BULETIN ISNIN ALAF 21


 

 TERBIT SETIAP ISNIN - Informasi terkini ALIFIN


KOLUM RESIPI DENGAN RUANGAN
SOAL JAWAB MASAKAN

BERSAMA PUAN NORZAILINA NORDIN Anda pasti mempunyai masalah,
kemusykilan keliru atau tak tahu langsung tentang teknik atau cara masak memasak.

Contohnya mengapa kek yang anda masak tidak naik atau bantat? Mengapa asam pedas anda tidak sesedap asam pedas mentua anda? Atau teh tarik yang anda buat tidak seperti teh tarik mamak?

Ah, jangan risau! Kita akan membawa seorang pakar masak ALAF 21 iaitu Puan Norzailina Nordin untuk menjawab sebarang pertanyaan anda.

Sila e-melkan soalan-soalan anda ke alaf@Alaf 21.com.my dan tuliskan ALAFSJ MASAKAN sebagai tajuk emel anda.

Jangan lupa tuliskan nama penuh dan alamat!


 


SOAL JAWAB MASAKAN

LIHAT ARKIB
kembali ke menu utama



 

Mazida Ismail
Unitar
mazida@mail.utar.edu.my



Saya ada 2 pertanyaan:

1. Kenapa acuan kertas cupcakes saya terbuka selepas saya simpan ia
semalaman?

Gunakan 2 lapis supaya lebih kuat atau letak terus dalam tin patty.

Atau gunakan acuan khas yg berwarna putih dgn kelilingnya agak keras.

2. Saya pernah melihat cupcakes yg dihias dengan icing yang kelihatan
seperti buttercream tapi keras. Adakah itu royal icing?


Jika aising itu keras, memanglah ia Royal Icing tapi Royal Icing putih seperti gula aising kecuali dibubuh pewarna. Supaya buttercream agak keras, gunakan 1/2 sukatan marjerin + 1/2 lemak sayuran (vegetable shortening), jangan guna mentega (mudah cair).



yussof yussof
yussof_72@yahoo.com.my

Saya ingin tau sukatan 1 cawan=berapa gram untuk tepung,gula pasir,gula halus,mentega,minyak danjuga sukatan bagi satu camt@camb=berapa gram untuk baking powder@ bikarbonat @yis.Diharap dapat memberikan jumlah sukatan yang betul kerana saya tiada penimbang.

Untuk baking powder/bikarbonat/yis, 1 camt/camb terlalu sedikit dan perlukan penimbang elektronik yg canggih (saya tak punya). Jadi, gunakan sudu metrik yg berukuran 1 camca besar = 15 ml.

1 cawan
gram
tepung gandum

120

tepung beras 110
mentega 230
gula pasir 210
gula halus 220
minyak 250
kelapa parut 100




norizan m sharip
ameyzan@yahoo.com

Bagaimana untuk membuat adunan tepung goreng seperti keropok yg selalunyer mkn bersama mee rebus ?


Kuih Rangup Rojak

5 camb tepung gandum
3 camb tepung jagung
1 camt tepung beras
1/2 camt serbuk kar
1/2 camt serbuk ketumbar
1/4 camt serbuk kunyit
1/4 camt soda bikarbonat
1 biji telur (kecil), dipukul
1/4 tsp garam
1 camb minyak
120-130 ml air

Satukan semua bahan hingga sebati. Biar selama 15 minit sebelum digoreng di dalam minyak panas (tapi jangan terlalu panas) hingga keperangan. Pastikan adunan agak cair kerana tepung yg digoreng nanti bertambah nipis.


yussof_72@yahoo.com.my

Saya nak tanya tentang sukatan diantara cawan dengan gram.Jika 1 cawan = berapa gram?

Bergantung kepada bahan, contohnya, 1 cawan mentega beratnya tak sama dengan 1 cawan gula halus. Jadi, kalau air 1 cawan = 250 gm. Sila berikan senarai bahan yg anda ingin tahu gramnya.



Faizal Rudin Bun Yusuf
Sg.Petani, Kedah

budin9921@yahoo.com.my


Saya Din dari Sungai Petani, Kedah, saya pernah terbaca mengenai soal jawab masakan dari Puan mengenai pembuatan mee kuning, dalam persoalan itu puan ada memberikan resepi untuk membuat mee kuning tanpa perlu menggunakan air abu sebaliknya menggunakan air alkali, Soalan saya disini ialah:

1. Apa tujuan kegunaan air abu atau air alkali semasa proses pembuatan mee kuning ?

Supaya ia kenyal (kejun) dan tidak 'lembik' bila dikunyah.

2. Adakah air abu boleh dibuat sendiri?

Tidak boleh kerana ia bahan kimia.

Ada sesetengah orang menggantikan air abu dengan air kapur tetapi tidak boleh banyak kerana mi akan berasa pahit.


shaggy5590@yahoo.com

Boleh tolong tunjuk cara untuk membuat kerisik untuk kerabu ?

Goreng kelapa parut tanpa minyak atas api perlahan hingga coklat keperangan gelap (jangan sampai hangus). Untuk 1 cawan kelapa parut, selalunya ambil masa 20-25 minit.

Tumbuk ketika masih panas sehingga menjadi lumat dan terbit minyak. Kerisik boleh disimpan beberapa bulan di dalam bekas bertutup yg disimpan di dalam peti sejuk.


Julaila Bt Chik
Ampang
ju.cake.art@gmail.com

1. Saya ingin mencuba membuat kek lapis tapi tak ada resepi. Bolehkah puan memberikan resepi kek lapis?

Kek Lapis Saujana

10 biji telur
14 biji kuning telur (buang putihnya)
350 gm gula kastor
1 camca besar ovalette/Quick 75
2 camca teh vanila
470 gm mentega
310 gm tepung paling halus }
50 gm susu tepung } campur
1 camca teh rempah kek lapis}
1 camca teh serbuk penaik }
Pandan emulco + pewarna hijau
Pes keladi/emulco + Pewarna ungu

Cara membuatnya:

1. Putar 5 bahan pertama hingga gebu. Ketepikan.
2. Pukul mentega hingga kembang.
3. Masukkan mentega berselangseli dengan campuran tepung ke dalam telur.
4. Bahagikan 3 (setiap satu 650 gm). Warna 2 bahagian hijau dan ungu.
5. Ratakan sedikit adunan biasa (lapisan pertama) di dalam tin. Bakar dengan api atas dan bawah.
6. Buat lapisan biasa sebanyak 4 lapis, gril (setiap lapisan) hingga keperangan.
7. Ratakan lapisan ungu, gril. Tekan dengan penekan zig-zag.
8. Gril selapis adunan hijau, tekan dengan penekan zig-zag. Gril lapisan ungu dan tekan. Ulangi hingga habis.
9. Gril pula baki lapisan biasa seperti yang mula-mula tadi.
10. Akhir sekali, bakar pada 180 C selama 7-10 minit.

2. Saya menggunakan oven biasa ( dapur biasa yang ada oven menggunakan api bawah sahaja). Setahu saya untuk membakar kek lapis memerlukan api atas dan bawah. Bolehkah saya menggunakan oven tersebut.

Api atas dan bawah untuk lapisan pertama.

Lapisan seterusnya hingga akhir, gunakan GRIL iaitu pemanggang/pemanas di sebelah atas.

