ULASAN BUKU

MEMBINA PERIBADI MUSLIM
Islam adalah agama yang syumul. Ia merangkumi segenap aspek kehidupan manusia di alam ini. Walaupun terdapat pelbagai percambahan sains dan teknologi yang kian berkembang di alam ini, ia tidak dapat mengubati jiwa dan kerohanian seseorang individu itu. Oleh itu, setiap individu perlu melengkapkan dirinya melalui nilai-nilai murni yang telah di gariskan oleh Islam.

Peribadi Muslim bertakwa adalah salah satu buku yang boleh menjadi panduan setiap Muslim dalam menghiasi diri dengan akhlak yang mulia. Seorang Muslim perlu sedar dan yakin bahawa dengan adanya sifat-sifat yang terpuji dalam diri akan dapat meningkatkan ketakwaan dan keimanan kepada ALLAH. Zikir berupaya menjadi terapi kegundahan jiwa di samping menghembus ketenangan hati dalam mengharungi pentas kehidupan. Begitu juga dengan muhasabah diri sebagai pelengkap yang menjadi teras kecemerlangan dalam membentuk jati diri individu terbilang.

Tiada suatu yang lebih berharga pada diri seseorang Muslim itu melainkan akhlak yang terpuji kesan daripada didikan junjungan mulia Rasulullah s.a.w dalam jiwa umatnya. Sesungguhnya akhlak Rasulullah s.a.w itu adalah akhlak al-Quran. Sepatutnya, al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w yang gemilang dan cemerlang itu dijadikan sumber rujukan dalam menjejaki keterampilan akhlak yang luhur agar ia dapat mewarnai kehidupan manusia sejagat.

Di sinilah terletaknya keunikan dan kehebatan Islam yang berjaya melahirkan generasi al-Quran yang unik di alam ini. Buku kecil ini sewajarnya dimiliki oleh semua lapisan masyarakat ke arah melahirkan generasi generasi al-Quran yang unik.


Tajuk: Membina Peribadi Muslim
Penulis: Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
Harga: RM 8.00
Borang Langganan

Kembali ke menu utama