ANIS AYUNI

Anis Ayuni merupakan anak ke sepuluh dari sebelas orang adik-beradik. Dilahirkan di Bentong, Pahang pada 1hb April 1963. Mendapat pendidikan awal di tempat kelahirannya sehinggalah ke Tingkatan Enam di SMK Sulaiman, Bentong.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera dan Sains Sosial dari Universiti Malaya 1986 (Pengajian Asia Tenggara). Kemudian melanjutkan pelajaran dan memperolehi ijazah Sarjana dalam bidang Perancangan dan Pentadbiran Pendidikan dari Universiti Malaya (2004).
Kini beliau memegang jawatan sebagai Penyelia Petang di SMK Seri Saujana, Bandar Baru Seri Petaling, Kuala Lumpur.

Ibu kepada dua orang anak lelaki ini terus aktif menulis setelah novel pertamanya, Suara Hati (2002) mendapat sambutan yang menggalakkan dari para pembaca. Kemudian menyusul pula Yang Terindah (2003) dan yang ketiga Manisnya Cinta (2004) dan Gemersik Kalbu (2005).

Dalam menghasilkan karya kreatif, beliau sedar garapan haruslah berupa gandingan antara fantasi dan realiti. Namun beliau sangat menitikberatkan logik dalam menggarap satu-satu peristiwa. Seboleh mungkin beliau cuba mengaitkannya dengan realiti yang biasa terjadi dan bukannya sekadar khayalan atau mimpi.

Namun novel-novel beliau tidak lepas dari membicarakan soal cinta, sokongan ibu bapa dan keluarga serta prinsip seseorang dalam membuat keputusan. Dalam tawa, ada air mata dan sengketa. Itulah ramuan yang menyebabkan pembaca tidak jemu menatap hasil penulisan beliau.

 

Lot 12, Persiaran Kemajuan 16/16, 40200 Shah Alam Selangor / Tel: 55118820 / Fax: 55113817 / Co. No. 276419M
Laman ini disediakan oleh webmaster ALAF DUA PULUH SATU SENDIRIAN BERHAD.
Segala pertanyaan boleh menghubungi talian 019-2926401