3. Saya suka dengan kek yang menggunakan fondant. Kek apakah yang paling sesuai kerana ada rakan yang memberitahu saya hanya kek buah sahaja yang sesuai tapi melalui buku masakan yang saya beli, terdapat pelbagai kek yang menggunakan fondant (kek chocolat dan kek butter)

Semua kek boleh menggunakan fondant kecuali Kek Span/Sponge Cake dan Chiffon Cake kerana ia agak 'ringan'.




Jamaliah Jamaluddin
Bandar Baru Bangi
jay_digna03@yahoo.com

Saya harap Puan dapat menerangkan kepada saya bagaimana nak membuat stok ayam dan stok daging. Saya tengok banyak resipi hendakkan guna stok tersebut. Dan berapa lama masa kita perlu rebus bagi hasilkan stok tersbut.

Stok atau air rebusan ada 2 jenis. Pertama, sebagai perisa untuk sup, mi dll. Kedua, seperti stok daging (kiub) dicampur rempah ratus dan disediakan dengan kaedah moden dan bahan perisa daging.

Untuk membuat stok ayam/daging bagi sos, sup dll.

-Ambil tulang/rangka, ketuk sedikit biar pecah (2 kg).

-Jerang dengan bawang besar, batang seleri, lobak merah (potong kasar). Setiap satu 200 gm.

-Tuangkan air hingga tenggelam semua bahan.

-Jerang hingga mendidih, buangkan buih dan benda yg timbul di permukaan.

-Perlahankan api, renihkan selama 2 jam, jika air berkurang, tambah sedikit.

-Sentiasa buangkan apa-apa kekotoran yg timbul.

-Stok harus tinggal separuh. Biar sejuk kemudian tapis dengan kain muslin/kasa.

-Untuk stok daging, biar semalaman. Buangkan lemak yg terapung di atasnya, kemudian panaskan semula. Bila suam, bolehlah ditapis dengan kain kasa.




Siti Nur Sakinah binti Azmi
Parit Buntar, Perak
sakinah_0792@yahoo.com.my


Saya sering melihat sushi dijual di restoran-restoran Jepun, tetapi saya tidak berani membelinya kerana takut sushi tersebut tidak halal. Oleh itu saya ingin bertanya kepada puan bagaimanakah cara utk memasak sushi. Saya juga ingin bertanya puan cara memasak moist chocolate cake dan dadih. Bukannya yogurt tetapi dadih yang teksturnya seperti agar-agar lembut.
 

Resepi Moist Chocolate Cake pernah disiarkan sebelum ini, harap semak semula.

DADIH

1 camb serbuk agar-agar
800 ml liter air
150 g gula pasir
200 ml susu cair
120 g susu tepung
perisa jagung & pewarna kuning
perisa strawberi & pewarna merah
perisa pandan & pewarna hijau

Cara membuatnya:

1. Kisar susu cair dan susu tepung hingga larut.
2. Jerang agar-agar, air dan gula pasir.
3. Bila mendidih dan gula larut, masukkan campuran susu.
4. Kacau tanpa henti hingga mendidih sekali lagi.
5. Padamkan api, bahagikan dan masukkan perisa.
6. Tuangkan ke dalam bekas-bekas kecil.
7. Biar di dalam peti sejuk selama 4-5 jam.

SUSHI

200 g beras sushi
air secukupnya
16 keping nori (rumpai laut)
1 camb minyak masak
2 camb mayonis
ketam dinginbeku
timun Jepun (courgette)
hirisan telur dadar dll

Cara membuatnya:

1.Masak beras, air hingga kering.
2.Gaul dengan minyak dan mayonis, perlahankan api.
3.Biar nasi sejuk. Ratakan sedikit di atas sekeping nori.
4.Letak ketam/timun/telur. Gulung kemas.
5.Kemudian potong dan sajikan.



zuriefah
sg buloh,selangor
zuriefah@salwan.com.my


Sebelum ini saya ada membeli kek marble yang disaluti coklat ditengah dan atas kek di pasar malam Jalan TAR,KL.Rasanya sungguh sedap dan coklat diatasnya agak pekat.

Semalam saya cuba membuat kek mentega dan membuat topping coklat keatasnya tapi hampa ianya terlalu cair. dan cepat meleleh kebawah apabila disapu pada kek.Dan apabila saya sapu pada kek , coklat tu ceoat meresap kedalam kek.

Ini resepinya,

250g coklat masakan
2 s/b majerin
2 s/bsusu cair

Macammana hendak memekatkan topping coklat itu? Saya cuba untuk memasukkan 2 s/b tepung jagung tetapi hasilnya agak pekat dan teksturnya kasar dan mengerutu.tak cantik atau smooth, tak bersinar seperti yang saya beli itu.

AISING COKLAT SATIN

150 g coklat masakan (dicairkan)
200 g mentega
125 ml susu pekat
2 camb susu segar
4 biji kuning telur

Cara membuatnya:

Mentega dipukul hingga kembang kemudian masukkan kuning telur, susu pekat dan susu segar. Pukul lagi hingga rata kemudian tuangkan coklat cair (pastikan ia sejuk tapi masih cair) dan kacau hingga rata. Simpan di dalam peti sejuk sebentar tetapi hendaklah dikacau setiap 2-3 minit supaya ia tidak membeku. Bila cukup pekat, sapukan pada kek.

CHOCOLATE GLAZE

310 krim putar (whipping cream)
3 camb mentega sejuk
220 g coklat masakan, dihiris halus
1 camb corn syrup (sirap jagung)
1 camt vanila

Cara membuatnya:

Satukan semua bahan di dalam periuk heavy-based atau kaca, kacau di atas api perlahan hingga cair dan tidak berketul. Angkat dan biar sejuk selama 20-30 minit atau hingga sejuk dan pekat. Tuangkan di atas kek dan salut kelilingnya dengan aising tadi. Hias ikut suka.

AISING BERKILAT

250 gm coklat masakan, dihiris kecil
1 camb minyak jagung
1 camb krim putar

Cara membuat:

1. Bubuh coklat di dalam mangkuk tahan panas. Letak mangkuk di atas periuk air mendidih perlahan. Kacau sekali-sekali hingga coklat cair. Pastikan tiada setitik air pun jatuh ke dalam coklat semasa mencairkannya.
2. Ketepikan mangkuk dari air panas, masukkan minyak dan krim, kacau sebati. Biar selama 12-15 minit, kacau sekali-sekali, hingga campuran pekat sedikit.
3. Curahkan campuran coklat cair ke atas kek (pastikan kek diletak di atas redai kerana coklat akan menitis turun). Biar keras sebelum dihias dengan krim mentega.

Coklat Topping

300 g coklat masakan, dicincang halus
150 ml susu cair

Cara membuatnya:

1. Masak coklat masakan di dalam mangkuk yg diletakkan di atas periuk air mendidih.
2. Kacau hingga cair kemudian angkat dan biar suam.
3. Tuangkan susu sedikit demi sedikit dan kacau hingga sebati. Kalau berketul, pukul lagi laju-laju. Biar seketika atau sehingga cukup keras.
4. Sapu sos coklat di atas kek yg sudah sejuk.

Coklat Ganache

175 g coklat masakan, dicincang halus
75 ml krim putar (whipping cream/double cream)
1 camb mentega tanpa garam (unsalted butter)

Cara membuatnya:

1. Letak coklat, krim dan mentega di dalam periuk non-stick.
2. Kacau di atas api perlahan hingga hampir mendidih.
3. tuangkan coklat ke dalam mangkuk. Kacau hingga sebati dan
tidak bergentel.
4. Bila suam, sejukkan di dalam peti ais. Jangan dikacau dan biar ia
betul-betul pekat dan boleh disapu atau dipaipkan ke atas kek.
Jika ingin ganache lebih ringan, pukul sebentar dengan pemukul
letrik selama 3-5 minit.



