BERSEDIAKAH KITA MENYAMBUT RAMADAN? JOM, KITA BUAT CHECKLIST!


 

Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi kita akan memasuki bulan Ramadan. Moga Allah panjangkan umur kita dan rezekikan kita untuk bertemu Ramadhan pada tahun ini.

Sebelum itu, mari kita semak sama-sama apa yang boleh  kita lakukan untuk menuju Ramadan.

 

1. Tidur dan bangun awal

Tidur awal penting bagi memastikan tubuh mendapat rehat yang cukup dan bertenaga pada keesokan harinya. Latih diri untuk tidur awal supaya kita dapat bangun awal keesokan harinya. Cuba bangun awal 30 minit sebelum masuk waktu subuh. Agar nanti kita dapat menambah pahala sunat dengan melakukan ibadah bersahur. Apabila semakin biasa, gunakan beberapa minit di awal pagi itu untuk kita melakukan solat-solat sunat.

 

2. Memperbanyakkan zikir

Zikir bertujuan agar kita mengingati Allah SWT. Dengan mengingati Allah akan memberi kita ketenangan dan rasa cukup dengan apa yang kita ada.

Ia tidak memerlukan masa atau tempat yang khusus untuk melakukannya. Boleh dilakukan di mana-mana dan bila-bila masa sahaja.

Lazimkan berzikir ketika kita sedang memandu, memasak, melipat pakaian, menaiki pengangkutan awam, sebelum tidur dan pada bila-bila selang waktu yang ada. Mungkin boleh jadikan wallpaper telefon bimbit atau laptop ada kalimah zikir. Itu boleh membantu mengingatkan kita yang selalu terlupa ini.

 

3. Berlama-lama dengan al-Qur’an

Peruntukkan sedikit masa yang lebih daripada biasa untuk kita membaca atau menghayati terjemahan atau menghafaz ayat-ayat al-Qur’an. Carilah apa-apa bantuan seperti menghadiri kelas tafsir, membaca buku-buku berkaitan al-Qur’an untuk membantu kita lebih mencintai dan menghargai al-Qur’an sebagai amanat nabi buat kita.

Perlahan-lahan. Sabar dalam usaha kita untuk memahami dan menghayati isinya. Wajibkan diri kita untuk tidak tidur selagi kita belum menyentuh al-Qura’n untuk hari itu.

 

4. Meninggalkan perbuatan yang tidak bermanfaat

Jika kita berazam untuk memenuhkan Ramadan kita dengan ibadah amal soleh yang bermanfaat, kita perlu mulakan dari detik ini.

Biasakan, latih diri kita untuk meninggalkan perbuatan yang tidak bermanfaat, perbuatan maksiat dan perbuatan dosa.

Misalnya bercakap keji, mencari salah orang, berburuk sangka, menyakiti kawan atau jiran dan menghabiskan masa menonton video-video yang tidak bermanfaat. Perlahan-lahan, kita akan jadi terbiasa dengannya.

 

5. Mendekatkan diri dengan masjid

Antara 7 golongan manusia yang mendapat naungan Allah ketika di Padang Mahsyar adalah orang-orang yang hatinya tertaut dengan masjid. Jadikan Ramadan adalah masa untuk kita berjinak-jinak dengan majlis ilmu dan beribadah di dalam masjid.

Tidak bermakna luar masjid tidak boleh beribadah. Tetapi mengambil keberkatan di dalam rumah Allah dan berkumpulnya orang-orang yang mempunyai niat untuk mendekatkan diri dengan Tuhan. Mula dari sekarang agar tidak kekok nanti waktu Ramadan menjelang.

 

6. Menyemak semula hukum-hakam yang berkaitan dengan ibadah puasa

Puasa adalah ibadah utama di bulan Ramadan. Oleh itu, persiapan dari segi hukum – hakam, pengertian puasa, hikmahnya, rukun dan perkara-perkara yang membatalkan puasa adakah sesuatu yang harus dititikberatkan agar ibadah yang dilalui tidak sia-sia.

 

7. Menjaga kesihatan kita sebaik mungkin

Tubuh badan kita adalah amanah daripada Allah. Menjaga kesihatan bermaksud memelihara tubuh badan kita daripada pemakanan yang tidak seimbang dan gaya hidup yang tidak sihat seperti merokok.

Kita mengimpikan apabila kita memasuki Ramadan, kondisi diri kita bertenaga dan semangat! Namun, jika kita mendatangi Ramadan dalam keadaan tubuh yang tidak sihat, kita akan mendapat rukhsah dan tidak dapat menyempurnakan ibadah puasa dengan baik.

 

8. Siapkan jiwa dan roh kita untuk melalui proses tazkiyatun-nafs (penyucian jiwa)

Pesan Nabi Muhammad SAW, di dalam jasad manusia terdapat segumpal daging yang jika ia baik, maka baik seluruh jasadnya. Dan segumpal daging itu adalah hati.

Pentingnya hati yang bersih daripada niat jahat dan maksiat bagi memastikan nikmat ibadah dan keimanan dapat dirasakan. Kenal pasti apa perbuatan harian kita yang menjadikan kita semakin jauh dengan Allah.

Belajar mendidik hati dan nafsu kita. Ramadan adalah peluang terbaik untuk dimanfaatkan. Semoga kita keluar dari Ramadan dengan hati yang baru, yang khusyuk dan sensitif dengan kemaksiatan walaupun kecil.

 

9. Menghidupkan suasana Ramadan di rumah

Mood Ramadan perlu dicari dan dibina. Jika kita bersiap- siap untuk Hari Raya dengan penuh semangat dan teliti, seharusnya lebih-lebih lagi Ramadan.

Kongsikan hadis-hadis atau ayat al-Quran berkaitan Ramadan sesama isi rumah. Menceritakan isi-isi buku berkaitan Ramadan yang dibaca. Membeli atau membasuh sejadah, pakaian solat seperti telekung dan kain pelikat bagi menaikkan semangat.

Gunakan al-Qur’an yang paling digemari. Mainkan lagu-lagu berkaitan Ramadan dan ayat-ayat al-Quran di rumah. Rancang ingin berbuka dan berterawih di masjid mana nanti ketika Ramadhan nanti.

 

10. Rencanakan target Ramadan

Sebagaimana kita merancang kehidupan harian kita, begitu juga ibadah kita. Letakkan target Ramadan yang ingin kita capai dalam Ramadan kali ini. Pastikan ia lebih baik dari tahun lepas.

Berapa target kita untuk sedekah pada keluarga, umat Islam yang lain?
Berapa solat sunat yang ingin kita lakukan?
Berapa helai muka surat daripada al-Qur’an ingin kita tadabbur?

Apa sahaja amal ibadah yang ingin kita lakukan, kongsikan dengan kawan atau ahli keluarga agar sama-sama boleh saling memberi sokongan dan berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan.

 

Kami di Alaf 21 ingin mengucapkan Selamat menyambut Ramadan kepada semua pembaca buku Grup Bukuu karangkraf! Semoga Ramadan kali ini menjadikan kita umat Islam yang tahu erti syukur. Rebutlah segala kebaikan yang Allah janjikan di dalam  bulan ini. 

 

KALENDAR ALAF 21
KATEGORI BUKU
Buku terlaris

Novel
KRAF
    UMUM
      RESEPI

        NEWSLETTER

        Sebarang pertanyaan/jemputan, sila emelkan ke [email protected]