BULETIN ISNIN ALAF 21


 

 TERBIT SETIAP ISNIN - Informasi terkini ALIFIN


KOLUM RESIPI DENGAN RUANGAN
SOAL JAWAB MASAKAN

BERSAMA PUAN NORZAILINA NORDIN Anda pasti mempunyai masalah,
kemusykilan keliru atau tak tahu langsung tentang teknik atau cara masak memasak.

Contohnya mengapa kek yang anda masak tidak naik atau bantat? Mengapa asam pedas anda tidak sesedap asam pedas mentua anda? Atau teh tarik yang anda buat tidak seperti teh tarik mamak?

Ah, jangan risau! Kita akan membawa seorang pakar masak ALAF 21 iaitu Puan Norzailina Nordin untuk menjawab sebarang pertanyaan anda.

Sila e-melkan soalan-soalan anda ke alaf@Alaf 21.com.my dan tuliskan ALAFSJ MASAKAN sebagai tajuk emel anda.

Jangan lupa tuliskan nama penuh dan alamat!



SOAL JAWAB MASAKAN

LIHAT ARKIB
kembali ke menu utama

Lilytahnani Rijela
UPM Kampus Bintulu, Sarawak
lily@btu.upm.edu.my

Sotong Goreng Tepung

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Saya ada satu soalan untuk Kak Norzailina Nordin. Bagaimanakah caranya untuk menggoreng sotong goreng tepung supaya minyak tidak 'meletup' ketika menggoreng? Terima kasih.

Kukus sotong yg sudah dipotong hingga separuh masak (keluar airnya). Lap kering kemudian salut dengan tepung (batter) dan goreng dalam minyak yg banyak hingga keemasan (tak perlu goreng lama kerana sotong mudah masak).

________________________________________


Nur Arifah Bt Md Razif
Pekan, Pahang
arifah_1512@yahoo.com.my

Kek Batik



Assalamualaikum Puan Norzailina Nordin. Saya ingin bertanyakan tentang resipi Kek Batik. Adik saya amat menggemari kek ini tapi kami selalunya membelinya di kedai kuih berhampiran rumah kami. Harap puan dapat membantu. Terima kasih.

KEK BATIK
200gm mentega
410 gm (tin kecil) susu pekat
200gm serbuk minuman bercoklat (milo)
300gm biskut Marie, dipotong kecil
Cara membuatnya:
Cairkan mentega dalam periuk. Apabila semua mentega telah cair, masukkan susu sedikit demi sedikit sehingga habis satu tin sambil dikacau perlahan tanpa berhenti.

Setelah mentega bercampur dengan susu masukkan milo sedikit demi sedikit. Kacau hingga sebati dan tutup api dapur. Masukkan biskut marie.

Gaul hingga rata semua biskut bersalut coklat.Jangan masak bahan tadi lebih dari 10 minit kerana coklat akan keras. Ratakan didalam loyang dan simpan didalam peti sejuk selama 1 1/2 jam sebelum dipotong mengikut suka.

________________________________________

Salinah Bahrim
salinah75@hotmail.com

Tak Gemar Susu

Boleh berikan saya resipi ikan tiga rasa (siakap/kerapu) ala Thai?

SIAKAP TIGA RASA
1 ekor ikan siakap
1 camb tepung jagung
1 biji putih telur
2 ulas bawang putih, dicincang halus
1 biji bawang besar } potong kiub
2 biji cili merah }
1/2 cili Benggala hijau}
3 camb sos tomato
2 camb sos plam
3 camb sos cili Thai
1-2 camt kicap/sos ikan
150 ml air
1 camt tepung jagung + 1 camb air (pemekat)
1 camt jus limau nipis
hirisan cili padi, jika suka
4 camb minyak
gula, garam
daun ketumbar (hiasan)

Perap ikan dengan tepung jagung, putih telur dan garam selama 30 minit. Goreng dalam minyak panas hingga garing dan masak. Panaskan minyak, tumis bawang putih dan bawang besar hingga wangi. Masukkan semua bahan lain kecuali pemekat. Bila kuah mendidih, baru masukkan campuran pemekat. Kacau rata hingga pekat kemudian tuangkan ke atas ikan. Hias dengan daun ketumbar.

Nota: Gula harus banyak supaya manisnya ketara.

Boleh tak akak berikan saya resipi tomyam yang bersantan juga ala Thai? Saya pernah makan tomyam jenis ni di Bangkok beberapa tahun lepas. Saya cuba cari masakan ini di Kuantan tapi tak jumpa.

TOMYAM BERSANTAN
125 ml pati santan } 300 g kelapa
750 ml santan cair }
2 batang serai, dititik & potong 5cm
200 g lengkuas muda, dihiris tiga segi
3 ulas bawang merah } diketuk
3 ulas bawang putih }
500 g ayam, dipotong kecil
5-6 cili padi, dititik
5 helai daun limau purut, disiat
2 camb sos ikan
3 camb jus limau nipis
garam, gula

Jerang santan air dengan garam, gula, serai, lengkuas, bawang merah dan bawang putih hingga mendidih. Masukkan ayam dan masak atas api sederhana. Bila ayam empuk, masukkan cili padi, sos ikan, jus limau dan pati santan. JANGAN biar ia terlalu lama mendidih. Hias dengan daun ketumbar dan daun bawang, jika suka.

Saya ni bukan penggemar susu. Jadi, boleh tak kalau susu digantikan dengan santan untuk sesuatu masakan yang memerlukan susu lebih2 lagi untuk puding?
Boleh tetapi anda perlu tahu kesesuaian kepekatannya. Anda boleh juga ikut selera samada mahu pekat atau tidak. Contohnya, untuk 200 ml susu untuk puding, gunakan santan dari 1/2 biji kelapa saja supaya puding tidak terlalu lemak. Namun jika ada buah dimasukkan sekali ke dalam puding, rasanya agak berbeza dengan puding menggunakan susu.