Minhalina nasser
taman lembah keramat
mama_min_adi@yahoo.com

saya ada oven jenis jetcook (europa) . saya telah meneliti kebanyakkan peserta bertanya tentang cara pembakaran untuk biskut dan kek menggunakan api bawah sahaja bagi jenis oven ini. Tetapi bagaimana jika oven jenis ini tidak boleh gunakan api bawah, dan hanya boleh membakar menggunakan api atas sahaja, atau kedua-dua bahagian dan ada kipas?

Guna dua-dua bahagian dengan kipas tapi jika suhu dalam resepi 200 C, hendaklah kurangkan jadi 180 C saja.

apakah akan terjadi pada tekstur kek dan biskut jika saya menggunakan api atas bawah dan kipas untuk membakar ?

Jika ikuti panduan di atas, insyaAllah tiada masalah.

adakah ini akan membuatkan biskut saya tidak boleh tahan lama?

Tiada kena mengena jika biskut dimasak sempurna pada suhu yg lebih rendah dari disarankan oleh resepi. Untuk tahan lama, pastikan ia cukup masak (keperangan di bawahnya), sejukkan atas redai dan simpan dalam bekas kedap udara.



syafinaz othman
puchong
adameisya@yahoo.com


1. Saya masih menyimpan kulit pai tee yang diberikan kakak saya beberapa bulan yang lalu. Saya ingin tahu berapa lamakah ia boleh disimpan?

Tidak tahan lama kerana ia akan berbau tengik (bergantung pada minyaknya juga). Oleh kerana adunannya seperti Kuih Goyang, mungkin tahan 3-4 bulan tapi baunya akan berubah mengikut minyak yg digunakan untuk menggorengnya.

2. Boleh tak berikan resepi Asam Pedas Ayam? Saya pernah menetap di Johor dan resepi ini sangat saya gemari namun tidak pernah bertemu dengan yang betul-betul menyerupai apa yang pernah saya makan di sana hampir 20 tahun lalu.

Susah permintaan anda ini kerana saya tidak tahu bagaimana rasanya Asam Pedas itu. Boleh cuba resepi ini tapi saya tak jamin ia akan sama.

ASAM PEDAS AYAM

600 gm ayam, dipotong
1 batang kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
2 kuntum bunga cengkih
1 batang serai, dititik
5 tangkai daun kesum
1 kuntum bunga kantan, dibelah 2
1½ sudu makan asam jawa } campur utk
600 ml air } air asam
100 ml minyak
2 sudu makan gula merah
sedikit garam

Bahan Kisar:

15-20 tangkai cili kering – direndam lembut
3 sudu makan kelapa parut – digoreng keemasan
2 sudu teh jintan manis} disangai & tumbuk halus
2 sudu teh jintan putih }
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 batang serai
1 cm kunyit

Cara membuat:

1. Panaskan minyak, tumis kayu manis, bunga lawang, cengkih, serai (titik) dan bahan kisar hingga wangi dan terbit minyak.

2. Masukkan ayam, kacau hingga kering airnya.

3. Tuangkan air asam jawa. Jika kuah tidak sama paras dengan ayam, tambah sedikit air.

4. Kacau sekali-sekala hingga mendidih.

5. Bubuh daun kesum dan bunga kantan, garam dan gula. Kacau sekali-sekala.

6. Bila ayam empuk, angkat dan hidangkan.



khairuniza sarjuni
akmiwala@yahoo.com

Saya teringin untuk masak laksa sarawak. Setelah diteliti resepi laksa sarawak, ia menggunakan perencah laksa sarawak. Dimana saya boleh mendapatkan perencah tersebut atau apakah bahan-bahan untuk membuat perencah laksa sarawak tersebut.

Perencah boleh dibeli di pasar atau dipesan daripada sesiapa yg ke Sarawak. Inilah resepinya:

REMPAH LAKSA SARAWAK

(dikisar halus menjadi pes)
15 biji bawang merah
6 ulas bawang putih
5 biji buah keras
18-20 tangkai cili kering, dibuang biji & direndam lembut
2 cm lengkuas
4 btg serai
1 1/2 cm kiub belacan
1/2 cawan kacang tanah, digoreng & ditumbuk
1/2 cawan bijan, digoreng tanpa minyak

Nota: Bahan kering seperti kacang tanah dan bijan hendaklah dikisar dengan pengisar serbuk (coffee grinder).


Noraidah
Puchong Utama
r44179@freescale.com

Saya telah mencuba bermacam resepi muffin tetapi rasa dan teksturnya sama seperti kek.Saya juga telah membeli muffin mix di kedai Bake With Yen.Apakah memang menggunakan minyak dan bukannya mentega untuk membuat muffin.Saya nak muffin yang teksturnya seperti yang jual di Giant ianya agak keras sedikit.Boleh tak Puan bagi resepi atau petua untuk membuatnya.Kerana saya membuat kerja sambilan menjual kek.

Petuanya, hendaklah dikacau dengan senduk kayu, satu arah saja,jangan ubah2 arah pusingan. Agak keras kerana sukatan tepung banyak. Memang guna minyak itulah sebab teksturnya tak sama seperti kek.

MAFIN KURMA

160g kurma tanpa biji
80 ml air
1/4 camt soda bikarbonat
2 c tepung naik sendiri
1 c tepung gandum
1 c gula perang (padat)
1 biji telur, dipukul sedikit
310 ml susu segar
60 ml minyak masak

-Satukan kurma dan air, jerang hingga mendidih.
-Ketepikan dari api, masukkan soda dan biar 5 minit.
-Letak semua bahan kering dalam mangkuk, masukkan campuran kurma.
-Campurkan dengan baki bahan, kacau rata (tak perlu pukul).
-Bakar dalam tin mafin pada suhu 190 C selama 25-30 minit.



Zuriefah Idris
Sg.Buloh
zuriefah@salwan.com.my

Saya ada membuat kuih akok seperti yang diajar oleh puan. saya menggunakan acuan aluminium dan acuan baulu yang dibuat dari besi. Namun kuih saya melekat pada kedua-dua acuan. ianya tidak menghasilkan bentuk yang cantik apabila masak.

Kuih Akok memang bentuknya tidak begitu cantik bila masak. Jika hendak cantik seperti bentuk bahulu, mesti tambahkan tepung gandum.

Saya sudah panaskan acuan dan lengserkan minyak (menggunakandaun pandan) pada acuan sebelum menuang adunan kedalam acuan.

Saya cadangkan begini, panaskan acuan di atas dapur barulah dilengser minyak. Kemudian tuangkan adunan dan masukkan acuan ke dalam oven. Selalunya, ia takkan melekat pada acuan kerana acuan betul2 panas.

Saya tak tahu dimana kesilapan saya,,mungkin pada acuan atau adunan. Kemungkinan gaya atau cara memasak ala moden ini tak sesuai dengan kuih tradisional ini yang memerlukan cara tradisioanal untuk memasaknya.

Boleh dimasak dgn kaedah moden tetapi mesti kena gaya dan caranya. Paling penting, suhu kepanasan yg tepat. Cuba pula resepi ini, insyaAllah menjadi.

