mereka terpaksa menggantikan dengan beg yang baru.

"Sedar mengenai kekecewaan yang dilihat di depan mata, ia membuatkan semangat saya membara untuk menjahit beg sendiri. Kini, saya gembira kerana boleh menjahit beg mengikut kemahuan dan kreativiti sendiri.

"Lebih istimewa apabila saya boleh menjahit satu set beg seperti beg sandang, beg bekal, bekas pensil dan beg syiling menggunakan fabrik sama untuk tampil senada hingga membuatkan saya berasa teruja," katanya.

Tambahnya, semua teknik menjahit beg dipelajari sendiri melalui Internet dan laman sosial iaitu daripada kumpulan jahit beg di Facebook.

Baginya, ada kesukaran tersendiri menjahit beg berbanding pakaian. Kesukaran menjahit beg adalah ketika memasang zip iaitu di bahagian bukaan beg dan poketnya.

Namun, jika sentiasa mencuba berulang kali pasti perkara yang sukar menjadi mudah. Uniknya rekaan beg dihasilkan menggunakan fabrik kapas keras kerana ia tebal dan mudah dijahit atau dibentuk tanpa perlu digosok dengan seterika.

Pada masa sama, dia turut menggunakan fabrik PVC yang tebal dan kalis air di bahagian luar beg agar ia lebih lasak serta tahan lama. Bagi menjaga kualitinya, dia menggunakan fabrik yang terbaik selain mempunyai corak serta warna menarik untuk semua rekaan beg yang mengikut kehendak pelanggan.

Semua rekaan beg Amsyarhanafi Collection itu boleh dilihat menerusi https://www.facebook.com/pages/Amsyarhanafi-Collections.

Sekadar hobi

Azian Mohmad Azman, 34, mula berkecimpung di dalam bidang jahitan sejak Oktober 2013. Mulanya, ia dilakukan sekadar suka-suka memandangkan dia ada pekerjaan tetap.

"Aktiviti menjahit ini hanya dilakukan apabila ada kelapangan iaitu selepas waktu pejabat. Saya meminati jahitan beg ini kerana ia unik, memerlukan ketelitian dan mencabar kreativiti si penjahit.

"Apabila kita dapat menyiapkan hasil kraf yang unik, cantik dan kemas ia memberi kepuasan serta istimewa kerana mampu membuat sendiri aksesori yang diguna.

"Hasil kraf jahitan sendiri tidak mungkin sama seperti kebanyakan beg yang dijual di pasaran kerana kita yang menentukan rupa bentuknya, perincian dan kombinasi warna mengikut kreativiti," katanya.

Tambahnya, sebelum ini dia tidak pernah mempunyai pengalaman pahit dengan koleksi beg yang dibeli kerana lebih berminat untuk menjahitnya sendiri.

Azian mahir menghasilkan pelbagai jenis beg daripada saiz besar hingga yang kecil. Antaranya beg galas, sandang, tote, silang, dompet dan banyak lagi.

Dia banyak belajar ilmu menjahit daripada Internet, blog kraf dan Pinterest selain berguru dengan beberapa pembuat kraf tempatan untuk sesetengah teknik jahitan.

"Bagi saya, kesukaran menjahit beg terletak pada daya kreativiti, penjagaan kekemasan dan kualiti beg yang dihasilkan. Namun, jika kita bijak memilih fabrik dan teknik betul semuanya akan menjadi lebih mudah.

"Justeru, pemilihan fabrik sangat penting dan biasanya saya menggunakan kain kapas keras, linen dan kanvas. Jika berani, kita boleh menggunakan material PU atau kulit, namun ia memerlukan kemahiran yang tinggi," katanya.

Tambahnya, ada 10 panduan untuk membuat beg buatan sendiri yang baik iaitu dari segi penggunaan fabrik dan bahan pengukuh (stabilizer) yang betul.

Kemudian, pilih kain lapisan yang baik dan sesuai selain tahu asas membuat beg. Beg boleh ditambah dengan hiasan lain seperti poket, sulaman serta corak tampal dan cantum.

Untuk mendapatkan rekaan yang kemas, beg perlu digosok. Selain itu, boleh lakukan jahitan tindih di sebelah atas untuk menonjolkan kekemasan dan ciri profesional dalam pembuatan beg.

Walaupun ia dijadikan hobi tetapi Azian juga menerima tempahan dan mengadakan kelas menjahit beg buatan tangan. Untuk melihat koleksi beg Azian, bolehlah singgah ke facebook.com/colorblisshandmade.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Disember 2014 @ 5:02 AM

Kredit: Harian Metro


KALENDAR ALAF 21
KATEGORI BUKU
Sebarang pertanyaan/jemputan, sila emelkan ke [email protected]