Novel Bonus



FEBRUARI

MULAI Mac 2009 tahun lalu, kami mula menerbitkan 4 buah novel sebulan! Selain daripada TRIONOVEL, kami mula menerbitkan novel BONUS!

Pada bulan Mac, kami menerbitkan TRIONOVEL yang mengandungi novel TARIKH LUPUT CINTA, HIKMAH HATI dan MENITI MAUT. Novel BONUS Mac adalah MIKHAIL oleh Ramlee Awang Murshid. Bagi bulan April 2009, kami menerbitkan TRIONOVEL CERITERA RINDU, SYURGA DI HATI dan SYAIR CINTA. Novel BONUS April adalah SUNGGUH AKU CINTA oleh Anis Ayuni.

Bagi bulan Mei 2009, kami menerbitkan TRIONOVEL SANJUNGAN KASIH, TIADA YANG KEDUA dan HANYA DIA TAHU. Untuk TRIONOVEL bulan Jun ialah Kalimah Jiwa, Jawapan Yang Pasti dan Cinta Hati Kita. BONUS bulan ini adalah:



Harga: RM22.00
Halaman: 560
Penulis: Serunai faqir
ISBN: 978-983-124-758-7
Borang pesanan

| Sinopsis |
Bukannya aku tak cinta, bukannya aku tak sayang, tapi aku ibarat kapal yang kehilangan arah. Ketiadaanmu secara tiba-tiba telah membuatkan aku tidak kenal lagi makna percaya. Kau kata, kita akan harungi hidup ini bersama-sama. Tapi, kini… aku sendirian menongkah arus. Tak mengapalah, Alisa… mungkin antara kita sudah tiada jodoh. Anggap saja apa yang pernah kita lalui dahulu adalah sebuah cebisan memori untuk dijadikan kenangan abadi. Aku terpaksa pergi, Alisa. Aku perlu serahkan cinta ini kepada yang benar-benar sudi.

Amir… jangan pergi! Jangan sewenang-wenangnya kau beri cinta itu kepada orang lain. Aku juga merindui kamu, namun aku terperangkap dalam prasangka. Bukankah kau yang tinggalkan aku dulu? Aku kesepian dalam kerinduan, Mir. Salahkah jika kita bercinta? Cinta itu hadir tanpa sebarang paksaan. Jadi, kenapa mesti kita berpisah? Saban hari aku menanti kemunculanmu sehingga aku sudah tidak pandai lagi untuk menghitung hari.

Kalau api itu boleh menjilat sebatang kayu hingga menjadi abu, aku boleh buat lebih daripada itu. Larilah sejauh mana yang kau mahu, Amir Firdaus… aku akan tetap mengejarmu. Aku, Diana Adilla... tidak akan sesekali mengaku kalah. Aku akan mengikatmu menjadi milik mutlakku. Hanya kau dan aku!

_____________________________________________


| Frgamen |
IANA menolak kasar pintu bilik Amir. Mukanya merah menahan marah. Shiela di sebelahnya menjadi takut.

“Encik Amir, saya... saya dah larang dia masuk. Tapi...”
“Tak apa, Shiela. Awak boleh keluar. Tutup pintu sekali.” arah Amir dengan perasaan yang masih terkejut. Boleh pecah tembelangnya selagi Diana ada di Mega Tech. Shiela dengan wajah takut-takut segera keluar.

Amir bangun dan menghampiri wanita seksi itu.

“You buat apa kat sini? Main masuk aje. Tak reti nak ketuk pintu dulu ke?” marah Amir seraya merenung tajam Diana.
“Eh, ini ofis daddy I... suka hati I nak masuk dengan cara mana sekali pun!” herdik Diana.
“Memang betul ni ofis father you, tapi ni bilik I, okey? Even your father pun tahu nak ketuk pintu bilik I sebelum masuk!” jerkah Amir pula.

Diana berjalan dan duduk di sofa yang terletak di tepi tingkap dan tersenyum. Tadi bukan main lagi marah. Amir hanya memerhati sahaja. Diana tidak boleh berada lama-lama di Mega Tech. Haru jadinya nanti.