RESEPI AKOK

Bahan-Bahan :

8 biji telur itik
2 biji telur ayam
600 gm gula melaka
2 cawan tepung gandum
6 kuntum bunga cengkih
2 helai daun pandan
1 1/2 biji kelapa

Cara Membuatnya :
1. Telur dipecahkan ke dalam satu mangkuk dan kacau hingga hancur.
2. Kelapa diperah dan diambil santan 2 kali sahaja (pekat).
3. Gula melaka diracih-racih, kemudian campurkan telur dengan santan, gula melaka dan tepung gandum. Kacau dan selepas itu ditapis dengan tapisan supaya tidak berbuku-buku.
4. Daun pandan dikoyak-koyak, bunga cengkih dimasukkan ke dalam campuran tadi, pukul dengan senduk serta kacau campuran tadi.
5. Panaskan acuan baulu, kemudian masukkan adunan tadi mengikut lubang baulu. Bakarlah dengan api atas dan bawah.




Toya Dante
toya.dante@gmail.com

Saya ingin mendapatkan resipi cupcakes yang enak dan juga resipi buttercream yang enak dan kaku untuk hiasan. Saya harap puan dapat membantu saya.

Gunakan resepi kek biasa (Butter Cake) untuk cupcakes.

Buttercream hendaklah dibuat dengan lemak sayuran (vegetable shortening) dan marjerin supaya ia tidak mudah cair. Anggaran lemak sayuran, 100 gm, manakala marjerin 50 gm. Gula aising pula 300-340 gm, dipukul hingga sebati dan gebu. Jika ingin lebih keras, tambahkan gula aising lagi. Gunakan pes pewarna (dalam tiub) kerana pewarna jenis cecair akan melembikkan aising.



intan soraya
perth,australia
azham20@optusnet.com.au

Saya tercari-cari resepi membuat popia goreng yang bersalut sos diluarnya.diharap puan dapat membantu bagaimana menyediakannya termasuk cara menyediakan intinya.

Resepi Popia Goreng pernah disiarkan di dalam ruangan SJ Masakan. Cuma anda perlu membuatnya lebih kecil daripada biasa untuk tujuan menyira dengan sos bercili.

Bahan Sira

20-25 tangkai cili kering
2 labu bawang besar
6 ulas bawang putih
1/4 cawan minyak
1 camb asam jawa } ambil airnya
200 ml air }
1/3-1/2 cawan gula
1 cawan sos cili
2 camb cuka

Cara-cara Membuatnya:

-Gunting cili kering, buangkan biji dan rendam hingga lembut.
-Kisar cili, bawang besar dan bawang putih.
-Panaskan minyak, tumis campuran bawang hingga wangi dan terbit minyak.
-Masukkan air asam jawa, kacau hingga mendidih dan terbit minyak sekali lagi. Tuangkan gula dan sos cili. Masak lagi hingga pekat dan berkilat. Masukkan cuka, kacau lagi hingga naik minyak. Bubuh popia dan kacau sebati baru diangkat.

*Jika sos tidak cukup pekat, popia akan lemau dengan cepat. Jika mahu pedas, tambah cili (sesetengah cili kering lebih pedas drpd yg lain).


Minhalina nasser
Taman Lembah Keramat
mama_min_adi@yahoo.com

Saya ingin bertanya beberapa soalan:

apakah perbezaan antara SOFT IMPROVER dengan BREAD IMPROVER?...adakah terdapat perbezaan jika saya gunakan untuk doh?
Dua bahan dlm membuat roti adalah Bread (atau dough) Softener dan Bread Improver. Dough Softener melembut dan menggebukan roti sementara Bread Improver membuat ia mudah kembang.

adakah SOFT IMPROVER itu BREAD SOFTNER?
Berbeza

Yang mana satukah perlu saya masukkan untuk saya tambahkan dalam bancuhan doh membuat donat?
Bread improver

adakah snow powder sesuai untuk roti atau donut?
Belum lagi saya jumpa resepi roti atau donut menggunakan snow powder. Mungkin ada sesetengah 'guru' yg membuat eksperimen sendiri dan mendapati ia sesuai. Untuk donut selalunya gunakan susu tepung biasa.




Pn. Zura.
Sg. Buloh, Selangor.
khaizura@um.edu.my


1) Bagaimana caranya untuk mengukus kek kukus buah secara bertingkat(kukus 2 tingkat)? Selama ini saya hanya menggunakan kukus setingkat dan terpaksa menunggu selama 4 jam untuk mengukus kek seterusnya. Sekiranya saya dapat mengukus sekaligus, saya dapat jimatkan banyak masa.

Guna 2 rak pengukus. Selepas 2 jam, ubah rak tengah ke atas dan rak atas ke tengah. Pastikan acuan kek ditutup longgar dgn foil supaya wap air tak menitik.


2) Apakah kesan dari segi rasa dan tekstur kek sekiranya saya tidak
memasukkan cream of tartar ke dalam kek buah?

Dari segi rasa, tiada. Dari segi tekstur mungkin hanya sedikit tetapi tidak 'memudaratkan' kek. Ganti dengan garam halus jika cream of tartar adalah untuk memudahkan putih telur kental bila diputar.




Rozita Mohd Ali
rozitam@sirim.mY

Kak saya teringin sangat nak makan mee udang. boleh tak akak beri resepi mee udang ?

MI UDANG

500 g mi*
100 g udang sedang*
200 g isi ayam (rebus/rebus)
4 biji telur rebus, dibelah 2
70 g kek ikan*
60 g tauge*
daun bawang, bawang goreng
1.3 liter air (direbus dengan kulit & kepala udang hingga mendidih, perlahankan api selama 20 minit kemudian tapiskan)
garam, gula secukupnya

Bahan pes udang

(kisar dan tumis dengan 1/4 cawan minyak hingga kering)
200 g udang
50 g bawang putih
50 g cili kering
80 g bawang merah

Cara membuat kuah

-Jerang air rebusan udang dengan pes udang.
-Bila mendidih, masukkan garam dan gula.
-Celur semua bahan bertanda *.
-Hidangkan dengan kuah, bawang goreng dan daun bawang.


Ayu,
Sepang, Selangor

ayu@ranhill-utw.com.my

Saya nak tanya pada Puan tentang telur. Kalau telur gred B = dengan 55 g, bagaimana pula telur gred A?

Gred A=60 g

Bolehkah Puan beri saya resepi kek mentega kukus? Saya ada resipi kek mentega (bakar dlm oven). Adakah boleh digunakan resipi itu untuk dikukus?

KEK MENTEGA KUKUS

Bahan A [Kacau rata]
1 cawan susu cair
1 cawan air
1 cawan butter cair
2 cawan gula perang

Bahan B [ayakkan]
2 1/2 cawan tepung superfine
1 s/k baking powder
1 s/k soda bikarbonat

Bahan C [kacau rata]
1 biji telur ayam
1 s/k esen vanilla

Cara
1. Panaskan kukusan
2. Satukan A dan B supaya sama rata.
3. Masukkan bahan C, kacau lagi supaya licin dan halus.
4. Lapikkan loyang dgn kertas, lengser dgn majerin. Tuangkan adunan. Tutup (longgar) atasnya dgn foil.
6. Kukuskan selama 1 jam dengan api sederhana.

*Resepi diubahsuai dari hanieliza.photopages.com

Resipi kek yang dibakar dalam oven bolehkah digunakan untuk dikukus?