Terima kasih.
________________________________________

Hani Ryan
marmaladegirl_1702@yahoo.co.uk

Serunding

Assalamualaikum. Saya nak tanya, apa itu serunding? Asal-usul serunding dan bagaimana membuatnya?
Serunding adalah masakan berempah yang kering, kadangkala berminyak (terutama serunding daging) dan tahan lama. Ia perlu dimasak dan dikacau tanpa henti hingga betul-betul kering kerana dengan cara itu saja ia akan tahan lama. Antara serunding yang biasa adalah Serunding Daging, Ayam, Ikan, Udang dan Ikan Bilis. Tiada keterangan tentang asal-usul serunding. Ia adalah hidangan yang lazim pada Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji. Masyarakat Melayu selalu membuat serunding bila banyak daging qurban (Hari Raya Haji). Serunding boleh dimakan dengan nasi himpit, ketupat nasi, ketupat daun palas, lemang dll.

SERUNDING UDANG KERING
200 g udang kering, direndam
400 g kelapa parut (anggaran 1 biji s'hana)
3 camb minyak
200 ml air } diambil air asam jawa
1 camt asam jawa}
1 camb ketumbar } disangai
2 camt jintan manis}dikisar halus
1 camt jintan putih }
1/2 camt serbuk kunyit
2-3 camb pes cili
1 helai daun kunyit, dikoyak
garam, gula secukupnya

Bahan kisar
1 labu bawang besar
6 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
2 cm halia
1 cm lengkuas
1 btg serai

Cara membuatnya:
Kisar atau tumbuk udang kering hingga hancur. Goreng kelapa tanpa minyak hingga keemasan. Panaskan minyak, tumis bahan kisar, rempah kisar, serbuk kunyit dan pes cili hingga wangi. Tuangkan air asam jawa, garam dan gula. Bila mendidih, masukkan daun kunyit dan udang kering. Kacau tanpa henti hingga agak kering kemudian bubuh kelapa goreng. Kacau lagi hingga menjadi seperti serunding.

SERUNDING DAGING
500g daging lembu, direbus & dicarik halus ikut uratnya
1 biji kelapa parut, dijadikan kerisek
500ml santan (dari 1 kelapa)
4 camb serbuk cili
2 camb ketumbar } disangai & dikisar
1 camb jintan manis }
1 camb jintan putih }
2 camb gula
3 helai daun kunyit, disimpulkan
garam secukupnya

Bahan Kisar
100g bawang merah
50g bawang putih
30g halia
3 batang serai
2cm lengkuas

Cara membuatnya:
Jerang daging carik dengan semua bahan di atas api sederhana. Bila semakin kering, perlahankan api dan kacau tanpa henti. Bubuh sedikit garam (ia akan masin bila kering). Kacau hingga peroi dan berwarna coklat kehitaman. Ketepikan daun kunyit dan sajikan.

________________________________________

Nor Asikin Jusoh
najmnm_97@hotmail.com

Kek Lapis

Assalamualaikum puan. Boleh puan kongsi resipi kek lapis yang mudah dan senang (bahan dan cara memasaknya)? Tolong ya.
Anda mesti tahu teknik membakar Kek Lapis. Oven mesti ada pemanas atas bawah (membakar) dan gril (elemen pemanas di atas saja yg akan menjadikan setiap lapisan keperangan). Beli buku 'Belajar Memasak-Langkah Demi Langkah' keluaran Alaf 21 berharga RM19.90 untuk gambar dan keterangan lengkap tentang cara membuat dan membakar Kek Lapis.

KEK LAPIS MASAM-MANIS

500 gm mentega
280 gm gula kastor
20 biji kuning telur
6 biji putih telur
200 gm tepung gandum, diayak 2 kali
40 gm Horlicks
2 camca teh rempah kek lapis
1 camca teh vanila
Sedikit pewarna ungu
mentega cair, utk sapu
kepingan asam manis (hee haw)

Cara membuatnya
1. Putar mentega dengan 100 g gula selama 7 min atau hingga gebu. Ketepikan.
2. Putar pula putih telur dengan 80 g gula hingga kental. Ketepikan.
3. Pukul kuning telur dengan 100 g gula hingga kembang.
4. Masukkan adunan mentega, putar sebati.
5. Masukkan tepung, Horlicks, rempah kek dan vanila. Kacau rata.
6. Kaupbalikkan putih telur hingga sebati.
7. Bahagikan 2, warnakan satu bahagian dengan pewarna ungu.
8. Sudukan 2-3 camca besar adunan biasa ke dalam tin empat segi 22.5 cm yang sudah dialas dengan kertas aluminium. Bakar api atas dan bawah hingga keemasan.
9. Cucuk permukaan dengan lidi dan tekan dengan penekan kek. Sapukan sedikit mentega cair. Sudukan adunan ungu dan susun kepingan asam manis.
10. Gril pula hingga keperangan. Ulangi proses melapis adunan biasa, diikuti adunan ungu dengan asam manis.

________________________________________


Rosmawati Bt. Hj Maryadi
Taman Tampoi Indah, Johor Bahru
rosmawati_maryadi@yahoo.com

KEJU MOZARELLA

Puan, saya ada terbaca ingatan puan untuk memastikan keju mozarella yang dibeli adalah halal. Justeru saya ada ke Giant dan membelek bungkusan keju dari pelbagai jenama. Walau bagaimanapun saya tak pasti bahagian mana yang boleh dijadikan rujukan. Atas sebab itu, saya ingin meminta pendapat/cadangan nama product bagi keju mozarella yang memang disahkan halal.