“You ada apa datang sini sebenarnya? I ada banyak kerja nak diuruskan ni.”
“Saja I datang melawat tunang I. Salah ke?” tanya Diana. Dalam hatinya menyumpah-nyumpah geram.
“Ini bukan masa yang sesuai untuk kita berjumpa. You balik dulu. Malam nanti kita jumpa,” arah Amir tidak ikhlas.

“Hei, kenapa dengan you ni? You takut ke kalau I
terserempak dengan perempuan simpanan you kat sini?” Diana
mula berkasar. Amir yang masih lagi berdiri ditenungnya
tajam.
“Shut up, Diana! Kalau you setakat datang nak bergaduh dengan I memang tak berbaloi. Baik you keluar sekarang!”

Amir mula naik angin apabila perkataan perempuan simpanan dituturkan oleh Diana.

Diana senyum mengejek. Amir benar-benar marah. Maknanya betullah siasatannya selama ini bahawa ada orang istimewa di Mega Tech, cuma dia tidak pernah terserempak.

Kawan-kawannya yang mengadu bahawa pernah ternampak Amir bersama seorang perempuan cantik yang berwajah persis Inggeris begitu mesra sekali.

“Wah, marah nampak. Tak betul ke apa yang I cakap ni? Come on, Mir. Dunia ni kecik aje. Bukan I tak tahu dengan siapa you keluar. Cuma I tak pernah terserempak lagi dengan perempuan simpanan you tu.”
Amir menghampiri Diana dan menaikkan tangannya, tapi tangannya kaku di situ. Diturunkan semula tangannya dengan perasaan yang marah. Diana benar-benar mencabarnya.

Serentak itu, Diana bangun dengan wajah yang selamba.
“You nak tampar I? Tamparlah. Kenapa? You takut?” Kemarahan Diana pula memuncak.
“You keluar sekarang Diana sebelum I mengamuk!” arah Amir serius.

“I nak jumpa orang istimewa you tu kat sini. Boleh you kenalkan I pada dia? Mana tahu boleh jadi madu satu hari nanti. I tak kisah,” ejek Diana berpura-pura senyum.

Amir menolak bahu Diana. Panas hatinya tidak dapat ditahan lagi.

“Eh, you ni tak faham bahasa ke? Tak ada sesiapa istimewa kat sini okey? Baik you keluar sekarang atau I sendiri akan repot pada daddy you mengatakan you buat kacau di sini!” ugut Amir.

Diana menyarungkan semula cermin mata hitam besarnya. Tangannya bermain-main di tali leher Amir.
Matanya merenung wajah tampan tunangnya ini.

“Okey. I boleh keluar, tapi I yakin suatu hari nanti I akan jumpa perempuan simpanan you tu. Kalau I tak dapat you, sesiapa pun tak akan dapat miliki you, Mir,” ugut Diana dalam kelembutan, tetapi penuh dengan ketegasan.

Diana sudah menghampiri pintu untuk keluar. Kemudian dia menoleh ke belakang dan melihat Amir masih lagi berdiri menyeluk tangannya di dalam pocek seluar.

“Oh ya, honey... satu lagi jangan lupa majlis kahwin kita hujung tahun ni. Nanti kita cari baju nikah ya? Yang lain mummy dah siapkan,” tutur Diana dengan riak manja untuk menyakitkan hati Amir.

“HAI, Shiela! Kenapa termenung aje ni?” sapa Alisa lembut. Dia sudah berdiri di sebelah meja Shiela.
“Alisa, awak nak dengar cerita tak?” Bersungguh-sungguh Shiela memberitahu.

“Cerita apa pula ni, Shiela? Awak ni kan macam Bernama TV pula?” Alisa terasa lucu dengan gelaran itu. Shiela ini ada sahaja ceritanya. Perkembangan dalam Mega Tech semua dia tahu.

“Tadi ada seorang perempuan cantik datang jumpa Encik Amir. Memang cantik dan lawa. Seksi pula tu. Pakai seluar punyalah ketat, tapi mujurlah badannya cantik.” Shiela memulakan cerita.

Alisa pula tidak sabar untuk mendengarnya. Tambah pula seorang perempuan cantik menemui Amir.

“Tapi kan, Alisa... punyalah saya geram sangat sebab perempuan tu tak tahu nak beradab. Tak ada sopan santun langsung! Ada ke patut dia masuk bilik Encik Amir rempuh macam tu aje. Saya dah halang, tapi dia kata jangan menyibuk.