Tidak semua kerana adunan untuk dikukus adalah lebih lembik daripada untuk dibakar.




Salinah,
Sg Buloh,
salinah@sirim.my


Setiap hari saya menyediakan sarapan untuk anak2 ke sekolah, manakala saya seorang ibu yg bekerja jadi nak minta resipi yang simple tapi sedap dan saya tercari-cari resipi roti john/roti telor yg simple dan sedap kerana kebiasaannya saya hanya menggunakan roti dan telor sahaja tanpa bahan lain. Harap puan dapat memberikan resipi tersebut.

FRITTATA TELUR

Bawang besar (jika suka) 1, dikiub kecil
Cili merah 1, dibuang biji dan dikiub kecil
Cili hijau 1, dibuang biji dan dikiub kecil
Daun bawang 4 tangkai, dicincang halus
Telur 4, dipukul
Mentega 2 sudu besar
Roti gandum tulen halus 4 keping, dipotong 4 segiempat sama
Minyak masak 2 sudu besar
Garam secukupnya
Serbuk lada hitam secukupnya

Cara membuatnya

-Campurkan bawang, cili merah, cili hijau, daun bawang, telur, garam dan serbuk lada hitam. Kacau sebati kemudian ketepikan.
-Panaskan separuh mentega di dalam kuali leper. Atur 8 kepingan kecil roti pada dasar kuali.
-Bila bahagian bawah roti keperangan, terbalikkan setiap keping. -Kemudian tuangkan separuh campuran telur. Masak di atas api perlahan hingga bahagian bawah dadar telur kelihatan masak.
-Titiskan separuh minyak di atasnya. Kemudian ubah ke bawah gril supaya bahagian atasnya masak. Jika tiada gril, terbalikkan roti bertelur itu supaya bahagian bawahnya masak.
-Ulang proses untuk memasak sekeping lagi frittata.

ROTI SARDIN

Roti putih 12 keping, dibuang kulit
Tepung gandum,1 sudu besar, dicampur 3 sudu besar air untuk pes
Telur 1, dipukul sedikit
Minyak masak untuk menggoreng
Sos cili atau acar bercuka

Bahan Inti

Sardin dalam sos tomato 225 g, diasingkan kuah, dilecek isinya
Sos cili 2 sudu besar
Sos masam manis 2 sudu besar
Bawang besar 1, dicincang halus-halus
Daun bawang 4 tangkai, dicincang halus-halus
Garam secukupnya
Serbuk lada hitam secukupnya

Cara membuatnya

-Untuk membuat inti. Campurkan semua bahan hingga sebati. -Ketepikan.
-Kukus kepingan roti selama 1 minit. Leperkan sedikit dengan pencanai doh.
-Bahagikan inti sardin di antara kepingan roti, ratakan dan tinggalkan ruang sebanyak 1 cm di sekelilingnya.
-Gulung kemas dan sapu sedikit pes tepung pada hujung tadi supaya roti terlekat elok. Celup di dalam telur hingga rata.
-Goreng dalam minyak panas hingga keemasan. Angkat dan tuskan minyaknya. Sajikan dengan sos cili atau acar bercuka, jika suka.

ROTI JOHN ISTIMEWA

Ban Hot Dog 4
Telur 2, dipukul
Kulit popia 8, berukuran 25 x 25 cm
Tepung gandum 1 sudu besar, dicampur 3 sudu besar air untuk pes
Minyak masak untuk menggoreng

Inti

Minyak masak 2 sudu besar
Bawang besar 1, dicincang halus-halus
Daging kisar 200 g
Rempah kari daging 1 sudu besar
Serbuk cili 1 sudu teh
Garam secukupnya

Cara membuatnya

-Potong ban menjadi 2 keping sama besar. Hiris mendatar (untuk meletak inti) tetapi jangan diasingkan.
-Untuk membuat inti. Panaskan minyak, tumis bawang hingga layu. -Masukkan daging, rempah kari, serbuk cili dan garam. Kacau di atas api sederhana hingga masak.
-Angkat dan biarkan suam seketika. Campurkan dengan telur.
-Letak ban di atas sekeping kulit popia. Sudukan inti di tengah ban kemudian tangkup dengan bahagian atasnya.
-Bungkus ban dengan kulit popia, pastikan hujungnya dilipat ke dalam dengan kemas. Sapu bahagian hujung dengan pes tepung agar melekat elok.
-Goreng dalam minyak panas hingga rangup dan keperangan. Tuskan sebelum disajikan.


Suhaily Mastura binti Abdul Molok
Kuantan,Pahang
alley_wie@yahoo.com

Saya ingin membuat pai epal tapi tidak tahu resipinya.mungkin puan boleh berikan resipi pai epal.terima kasih

PAI EPAL

Bahan pastri

300 gm tepung gandum
2 camb gula aising
1/2 sudu teh garam
150 gm mentega
2 sudu makan air ais
kuning telur (untuk sapu)

Bahan inti

5-6 biji epal hijau, dikupas & dadu 1 cm
70 gm gula perang
4 sudu makan tepung jagung
1 camt serbuk kayu manis

Cara membuatnya

1. Gaul tepung, gula aising dan garam dengan mentega.

2. Masukkan sedikit demi sedikit air dan uli menjadi doh. Bungkus dan simpan di dalam peti sejuk selama 30 minit.

3. Canai separuh pastri dan alas tin pai berukuran 20 cm.

4. Jerang bahan inti sambil dikacau hingga epal agak lembut. Biar sejuk.

5. Sudukan ke dalam tin dan ratakan.

6. Canai baki pastri dan tutup bahagian atas tin (sapu kelilingnya dengan air supaya melekat sempurna).

7. Sapu atasnya dengan kuning telur dan hias dengan baki pastri.

8. Buat 5-6 potongan kecil di atasnya untuk wap udara keluar.

9. Bakar pada 200 C selama 35-40 minit atau hingga masak.



Faridah Ismail
Sibu
p_adeebah@yahoo.com

Bagaimana nak buat jem nanas utk inti tat nanas?

JEM

450 g nenas parut (tapis utk buangkan sedikit airnya)
200 g gula kaster
1/4 camt esen lemon
1 btg kulit kayu manis

-Jerang nenas, kulit kayu manis dan gula atas api sederhana hingga mendidih.

-Masukkan esen, perlahankan api dan kacau selalu hingga jem kental.

-Ia ambil masa 1 jam. Angkat dan biar sejuk.




naqiah@rsegar.com


Saya berminat dengan sejenis masakan cina iaitu LOR BAK tetapi yang
dijual selalunya tidak halal.