Beli keju Mozarella jenis PERFECT (dalam blok dan perlu diparut sendiri). Keju Mozarella yg sedia diparut tidak boleh dimakan kerana mengandungi bahan yg diragui. Jika ada Mozarella keluaran KRAFT juga boleh kerana produk KRAFT lazimnya mempunyai kelulusan HALAL (dari negara pengeluar, bukan dari negara kita). Malah ada keju dari Australia yg mendapat kelulusan Australian Islamic Board dan boleh dimakan. Hanya Mozarella yg memberi efek 'bertali' bila dimakan semasa panas. Keju Cheddar atau jenis lain tidak ada kualiti ini.

Terima kasih.

________________________________________


Shahida Abdul Kadir
shahida@srikl.edu.my

Ayam Golek + Puding

Bagaimanakah caranya untuk memasak ayam golek? Bagaimana kalau saya tak nak potong ayam tapi saya nak guna seekor ayam macam menu pengantin makan beradap?

AYAM GOLEK
1 ekor ayam
1 keping hati ayam
1 keping pedal ayam
800 ml santan (2 kelapa)
100 ml minyak
1 biji kentang, dikiub 2 cm & rebus
7 biji telur puyuh rebus
1 keping asam gelugur
gula, garam

Bahan kisar
3 labu bawang besar
6 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
3 cm halia
2 cm lengkuas
2 camb jintan manis } sangai & kisar
2 camb ketumbar }
1 camb lada putih }

Panaskan minyak, tumis bahan kisar hingga terbit minyak. Keluarkan 1/2 rempah goreng. Masukkan hati dan pedal ke dalam baki rempah, goreng hingga masak. Bubuh sedikit air jika terlalu kering. Masukkan kentang, telur, garam dan gula. Gaul rata. Sumbatkan campuran ke dalam perut ayam. Ikat kedua belah kaki ayam. Kukus 1/2 masak. Satukan santan, asam gelugur, baki rempah goreng dan garam dalam kuali besar. Bila mendidih, masukkan ayam. Kacau sambil menjirus ayam hingga masak. Keluarkan ayam, masak lagi kuahnya hingga pekat. Tuangkan kuah ke atas ayam golek semasa menghidangkannya.

Saya telah mencuba salah satu resipi daripada buku Aneka Puding Alaf 21. Nama resipi tersebut 'puding zebra'. Amat menarik kerana hanya menggunakan tepung kastard dan tepung jagung. Masalah yang saya hadapi ialah bila gaul ia melekit pada senduk jadi macam mana nak masukkan dalam acuan. Kalau agar-agar mudah dimasukkan dalam acuan sebab ia cecair. Bila dah sejuk cantik je. Tapi puding zebra saya tak cair, nak masukkan dalam acuan kena tepuk2 dengan senduk dan mampatkan dalam acuan. Betul ke saya buat? Jadi, bila dah sejuk
tak cantik langsung sebab tak ikut acuan.
Kemungkinan sukatan tepung kastard dan tepung jagung terlalu banyak menyebabkan puding itu tidak cair. Boleh cuba resipi ini:

PUDING ZEBRA
700 ml susu segar
150 g gula pasir
2 camb serbuk agar-agar
1-2 camb coklat emulco/pes coklat
45 g tepung jagung
90 ml air

Larutkan tepung jagung dengan air. Satukan dengan semua bahan lain kecuali pes coklat. Kacau atas api perlahan hingga pekat. Bahagikan 2, masukkan pes coklat ke dalam satu bahagian. Sendukkan secara berselangseli ke dalam acuan yg sudah dibasahkan terlebih dulu.

Terima kasih.

________________________________________


Sjaratul Barirah Binti Mohamad Hisham
Jabatan Penerbitan, Universiti Malaya.
along_jaja@yahoo.com

Acar Buah

Assalamualaikum puan, saya ingin mengetahui resipi Kuih Sepit @ Kuih Belanda dan Acar Buah. Harap-harap puan tidak keberatan untuk berkongsi bersama. Terima kasih.

KUIH SEPIT
125 g tepung beras
35 g tepung gandum
150 g gula pasir
2-2 1/2 cawan santan (1 kelapa)
3 biji telur
2 kuning telur

Ayak tepung ke dalam mangkuk, masukkan gula dan santan. Pukul hingga sebati kemudian masukkan telur, kacau dan tapiskan adunan. Sapukan acuan dgn sedikit minyak (sapu dgn kain muslin yg dicelup ke dalam minyak). Bila panas, tuangan adunan ke atas acuan. Tutup acuan dan bakar atas bara api selama 1/2 min sebelah. Potong adunan yg hangus (keliling acuan) dan buka acuan. Jika kuih sudah keemasan, lipat 2 ketika masih panas kemudian biar sejuk. Simpan dlm bekas kedap udara.

ACAR BUAH
100 ml minyak
300 g bawang merah, dibelah 2 jika besar
100 g bawang putih, dihiris halus
100 g halia, dihiris halus
1 botol sedang cuka
200 g gula pasir
50 g bijan, digoreng keemasan
sedikit garam

Sangai & tumbuk/kisar
50 g cili kering, dibuang biji
1 camb jintan manis

Pelbagai jeruk
100 g jeruk limau nipis
100 g jeruk mangga
200 g buah prun
100 g asam masin
100 g buah-buahan campur
100 g cili padi jeruk

Cara membuatnya
1. Panaskan minyak, goreng bawang merah hingga wangi. Angkat.
2. Tumis bawang putih dan halia selama 2-3 min.
3. Bila wangi, masukkan bahan kisar dan kacau.
4. Bila terbit minyak, masukkan cuka, gula dan garam. Kacau hingga mendidih kemudian perlahankan api dan biar merenih.
5. Masak hingga pekat kemudian angkat dan biar sejuk.
6. Gaul dengan buah-buahan kemudian taburkan bijan. Simpan di dalam botol.