Macamlah pejabat ni bapak dia yang punya!” luah Shiela yang masih lagi berbaki geram terhadap perempuan tadi.

Berkerut dahi Alisa berfikir. Apa yang difikirkan dia sendiri tidak tahu. Yang pasti hatinya mula berasa tidak senang.

“Lepas tu apa jadi?” tanyanya serius.
“Encik Amir suruh saya keluar dan dia kata mahu berbincang dengan perempuan tu. Apa jadi lepas tu tak tahulah. Tak lama kemudian, perempuan tak tahu adab tu keluar dengan pakai cermin matanya. Dalam ofis yang sejuk ni pun nak pakai cermin mata,” ejek Shiela. Marah sungguh gayanya.

“Awak tahu siapa perempuan tu?” Alisa mengorek rahsia.
“Entahlah. Rasa macam bukan urusan kerja, tapi lebih kepada urusan peribadi.”

Alisa berpaut di meja Shiela mencari kekuatan. Ah... kenapa perlu aku berfikir soal dia? Kenapa aku perlu jadi curiga? Apa sebenarnya yang ada dalam hati aku ini?

Shiela meneruskan kerjanya. Dia tidak perasaan dengan perubahan air muka gadis cantik ini.
“Hai, Alisa! Dah makan?” Faizal kelihatan ceria waktu ini. Dia segera mendekati Alisa.

Tersentak Alisa daripada lamunan. Cepat-cepat dia tersenyum.
“Saya dah makan. Awak?” tanya Alisa pula.
“Belum lagi. Laparlah ni.” Faizal buat muka sedih seraya menyentuh perutnya.

“Faizal, macam mana dengan ibu awak? Dah sihat ke dia?” Alisa terlupa untuk bertanya khabar tentang Datin Azlin padahal baru dua hari lepas dia melawat Datin Azlin di rumah.

Faizal berfikir sejenak kemudian menjawab. “Nampak ada sikit perubahan, tapi ibu tu tak boleh nak bangun sangat.

Bila bangun aje, terus dia rasa pening. Ayah saya bercadang nak ambil nurse peribadi, tapi ibu pula tak nak. Dia kata kalau ada menantu perempuan dapat juga tengokkan dia.

Alisa tahulah Farisya tu kan baru dapat kerja. Tak boleh nak cuti aje.”

Faizal senyum dengan kata-katanya sendiri. Niat katakata itu memang ditujukan pada Alisa. Moga-moga Alisa mengerti.

Alisa tertunduk. Dia faham maksud kata-kata Faizal itu, tapi dia tidak mahu ambil serius. Dia bimbang Faizal akan menaruh harapan yang tinggi lagi.

Shiela mengambil peluang mendengar perbualan Faizal dan Alisa. Lain macam aje bunyi mereka ni. Ada apa-apa ke?

Faizal yang menyedari sikap Alisa yang tidak memberi respon cepat-cepat mengubah tajuk.

“Hmm... Alisa, awak temankan saya makan boleh? Laparlah.”
Alisa mengangkat mukanya memandang Faizal yang

mengharap pelawaannya diterima.

“Saya dah makan tadi.”
“Tak apalah. Awak teman saya makan aje. Lagipun belum habis waktu lunch lagi.”
“Baiklah,” jawab Alisa.

Faizal Itersengih. Riang hatinya. Faizal menghulur lengannya kepada Alisa untuk dipaut.

“Jangan nak mengada ya, Faizal!” marah Alisa.

Faizal ketawa kecil seraya menarik semula lengannya. Kemudian, mereka terus keluar dari Mega Tech.

AMIR menghenyak kasar punggungnya di kerusi. Dipusingpusingkan kerusi tersebut. Panas sangat hatinya saat ini.

Sakit jiwanya melihat gelagat mesra Faizal dan Alisa sebentar tadi sebaik dia mahu melangkah keluar. Sudahlah hatinya panas dengan kedatangan tetamu tidak diundang tadi.

Dia merasakan bahawa kedua-dua manusia itu sengaja mahu menyakitkan hatinya. Ah. mereka itu tidak tahu apaapa.

