KAMI
mempunyai dua orang ahli panel iaitu
Ustaz
Mohd Noor dan Ustazah
Sakinah. Mereka sedia menjawab sebarang
kemusykilan daripada anda. Insya-ALLAH mereka akan
cuba menjawab segala persoalan anda sebaik mungkin
berdasarkan al-Quran, Sunnah, pendapat sahabat tabiin,
tabi' tabiin dan para ulama yang termasyhur sama ada
yang terdahulu mahupun yang terkemudian. Mudah-mudahan
kita semua mendapat petunjuk...

WALI
TAK SOLAT
Soalan:
Adakah seorang bapa yang tidak pernah solat bertahun-tahun
boleh mewalikan anak perempuannya?
Nor
Shuhadah Mohd Sharif
Klang, Selangor.
Jawapan:
Alhamdulillah, wali yang tidak solat digelarkan sebagai
wali fasik. Fasik bermaksud seorang Islam yang suka
melakukan maksiat. Maksiat paling besar ialah meninggalkan
solat. Sah perkahwinan berwalikan wali fasik selagi
dia tidak menganggap bahawa solat itu tidak wajib.
Tetapi, jika sebaliknya, jelas dia telah murtad dan
perlu bertaubat. Tidak sah berwalikannya. Jika tidak
bertaubat, wajib dijatuhkan hukuman bunuh ke atasnya.
PEWANGI
BERALKOHOL
Soalan:
1) Saya ada terbaca majalah agama pada tahun lepas.
Artikel ini di tulis oleh Dr.Mahmud Zuhdi tentang
pemakaian alkohol dalam perfume dan deodran dan apa
hukumnya jika di bawa dalam sembahyang. Dalam artikel
tersebut ada menyatakan bahawa sah sembahyang itu
kerana alkohol itu di digunakan bukan untuk tujuan
memabukkan.Bagaimana pendapat ustaz/ustazah?
2) Saya masih seorang pelajar di sebuah IPTA dan saya
tinggal di asrama. Masalah saya sekarang saya mempunyai
teman sebilik yang tak sembahyang. Saya dan teman
yang lain dah cuna menasihatkan dia tapi tidak berkesan.
Adakah saya harus menggunakan cara psikologi untuk
mengubah beliau. Adakah saya dikira bersubahat kerana
dosa yang dilakukan beliau.
Mohammad
Kampung Majhul, Selangor.
Jawapan:
Pertama, hukum asal menggunakan pewangi adalah harus
kecuali jelas ia diperbuat daripada sesuatu yang memabukkan,
bernajis dan sebagainya. Jika tidak bercampur dengan
perkara itu, boleh dipakai seperti minyak wangi diperbuat
daripada kayu gaharu, cendana, kasturi dan sebagainya.
Mengenai
pewangi beralkohol, ulama berbeza pendapat. Ini kerana,
arak itu pada asalnya haram diminum tetapi tidak najis
dipegang atau terkena pada kulit. Oleh itu, sebahagian
pendapat ulama mengatakan harus menggunakan pewangi
beralkohol. Ini kerana, ia bukan diminum dan tidak
najis menggunakannya. Jadi, solat tetap sah dengan
memakainya. Terbaik, elakkan diri daripada memakai
wangian beralkohol yang meragukan setelah dibuat kajian.
Kedua,
kamu tidak perlu risau kerana kawan kamu tidak mahu
solat. Kamu tiak besubahat dengannya selagi masih
menasihatinya. Tugas seorang Islam menasihati kawannya
serta mencegah agar tidak melakukan perbuatan mungkar.
Hidayah hanya daripada ALLAH.
Namun,
teruskan usaha menasihatinya. Takutkan dia dengan
azab dan balasan yang bakal menimpa dirinya. Cuba
bayangkan kepadanya jika dia mati ketika sedang berbuat
kemungkaran dan tidak solat. Apakah jawapan yang akan
diberikan kepada ALLAH.
Ingatkan
dia bahawa meninggalkan solat menyebabkan amal solehnya
pada hari itu tertolak. Jadi, amal soleh tidak diterima
sedangkan dosanya semakin bertambah. Inikah yang bakal
dibawa kepada TUHAN.
