KAMI
mempunyai dua orang ahli panel iaitu
Ustaz
Mohd Noor dan Ustazah
Sakinah. Mereka sedia menjawab sebarang
kemusykilan daripada anda. Insya-ALLAH mereka akan
cuba menjawab segala persoalan anda sebaik mungkin
berdasarkan al-Quran, Sunnah, pendapat sahabat tabiin,
tabi' tabiin dan para ulama yang termasyhur sama ada
yang terdahulu mahupun yang terkemudian. Mudah-mudahan
kita semua mendapat petunjuk...

MENCURI,
TETAPI BERAZAM MENGGANTI SEMULA
SOALAN:
Saya ada seorang kawan yang suka mencuri. Menurutnya,
dia mencuri kerana terdesak. Namun, dia berazam akan
menggantikan kembali wang yang dicurinya apabila dia
bekerja kelak. Untuk pengetahuan, dia juga mengambil
duit ibu bapanya untuk membeli barang keperluan walaupun
mereka berdua telah memberikan sebuah kehidupan yang
sempurna kepadanya. Apakah hukumnya?
puteri
hidayah
balqis_cadburygurlz@yahoo.com.my
JAWAPAN:
Mencuri
hukumnya berdosa. Makanan hasil curian akan menyebabkan
darah daging bercampur dengan hasil yang haram. ALLAH
telah menjelaskan hukuman yang patut dikenakan di
dunia bagi sesiapa yang mencuri sebagaimana firman-NYA:
"Orang
lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri
(hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan
dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga
sebagai) suatu hukuman pencegah daripada ALLAH. (Ingatlah)
ALLAH Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana." –
Surah al-Maaidah: 38.
Mencuri kerana terdesak tidak mengapa. ALLAH tidak
pernah menzalimi hamba-NYA disebabkan terpaksa. Kawan
saudari juga berazam akan menggantinya kembali setelah
bekerja. Dia wajib menunaikan nazarnya itu. Jika sebaliknya,
dia tetap berdosa kerana melanggar janji.
Pernah berlaku di zaman Nabi s.a.w yang mana jin yang
menyerupai manusia telah mencuri makanan yang diletakkan
di dalam baitulmal. Tetapi baginda tidak pernah memerintahkannya
agar dikenakan hukuman. Wallahu a'lam.
HUBUNGAN
(SEKS) 'RINGAN'
SOALAN:
Kawan saya sudah mempunyai teman lelaki. Menurutnya,
dia pernah tidur sekatil dengan teman lelakinya tetapi
tidak melakukan seks 'berat' tetapi sekadar 'ringan-ringan'.
Alhamdulillah sekarang dia telah memutuskan hubungan
dengan lelaki tersebut dan bertaubat.
Adakah
berdosa apabila seorang lelaki dan perempuan tidur
sekatil tanpa melakukan hubungan seperti suami isteri
tetapi hanya melakukan 'ringan-ringan'?
Hubungan seperti ini dipanggil hubungan apa?
Apabila ingin berkahwin, adakah dia perlu memberitahu
kepada bakal suaminya?
Adakah dia perlu memberitahu kepada bakal tunang bekas
kekasihnya itu?
puteri
hidayah
balqis_cadburygurlz@yahoo.com.my
JAWAPAN:
Pertama,
sewajarnya seluruh umat Islam perlu ketahui bahawa
tidak ada kebenaran daripada syarak membenarkan seks
ringan atau seks berat. Apa sahaja yang digelar hubungan
dan perkara yang boleh menjerumuskan diri ke arah
zina tetap diharamkan. Selagi tidak bergelar suami
dan isteri, haram lelaki dan wanita berdua-duaan sambil
berpegangan tangan. Apatah lagi tidur sekatil.
ALLAH Maha Pengampun selagi hamba-hamba-NYA bertaubat.
Sebesar mana dosa yang dilakukan sama ada zina, minum
arak, mencuri dan sebagainya pasti diampunkan kecuali
syirik. Firman ALLAH S.W.T: "Sesungguhnya ALLAH
tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutuka-NYA
dengan sesuatu pun dan akan mengampunkan dosa selain
kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendaki-NYA
(menurut peraturan hukum-hukum-NYA) dan sesiapa yang
mempersekutukan ALLAH dengan sesuatu pun, sesungguhnya
dia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh."
– Surah al-Nisa': 116.