Aku sahaja yang sakit hati. Tapi Alisa! Bukan dia tak tahu aku mencintai dia. Kenapa aku tidak boleh bergurau senda dengan Alisa di pejabat sebagaimana Faizal lakukan? Alisa juga seperti tidak
berminat untuk bergurau dan bermesra dengan aku. Apa sebenarnya hubungan mereka ini? Amir memejam matanya dan mendengus kasar. Kecewa betul dia ketika ini melihat senyuman Alisa kepada Faizal. Bertubi-tubi persoalan itu berasak dalam kotak fikirannya. Amir nekad untuk terus
mendapatkan Alisa.

Dia tidak mahu lelaki lain memiliki gadis itu walaupun sahabat baiknya sendiri. Berkawan-berkawan juga, tapi ada sesetengah perkara yang perlu mementingkan diri sendiri. Amir tidak peduli itu lagi.

FAIZAL keluar dari keretanya dan berjalan menuju ke sebuah kedai. Dia menolak pintu cermin tersebut. Beberapa gadis cantik menoleh ke arah pemuda yang baru menjengulkan diri di situ.

“Encik mahu potong rambut ke?” Salah seorang daripada mereka yang sedang mencuci rambut pelanggan bertanya. Tapi, gadis itu sedikit pelik kerana rambut Faizal sudah kemas dan pendek. Gaya bagaimana lagi lelaki itu mahu buat.

Faizal memberikan senyuman apabila dirasakan gadis itu sangat peramah.
“Tak. Saya datang hendak berjumpa dengan bos you. Dia ada ke?”
“Ada. Sekejap ya.” Gadis itu yang mengerti maksud boss segera masuk ke bilik kecil dengan tangan yang masih dipenuhi buih syampu.

Sementara menunggu, Faizal memerhati segenap ruang salun yang baru dibuka ini. Segalanya cukup lengkap. Impian bekas kekasihnya dulu tercapai untuk membuka salun.

Dalam diam dia berasa bangga.
“Encik ni sia...” Hampir tersembul biji mata Diana melihat lelaki di dalam kedainya ini. Lelaki itu hanya tersengih. “You ingat I lagi, Diana?

Tahniah sebab berjaya juga you buka salun.” Ketar Diana di situ. Matanya masih mencerlung ke arah Faizal. Sudah bertahun dia tidak menemui lelaki ini selepas dia sendiri meminta diputuskan percintaan mereka kerana pada waktu itu cintanya sudah beralih kepada tunangnya kini. Bagaikan tidak percaya Diana ketika ini.

“You tak percaya ke tengok I sekarang ni?” aju Faizal apabila dilihatnya Diana masih tegak berdiri.

Diana menelan air liurnya. Dia cuba mencari kekuatan dalam diri. Dia tidak akan terpedaya lagi dengan pujukan bekas kekasihnya ini.

“Mana you tahu I ada kat sini?” tanya Diana dan mula berjalan menghampiri Faizal. Perasaannya tidak menentu.

Faizal mendengus kecil.
“Dunia ni tidaklah sebesar mana. Kalau I pergi ke utara I akan jumpa kawan-kawan I. Kalau I ke selatan I akan jumpa you. You tak suka jumpa I?” pancing Faizal lagi.

Diana menjeling sekilas. Tidak mahu lagi dia berjumpa dengan Faizal.

“I rasa tempat ni tak sesuai untuk kita bercakap. Apa kata kita keluar sekejap dan berbincang apa yang patut,” ajak Faizal ramah.

“Nak bincang apa lagi? Hubungan kita dah lama tamat,” ujar Diana bersungguh-sungguh.

“Diana, I datang jumpa you bukan nak bercerita tentang hati dan perasaan, tapi I datang saja nak jenguk bekas kekasih I.” Faizal sengaja menekankan perkataan bekas kekasih itu.

Sebenarnya, dia sudah lama melupakan Diana walaupun begitu payah. Hendak buat macam mana perempuan ini sudah tergila-gilakan orang lain.

“Kita keluar sekejap ambil angin,” ajak Faizal lagi. Dengan hati yang tidak ikhlas, Diana mengikut juga. Kawasan bukit tidak jauh dari salun Diana menjadi pilihan Faizal. Sengaja dia membawa Diana ke sini supaya perbincangan mereka tidak terganggu kelak. Ada beberapa buah kenderaan melalui jalan ini. Faizal melihat keindahan bandar raya Kuala Lumpur dari atas bukit.

-->