Jika
meninggalkan solat secara sengaja dan menganggapnya
tidak wajib, jelas dia telah murtad. Wajib bertaubat.
Jika tidak, dia boleh dijatuhkan hukuman bunuh.
MUHAMMAD
PENUTUP NABI
Soalan:
Nabi apakah yang masih hidup hingga ke hari ini?
Jawapan:
Pertama, perlu diketahui bahawa tidak ada Nabi lagi
akan diutus selepas kewafatan Nabi s.a.w.
Firman
ALLAH S.W.T:
“Muhammad
itu bukanlah hanya sebagai bapa kepada seorang pemuda
dari kalangan kamu, tetapi baginda ialah Rasulullah
dan penutup segala Nabi.” (Surah al-Ahzab: 40)
Kedua,
jika ada orang berkata bahawa, Nabi Khaidir a.s masih
hidup, semua itu adalah dakwaan palsu dan bohong.
Pembohongan ahli sufi dan tarikat yang menyesatkan
ini jelas menyanggahi al-Quran dan Sunnah yang sahih.
Jika
ada orang berkata bahawa Nabi Isa a.s masih belum
diwafatkan, memang benar. Baginda diangkat oleh ALLAH
S.W.T ke langit. Ajal baginda ditangguhkan sehingga
keluarnya al-Masih al-Dajjal. Baginda memang ditakdirkan
oleh ALLAH untuk membunuh Dajjal di Kota Lud, Palestin.
Setelah itu, ALLAH akan wafatkan baginda serta akan
disolatkan oleh seluruh Muslimin yang berada di situ.

SOLAT
HAJAT & TAUBAT
Soalan:
Boleh tak ustazah terangkan cara-cara menunaikan Solat
Hajat & Solat Taubat dengan betul? Terima kasih.
alyaa, sarawak.
Jawapan:
Nama Solat Hajat diambil sempena hadis yang statusnya
para ulama berbeza pendapat. Ada sebahagian ulama
mengklasifikasikan hadis itu daif. Antara mereka Muhammad
Nasiruddin al-Albani, al-Tirmizi dan al-Hakim. Ada
juga ulama yang mengatakan bahawa hadis tersebut berstatus
hasan kerana terdapat banyak riwayat daif yang lain
menguatkannya sehingga ia diangkat ke martabat hasan.
Hadis
tersebut adalah seperti berikut:
"Abdullah bin Abi Aufa al-Aslami berkata: Rasulullah
s.a.w keluar kepada kami dan berkata: Sesiapa yang
mempunyai sebarang hajat terhadap ALLAH atau sesiapa
daripada makhluknya, maka berwuduk dan lakukanlah
solat dua rakaat. Kemudian, bacalah: Laa ilaaha illallahu
al-Halim al-Kariim subhanallahi rabbil 'arsyil 'azim
al-Hamdulillahi rabbil 'alamin, allahumma inni asaluka
mujibaati rahmatik wa azaaima maghfiratik wal ghaniimata
min kulli birrin wassalaamata min kulli ismin asaluka
ala tada'a li dzanban illa ghafartahu, wala hamman
illah farrajtahu, wa la haajatan hiya laka ridhan
illah qadhaitaha li. Kemudian, meminta apa sahaja
yang diingininya daripada ALLAH sama ada perkara dunia
mahu pun akhirat. Sesungguhnya DIA akan mentakdirkan."
– Riwayat Ibn Majah: 1374.
Al-Tirmizi
berkata bahawa Qaid bin Aburrahman (salah seorang
perawi hadis di atas) seorang yang lemah. Bahkan al-Albani
mengatakan bahawa dia tersangat lemah. Al-Hakim pula
mengatakan bahawa ia hadis palsu. (Rujuk: Musykaat
al-Masobih, jil: 1, ms: 417. Al-Hakim dan Ibn al-'Arabi
juga mengatakan hadis ini daif).
