LIMA PERBEZAAN CARA MENDIDIK ANAK LELAKI DAN PEREMPUAN


Setiap anak dilahirkan dengan kelebihan dan kekurangan sendiri. Begitu juga dengan anak lelaki dan perempuan. Pendekatan berlainan juga perlu digunakan untuk mendidik dan menambat hati mereka. Semoga kita dapat lebih mengenali anak kita.

 

5 PERBEZAAN CARA MENDIDIK ANAK LELAKI DAN ANAK PEREMPUAN

 

1. SEMASA PERINGKAT USIA BAYI

Anak Lelaki: Mudah bertindak balas terhadap rangsangan fizikal dan suka mengajuk gerak-geri tubuh berbanding bunyian atau nyanyian.

Maka, mereka lebih mudah terhibur apabila ibu ayah menari, membuat wajah lucu berbanding berceloteh atau membacakan buku cerita untuk mereka.

Anak Perempuan: Amat gemar terhadap ‘eye contact’, bunyi-bunyian dan amat suka kalau orang berbual dengan mereka. Tidak hairanlah anak perempuan biasanya petah bercakap dan lebih cepat mahir dalam kemahiran ini sejak usia kecil berbanding anak lelaki yang lambat bercakap.

 

2. SEWAKTU MENASIHATI MEREKA

Anak Lelaki: anak lelaki amat menghormati ‘tindakan’ berbanding ‘kata-kata’. Maka cara terbaik untuk memastikan mereka patuh dengan nasihat adalah dengan menunjukkan contoh atau ‘role model’ yang baik.

Nasihat panjang lebar berkemungkinan besar tidak akan berkesan. Tetapi, sebenarnya anak lelaki adalah lebih sensitif berbanding perempuan dan kalau menangis, mereka lebih sukar ditenangkan.

Anak Perempuan: Anak perempuan pula mementingkan hubungan dan lebih senang mendengar kata-kata daripada mereka yang dekat di hati mereka. Maka, ibu ayah perlu selalu bercerita dengan mereka, bermain dengan mereka, dan selalu ada di samping mereka. Hubungan yang rapat memudahkan mereka menerima nasihat kita.

 

3. APABILA MEREKA TIDAK BERSETUJU

Anak Lelaki: Akan mendiamkan diri dan sukar memberitahu kekecewaan dalam hati mereka. Oleh kerana tidak begitu mahir dalam mengekspresikannya melalui perkataan, anak lelaki cenderung menunjukkan kekerasan seperti memukul, menendang, atau membaling barang.

Anak lelaki perlu diingatkan bahawa suara mereka sentiasa didengari. Biarkan anak bertenang dan ambil masa untuk mendengarkan apa yang mereka ingin katakan.

 

Anak Perempuan: Anak perempuan pula lebih cenderung untuk menjerit dan mengatakan perkataan yang mungkin mengejutkan anda seperti “Saya benci Ibu!” atau “Adik jahat!” .

Jangan terkejut kerana mereka lebih cepat menangkap perkataan dan sedang belajar menggunakannya dengan cara yang paling efektif. lebih mementingkan perasaan orang sekeliling dan kadangkala sanggup menanam hasrat sendiri.

 

4. JIKA ANAK BEREBUT ATAU MEMBUAT ‘PERANGAI’

Anak Lelaki: Beritahu mereka secara ‘direct’ seperti mengatakan: “Jangan ambil permainan adik. Bagi dia semula sekarang juga!” Cukup.

Mereka akan bertindak dan tidak perlu penerangan yang panjang lebar seperti “Janganlah buat begitu, abang ni tak sayang adik ke? Berapa kali nak cakap? Kan Ibu dah belikan abang yang sama juga semalam.”

Anak Perempuan: Untuk mendidik anak perempuan, mereka perlukan kritikan yang membina dan sedikit pujian seperti “Kakak kan selalunya baik, pandai kongsi mainan. Janganlah rampas mainan kawan tu. Kalau kawan kakak ambil mainan kakak, mesti kakak pun akan sedih kan?”

Kadangkala, cakap begini pun mereka akan menangis.

 

5. JIKA MEREKA MAHUKAN SESUATU DI KEDAI

Anak Lelaki: Menurut laman web supernanny.co.uk, anak lelaki biasanya mahukan keputusan secepat mungkin dan akan menjadi lebih tidak terkawal jika anda menjawab “Nantilah, kita tengok dulu barang lain.”

Keadaan ini boleh membuat mereka mula buat perangai dan memberontak. Mereka perlu diberitahu bahawa anda dengar kemahuan mereka, Tetapi anda tidak akan membelinya sekarang juga.

Jadi, lebih elok anda beritahu mereka secepatnya, “Maaf sayang, ibu tahu Aiman suka kereta kebal itu. Tapi, kita tak boleh beli mainan hari ini. Ibu cuma bawa duit cukup untuk beli sayur dan ikan saja.”

Anak Perempuan: Anak perempuan mungkin akan merungut apabila anda meminta mereka untuk menunggu. Tapi, kajian menunjukkan anak perempuan lebih mudah menerima penolakan jika anda bijak berdiplomasi dengannya.

Hargai tindakan mereka dan elok juga anda tawarkan sesuatu yang lain, “Baiknya kamu hari ini sebab dengar cakap. Alhamdulillah. Nanti mama masakkan sup ayam kegemaran Alia ya.”

 

SEIMBANGKAN KEPERLUAN ANAK LELAKI DAN PEREMPUAN

Secara ringkasnya, anak lelaki perlu diajar agar lebih bersikap verbal kerana mereka bijak menggunakan fizikal dan berfikiran logik secara semula jadi.

Manakala untuk mendidik anak perempuan pula, ibu bapa tidak sewajarnya melupakan fokus terhadap mental dan emosi mereka supaya lebih yakin diri dan tidak terlalu menurut kemahuan orang lain. Ini kerana, mereka cenderung untuk cuba menggembirakan orang yang mereka sayangi hingga lupa terhadap kemahuan sendiri.

Walaubagaimanapun, mungkin juga anak anda cenderung bersikap dengan sikap yang berlawanan atas faktor lain. Maka, luangkanlah masa untuk mengenali mereka supaya anda dapat mendekati mereka secara lebih berkesan.

 

Sumber:siraplimau


 

 

KALENDAR ALAF 21
KATEGORI BUKU
Buku terlaris

Novel
KRAF
    UMUM
      RESEPI

        NEWSLETTER

        Sebarang pertanyaan/jemputan, sila emelkan ke [email protected]