HAMAS
: Pesanan Buat Umat Islam di Malaysia
(Ini
adalah pesanan Dr Khalil al-Haya mewakili HAMAS di Palestin untuk
umat Islam di Malaysia. Beliau telah berada di Malaysia pada tarikh
11 Mei-17 Mei 2006 untuk siri kempen "Bersama Menyokong Rakyat
Palestin dan kerajaan HAMAS". Pesanan ini telah diterjemahkan
oleh Maszlee Malik di atas permintaan Dr Khalil)
ALHAMDULILAH,
ALLAH telah memilih kami yang berada di Palestin untuk berjihad.
Kami telah dipilih untuk menjadi barisan hadapan kepada umat Islam.
Kami telah dipilih oleh ALLAH SWT untuk mengorbankan jiwa, nyawa,
harta, anak-anak kami untuk menentang musuh ALLAH dan mempertahankan
Masjid al-Aqsa.
Kami
juga telah dipilih oleh ALLAH SWT untuk mewakili umat Islam di seluruh
dunia untuk menjadi benteng pertahanan kepada al-Aqsa, kiblat pertama
umat Islam dan juga masjid ketiga suci mereka. Kami juga telah dipilih
oleh ALLAH untuk menjadikan mati syahid sebagai impian utama kehidupan
kami berbanding kehidupan dunia.
Selama
lebih daripada 60 tahun, kami hidup di medan pertempuran. Selama
waktu itu jugalah kami dijajah, dizalimi, diseksa, dibunuh dan juga
diperangi. Mengapa?, hanya kerana kami mengucapkan La Ilaha Ila
Allah, dan kerana kami mempertahankan bumi serta masjid kami.
PELBAGAI
bentuk kesengsaraan telah rakyat Palestin lalui. Pengusiran dari
rumah, kampung halaman, dan juga tanah watan. Dibunuh, diseksa,
ditembak, dibom, dibantai, disembelih dan apa-apa lagi perbuatan
tidak bertamadun yang boleh diungkapkan, telah kami lalui. Generasi
berganti generasi, umat Islam di Palestin tetap sabar dan komited
untuk terus kekal dan mempertahankan tanah air mereka. Ianya adalah
jihad, ianya adalah kemuliaan, ianya adalah bukti yang ingin kami
bawa sebagai mahar ke syurga nanti. Semoga Allah menerima pengorbanan
kami ini.
Ketika
di waktu awal penjajahan, kami, saudara anda dari gerakan Islam
telah menjadi barisan utama perjuangan. Selepas beberapa waktu,
gerakan Islam telah dibantai penjajah. Pembantaian itu walau bagaimanapun
tidak cukup untuk melemahkan kami. Sehinggalah di zaman Jamal Abdul
Naser, sepertimana saudara-saudara kita di Mesir dibantai, kami
juga turut menerima kesannya.
Semenjak
tarikh tersebut,gerakan Islam terpaksa kembali ke bawah tanah. Kami
telah menumpukan usaha untuk pembinaan semula struktur perjuangan.
Usaha pendidikan, dakwah, tarbiyyah dan kebajikan telah menjadi
agenda utama kami. Kami laluinya dengan penuh kesabaran dan ketabahan.
SEHINGGALAH
di pertengahan 80'an. Apabila arus sekular telah mula jemu dengan
perjuangan. Ketika arus sekular yang asalnya memandu perjuangan
rakyat Palestin telah mula lesu. Kami mula memunculkan diri sebagai
peneraju perjuangan rakyat Palestin. Perjuangan kami berbeza dengan
perjuangan sebelum ini. Perjuangan kami adalah berteraskan Islam
dan kami membawa mesej ummah. Perjuangan kami bukan hanya sekadar
ingin memerdekakan sekeping tanah, tetapi untuk memandu kebangkitan
umat Islam semula dan meninggikan syiar Islam di muka bumi ini.
HAMAS,
semenjak hari pertama penubuhannya telah menjadikan jihad sebagai
jalan utama untuk memerdekakan bumi Palestin. HAMAS juga telah menjadikan
Islam sebagai landasan perjuangannya. HAMAS juga telah memberikan
nyawa ahli-ahli mereka untuk tujuan tersebut. HAMAS juga telah berjanji
dengan rakyat Palestin dan juga kepada umat Islam untuk terus komited
dengan perjuangan mereka. HAMAS juga berjanji untuk memerdekakan
masjid al-Aqsa walaupun terpaksa berjuang dengan kuku dan gigi sahaja.
Itulah janji kami.