Jika
kita mengatakan bahawa hadis ini hasan, maka kita
boleh beramal dengannya, dengan syarat mengikut sepertimana
cara yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w, iaitu
solat dua rakaat dengan membaca sebarang surah yang
dihafal. Kemudian meminta sebarang hajat, sama ada
ketika sujud, semasa tahiyat sebelum salam atau sebagainya.
Mengikut riwayat, Imam al-Bukhari sering melakukan
solat dua rakaat sebelum meletakkan sesuatu hadis
dalam kitabnya. Jadi, solat dua rakaat sebelum melakukan
sesuatu atau untuk meminta sesuatu merupakan amalan
orang soleh.
Berhubung
dengan cara yang dilakukan oleh kebanyakan umat Islam
di Malaysia, iaitu dengan bacaan tertentu, seperti
ayat Kursi pada rakaat pertama dan Surah al-Ikhlas
11 kali pada rakaat kedua serta bacaan khusus semasa
sujud, ia tidak pernah diriwayatkan daripada Rasulullah
s.a.w, para sahabat, tabiin dan tabi' tabiin, sama
ada melalui riwayat sahih ataupun daif. Lebih-lebih
lagi jika ia dilakukan secara berjemaah di masjid.
Ingatlah bahawa setiap ibadah yang tidak berdasarkan
petunjuk Rasulullah s.a.w adalah bidaah yang dilarang
oleh syarak.
Sabda
Rasulullah s.a.w:
"Sesiapa yang mencipta sesuatu perkara dalam
urusan kami ini, apa yang bukan daripadanya (al-Quran
dan Sunnah), maka ia tertolak." – Riwayat
al-Bukhari dan Muslim.
Saudari
juga boleh berdoa meminta apa sahaja yang dihajati
pada waktu-waktu doa dimakbulkan, seperti penghujung
malam, penghujung solat sebelum salam, hari Jumaat
di mana satu detik pada hari itu merupakan saat di
mana doa tidak ditolak, ketika berbuka puasa, antara
azan dan iqamah dan sebagainya.
Firman
ALLAH S.W.T:
"Apabila hamba-KU bertanya kepadamu
(wahai Muhammad) tentangKU, maka sesungguhnya aku
dekat. Aku akan mengabulkan doa jika dia memohon."
- Surah al-Baqarah: 186.
Berhubung
dengan Solat Taubat pula, ia berdasarkan hadis berikut:
Ali
bin Abu Talib r.a berkata bahawa aku mendengar Rasulullah
s.a.w bersabda:
"Sesiapa yang melakukan dosa kemudian dia bangun
dan membersihkan diri (berwuduk) kemudian mendirikan
solat kemudian memohon ampun, ALLAH pasti akan mengampunkannya.
Kemudian dia membaca Surah Ali Imran, ayat 15-17."
– Hadis hasan Riwayat al-Tirmizi dan Abu Daud.
Ingatlah bahawa ALLAH amat menyintai orang-orang yang
bertaubat. Walaupun seseorang itu telah berbuat dosa
berkali-kali, ALLAH akan sentiasa gembira menerima
taubat hamba-NYA.
Abu
Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda
melalui hadis Qudsi:
"Seorang hamba ALLAH melakukan dosa, lalu berdoa:
Wahai TUHANku, ampunkanlah dosaku. ALLAH berfirman:
Hamba-KU telah melakukan dosa, tetapi dia tahu bahawa
dia mempunyai TUHAN yang akan mengampunkan dosa atau
menghukumnya kerana melakukan dosa. Kemudian, hamba
itu kembali melakukan dosa, lalu berdoa: Wahai TUHANku,
ampunkanlah dosaku.
ALLAH
berfirman:
Hamba-KU melakukan dosa tetapi dia tahu bahawa dia
mempunyai TUHAN yang akan mengampunkan dosa atau menghukumnya
kerana melakukan dosa. Kemudian hamba ALLAH itu kembali
melakukan dosa, lalu berdoa: Wahai TUHANku, ampunkanlah
dosaku. ALLAH berfirman: HambaKU melakukan dosa, tetapi
dia tahu bahawa dia mempunyai TUHAN yang akan mengampunkan
dosa atau menghukumnya kerana melakukan dosa. Oleh
itu, buatlah sesuka hatimu, AKU akan ampunkan dosamu.