Saya ingin meminta jasa baik Puan agar berkongsi cara-cara membuat LOR BAK dan sos pencicahnya sekali


Penang Loh Bak

300 g isi daging kisar
450 g daging batang pinang, dipotong 2x7.5cm
1 camt serbuk rempah lima
3 camb kicap manis
Garam, gula & serbuk lada hitam secukupnya
2 camb tepung sagu
6 camb tepung kentang
250 ml air
125 ml minyak
150 g sengkuang } dicincang halus
2 labu bawang besar }
2 keping kulit tauhu (besar)
Minyak untuk menggoreng

Sos Loh Bak
6 camb kicap manis
3 camb gula pasir
¼ camt serbuk rempah lima
½ camt tepung sagu
2 camb air

Sos Cili Bercuka
20 biji cili merah
½ cawan gula
½ cawan cuka
1 camt bawang putih cincang
Jus 1 biji limau susu
Garam secukupnya

Cara membuat
1. Perap daging dengan rempah lima, kicap, garam, gula dan serbuk lada hitam.
2. Campurkan tepung sagu, tepung kentang dan air. Gaul dengan daging tadi.
3. Panaskan minyak, goreng sengkuang. Bila separuh masak, masukkan ayam dan bawang.
4. Kacau hingga ayam masak.
5. Keringkan kulit tauhu, potong 17.5x10cm. Letak sekeping ayam di tengah kulit, diikuti secamca besar inti.
6. Bungkus kemas dan pusingkan kedua hujungnya.
7. Kukus selama 10 minit. Biar sejuk kemudian goreng di dalam minyak panas hingga keemasan.
8. Untuk sos: Jerang atas api perlahan selama 2 minit kemudian angkat.
9. Untuk Sos Cili Bercuka: Kisar semua bahan kecuali cili. Bila gula hancur, masukkan cili dan kisar semula.



Ummu
Kelantan,
nasyitoh@yahoo.com.my

Resepi Kari

Bolehkan puan berikan saya cara atau resepi membuat kari daging atau ayam yg pekat tanpa santan????

Sama seperti kari biasa tetapi gandakan sukatan rempah karinya. Tambah 2-3 biji buah keras yg ditumbuk halus (untuk 1/2 ekor ayam) supaya kuah pekat. Campurkan buah keras ke dalam pes rempah semasa menumis.



Manah Binti Abdul Hamid
maznah_ah@mohr.gov.my

Jika ada program atau kursus yang diadakan di hotel-hotel, saya terlalu suka makan telur (tak tahu nama) semacam telur goreng aja tapi dihancurkan dan tak berminyak pula. Selalu dimakan dengan roti. Boleh tak bagikan saya resepinya, ingin mencuba di rumah.

Telur Scramble

5 biji telur
1/2 cawan susu segar
garam secukupnya
50 g mentega

-Pukul telur, susu dan garam hingga sebati.

-Cairkan mentega atas api perlahan.

-Masukkan telur, kacau tanpa henti selama 30 saat.

-Padamkan api. Telur akan kekal lembut.

-Jika terlebih masak, ia akan keras.



jiha ms
ns_jiha@yahoo.com.my

Saya ingin bertanya tentang resepi jeruk mempelam yang pernah puan beri dalam ruangan lepas...

1. Ttg penggunaan 1 camt asid benzoate (penahan agar jeruk tidak berbuih) dan 1/2 camt calcium chloride (menghalang bahan jeruk menjadi lembik), adakah ia merupakan bahan pengawet?

Ya. Memang bahan pengawet. Untuk khidmat nasihat yg paling bagus, sila berhubung dengan pegawai MARA, MARDI atau Badan Usahawan yg dapat membantu terutama dalam soal pembungkusan yg terbaik dan ciri-ciri yg mesti ada pada paket atau botol jeruk. Juga penggunaan bahan pengawet yg diikhtiraf kerajaan. Saya kira pengetahuan saya dalam soal ini agak terbatas.

2. Berapa lama jeruk tersebut boleh bertahan?

Kemungkinan 3 bulan tapi terpulang pada keadaan sekitar dan unsur lain yg menyebabkan pembiakan bakteria.

3. Kalau ingin membuat pelbagai jenis jeruk untuk jualan, adakah bahan yang sama digunakan?

Ya.

4. Betulkah boleh juga digunakan air kapur (x silap spya tidak lembik)?

Boleh, direndam selama 10 jam sebelum dimasukkan ke dalam campuran menjeruk.

5. Mengapa kebanyakan jeruk yang dijual apabila dimakan mudah batuk?

Bahan kimia yg terdapat di dalamnya.



Fatihah Azriena Adhaleeza
Temerloh, Pahang
pinkybabe_funkygurlz03@yahoo.com


SPAGHETTI BOLOGNESE

HAI CHEF...SY MERUPAKAN STUDENT IPTA,SAYA INGIN MEMASAK SPAGETI UNTUK FAMILY SAYA APABILA PULANG KE RUMAH NANTI..TAPI SAYA TIDAK PERNAH MEMASAK SPAGETI DAN XTAU NAK MASAK MACAM MANA..DISINI SAYA INGIN MEMINTA TOLONG DENGAN CHEF SUPAYA MEMBERI SAYA CARA2 UNTUK MEMASAK SPAGETI TU..SAYA HARAF CHEF DAPAT MEMBANTU SAYA..

Antara pasta yang paling terkenal adalah spaghetti. Seperti kebanyakan pasta kering yang lain, ia diperbuat daripada tepung suji (semolina), garam dan air. Antara pasta jenis lain adalah macaroni, fettucine, rigatoni, fusilli dan angel hair. Pilihan pasta bergantung pada sos yang anda hendak sediakan. Contohnya, sos berkrim atau bertekstur pekat sesuai dengan pasta ‘berlubang’ seperti macaroni kerana sos itu boleh mengisi ruang bahagian dalamnya. Ini akan menyedapkan lagi masakan itu.

Spaghetti Bolognese berasal dari Italy. Ia sangat popular sebagai hidangan makan tengahari atau malam. Ia juga mudah disediakan dan boleh dipanaskan pada bila-bila masa tanpa mengubah rasanya. Jadi ia sesuai sebagai hidangan ‘rumah terbuka’ atau majlis berunsurkan hidangan buffet.

Bolognese adalah sos tomato berdaging. Jika tidak suka daging, boleh gunakan ayam. Namun begitu, warna sosnya tidak akan menjadi merah gelap. Ayam yang dibeli dalam bentuk siap dikisar juga mempunyai kandungan lemak yang tinggi kerana kulitnya dicampurkan sekali. Ini akan membuat sos berminyak dan tidak sedap.

Sebaik-baiknya, pilih daging kisar yang tinggi mutunya. Daging jenis ini paling rendah kandungan lemaknya. Jika dibeli dalam bentuk dinginbeku, hendaklah dibiar pada suhu bilik hingga lembut. Anda tidak digalakkan merendamnya di dalam air panas kerana langkah ini akan merosakkan daging tersebut.

Supaya sajian lebih sempurna, gunakan bawang besar jenis Holland yang putih. Elakkan daripada menggunakan bawang besar Bombay yang merah. Bawang Bombay lebih sesuai dengan masakan berempah atau bercili. Manakala bawang Holland untuk masakan Barat kerana rasa dan baunya yang tidak begitu kuat.

Bahan lain yang tidak kurang penting adalah tomato. Untuk rasa yang lebih istimewa, gunakan tomato segar. Untuk membuang kulitnya, potong bentuk ‘X’ di bawah tomato. Celur di dalam air mendidih hingga kulitnya terbuka. Keluarkan tomato, letak di dalam mangkuk berisi air biasa. Kupas kulit tadi. Belah 4 dan keluarkan empulur yang mengandungi biji. Kemudian kisar dengan sedikit air hingga hancur.

Selain tomato segar, anda boleh pilih tomato di dalam tin. Ada pelbagai jenama di pasaran. Pilihlah jenis whole peeled tomatoes. Tomato jenis ini tidak berkulit. Kisar dengan airnya sekali sebelum digunakan. Ada juga jenis yang mempunyai campuran cili Benggala (bell peppers) atau herba. Walau apa sekalipun pilihan, kisar terlebih dulu supaya sos menjadi lebih pekat.

