PENAT LELAH TENAGA KARANGKRAF TERBAYAR
PESTA BUKU ANTARABANGSA 2009 ternyata memberi makna kepada Karangkraf dan sekutunya iaitu Alaf 21 dan Buku Prima. Mana tidaknya selama sepuluh hari kami berkampung di PWTC, rata-rata pengunjung akan tetap singgah di gerai Karangkraf, Alaf 21 dan Buku Prima. Yang lebih menariknya apabila gerai kami tersergam indah dengan tema Go Green menghijau dari jauh. Para pengunjung yang berada di tingkat atas terus menyerbu gerai kami di situ. Begitu juga mereka yang berada di tingkat bawah, terus sahaja melangkah kaki memandang tempat kami yang begitu strategik iaitu berhadapan dengan pintu masuk. Sesak? Sudah tidak terkata lagi kerana pengunjung menyerbu bagaikan untuk mendapatkan seketul pisang goreng yang panas. ‘Gila baca’… itulah yang boleh kami katakan kerana mereka terus mendapatkan bahan bacaan kami yang terbaru, terutamanya di buku-buku baru di gerai Alaf 21 dan Buku Prima. Pendek kata, mereka sanggup berhabis beratus-ratus ringgit dan tidak menyesal membeli produk kami. Kesesakan pada hari kemuncak iaitu Sabtu dan Ahad memberi peluang untuk mereka yang datang dari seluruh pelosok negara untuk membeli bahan bacaan yang santai dan berilmu. Kesesakan itu juga menyebabkan para petugas berhimpit-himpit antara pengunjung sehingga kami sendiri terkeluar dari gerai. Novel merupakan kegilaan mereka. Lebih teruja bila dapat berpeluang berjumpa dengan barisan penulis. Biar sesak, biar terasa panas, biar kena marah… berjumpa dengan penulis tersebut perlu diutamakan. Bila lagi mahu minta tandatangan dan merakam lensa bersama mereka kalau bukan ketika pesta buku begini? Sakit badan dan kaki akibat bertolakan dan dipijak oleh para pengunjung serta penat lelah terpaksa kami hadapi dengan tenang. Namun, ia tetap berbayar dengan rasa puas hati kerana dalam kegawatan ekonomi yang dihadapi oleh dunia, produk kami tetap menjadi pilihan nombor satu mereka. Malah, ke mana-mana mereka pergi, beg plastik Karangkraf dan Alaf 21 ada di tangan mereka. Kepada semua pembaca, terima kasih kerana mengunjungi gerai kami. Ragam pengunjung...
Ragam Petugas...
|
|||||||||||||||||||||||||||