Hamba itu berkata: Aku tidak tahu sehingga kali ketiga
atau keempat aku meminta keampunan tetapi ALLAH tetap
berfirman: Buatlah sesuka hatimu, AKU tetap akan mengampunkan
dosamu." – Riwayat Muslim.
Firman
ALLAH S.W.T:
"Sesungguhnya ALLAH menyukai orang-orang yang
bertaubat dan orang-orang yang menyucikan diri."
- Surah al Baqarah: 222.
Firman
ALLAH S.W.T:
"Katakanlah: Wahai hamba-hamba-KU yang melampaui
batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu
berputus asa terhadap rahmat ALLAH. Sesungguhnya ALLAH
mengampuni dosa-dosa semua. Sesungguhnya DIA Maha
Pengampun lagi Maha Penyayang." -Surah al-Zumar:
53.
BELAJAR
AL-QURAN MELALUI VCD
Soalan:
Bolehkah kanak-kanak berusia dua tahun belajar iqra'
melalui VCD cara cepat belajar membaca al-Quran, memandangkan
di tempat saya susah nak cari guru mengajar kerana
saya berada di Ireland. Tetapi kanak-kanak itu itu
akan belajar melalui guru bila balik dari Malaysia
dan umur yang layak utk belajar kelak melalui guru.
Hani
Azura Matsaad
[haniazura@hotmail.com]
Jawapan:
Tidak salah menggunakan teknologi moden untuk mempelajari
al-Quran atau apa sahaja kemudahan yang ada untuk
kemaslahatan umat Islam dan penyebaran dakwah. Bahkan
itulah yang dituntut. Umat Islam perlu sentiasa bergerak
seiring dengan pergerakan teknologi dan menggunakannya
sebagai alat untuk kemudahan mereka mengamal dan menyampaikan
agama. Jika umat Islam tidak menggunakan semua teknologi
moden ini ke arah pemantapan agama, ia akan digunakan
oleh musuh-musuh Islam untuk menyebarkan fahaman sesat
mereka kepada umat Islam.
Tidak
salah menggunakan VCD jika hanya dengan cara itu sahaja
anak puan akan mahir membaca al-Quran. Memang kesemua
anak perlu diajar membaca al-Quran menggunakan apa
sahaja teknik. Jika selepas itu puan ingin menghantarnya
ke mana-mana guru al-Quran, juga dibolehkan. Sebaik-baiknya
jika mampu, puan sendirilah yang mengajarnya kerana
puan lebih tahu kelemahan dan kekurangan serta tabiat
semulajadi anak.
BUDAK
DEGIL
Soalan:
Saya jaga seorang anak saudara yang berusia dua tahun
tapi dia sangat degil. Ustazah, boleh tak bagi tips
bagaimana nak atasi masalah ini?
ida
hanim
[idahanim@jpa.gov.my]
Jawapan:
Degil, nakal, tak dengar kata dan sebagainya memang
merupakan sifat semulajadi kanak-kanak. Saudari disyorkan
menangani masalah ini dengan mempelajari ilmu psikologi
kanak-kanak agar lebih mudah berhadapan dengan kerenah
mereka. Selain itu, mereka juga perlukan contoh tauladan
yang baik daripada orang dewasa, kata-kata lunak,
pujian, dipujuk dan sebagainya. Jangan sekali-kali
menengking mereka.
Ada
kalanya sikap degil dan nakal mereka itu berpunca
daripada orang yang ada di sekeliling mereka. kanak-kanak
yang baik berpunca daripada didikan orang yang baik.
Jadi, cubalah selidiki kelemahan diri dan perbaiki
kekurangannya dahulu. Kemudian, saudari akan dapati
hal itu mudah sahaja. Tambahan pula, setiap wanita
secara fitrahnya memang telah memiliki sifat keibuan.
Hadapilah mereka dengan sabar dan hikmah serta mintalah
agar ALLAH memberikan saudari kesabaran dan kekuatan.
LEWAT
MANDI JUNUB
Soalan:
Assalamualaikum...