Selepas
hampir 20 tahun berjuang, Allah memberikan hasilnya kepada perjuangan
HAMAS. Kami diberi kepercayaan oleh rakyat untuk memerintah mereka.
Kemenangan ini, walaupun indah, namun ianya merupakan ujian yang
getir bagi kami. Kemenangan tersebut merupakan era baru perjuangan
HAMAS. Kami terpaksa menambahkan satu lagi ruang di dalam perjuangan
kami, iaitu ruangan politik pemerintahan. Semakin bertambahnya beban,
semakin tingginya perngorbanan.
Buat
umat Islam di Malaysia, Andalah saudara kami yang paling hampir
di Malaysia. Hati-hati kita telah diikat dengan fikrah dan aqidah
yang sama. Kita telah dihimpunkan di dalam ikatan kerohanian yang
jitu. Kita telah ditakdirkan untuk bersama di dalam perjuangan dengan
manhaj yang sama. Kami adalah wakil anda di Palestin. Kemenangan
kami adalah kemenangan anda. Pemerintahan kami adalah pemerintahan
anda. Kerajaan HAMAS adalah kerajaan umat Islam dan hadiah buat
perjuangan pecinta Islam di seluruh dunia. Tidakkah anda sedar perkara
ini?, jika anda tidak sedarkan perkara ini siapakah lagi yang akan
menyedarinya???
Umat
Islam di Malaysia sekelian,
Menjadi
pemerintah bukanlah sesuatu yang mudah. Apatah lagi memerintah di
dalam fasa penjajahan dan peperangan. Apatah lagi jika pemerintahn
itu hanyalah memerintah sebuah negara yang tidak berdaulat dan dinafikan
kedaulatannya. Apatah lagi apabila memerintah sebuah negara yang
menjadi sasaran keganasan penjajah Zionis yang didokongi oleh kuasa
besar dunia yang zalim. Apatah lagi pemerintahan tersebut adalah
mewarisi pemerintahan sebelumnya yang meninggalkan beban hutang
sebanyak USD 3 billion di dalam akaun kerajaan. Inilah realiti kerajaan
yang kami terajui. Inilah juga realiti kerajaan yang diterajui oleh
HAMAS
di Palestin. Inilah realiti kerajaan yang mewakili anda semua di
seluruh dunia.
Sehingga
kini, para pegawai kerajaan, termasuk para menteri, tidak menerima
gaji semenjak 3 bulan yang lalu. Tahap pengangguran telah mencapai
31% di Gaza dan Tebing Barat. Bekalan makanan dan petrol semakin
berkurangan. Ubat-ubatan di hospital semakin kehabisan. Baru-baru
ini, tiga orang bayi telah meninggal di hospital di Gaza kerana
ketiadaan ubat-ubatan yang mencukupi. Pelajar-pelajar tidak akan
dapat menduduki peperiksaan kerana kehabisan kertas di sekolah-sekolah
di Gaza dan Tebing Barat. Hatta, persidangan parlimen (Majlis Legaslatif)
kami di Gaza hampir-hampir dibatalkan kerana kekurangan kertas.
MENGAPA
ini semua? Ianya adalah kerana keberkesanan tekanan yang dikenakan
ke atas rakyat Palestin oleh rejim Zionis, AS dan juga EU. Tekanan
yang dikenakan hanya semata-mata rakyat Palestin telah memilih calon
yang mereka inginkan di dalam pilihanraya yang lalu. Tekanan yang
dikenakan kerana kami enggan menurut ugutan mereka supaya mengiktiraf
penjajahan Zionis. Tekanan juga dikenakan kerana kami ingin mempertahankan
diri kami daripada dibunuh oleh pihak penjajah. Sampai bilakah tekanan
ini akan berakhir?
Wang
hasil kutipan cukai kami yang berjumlah USD 55 juta sebulan tidak
pernah dipulangkan kepada rakyat Palestin. Rejim Zionis telah mengambilnya
dari kami dan tidak pernah dipaksa untuk memulangkannya kepada kami.
Mengapa tiada kuasa yang memaksa rejim Zionis untuk memulangkannya?
Mereka juga telah menutup laluan udara, darat dan laut kepada tanah
Palestin. Ekonomi kami berada di tangan rejim Zionis kerana perjanjian
gila dan bodoh yang telah dipersetujui oleh kerajaan sebelum ini.
Walau bagaimanapun, kami tidak mengharapkan itu semua.