________________________________________

Mohaini Mohd Saffar
mohaini@dbp.gov.my

Kuah Tosei

Boleh puan beri resipi kuah tosei atau kuah roti naan yang ada kelapa, tairu dan daun pudina? Adakah kedua-dua kuah ini sama? Kadang-kadang berwarna putih, kadang-kadang merah/oren. Wassalam.
Kuah yg berwarna oren/merah dicampur dengan pewarna atau serbuk cili dan serbuk kunyit. Ia hanyalah kelapa parut (putih) yg dikisar dengan tairu dan daun pudina (kuah ini berwarna hijau). Jika tidak berwarna hijau, ia hanyalah kelapa parut dan tairu yg dikisar dengan sedikit rempah dan air (cukup sekadar pekatnya).

________________________________________

Zuraini Zainal
Tmn Bukit Indah, Ampang.
zuraini.zainal@maybank.com.my

Sos & Cucur

Assalamualaikum puan, saya dah cuba buat kuih/cucur udang seperti yang di jual di gerai tapi tak menjadi. Kuih saya keras apabila sejuk dan tak gebu/tak sedap! Boleh puan beri resipi adunan dan sos cilinya sekali? Sosnya tu dimasak atau mentah?
Sos cili pernah saya berikan dulu. Ada jenis yg dimasak dulu dan jenis ini tahan lama. Sos yg mentah adalah cili merah, sos cili, bawang putih, cuka dan gula yg dikisar halus.

CUCUR UDANG
240 g tepung gandum
2 camb tepung beras
1 camt serbuk penaik
garam, gula, sedikit serbuk kunyit
2 pokok daun kucai
2 tangkai daun sup
2 tangkai daun bawang
1 1/2-2 cawan air panas (bukan mendidih)
2 biji telur
100 g udang sedang
100 g taugeh, dibuang ekor

Gaul 8 bahan pertama hingga sebati dan tidak terlalu keras. Tutup dan biar 30 minit. Campurkan dengan udang dan taugeh, kacau rata. Goreng di dalam minyak panas (yg banyak supaya terendam) hingga keemasan dan garing kulit luarnya. Angkat dan toskan sebelum dimakan.

________________________________________


Yanie Razali
Oakland Heights, Seremban.
aqilah_anis2005@yahoo.com

Kulit Karipap

Puan, mengapa seringkali saya membuat karipap, apabila digoreng kulitnya berbintil-bintil? Mengapakah ini berlaku meskipun saya menggunakan api yang tidak terlalu kuat.
Anda mesti mula memasukkan karipap ketika minyak sederhana panas, bukan ketika ia masih sejuk. Bila semua karipap sudah dimasukkan utk satu gorengan, bolehlah dikuatkan apinya sedikit dan goreng hingga keemasan. Tunggu hingga minyak kurang panas baru masukkan karipap yg lain (gorengan kedua dan seterusnya).

Sekiranya saya hendak menghasilkan karipap frozen, perlukah ianya digoreng seketika?
Tidak perlu. Hanya pastikan ia diatur tidak bertindan ketika dimasukkan ke dalam freezer utk dibekukan. Setelah ia beku, bolehlah bungkusan ditindan/tindih atas satu sama lain.

Adakah puan mempunyai cara dan resipi yang mudah bagi menghasilkan kulit karipap yang kurang mendatangkan masalah?
Saya pernah berikan resipinya di dalam ruangan SJ.

Bagaimana menghasilkan inti karipap yang tahan lama?
Pastikan ia dimasak lama atas api perlahan. Seelok2nya, tumis bahan dan rempah kari hingga betul2 masak sebelum memasukkan bahan lain. Jika karipap hendak difrozenkan, inti memang tahan lama (kerana beku).

Diharap puan dapat membantu. Terima kasih.

________________________________________


Zee Ray
New York
zhr.1983@gmail.com

Buttermilk Chicken

Puan, saya sedar di ruang yang lalu puan telah pun mengeluarkan resipi BUTTERMILK CHICKEN. Sayangnya tiada dalam simpanan saya. Dalam soal ini, dapatlah sekiranya puan menyiarkannya sekali lagi atau pun memberi saya informasi di mana saya boleh memperolehinya. Sekian terlebih dahulu dan diucapkan ribuan terima kasih.

BUTTERMILK CHICKEN
2 cawan buttermilk
1 camb mustard/pes biji sawi
1 camt garam
1 camt serbuk biji sawi
1 camt cayenne pepper (sejenis serbuk cili)
1 camt serbuk lada hitam kasar
3 ½ paun ayam, dipotong 8
2 cawan tepung gandum
1 camb serbuk penaik
1 camb serbuk bawang putih
½ camt garam
5 cawan minyak

Perap buttermilk: Satukan buttermilk, pes dan serbuk biji sawi, garam, cayenne dan serbuk lada hitam. Gaul ayam dan tutup bekas. Simpan di dalam peti sejuk selama 2 jam atau semalaman.