Apakah hukum melewatkan mandi junud selepas bersetubuh?
Sahkah solat orang yang belum mandi junud?
Siti
Hanim
Seremban, N.Sembilan
Jawapan:
Seseorang itu tidak sepatutnya melewatkan mandi junub
kerana dia perlu mendirikan solat pada waktu yang
telah ditetapkan. Dan solat seseorang tidak sah sehinggalah
dia suci daripada hadas kecil dan besar.
Firman
ALLAH S.W.T:
"Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu
berdiri untuk menunaikan solat, maka basuhlah muka
kamu dan tangan kamu sehingga ke siku. Sapulah juga
(dengan air) rambut kamu serta kaki kamu hingga kedua-dua
buku lali. Jika kamu dalam keadaan junub (berhadas
besar), maka bersucilah." - Surah al-Maidah:
6.
Firman
ALLAH S.W.T:
"Solat tanpa suci (daripada hadas kecil dan besar)
tidak akan diterima." – Riwayat Muslim.
PUTUS
TUNANG KERANA SAKIT KETURUNAN
Soalan:
A'kum,
Apakah hukum memutuskan pertunangan hanya disebabkan
keluarga tunang menghidap penyakit keturunan? Ini
kerana, saya bimbang pada masa akan datang anak keturunan
saya akan mengidap penyakit yang sama.
Yanti,
Pahang.
Jawapan:
Saudari berhak berbuat demikian untuk memelihara keturunan
saudari. Islam memelihara lima perkara, termasuk keturunan
manusia. Rasulullah s.a.w juga memerintahkan agar
lelaki dan wanita yang ingin berkahwin melihat empat
perkara pada pasangan yang ingin dikahwini, termasuk
keturunan. Ini kerana, keturunan seseorang akan memberikan
kesan besar kepada rumah tangga. Walau bagaimanapun,
jika saudari berubah fikiran dan ingin meneruskan
juga hubungan dengan tunang saudari itu dan sedia
mengambil apa-apa risiko, Islam juga tidak melarang.
Wallahua'lam.
Bersama
Ustazah Azizah
BERKHATAN
Soalan:
Masalah berkhatan. Kakak ipar saya seorang doktor
disoal oleh doktor kristian. Adakah berkhatan ini
ada dalam al-Quran atau Hadis. Perkara ini berlaku
di Ireland, ada seorang budak meninggal kerana berkhatan.
Doktor kristian tersebut meminta ia diharamkan di
negara ini(ireland)?
Jawapan:
Khatan adalah istilah melayu. Manakala perkataan yang
sebenarnya ialah khitan. Semua ulama bersepakat mengenai
kesahihannya. Begitu juga doktor-doktor perubatan.
Khitan terdapat dalam al-Quran dan Sunnah Rasulullah
s.a.w. Antaranya,
Firman
ALLAH S.W.T:
“Kemudian KAMI wahyukan kepadamu (Muhamad).
Ikutlah agama Ibrahim seorang yang hanif dan bukanlah
dia termasuk bersama orang-orang yang mempersekutukan
TUHAN.”- Surah al-Nahl: 123.
Dan
“Dan
siapakah yang lebih baik sibghahnya (agama) daripada
ALLAH? Dan hanya kepada-NYAlah kami menyembah.”-
Surah al-Baqarah: 138.
Abu
Hurairah r.a berkata, sabda Rasulullah s.a.w:
“Fitrah itu lima perkara: Khitan (bersunat),
mencukur bulu ari-ari, mencabut bulu ketiak,
memotong kuku dan menipiskan misai.”- Hadis
riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Ia
adalah asas kepada fitrah kejadian manusia, syiar
Islam dan tanda-tanda kebesaran syariat ALLAH. Ia
juga merupakan salah satu daripada kesempurnaan iman
yang telah diamanahkan oleh ALLAH kepada Nabi Ibrahim
a.s. Selain itu, ia adalah penyatuan hati, aqidah
dan iman yang menjadi tunggak agama yang dihubungkan
pada setiap fitrah kejadian manusia.
Terdapat
hikmah yang terkandung dalam perbuatan ini, antaranya:
1- Boleh membezakan antara orang Islam dan kafir.
