Biodata Norhayati Berahim

SAYA dilahirkan dalam keluarga yang cukup sederhana, mempunyai lapan adik-beradik dari dua ibu yang berlainan. Hubungan kami adik-beradik amat akrab. Terlalu banyak pengalaman yang saya kutip sewaktu kecil. Ketika berusia tujuh tahun saya sudah berjalan kaki pergi balik sejauh lima batu menoreh getah. Namun, kesusahan mengajar saya lebih berdikari.

Saya gemar belajar. Belajar tidak rugi. Itu prinsip saya. Sekolah saya bukan sahaja di kolej atau di universiti tetapi juga di jalan, di dalam bas malah di mana-mana di muka bumi ini. Seperti kata pepatah, dunia seperti sebuah buku; sesiapa yang tidak mengembara ibarat hanya membaca sehelai muka surat sahaja. Maka sebab itulah saya minat mengembara. Menambah lagi pengalaman, melalui perjalanan. Merasai kelainan makanan, kelainan cuaca dan paling penting kelainan kebudayaan dan kepercayaan. Lalu saya lebih memahami kekuasaan ALLAH, lebih bersyukur dan paling penting lebih tabah!

Bekerja? Sudah terlalu banyak pengalaman kerja saya. Di kilang, di syarikat swasta, di badan kerajaan dan sekarang di bidang perbankan. Bekerja di bidang perbankan menjadikan saya terasing dari dunia penulisan. Material menjadi pokok persoalan setiap hari di tempat kerja.

Dan untuk mengimbanginya saya perlu mencari jalan keluar. Membaca, memerhati dan menghayati. Maka saya luahkan melalui penulisan. Menulis hanya untuk kepuasan; itu yang saya pegang. Syukur kerana saya percaya rezeki ada di mana-mana. Mesej yang tersirat dapat disampaikan pada pembaca. Tak banyak sedikit jadilah.

Saya tidak mempunyai banyak impian dalam hidup. Cuma satu sahaja; saya mahu sihat sentiasa supaya saya dapat terus berkarya dan belajar.

Novel-novel Norhayati Berahim:

Kembali Ke Menu
Kembali Ke Menu Utama

 

Sinopsis: EGOIS

ATIA dan Fikri berkawan sejak di bangku sekolah dan kini sama-sama bekerja sebagai remiser. Hubungan mereka telah diketahui oleh keluarga masing-masing. Namun sebagai wanita, Atia tidak pernah mempamerkan emosinya sama ada dia menyukai Fikri sebagai kekasih atau sebagai sahabat. Fikri yang memang menyintai Atia mula mereka cerita yang dia sudah bertunang kerana mahu melihat reaksi Atia. Atia walaupun tidak pernah mempamerkan emosinya sebenarnya memang menyintai Fikri. Dia berasa amat kecewa dengan berita pertunanganh itu. Sebagai seorang remiser, Atia mempunyai ramai pelanggan dan salah seorangnya Lokman. Lokman seorang yang male chauvinist akhirnya jatuh cinta pada Atia namun Atia menolaknya kerana bagi dia cinta tidak semudah itu beralih arah.

Selepas emak Atia, Ralah meninggal dunia, Atia diberitahu oleh ayah mereka Ramlah mempunyai seorang kakak. Atia pergi mencari emak saudaranya yang dipanggil Mak Long mempunyai seorang anak bernama Azali.

Kerana kecewa mendengar cerita pertunangan Fikri, Atia selalu mengunjungi Mak Longnya ketika hujung minggu. Dari situ, hubungan Atia dengan Azali bertambah rapat. Haji Idris melahirkan kebimbangannya apabila Azali mahu meminang Atia. Mereka tidak boleh berkahwin kerana mereka adik-beradik. Sebelum Haji Idris berkahwin dengan Ramlah, dia pernah berkahwin dengan Hasnah ataupun Mak Long, emak kepada Azali. Berita tersebut membuat Atia bertambah luka dan dia membuat keputusan untuk ke luar negara mengubati hatinya yang terluka.

Mendengar berita Atia mahu meletakkan jawatan, Fikri menjadi kelam kabut. Dia mahu menjelaskan perkara sebenar pada Atia tapi Atia enggan menerimanya. Akhirnya Fikri mahu tidak mahu terpaksa meminta bantuan Halimah, kakak Atia dan rakan-rakan sekerja untuk menculik Atia.

HARGA PASARAN: RM12.00
HALAMAN: 310
ISBN: 983-124-051-0