Panaskan oven 80 C. Dalam bekas 13x9x2 inci, kacau tepung, serbuk penaik, serbuk bawang putih dan garam. Masukkan ayam dan salutkan. Biar ayam 10 min dan terbalikkan supaya salutannya rata. Buangkan baki tepung.
Goreng terendam ayam (4 keping sekali bergantung pada kuali/periuk) atas api sederhana hingga keemasan. Angkat dan letak di atas tin pembakar. Letak di dalam oven supaya sentiasa panas.

________________________________________

Syaridz
syaridz@streamyx.com

Kaya

Saya baru je habis masak kaya mengikut resipi yang puan beri dalam ruangan yang lalu. Masalah yang timbul ialah;
Ada forumer yg telah mencuba resipi tersebut dan menjadi. Walau bagaimanapun, saya akan cuba huraikan dgn terperinci di sini.

Kenapa kaya saya berbiji-biji?
Mungkin kerana anda tidak melarutkan gula hangus dengan air sebelum memasukkan bahan lain.

Kenapa rasa kaya tengik macam terlalu rasa kelapa? Mungkinkah saya gunakan kelapa yang keluar dari peti sejuk? Atau kelapa yang saya beli pagi dan saya masak pada waktu malam?
Santan paling elok adalah diperah sebelum digunakan. Jika disimpan di dalam peti sejuk, patinya akan "bercerai" dgn bahagian cair dan tekstur santan tidak sempurna.

Bagaimana saya nak buat kaya itu berwarna coklat dan macam transparent seperti yang saya pernah lihat sebelum ini?
Kacau atas api paling perlahan.

Cuba resipi ini:

SERIKAYA
3 biji telur
240 g gula pasir
300 ml santan (1 kelapa)
2 helai pandan

Utk gula hangus
60 g gula pasir
125 ml air panas

Utk gula hangus: Letak gula dlm kuali kalis lekat atau heavy-based (berat dasarnya). Bila keemasan, masukkan air panas dan masak hingga pekat. Biar suam sedikit. Sementara itu, pukul gula dan telur hingga sebati dan gula hampir hancur. Masukkan santan dan gula hangus, kacau rata. Jerang atas api perlahan dan terus kacau hingga serikaya pekat dan berkilat.

________________________________________

Mac
mac_spc@yahoo.com

Abok-abok Sagu

Hai Kak Norzailina Nordin. Saya teringin sangat nak makan kuih abok-abok yang biasanya dibalut dalam daun pisang bentuk macam "ice-cream cone" dan dicucuk dengan lidi. Waktu itu saya masih kecil (di bangku sekolah) semasa lihat mak saya buat kuih tersebut. Dan juga kuih som-som yang diletak dalam loyang & disimpan dalam peti sejuk. Kalau nak makan, dipotong-potong & letak dalam mangkuk, kemudian dituang atasnya dengan air gula pasir yg telah dimasak. Bagaimanakah cara menyiapkan kedua2 kuih ini? Terima kasih.

KUIH ABOK-ABOK SAGU
130 gm kelapa parut putih
140 gm sagu biji
90-110 gm gula melaka - dihiris halus
sedikit garam
3 helai daun pandan - potong 3sm kecil
20 helai daun pisang selebar 20x15 cm
Sedikit minyak

Cara membuatnya
1. Letak sagu di dalam penapis dan kocak di bawah air paip tetapi jangan terlalu lama, kerana ia akan kembang
2. Isikan sagu di dalam mangkuk, campurkan dengan garam dan kelapa parut.
3. Sapukan sedikit minyak pada sehelai daun pisang. Bentukkan seperti kon.
4. Masukkan 2 sudu makan campuran sagu ke dalam daun pisang.
5. Taburkan gula melaka dan tutup dengan sedikit lagi campuran sagu.
6. Bubuh sehelai daun pandan di atas sekali, lipat untuk menutupnya dan semat dengan lidi.
7. Susun atas rak pengukus. Kukus selama 20-25 minit atau hingga masak.

KUIH SOM-SOM
500 ml santan (dari 1 kelapa)
60 gm tepung beras
10 gm tepung gandum
1 sudu teh air kapur
80 gm gula pasir
sedikit garam
minyak masak secukupnya

Cara membuat:
1. Di dalam mangkuk, satukan santan, tepung beras dan tepung gandum hingga sebati. Bubuh air kapur, gula dan garam.
2. Tapiskan ke dalam periuk atau kuali. Jerang di atas api perlahan.
3. Kacau tanpa henti hingga adunan menjadi kental dan berkilat. Ketepikan dari api.
4. Sapu acuan dengan sedikit minyak. Ratakan adunan di dalam acuan.
5. Kukus selama 20-25 minit atau hingga masak. Biar sejuk sebelum dipotong.

Nota: Air gula adalah gula pasir yang dimasak dengan air dan daun pandan serta kulit kayu manis (sebagai pewangi).

________________________________________

Rose Malik
Tampines Ave 7, Singapura.
asyraf262001@yahoo.com.sg

‘V’ Pada Kotak Krim

Saya dah cari tanda 'V' pada kotak whipping cream tapi tak jumpa. Di sebelah mana selalu tanda 'V'?
Mungkin bagi sesetengah jenama, tiada tanda 'V' (sesuai untuk vegetarian = tiada sumber haiwan). Ia mungkin lebih meluas di kalangan produk yg diimport dari UK. Produk US atau Australia mungkin tiada langsung menggunakan 'V' ini. Kebanyakan whipping cream diperbuat dari pepejal susu dan bahan pengawet (selalunya dari sumber bahan kimia).

________________________________________

Dean D
Miri, Sarawak.
deand@streamyx.com

Ice Blended

Hello puan. Saya nak tahu cara-cara buat Ice Blended.

