Usah takut rezeki terputus akibat Covid-19, ketahui 10 tip ganjaran Allah ketika turunnya musibah


DALAM kehidupan seseorang manusia pasti akan terselit kebimbangan tertentu dan antara kerisauan sering menghantui hidup kita tentulah berkaitan soal rezeki.

Ia kompenan penting dalam kehidupan manusia malah banyak ayat yang menceritakan mengenai rezeki namun ia bukanlah sekadar tentang wang atau harta sebaliknya turut meliputi kesihatan, cahaya mata, ibu bapa, rakan-rakan yang baik, isteri solehah dan mendapat suami soleh juga boleh dianggap sebagai rezeki.

Perkara paling penting yang perlu kita ketahui adalah Allah Maha Pemberi Rezeki. Allah menciptakan semua makhluk dan disisiNya yang memberikan rezeki.

Firman Allah di dalam surah Adh-Dhariyat ayat 58: Sesungguhnya Allah, dialah yang memberi rezeki (kepada sekalian makhluk-Nya dan dialah sahaja) yang mempunyai kekuasaan yang tidak terhingga, lagi yang maha kuat kukuh kekuasaan-Nya.

Sejak terjadinya bencana Covid-19, ramai dalam kalangan kita yang mengeluh mengenai rezeki mereka. Ada di antara mereka mengeluh mengenai sumber pendapatan, ada pula mengeluh kerana perkahwinan ditangguhkan dan bermacam lagi yang difikir dan dikeluh-kesahkan.

Teringat saya satu kisah benar mengenai bagaimana dibuktikan rezeki itu di tangan Allah. Seorang wanita yang menjual periuk di pasar pagi menunggu barang jualannya dibeli.

Seawal 7 pagi hingga 11 pagi tiada seorang pun yang membeli, maka kecewalah wanita itu kerana tidak mendapat rezekinya pada pagi itu.

Bagaimanapun ketika wanita itu bersiap-siap untuk pulang, ada orang datang membeli dan wanita itu mendapat keuntungan sebanyak RM600.

Maka ketahuilah wanita itu bahawa benarlah rezeki itu adalah milik Allah dan kita hanya perlu berusaha dengan bersungguh-sungguh.

Setiap perancangan yang kita lakukan perlulah disertakan dengan doa. Ini kerana setiap perancangan yang kita rencanakan tidak akan kita ketahui baik atau buruknya.

Firman Allah di dalam Surah Al-Baqarah ayat 216: Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu pada hal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.

Imam Maraghi di dalam tafsirnya menyatakan: Sesuatu perkara yang mungkin tidak disukai oleh kita berkemungkinan disukai Allah dan begitu juga sebaliknya. Mungkin terdapat hikmah dan pengajaran yang dapat mengajar erti kesabaran dan ketaatan kita di dunia. Dan sesungguhnya pengetahuan Allah itu sangat luas sedangkan pengetahuan manusia itu terbatas.

Kadang-kala kita telah memahami akan konsep rezeki ini bahawa semuanya atas ketentuan Allah hanya kita yang perlu berusaha.

Akan tetapi yang membuatkan kita marah dan kesal ialah apabila orang sekeliling yang selalu bertanya kepada kita: 'Bila nak kahwin? Bila nak dapat anak? Bila nak kerja? Bila nak jadi kaya?' Semua soalan ini kadang-kadang menjadikan kita agak rimas dan tertekan.

Kerana itulah ramai dalam kalangan manusia yang apabila mereka tertekan dengan rezeki, mereka mula hilang pertimbangan sehingga melakukan perkara-perkara dilarang oleh Allah.

Hakikatnya perihal rezeki boleh mengubah manusia dalam banyak perkara, perbuatan, percakapan, malah ia boleh mengubah akidah mereka.

Hatta jika kita melihat pada akhir zaman ketika mana Dajal mendatangi manusia, ketika itu Dajal mengumpan manusia dengan perihal rezeki untuk menyesatkan manusia yang tidak percaya bahawasanya hal rezeki itu adalah urusan Allah.

Rasulullah pernah menceritakan tentang Dajal, antaranya: Dajjal itu datang ke tempat orang-orang yang percaya kepadanya dan penduduk kampung itu mengakunya sebagai Tuhan. Disebabkan yang demikian hujan turun di tempat mereka dan tanam-tanaman mereka pun menjadi. - [HR Muslim 5288].

Dan ini merupakan malapetaka besar yang menghantui jiwa-jiwa manusia yang takut akan perihal rezekinya. Di sini saya akan memberikan kunci atau tip bagi mendapatkan rezeki:

Semoga rezeki kita yang tertangguh itu akan sentiasa dipermudahkan oleh Allah dan seharusnya kita meyakini bahawa rezeki Allah itu tak pernah salah alamat cuma  persoalannya cepat atau lambat sahaja.

DR. NUR MOHAMMAD HADI ZAHALAN

PENCERAMAH BEBAS

1. Rezeki datang dengan kita berusaha.

2. Rezeki akan ditambah dengan kita selalu mensyukurinya. Jadi, bersyukurlah.

3. Rezeki akan sentiasa melimpah ruah apabila kita sentiasa menjadi hamba Allah yang bertaqwa dengan mematuhi segala perintahNya.

4. Rezeki akan hadir disebabkan sentiasa beristighfar.

5. Rezeki boleh datang melalui perkahwinan oleh itu jangan takut untuk berkahwin.

6. Rezeki buat isteri dan anak akan disalurkan melalui suami.

7. Rezeki akan mencurah-curah jika kita sentiasa melazimi sedekah kepada fakir miskin.

8. Sentiasa menjaga Solat Dhuha.

9. Sentiasa membasahi lidah dengan berselawat ke atas junjungan besar Baginda Rasulullah.

10. Mengamalkan bacaan Surah Al-Waaqi'ah di malam hari.

Kredit: Mstaronline

KALENDAR ALAF 21
KATEGORI BUKU
Buku terlaris

Novel
KRAF
    UMUM
      RESEPI

        NEWSLETTER

        Sebarang pertanyaan/jemputan, sila emelkan ke [email protected]