Kedua, seseorang tidak perlu membuka aibnya setelah
ditutup oleh ALLAH. Malah, Nabi s.a.w melarang seseorang
membuka iab saudara seagamanya. Si suami wajib menjaga
keaiban isteri setelah mengetahuinya. Begitu juga
sebaliknya, si isteri wajib menutup keaiban suaminya
setelah mengetahui keiaan suaminya. Apalah hak seorang
manusia untuk memarahi dan tidak mahu menerima takdir
ALLAH baginya. Sedangkan, seorang wanita yang telah
bertaubat diterima oleh ALLAH. Patutkah hamba ALLAH
tidak mahu menerimanya.
Ketiga, kawan saudari tidak wajar memporak-purandakan
keadaan. Bertaubatlah kepada ALLAH kerana DIA telah
menjaga keaiban saudari dan bekas teman lelakinya
itu daripada pengetahuan umum. Jagalah keaiban itu
dan jangan cuba dibukanya. Semoga ALLAH merahmati
mereka berdua kerana telah bertaubat. Wallahu a'lam.
SOLAT
DALAM KEADAAN BERPENYAKIT
SOALAN:
Apakah hukum jika sesuatu keluar dari qubul dan dubur?
Bagaimana jika seseorang mengeluarkan angin dari duburnya,
walaupun dia telah mengambil wuduk lebih dari lima
kali?
Bagaimana pula jika dia terus melakukan solat itu.
Adakah dikira darurat?
nur
farahin shariff
yayin_girlz@yahoo.com
JAWAPAN:
Pertama,
masalah sesuatu yang keluar dari qubul dan dubur terlalu
banyak seperti air mani, air mazi, air wadi, air kencing,
tahi, darah haid, darah istihadoh dan darah nifas.
Kesemua perkara berikut berbeza hukumnya. Umpamanya,
jika air mani keluar seseorang wajib mandi junub.
Jika air kencing pula dia wajib membasuhnya.
Kedua, mengeluarkan angin dengan sengaja tanpa keuzuran
jelas membatalkan wuduk. Namun, jika penyakit berlanjutan
seperti kembung sekali sekala tidak mengapa. Dalam
hal ini, seseorang perlu berwuduk setiap kali ingin
menunaikan solat. Tidak perlu menghiraukan kentut
yang keluar.
Ketiga, sah solat orang yang bernyakit seperti wanita
yang mengalami darah penyakit (istihadoh). Begitu
juga dengan lelaki yang mengalami kencing tidak lawas
(dedas) dan sebagainya. Walahu a'lam.
DEDAH
AURAT UNTUK RAWATAN
SOALAN:
Isteri saya mengalami masalah kegemukan. Saya berhasrat
ingin menghantar dia ke pusat rawatan menguruskan
badan. Masalahnya, kebanyakan pusat-pusat menguruskan
badan yang baik dikendalikan oleh wanita-wanita berbangsa
cina (bukan islam). Mungkin timbul di sana masalah
aurat terdedah semasa rawatan. Apakah hukum mendedahkan
aurat kepada bukan muslim untuk tujuan rawatan seperti
di atas.?
salleh
ahmad
dien69@gmail.com
JAWAPAN:
Pertama,
saudara perlu tahu had aurat seorang lelaki dan wanita.
Mereka tidak boleh membuka aurat atau membenarkan
ia disentuh kecuali atas sebab yang dibenarkan dalam
syarak. Aurat paling berat ialah qubul dan dubur.
Manakala aurat paling ringan seperti kedua-dua belah
peha lelaki terdedah sesama mereka.
Kedua, menurut kaedah usul fikah diharuskan melakukan
perkara yang diharamkan dalam syarak sekiranya boleh
mendatangkan mudarat. Oleh itu, diharuskan membuka
aurat untuk tujuan menguruskan badan kerana kegemukan
boleh mendatangkan pelbagai penyakit. Ulama tidak
berselisih pendapat mengharuskan doktor lelaki melihat
aurat pesakit wanita. Begitu juga sebaliknya dengan
syarat mereka hendaklah amanah dan menutup keaiban
pesakit itu.
Cadangan saya agar saudara mendahulukan doktor perempuan
atau pusat perubatan Islam sebelum menemui doktor
lelaki atau pusat perubatan bukan Islam. Setelah berusaha,
tidak mengapa menggunakan perkhidmatan mereka. Wallahu
a'lam.
|