COFFEE ICE BLENDED
2 camt serbuk kopi segera
2 ½ camb serbuk coklat-koko
2 camb air panas
2 cawan ais
1/3 cawan susu cair
gula halus secukupnya
serbuk kayu manis, untuk tabur
krim putar, jika suka

Satukan serbuk kopi, serbuk coklat-koko dan air panas hingga larut.
Masukkan ke dalam blender bersama semua bahan lain dan kisar hingga halus.
Tuangkan ke dalam gelas, picit krim dan taburkan serbuk kayu manis.


Bagaimana nak buat Serbuk Segera Ice Blended dan bahan campuran? Berapa sukatan yang sesuai untuk satu gelas?
Serbuk segera perlu dibeli di pasaraya. Sukatan di atas adalah untuk 2 gelas. Serbuk coklat boleh juga dibeli di kedai barangan bakeri (berbeza dengan serbuk koko). Untuk rasa yg berbeza, anda boleh gantikan susu cair dengan susu segar atau campuran susu segar dan krim putar (lebih lemak).

Apakah jenis ice blended yang ada di pasaran?
Ada banyak jenis kerana serbuk koko dan kopi datangnya dari pelbagai negara seperti Brazil, Mexico dll. Jadi, campuran yg berbeza akan menghasilkan Ice Blended yg berlainan.

________________________________________

Angie
nichoo@cyberway.com.sg

Ma Lai Koh

Puan, bagaimana cara hendak membuat Malaysia Style ‘Ma Lai Koh’ yang sedap (spongy-textured)?

Ma Lai Koh
125 g tepung protin tinggi
90 g tepung gandum
1 camb tepung jagung
220 g gula kaster
125 g mentega cair
¾ camt vanila
¾ camt treacle (dijual di dalam tin di pasaraya)
3 biji telur
180-190 ml susu segar
1 ½ camb serbuk penaik
Sedikit pewarna kuning atau merah, jika suka

Ayak 3 bahan pertama. Campurkan dengan gula. Masukkan mentega, treacle, vanila dan susu. Kacau rata kemudian masukkan telur dan pukul dengan pemutar elektrik. Ayak serbuk penaik dan kacau hingga sebati. Tambah pewarna ikut suka tetapi adunan jangan dikacau terlalu kuat. Tuangkan ke dalam tin 20 cm yang sudah dilengser dengan sedikit marjerin. Kukus hingga kembang dan masak.

Terima kasih.


________________________________________

Siti Hajar
sajar@usm.my

Puding Roti



Saya ingin mendapatkan resipi puding roti yang dimakan dengan sosnya sekali sama seperti puding yang ada dihidangkan di hotel-hotel. Saya sangat berharap puan dapat membantu saya. Jasa puan hanya Allah saja yang dapat membalasnya. Sekian.

PUDING ROTI
5-6 keping roti putih, buang kulit tepi
90 g mentega
50 g kismis
750 ml susu segar, dipanaskan sedikit
5 biji telur
90 g gula kastor

Potong setiap roti menjadi 4 keping berbentuk tigasegi. Sapu dengan mentega dan susun sedikit bertindih di dalam mangkuk kaserol berukuran 20-22cm yg dilengser dengan sedikit mentega. Taburkan kismis. Pukul susu, telur dan gula hingga sebati. Tuangkan perlahan-lahan ke dalam mangkuk berisi roti dan tekan perlahan dengan belakang sudu supaya roti tenggelam sedikit. Bakar pada 180 C selama 45-50 min atau hingga masak.

Sos kastard
3 camb gula kaster
450 ml susu segar
1 biji kuning telur
1 camb tepung jagung
1/2 camt vanila

Satukan semua bahan kecuali vanila di dalam periuk kalis lekat (non-stick). Kacau atas api sederhana perlahan hingga pekat. Jangan sampai mendidih kerana ia akan jadi berketul. Ketepikan dari api, masukkan vanila. Sajikan dengan puding roti.

________________________________________

Hafizah Mohd Faizi
fizfive@yahoo.com

Roti

Assalamualaikum puan. Saya mempelajari asas membuat roti melalui saudara saya. Menurutnya bancuhan doh yang saya pelajari boleh digunakan untuk membuat bun dan doh pizza. Walau bagaimanapun roti yang berjaya saya hasilkan agak tawar tidak seperti roti bun di kedai. Adakah saya perlu menambah sukatan gula kerana menurut buku Alaf 21 yang saya baca, gula dan lemak yang berlebihan akan menyebabkan roti kurang kembang.
Kandungan gula dan lemak tidak akan menyebabkan roti kurang kembang. Faktor ia kurang kembang adalah kerana yis tidak mencukupi atau tidak aktif. Jika anda turut memasukkan bread improver dan softener, roti masih kembang dan lembut. Pastikan anda tidak memasukkan yis dan garam sekaligus kerana bila ia tersentuh, yis menjadi tidak aktif.

Adakah roti yang biasa terdapat di kedai hanya menyapu gula di permukaan doh yang menyebabkan ianya manis. Saya juga ingin mengetahui beza membuat roti menggunakan marjerin dan shortening (minyak sayuran).
Roti menggunakan lemak sayuran kurang rasa masinnya jika dibandingkan dengan roti menggunakan marjerin. Selain itu, lemak sayuran, marjerin atau mentega memberikan rasa lemak kepada roti. Namun anda perlu lengserkan tin pembakar (terutama bila membuat lof) dengan lemak sayuran supaya cantik warna kecoklatannya setelah dibakar. Mentega tidak boleh digunakan kerana ia menyebabkan kulit roti mudah hangus.


