Biodata Norhayati Berahim

SAYA dilahirkan dalam keluarga yang cukup sederhana, mempunyai lapan adik-beradik dari dua ibu yang berlainan. Hubungan kami adik-beradik amat akrab. Terlalu banyak pengalaman yang saya kutip sewaktu kecil. Ketika berusia tujuh tahun saya sudah berjalan kaki pergi balik sejauh lima batu menoreh getah. Namun, kesusahan mengajar saya lebih berdikari.

Saya gemar belajar. Belajar tidak rugi. Itu prinsip saya. Sekolah saya bukan sahaja di kolej atau di universiti tetapi juga di jalan, di dalam bas malah di mana-mana di muka bumi ini. Seperti kata pepatah, dunia seperti sebuah buku; sesiapa yang tidak mengembara ibarat hanya membaca sehelai muka surat sahaja. Maka sebab itulah saya minat mengembara. Menambah lagi pengalaman, melalui perjalanan. Merasai kelainan makanan, kelainan cuaca dan paling penting kelainan kebudayaan dan kepercayaan. Lalu saya lebih memahami kekuasaan ALLAH, lebih bersyukur dan paling penting lebih tabah!

Bekerja? Sudah terlalu banyak pengalaman kerja saya. Di kilang, di syarikat swasta, di badan kerajaan dan sekarang di bidang perbankan. Bekerja di bidang perbankan menjadikan saya terasing dari dunia penulisan. Material menjadi pokok persoalan setiap hari di tempat kerja.

Dan untuk mengimbanginya saya perlu mencari jalan keluar. Membaca, memerhati dan menghayati. Maka saya luahkan melalui penulisan. Menulis hanya untuk kepuasan; itu yang saya pegang. Syukur kerana saya percaya rezeki ada di mana-mana. Mesej yang tersirat dapat disampaikan pada pembaca. Tak banyak sedikit jadilah.

Saya tidak mempunyai banyak impian dalam hidup. Cuma satu sahaja; saya mahu sihat sentiasa supaya saya dapat terus berkarya dan belajar.

Novel-novel Norhayati Berahim:

Kembali Ke Menu
Kembali Ke Menu Utama

 

Sinopsis: HATI SEORANG WANITA

ATIA dilahirkan di luar kemahuan ayah dan ibunya. Namun, dia pasrah dengan ketetapan ILAHI walau dendam terus menghuni di hati. Perkahwinan yang diatur kiranya tidak menjanjikan apa-apa. Bagi dia, suami milik isteri yang abadi. Mesti dikasihi sepenuh hati. Rupa-rupanya tidak ada apa yang dapat dipegang pada janji manis seorang lelaki.

Setelah sekian lama mencari di mana harga diri, di mana kesilapan diri, dia bangun semula bersama tekad di hati. Meski disingkir, meski diuji, namun jiwanya tak pernah mati. Bahagia mesti dicari, peristiwa pahit mesti dilupai kerana hati wanitanya percaya, esok masih ada cahaya, masih ada sinar bahagia.

HARGA PASARAN: RM19.90
HALAMAN: 520
ISBN: 983-124-071-5