2- Ia adalah satu penyaksian ubbudiyyah seorang hamba
kepada ALLAH, iaitu melakukan segala suruhan-NYA dan
meninggalkan segala larangan-NYA.
3- Khitan dapat membersihkan jiwa dan raga seseorang
Muslim.
4- Ia boleh mengawal nafsu syahwat.
5- Mengawal diri daripada melakukan maksiat dan sentiasa
terpelihara dengan akhlak yang mulia.
6- Memperindahkan kejadian manusia.
7- Menghindar diri dari terkena penyakit (untuk kesihatan
tubuh badan).
8- Ia adalah rahsia syariat yang telah dianugerahkan
oleh ALLAH kepada hamba-NYA.
Jadi,
khitan adalah wajib dalam Islam. Jika doktor itu ingin
mengharamkannya untuk umat Islam, maka ia tidak sepatutnya
dilakukan. Anda perlu berani mempertahankan syariat
ALLAH ini.
NAJIS
KENCING
Soalan:
Adakah pakaian yang terkena najis air kencing dikira
suci jika saya tidak mencampurkannya dalam mesin basuh?
Jawapan:
Tidak mengapa, hukum membasuh pakaian dengan mesin
basuh hanya diharuskan oleh syarak. Anda perlu ingat
bahawa air itu menyucikan sesuatu najis. Jadi, apabila
selesai membasuh kain dengan mesin basuh, anda perlu
membilasnya semula dengan air yang bersih supaya hilang
segala kotoran atau najis.
Kain
yang terkena air kencing itu perlu dibasuh dengan
air yang suci sehingga hilang bau dan warnanya. Ia
tetap suci walaupun tidak dicampurkan dalam mesin
basuh. Jadi, puan tidak perlu bimbang. Membasuh tanpa
menggunakan mesin basuh lebih baik.
MELURUSKAN
RAMBUT
Soalan:
Bolehkan saya meluruskan rambut dengan tujuan untuk
kelihatan cantik di depan suami dan anak-anak. Tetapi,
saya akan memakai tudung apabila keluar rumah?
Jawapan:
Secara umumnya berlebih-lebihan dalam mencantikkan
diri amat dilarang oleh syarak. Hukum meluruskan rambut
adalah haram disisi syarak kerana ia termasuk dalam
kategori mengubah ciptaan ALLAH. Sedangkan, setiap
sesuatu yang ALLAH ciptakan untuk hamba-NYA ada hikmahnya.
Jika puan mengubah ciptaan ini dengan meluruskan rambut,
maka anda telah termasuk dalam golongan ini. Walaupun
ia dibenarkan oleh suami anda agar kelihatan cantik
di depannya.
Puan
perlu ingat, apa yang kita lakukan perlu mengikut
landasan syarak yang betul-betul tepat dengan tuntutan
ALLAH kepada kita. Jangan ikutkan nafsu yang sering
menyuruh kita melakukan sesuatu yang boleh melanggar
hukum ALLAH. Ini kerana, tuntutan nafsu selalunya
dari Syaitan.
Banyak
perkara yang boleh mencantikkan anda selain daripada
perbuatan yang menyalahi syarak. Lakukanlah sesuatu
yang boleh memelihara hak ALLAH. Insyallah, anda akan
dipelihara oleh ALLAH.
Mohonlah pertolongan ALLAH jika kita tersasar dari
petunjuk-NYA. Kita hendaklah bersyukur dengan setiap
pemberian dari ALLAH.
Firman
ALLAH S.W.T:
“Dan aku benar-benar akan menyesatkan mereka,
dan aku bangkitkan angan-angan kosong pada mereka
dan menyuruh binatang (memotong telinga-telinga binatang
ternak), lalu mereka benar-benar memotongnya, dan
akan aku suruh mereka mengubah ciptaan ALLAH, lalu
benar-benar mereka mengubahnya. Sesiapa yang menjadikan
Syaitan sebagai pelindung selain ALLAH, maka sesungguhnya
ia menderita dalam kerugian yang nyata.”- Surah
al-Nisa’: 119.
|