Biodata Norhayati Berahim

SAYA dilahirkan dalam keluarga yang cukup sederhana, mempunyai lapan adik-beradik dari dua ibu yang berlainan. Hubungan kami adik-beradik amat akrab. Terlalu banyak pengalaman yang saya kutip sewaktu kecil. Ketika berusia tujuh tahun saya sudah berjalan kaki pergi balik sejauh lima batu menoreh getah. Namun, kesusahan mengajar saya lebih berdikari.

Saya gemar belajar. Belajar tidak rugi. Itu prinsip saya. Sekolah saya bukan sahaja di kolej atau di universiti tetapi juga di jalan, di dalam bas malah di mana-mana di muka bumi ini. Seperti kata pepatah, dunia seperti sebuah buku; sesiapa yang tidak mengembara ibarat hanya membaca sehelai muka surat sahaja. Maka sebab itulah saya minat mengembara. Menambah lagi pengalaman, melalui perjalanan. Merasai kelainan makanan, kelainan cuaca dan paling penting kelainan kebudayaan dan kepercayaan. Lalu saya lebih memahami kekuasaan ALLAH, lebih bersyukur dan paling penting lebih tabah!

Bekerja? Sudah terlalu banyak pengalaman kerja saya. Di kilang, di syarikat swasta, di badan kerajaan dan sekarang di bidang perbankan. Bekerja di bidang perbankan menjadikan saya terasing dari dunia penulisan. Material menjadi pokok persoalan setiap hari di tempat kerja.

Dan untuk mengimbanginya saya perlu mencari jalan keluar. Membaca, memerhati dan menghayati. Maka saya luahkan melalui penulisan. Menulis hanya untuk kepuasan; itu yang saya pegang. Syukur kerana saya percaya rezeki ada di mana-mana. Mesej yang tersirat dapat disampaikan pada pembaca. Tak banyak sedikit jadilah.

Saya tidak mempunyai banyak impian dalam hidup. Cuma satu sahaja; saya mahu sihat sentiasa supaya saya dapat terus berkarya dan belajar.

Novel-novel Norhayati Berahim:

Kembali Ke Menu
Kembali Ke Menu Utama

 

Sinopsis: AIR MATA KASIH

TRAGEDI 40 tahun dulu telah meninggalkan bayangan hitam dalam hidup Fakrulrazi. Kerana tingkah seorang perempuan, dia menyimpan dendam pada perempuan. Baginya, perempuan sering mendatangkan bencana. Oleh itu, timbul diskriminasi antara anak lelaki dan anak perempuan dalam keluarganya. Dan dia sendiri amat memusuhi anak perempuannya Farah Diba, sedangkan gadis itu tidak bersalah. Malah dia cuba menafikan kewujudan gadis itu dari pengetahuan rakan-rakan bisnesnya.

Farah Diba, cekalkan hati untuk menghadapi kebencian bapanya. Dengan air mata, dia meneruskan kehidupannya tanpa kasih sayang dan perhatian lelaki itu. Sebagai mangsa sebuah dendam, dia mahu membuktikan bahawa anak perempuan juga punya hak dan berhak!

TUHAN menurunkan 'petunjuk' bila Fakrulrazi dan anak lelakinya Fuad serta Farid hilang di Whitsunday Island, Australia. FAS Holdings milik Fakrulrazi menjadi rebutan rakan dan saudara mara. Akhirnya, Farah Diba terpaksa menerajui syarikat itu. Tanpa dendam, benci atau sakit hati, dia melonjakkan nama syarikat itu di mata korporat. Namun, usahanya itu tidak berpanjangan bila Fakrulrazi kembali!

Di manakah Farah Diba selepas ini?
Adakah dendam itu terus menjadi hitam?
Hanya lelaki itu yang dapat menjawab persoalan ini!

HARGA PASARAN: RM15.00
HALAMAN: 400
ISBN: 983-124-107-x