Satu lagi bahan yang tidak kurang penting adalah puri tomato. Jangan keliru dengan stewed tomatoes yang lebih cair. Jangan gunakan puri terlalu banyak kerana sos akan menjadi masam. Setiap kali memasukkan puri tomato ke dalam masakan, anda perlu mencampurkan gula untuk mengurangkan rasa masam puri tersebut.

Lazimnya Spaghetti Bolognese disajikan dengan parutan keju Parmesan atau lain-lain. Ia juga enak dimakan dengan parutan Mozarella. Tidak semua keju yang dijual di pasaraya halal. Bagi orang Islam, perlu perhatikan bahan-bahan yang terkandung di dalamnya. Rennet mungkin daripada sumber tulang binatang yang tidak disembelih.

Jika membeli keju di dalam bentuk block, parut halus sejurus sebelum disajikan. Kebiasaannya, keju diletak di dalam mangkuk kecil kerana sesetengah orang tidak gemarkannya. Tetamu boleh mengambil sebanyak mana yang mereka sukai.

Apakah rahsia untuk sos yang sedap? Di Italy, sos disediakan dengan tomato segar dan dididihkan atas api perlahan untuk dihidangkan pada waktu malam. Jadi, kesimpulannya, setelah sos mendidih, renihkan hingga pekat. Namun begitu, ia hendaklah dikacau sekali-sekala. Dengan kaedah memasak di atas api perlahan, dagingnya juga akan empuk dan mesra dengan bahan lain.

Untuk mengharumkan masakan ini, gunakan herba seperti daun bay, oregano, thyme dan rosemary. Ia dijual di dalam botol kecil (bentuk kering). Jika anda boleh membeli herba segar, gunakan dua kali ganda daripada sukatan keringnya. Contohnya, 1 sudu besar oregano kering sama dengan 2 sudu besar oregano segar. Cincang halus dan taburkan setelah sos masak kerana keharumannya akan kekal lebih lama.

Untuk memasak spaghetti, jerang air di dalam periuk besar. Setelah mendidih, masukkan sedikit garam dan minyak. Bubuh spaghetti dan kacau supaya ia tidak melekat. Bila spaghetti menjadi al dente, tuangkan ke dalam penapis. Al dente adalah tahap di mana spaghetti atau sebarang jenis pasta yang lain sudah masak tetapi masih ‘rangup’ dan tidak terlalu lembik.

Spaghetti jenis segar atau fresh tidak perlukan masa yang lama untuk dimasak seperti spaghetti kering. Jika masih ada baki sos daging, boleh dijadikan topping atau bahan atas pizza. Selain itu, ia juga sebagai salah satu bahan utama dalam membuat Lasagne.

Spaghetti Bolognese

2 sudu besar minyak
4 ulas bawang putih – ditumbuk halus
1 labu bawang besar (jenis putih) – dikiub ½ cm
1 helai daun bay kering
400 gm daging kisar
400 gm tomato dalam tin – dikisar
500 ml air
2 sudu besar puri tomato
1 kiub stok daging
2 sudu besar oregano kering
500 gm spaghetti – direbus al dente
Parutan keju secukupnya
Gula & garam secukup rasa

Cara membuatnya

1. Panaskan minyak. Tumis bawang putih, bawang besar dan daun bay hingga keemasan.

2. Masukkan daging, kacau hingga berubah warna dan kering airnya.

3. Campurkan tomato, air, stok, puri, oregano, gula dan garam.

4. Kacau hingga mendidih kemudian perlahankan api.

5. Masak selama 45 minit atau hingga kuah pekat.

6. Sajikan panas-panas dengan spaghetti dan keju parut.




Filzah Abu
filz23779@yahoo.com


Tiramisu

Saya teringin untuk buat cake/cupcake tiramisu. Semua resipi tiramisu yang saya dapat perlu menggunakan wine. Apakah bahan halal yang kita boleh gunakan untuk menggantikan wine? Boleh beri saya resipi tiramisu yang halal?

Wine boleh digantikan dengan jus epal.

Sila rujuk http://hanieliza.photopages.com untuk resepi tiramisu halal.



norfaiziah md rafie
feiziahrafie@yahoo.com.my

Saya berminat hendak membuat cheese cake(dingin beku)untuk ank saya,tapi saya ragu-ragu kerana resepi ini ada menggunakan gelatine.bolehkah saya tahu gelatin diperbuat dari apa,ada yang mengatakan gelatine tidak halal.apakah bezanya gelatine sayuran dan gelatine.

Gelatine sayuran sumber dari agar-agar.

Ada berapa jenis gelatine.bolehkah saya membuat cheese cake tanpa mengunakan gelatine.

Tidak boleh kecuali untuk jenis bakar.

Apakah altenetif lain untuk menggantikan gelatine.

Serbuk agar-agar, dijerang dengan air hingga larut kemudian dicampur ke dalam bancuhan krim keju. Untuk 1 buku kek yg menggunakan 250 gm krim keju, jerang 1 camb serbuk agar-agar dengan 50 ml air.

Untuk pengatahuan puan saya ada membeli gelatine di BAKE WITH YEN(KL)tapi masih ragu-ragu biarpun masih tertulis halal.saya harap puan dapat menjawab..

Dalam soal memilih makanan, jika rasa ragu-ragu timbul, anda tidak boleh memakannya.Sekiranya anda percaya pada tanda HALAL atau minta untuk melihat sendiri paket (original) dan tertulis "Non-Animal Gelatine" atau anda tanda 'V' (utk vegetarian), maka ia boleh digunakan. InsyaAllah, Halal.



Cik Dee
Kuching, Sarawak
mgroffice@hirdb.com

Adik saya minat sgt makan sejenis biskut, tapi tak tau apa nama & resepi biskut tersebut. Untuk pengetahuan Puan, biskut tersebut berbentuk bulat2 kecik dan lagi banyak susu digunakan, makin sedap rasa biskut tersebut.
Jika Puan tau nama & resepi biskut tersebut, besarlah harapan saya agar Puan dapat emailkan pd saya.

Maaf, saya tak pasti. Tapi boleh cuba resepi ini, jika mahu.

BISKUT SUSU

250 gm mentega
140 gm gula aising
1 camca teh vanila
1 biji kuning telur
240 gm tepung gandum }
110 gm tepung jagung } diayak
1 camca teh serbuk penaik }
80 gm susu tepung }

Cara membuat:

1. Pukul 4 bahan pertama hingga sebati.

2. Masukkan bahan ayak dan gaul rata menjadi doh.

3. Bentukkan bebola dan atur atas tin pembakar yang sudah dilengser sedikit marjerin.

8. Bakar pada 175 C selama 15-20 minit atau hingga masak.


ainee zul
missleera@yahoo.com


1) Saya ingin mengetahui cara untuk membuat sambal ikan bilis nasi lemak yang sedap.