Kami
yakin, saudara-saudara seIslam kami masih dapat membantu kami. Kami
yakin saudara seaqidah kami akan dapat menampung keperluan rakyat
Palestin dan mencukupinya. Kami yakin juga, saudara seaqidah kami
di seluruh dunia akan dapat membuatkan kami terus hidup dan tidak
bergantung kepada bantuan-bantuan daripada negara-negara bukan Islam,
apatah lagi dari rejim Zionis. Persoalannya, di manakah saudara-saudara
kami? Di manakah mereka di kala kami memerlukan mereka?
Wahai
umat Islam di Malaysia, Kami mengharapkan agar anda mengepalai kempen
untuk menyelamatkan kerajaan HAMAS dari bumi Malaysia ini. Kami
hanya mempunyai dua pilihan. Pertamanya, tunduk kepada tekanan AS
dan EU lantas mengiktiraf Israel demi menghilangkan kesengsaraan
rakyat. Pilihan yang kedua adalah teruskan berjuang dan tidak sekali-kali
tunduk kepada tekanan. Kami telah memilih pilihan yang kedua.
Kami
akan terus berjuang ke titisan darah terakhir kami. Kami tidak akan
sekali-kali mengiktiraf penjajah. Kami tidak akan sekali-kali tunduk
kepada tekanan. Malangnya rakyat hanya boleh bertahan selama enam
bulan. Tiap-tiap hari, rakyat mengadakan perarakan menyokong kerajaan
dan menggesa agar kerajaan HAMAS tidak tunduk kepada tekanan. Kami
yakin, rakyat akan terus menyokong, tetapi sampai bila?, perut mereka
akan kosong. Kami tidak akan membiarkan rakyat kami kelaparan dan
sakit tanpa rawatan. Kami perlukan bantuan anda untuk melakukannya.
Mahukah anda melihat kerajaan HAMAS di Palestin membiarkan rakyatnya
kelaparan?
Umat
Islam di Malaysia sekelian,
KAMI akan terus berjuang. Kami akan terus tetap dalam perjuangan
sehinggalah setiap daripada kami akan gugur syahid. Kami akan terus
memastikan prinsip Islam akan terus dijulang. Namun kami memerlukan
sokongan dan bantuan anda.
Jikalau
kami gugur syahid, dan anda sekelian terus diam membisu dan hanya
menyaksikan sahaja, nantikan hari pembalasan. Kami akan tuntut dari
Allah di atas kelembapan anda semua. Kami tidak akan redha terhadap
kelesuan dan kebisuan anda semua. Kai tidak akan memaafkannya.
Umat
Islam di Malaysia,
KAMI mengharapkan agar anda bersikap pro-aktif. Kami mengharapkan
agar anda menyumbang USD 1 (RM 3.60) setahun sahaja untuk menanggung
kesengsaraan rakyat Palestin.
Kami
juga mengharapkan agar anda melobi kerajaan anda yang menjadi pengerusi
OIC untuk melakukan sesuatu. Kami juga berharap dari anda untuk
melakukan kempen kesedaran, dan libatkan masyarakat Malaysia, termasuk
pertubuhan-pertubuhan bukan Islam untuk turut membantu rakyat Palestin.
Kami
juga ingin melihat anda menjadi juara di peringkat antarabangsa
di dalam kempen kesedaran ini. Banjiri media anda dengan isu Palestin
dan al-Aqsa. Halakan mereka untuk menyokong perjuangan rakyat Palestin.
Kepalailah usaha serantau untuk tujuan tersebut, andalah harapan
kami.
Dan
akhir sekali, kami mengharapkan agar anda tidak melupakan kami di
dalam doa-doa anda sekelian. Berdoalah agar kami thabat di dalam
perjuangan. Berdoalah agar kami tetap di dalam perjuangan kami.
Berdoalah agar kami dikurniakan mati syahid. Berdoalah juga, agar
kita dapat bersama-sama bersolat di dalam Masjid al-Aqsa satu hari
nanti, di mana pada waktu itu, bendera Islam akan berkibar dan syariat
Allah akan berdaulat sekali lagi di atas muka bumi ini...
Allah
Akbar!!!
Saudaramu,
Khalil Ismail al-Haya
Ketua Whip HAMAS di Majlis Legaslatif Palestin,
Kuala Lumpur,
14 Mei 2006.
...............................
Maszlee
Malik mempunyai ijazah dalam bidang Fiqh dan Usul Fiqh, Universiti
Al al-Bayt, Jordan dan Ijazah Sarjana dalam bidang yang sama dari
Universiti Malaya. Beliau kini bertugas sebagai Pensyarah di Jabatan
Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, UIA. Beliau adalah salah seorang
AJK pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) dan juga penasihat Pertubuhan
Kebajikan Saudara Baru Darul Fitrah.
|