________________________________________

Hery Umar
Taman Cempaka, Ampang
zakiah_yaakub@yahoo.com

Dim Sum

Terima kasih kerana memberikan resipi yang saya minta hari tu. Boleh tak puan berikan resipi nak buat dim sum? Kulitnya selalu pakai kulit wantan dan isinya samada udang ataupun ayam/daging dan di stim macam pau.

Terima kasih.

DIM SUM adalah hidangan Cina yg mempunyai pelbagai jenis masakan. Salah satunya adalah Siew Mai. Inilah resipi yg anda mahukan:

Siew Mai
30-32 keping kulit wantan (bulat)
2 tangkai daun bawang } dihiris
1 biji cili merah }

Bahan Lauk (dicincang halus)
250 g isi ayam kisar
4 keping cendawan kering, direndam lembut
60 g isi udang
60 g cendawan segar (tiram atau butang)
½ biji timun
½ biji lobak merah

Bahan perisa
1 biji telur, dipukul
½ camt minyak bijan
1½ camb tepung jagung
1 camt sos tiram
Garam, gula, serbuk lada sulah secukupnya

Cara membuatnya
1. Gaul bahan cincang dengan bahan perisa. Bahagikan 30.
2. Sudukan lauk ke tengah kulit wantan.
3. Bentukkan seperti cawan dan tekan supaya lauk mampat.
4. Atur atas loyang berlengser minyak dan kukus dengan api sederhana selama 8-10 minit
5. Hias dengan daun bawang dan cili merah.

Nota: Tidak perlu habiskan 1 biji telur.

________________________________________

Nur'Aqilah Abdul Khalid
Tmn Lembah Maju, Ampang.
are_dick90@yahoo.com

Kek Keju Kukus



Puan, ada tak resipi kek keju kukus? Jika ada, bolehkah puan berikan resipinya? Terima kasih.

KEK KEJU KUKUS
250 g krim keju
100 g gula kaster
100 ml krim putar (boleh gantikan dengan susu cair)
3 biji kuning telur
1 camt vanila
50 g tepung gandum
3 biji putih telur

Cara membuatnya
1. Pukul krim keju dan separuh gula hingga kembang.
2. Masukkan sebiji demi sebiji kuning telur, pukul sebati dan gebu.
3. Bubuh krim putar dan vanila, pukul lagi.
4. Campurkan tepung, kacau rata. Ketepikan.
5. Dalam mangkuk bersih dan pemutar bersih, pukul putih telur dan baki gula. Bila kental, kaupbalikkan ke dalam adunan krim keju perlahan-lahan.
6. Ratakan di dalam tin 22 cm yg dialas bawahnya dengan kertas kalis minyak dan dilengser marjerin. Kukus selama 30-35 min atau hingga masak.


________________________________________

Belle
perfume.burberry@gmail.com

Beza Bahan Buat Roti



Saya nak bertanya tentang perbezaan dough softener/bread improver/sortening. Apa fungsi mereka dalam pembuatan roti? Terima kasih.
Dough softener melembutkan adunan roti dan membuatkan ia rasa seperti roti yang diperbuat di kedai/kilang.

Bread improver memendekkan masa untuk doh mengembang sempurna, jadi anda tidak perlu menunggu lama dalam proses "proofing" atau membiar reaksi yis mengembangkan gluten di dalam adunan roti.

Shortening (lemak sayuran) pula memberikan rasa lemak kepada roti atau meningkatkan "fat content"nya supaya roti berasa lebih sedap.

Saya dapati, dalam resipi untuk membuat brown sauce, memerlukan stok perang. Apa itu stok perang sebenarnya?

STOK PERANG
1 kg tulang lembu
2 liter air
250 g sayuran mirepoix (hirisan bawang besar,lobak merah, batang salderi, batang daun bawang besar @ leek)
bouquet garni (herba thyme,daun bay,batang parsli)
6 biji lada putih
* Potong tulang kecil-kecil dan perangkan dengan membakarnya di dalam ketuhar atau menggoreng dengan sedikit minyak di atas kuali leper.
* Buangkan minyak, masukkan ke dalam periuk besar. Campur air, biar mendidih kemudian buangkan lapisan minyak di permukaan (dgn sudu).
* Goreng campuran mirepoix dengan sedikit minyak hingga perang, tapis & masukkan ke dalam stok tulang.
* Masukkan bouquet garni dan lada putih. Renihkan 1-2 jam. Buang buih di permukaan dan tapiskan stok sebelum digunakan.

SOS PERANG (Brown Sauce/Sos Espagnole)
50 g marjerin
60 g tepung gandum
25 g tomato puri
1 liter stok perang (lihat atas)
100 g lobak merah
100 g bawang besar
50 g batang salderi
1. Cairkan marjerin, masukkan tepung & kacau hingga perang.
2. Sejukkan 'roux' ini, kemudian masukkan tomato puri. Perlahankan api, masukkan stok perang panas. Biar mendidih.
3. Goreng lobak, bawang dan salderi dengan sedikit minyak. Tapiskan dan masukkan sayuran ke dalam sos tadi. Renihkan dengan api sangat perlahan selama 1-2 jam. Buangkan kotoran yg timbul di permukaan. Tapiskan sebelum digunakan.

________________________________________


Aswad
aswad_0488@yahoo.com.my

Yong Tau Fu

Assalamualaikum. Saya nak tanya, dalam resipi untuk buat yong tau fu ada sejenis bahan iaitu sos hoi sin dan rempah lima. Jadi, di mana boleh saya dapatkan bahan tu dan jika saya tak masukkan bahan tu dalam masakan tersebut bagaimana?
Sos Hoi Sin jenama LIFE boleh dibeli di pasar raya, begitu juga dengan serbuk rempah lima (Five Spice Powder), berdekatan rak menjual aneka rempah lain.
Sos Hoi Sin boleh diganti dengan sos tiram. Jika tidak memasukkan rempah lima, sos tidak akan berbau seperti sos Yong Taufu yang sebenarnya (yang asli).


