Biodata
Norhayati Berahim
SAYA dilahirkan dalam keluarga
yang cukup sederhana, mempunyai lapan adik-beradik dari dua ibu
yang berlainan. Hubungan kami adik-beradik amat akrab. Terlalu banyak
pengalaman yang saya kutip sewaktu kecil. Ketika berusia tujuh tahun
saya sudah berjalan kaki pergi balik sejauh lima batu menoreh getah.
Namun, kesusahan mengajar saya lebih berdikari.
Saya
gemar belajar. Belajar tidak rugi. Itu prinsip saya. Sekolah saya
bukan sahaja di kolej atau di universiti tetapi juga di jalan, di
dalam bas malah di mana-mana di muka bumi ini. Seperti kata pepatah,
dunia seperti sebuah buku; sesiapa yang tidak mengembara ibarat
hanya membaca sehelai muka surat sahaja. Maka sebab itulah saya
minat mengembara. Menambah lagi pengalaman, melalui perjalanan.
Merasai kelainan makanan, kelainan cuaca dan paling penting kelainan
kebudayaan dan kepercayaan. Lalu saya lebih memahami kekuasaan ALLAH,
lebih bersyukur dan paling penting lebih tabah!
Bekerja? Sudah
terlalu banyak pengalaman kerja saya. Di kilang, di syarikat swasta,
di badan kerajaan dan sekarang di bidang perbankan. Bekerja di bidang
perbankan menjadikan saya terasing dari dunia penulisan. Material
menjadi pokok persoalan setiap hari di tempat kerja.
Dan untuk mengimbanginya
saya perlu mencari jalan keluar. Membaca, memerhati dan menghayati.
Maka saya luahkan melalui penulisan. Menulis hanya untuk kepuasan;
itu yang saya pegang. Syukur kerana saya percaya rezeki ada di mana-mana.
Mesej yang tersirat dapat disampaikan pada pembaca. Tak banyak sedikit
jadilah.
Saya tidak mempunyai
banyak impian dalam hidup. Cuma satu sahaja; saya mahu sihat sentiasa
supaya saya dapat terus berkarya dan belajar.
Novel-novel Norhayati Berahim:
Kembali
Ke Menu
Kembali Ke Menu Utama |