Biodata Ramlee Awang Murshid 

RAMLEE AWANG MURSHID lahir pada 4 November 1967 di daerah Papar, Sabah. Memulakan persekolahan di Sekolah Rendah Kapayan Kota Kinabalu (1974-1979). Kemudian menuntut di Sabah College (1980-1984). Sijil Komunikasi Universiti Kebangsaan Malaysia (1999-2000). Kini, Ramlee memiliki ijazah B.A (Hons) Communication Universiti Kebangsaan Malaysia. Bertugas sebagai wartawan penyiaran di RTM Angkasapuri Kuala Lumpur.

Dalam dunia penulisan, setakat ini Ramlee telah memiliki empat anugerah. Kejayaan novel PEI PAN yang diiktiraf pemenang kedua Hadiah Sako bagi Novel Nasional 2002 (yang diadakan lima tahun sekali) dianggap kejayaan paling manis. Ramlee merupakan penulis pertama dari Sabah yang meraih kemenangan itu.

Selain itu, novel IGAUAN MAUT (terbitan 1995) merupakan novel pertama pernah memenangi hadiah tempat kedua dalam peraduan menulis novel dewasa anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) negeri Sabah. Novel IGAUAN MAUT sekali lagi dipilih memenangi Hadiah Sastera Negeri Sabah 1994/1995 dan baru-baru ini, Ramlee sekali lagi terpilih sebagai penerima Hadiah Karya Sulung sempena perayaan 25 tahun DBP cawangan Sabah dan anugerah novelis prolifik Alaf 21.

Sehingga kini, Ramlee telah menghasilkan sembilan buah novel. Dalam pendidikan di UKM, Ramlee pernah menerima anugerah pelajar terbaik komunikasi (2000), watikah penghargaan khas (2001) dan pelajar terbaik keseluruhan Pusat Pengajian Media dan Komunikasi UKM (2002).

Kini, Ramlee sedang menyiapkan novel terbarunya yang berjudul TOMBIRUO TERAKHIR untuk terbitan 2004. TOMBIRUO TERAKHIR sebagai pelengkap trilogi TOMBIRUO dan SEMANGAT HUTAN merupakan penutup bagi kedua-dua novel tersebut.

Novel-novel Ramlee Awang Murshid:

Kembali Ke Menu
Kembali Ke Menu Utama

 

Sinopsis: SEMANGAT HUTAN

BILA Amiruddin terdengar berita mengenai sebuah jet peribadi terhempas di hutan Keningau, memorinya segera terbayangkan Wan Suraya kekasihnya. Benar... gadis itu adalah di antara mangsa yang terlibat. Dengan seorang rakan, Amiruddin bergegas ke tempat tragedi. Saudaranya yang tinggal di hutan juga dihubungi secara psikik untuk turut membantu.

Dalam pada itu, sejenis makhluk aneh berkeliaran di hutan tersebut. Rogon amat digeruni oleh penduduk di pedalaman. Raungannya sahaja boleh mengecutkan perut. Bila ia menerjah, mangsa hanya mampu pasrah menanti ajal. Rogon juga tercium bau manusia di hutan sekitar tempat terhempasnya jet itu.

Di antara Amiruddin dan Rogon, siapakah yang terlebih dahulu menemui Wan Suraya?

HARGA PASARAN: RM19.90
HALAMAN: 521
ISBN: 983-124-052-9