SAMBAL BILIS NASI LEMAK

250 g ikan bilis, dibersihkan
1 camb asam jawa + 250 ml air (air asam jawa)
4 camb gula merah
50 ml sos tomato }
50 ml sos cili } bahan A
150 ml air }
350 ml air
2 labu bawang besar, dihiris bulat
Minyak utk menggoreng
Sed garam

Bahan kisar

20-25 tangkai cili kering, digunting & rendam
2 labu bawang besar
8 biji bawang merah
6 ulas bawang putih

Cara membuatnya

1. Panaskan minyak, goreng ikan bilis hingga garing. Angkat dan ketepikan.

2. Panaskan 150 ml minyak, tumis bahan kisar dan kacau hingga garing.

3. Masukkan air asam jawa, kacau rata.

4. Bila mendidih, masukkan gula merah dan garam. Perlahankan api dan renihkan selama 15-20 min.

5. Tuangkan pula bahan A, kacau hingga mendidih kemudian renihkan semula selama 20 min.

6. Masukkan ikan bilis dan bawang besar, kacau rata-rata.

7. Masak 3-4 minit kemudian angkat dan sajikan.

2) Dulu masa saya di sekolah rendah mak kawan saya menjual nasi lemak dan sambal ikan bilisnya berwarna coklat dan rasanya tidaklah terlalu pedas dan manis.

Sambal berwarna coklat kerana menggunakan gula merah yg agak banyak sebab itu manis (ganti gula pasir) dan sedikit kicap.



puspa rosdi
p_rosdi@yahoo.com

Saya inginkan resepi makanan tradisi orang korea iaitu kimchi. Teringin pulak nak makan kimchi, selalu saya lihat dalam drama2 korea bagaimana mereka makan kimchi, macam sedap je. Diharap puan dapat memberikan saya resepi tersebut.

KIMCHI KUBIS

5 camb garam laut (sea salt)
1.9 liter air
1 biji kubis (daun lebar)

-Campur 3 camb garam dengan air dalam bekas kaca.
-Masukkan kubis, sejatkan. Sapu daun dengan baki garam.
-Biar pada suhu bilik selama 4 jam.
-Bilas di bawah air sejuk. Sejatkan selama 30 min.

Inti
1/4 paun lobak Jepun (daikon), hiris halus 5 cm
1 c serbuk cili
6 ulas bawang putih
2 camt cincangan halia
10 bahagian pangkal daun bawang, dipotong serong 5 cm
3 camb jeruk udang kering Korea (ganti cencalok)
2 camb garam kasar
2 camb gula
2 c air

-Satukan lobak dan serbuk cili, gaul.
-Masukkan semua bahan lain.
-Isikan ke dalam kubis, bungkus kemas.
-Sapukan baki inti di bahagian luar kubis.
-Susun kubis dalam bekas kaca dan tutup kemas.
-Biar selama 2-4 hari (peram) pada suhu bilik (tempat gelap).
-Untuk dihidangkan, potong kubis tadi.

*Jika dalam peti sejuk tahan 3 bulan.


moriza68@streamyx.com

Puan, saya nak minta petua nak buat tepung Tempura sikit, sebab susah nak cari kat kedai runcit biasa.

TEMPURA

1 biji telur
1 cawan air ais
1 cawan tepung gandum, diayak 2X

-Dalam mangkuk, pukul telur.
-Masukkan air ais, kacau rata.
-Campurkan tepung dan kacau sebati (tak perlu terlalu lama, memadai bercampur).
-Celup udang/sayur dan goreng terendam dalam minyak panas.

*Pastikan minyak cukup panas dengan meletakkan sedikit adunan tempura, ia mesti timbul serta-merta dan tidak tenggelam.


kharleez
zubinfamaproducts@yahoo.com

Kak saya nak proses secara kecil2an karipak serunding dan kerepek ubikayu.Boleh kak tunjuk ajar. Dimana nak dapat mesin dan apa jenis peralatan yang perlu. Sekian terima kasih

Tentang mesin dan peralatan serta tunjuk ajar, lebih baik hubungi Badan Usahawan, MARDI, FAMA atau MARA kerana mereka mempunyai kepakaran. Sedangkan resepi yg di dalam simpanan saya rasanya tak begitu sesuai untuk perusahaan kecil-kecilan. Ini adalah kerana, cara pembuatan dgn mesin tidak sama. Lagipun, untuk kekal tahan lama selama beberapa bulan selepas dibungkus, perlu memasukkan sedikit bahan pengawet ke dalam adunannya.



Rose Malik
asyraf262001@yahoo.com.sg


Saya telah beberapa kali buat kuih tat tapi tak sedap. saya pernah merasa kuih tat yang lembut dan lemak. Seorang kawan beritahu yang kuih tat itu dibuat dengan campuran butter dan minyak sapi.Boleh tak berikan saya resepi tat yang menggunakan minyak sapi dan butter?

Hanya gunakan resepi tat yg pernah saya berikan, guna 150 gm butter dan 100 gm minyak sapi (bagi menggantikan marjerin). Anda mungkin perlu tambah sedikit lagi tepung kerana adunan akan menjadi lembik sedikit.


Zahariyah Othman
zahariya@dbp.gov.my


Saya amat berminat makan kuih kaum India iaitu kuih vadey. Bolehkah saya dapatkan resepinya? Atas usaha puan untuk
mendapatkan resepi tersebut saya ucapkan ribuan terima kasih.

VADAI

300 g dal, dibasuh, rendam 4 jam & tuskan
260 ml air
1 camt jintan putih

Minyak

2 labu bawang besar, dicincang halus
2 ulas bawang putih, ditumbuk
3 biji cili hijau, dihiris halus
1 camb hirisan daun ketumbar
1 camb hirisan daun kari
3 ½ camb tepung beras
Garam, serbuk lada hitam

Kisar dal, jintan dan air hingga halus. Campur dengan semua bahan lain.Bentukkan bulat dan leperkan sedikit (tengahnya berlubang).Goreng dalam minyak panas hingga keemasan.Tuskan minyaknya.

*Untuk vadai yg tidak halus (ketara dalnya), kisar kasar dengan sedikit air saja.Kemudian kepalkan menjadi bentuk leper dan bulat (tanpa lubang di tengahnya).


Razita Besar
Johor Bahru
azjek43@yahoo.com

Olive Oil..halal?

Saya nak beli Olive Oil kat pasaraya, tapi saya meragui kesahihan kehalalan olive oil yang ada dipasaran. Kebanyakan olive oil diimport dari luar negara. Bolehkan puan memberikan cadangan jenama produk olive oil yang halal yang terdapat dipasaran.

Sumber Olive Oil adalah buah zaitun. Ia tidak mengandungi apa-apa campuran lain dan anda boleh pastikan sendiri dari senarai bahannya. Pilih virgin olive oil kerana rasanya lebih sedap (sesuai untuk salad dll). Untuk menggoreng pula, pilih light olive oil tetapi jangan masak atas api kuat kerana minyak zaitun mudah menjadi pahit.


Rohaya Abdul Rahim
azizan1@streamyx.com


SOFT BUN

Puan bagaimana untuk mendapat resepi membuat soft bun yang lembut dan bahan yang di gunakan murah. Saya adalah seorang pengusaha bumiputera yang menghantar roti/mini pizza ke kilang dan kantin sekolah. Bahan yang saya guna agak mahal dan keuntungan amat minima. Di harap dapat membantu saya.

Apakah bahan yg anda gunakan? Berapakah harga yg anda letak?

Roti bun lembut kerana teknik ulian yg betul, masa mengembang penting (hingga naik dua kali ganda) kemudian membakar dalam oven yg panas (tidak lama). Anda mesti faham cara membuat dan kaedah paling sempurna barulah bun gebu dan sedap.

Bahan asas bun adalah tepung berprotin tinggi, marjerin, telur, yis dan air/susu, juga sedikit gula dan garam.


LIHAT ARKIB
kembali ke menu utama