________________________________________

Roslina
Batu Caves, Selangor.
ina@nstp.com.my

Pai Epal

Saya ingin mendapatkan resipi Pai Epal bersama-sama dengan pastrinya sekali.

Pai Epal

Bahan pastri

2 1/3 cawan tepung gandum
½ camt garam
¾ cawan mentega
4-5 camb air ais

Bahan inti
8 biji epal hijau, dikupas
1 cawan gula perang
3 camb tepung jagung
½ camt serbuk kayu manis
3 camb mentega
3 camb susu cair + 1 biji kuning telur

Untuk pastri: Gaul tepung, garam dan mentega hingga seperti serbuk roti.
Masukkan sedikit demi sedikit air, uli perlahan menjadi doh. Bungkus doh dan simpan di dalam peti sejuk selama 20 min. Setelah itu, bahagikan dua. Canai setebal 4-5 mm dan alas dasar acuan pai 23 cm. Canai baki adunan berbentuk bulat. Potong epal berbentuk kiub1 cm. Gaul dengan gula, tepung jagung dan kayu manis. Isikan ke dalam kulit pai. Bubuh mentega di atas epal tadi rata-rata. Basahkan kelilingnya pai dan tutup dengan baki adunan. Potong sekelilingnya supaya kemas. Sapu dengan susu bercampur kuning telur di atas pai. Cucuk dengan hujung pisau sebanyak 6 kali di atas kulit tadi. Bakar pada suhu 195 C selama 40-45 minit atau hingga keperangan.


________________________________________

Balqis
balqistina_4@yahoo.com

APAM GULA HANGUS KERAS



Puan, saya salah seorang peminat puan dan saya harap puan dapat membantu saya dalam masalah yang saya hadapi. Soalan saya, kenapa Apam Gula Hangus saya keras dan tak lembut macam span? Ada orang kata perlu letak yis supaya kuih tersebut lembut. Benarkah?
Resipi di bawah tidak menggunakan yis. Untuk apam yg gebu, telur dan gula mesti dipukul hingga keputihan dan ringan. Semasa memasukkan tepung, gula hangus dan air, lakukan perlahan-lahan supaya udara yg terperangkap di dalam adunan telur tadi tidak hilang (ini akan menyebabkan apam keras).

Saya harap puan boleh menerangkan resipi dan langkah-langkah membuat Apam Gula Hangus ini sekali.

APAM GULA HANGUS
1 1/4 cawan tepung gandum
1/4 cawan susu tepung
1/4 cawan gula kastor
1 biji telur
1 camt soda bikarbonat
1/4 cawan air
1/2 cawan gula pasir } utk gula perang
1/2 cawan air }

Bubuh gula dalam kuali kalis lekat. Bila keemasan, tuangkan air berhati-hati dan kacau hingga gula larut. Ayak tepung, susu dan soda sebanyak 2 kali. Pukul telur dan gula hingga kembang dan ringan. Masukkan gula perang, tepung dan air berselangseli ke dalam adunan telur. Tuangkan ke dalam acuan-acuan kecil berlengser sedikit minyak. Kukus selama 20-25 min atau hingga kembang dan masak.

________________________________________

fitrina@mara.gov.my

Masakan Ketika Berpantang

Saya akan bersalin tidak lama lagi. Memandangkan ibu saya bekerja, jadi
saya akan berpantang sendiri. Masalahnya, saya tak tahu bagaimana dan lauk macam mana saya nak masak ketike berpantang?

Panduan Asas:
Cara memasak: Rebus/sup tanpa minyak atau bakar/panggang.
Jangan makan telur kerana dikhuatiri akan menyebabkan bisul bernanah.
Minum air suam dan makan lada hitam (kisar), hirisan halia & kunyit (rebus dengan sayur). Boleh makan keju dgn roti utk sarapan, kopi, milo.
Jangan minum teh (berangin) atau buah-buahan tajam (air tebu, jus oren, limau)

Sayur yg boleh dimakan:
Sawi/bayam (berdaun hijau), daun pegaga, kacang panjang

Sayur yg mesti dielakkan:
Labu (dikhuatiri 'berangin')

Ikan yg boleh dimakan:
Bawal, tenggiri, haruan

Makanan laut yg mesti dielakkan:
Jenis gatal seperti cencaru, kembong.
Udang, sotong, ketam (luka ibu sukar baik)

Buah yg mesti dielakkan: Anggur, tembikai dan buah-buahan 'sejuk'

Dapatkan buku VARIASI SAJIAN SIHAT terbitan Alaf 21 untuk pelbagai resipi dalam pantang.

________________________________________


Azlynn
Sudan, Afrika.
azlynnmira80@yahoo.com.my

Roti

Saya sekarang berada di Sudan, Afrika. Roti di sini keras dan mahal. Saya ada breadmaker jenama Princess. Boleh tak akak beri resipi roti sandwich mcm dijual di pasaran tu? Saya ada mengikut resipi dlm buku tapi tak jadi sgt. Bakar dlm dlm breadmaker atau dlm oven lebih baik?

Untuk roti sandwich (empat segi panjang), boleh terus bakar dalam breadmaker. Jika anda ingin membuat rolls atau mengisi inti ke dalam roti, keluarkan adunan selepas kembang kali ke-2, isi inti kemudian tutup dengan tuala kering dan biar kembang sebelum disapu dengan campuran telur dan air dan dibakar. Saya pernah berikan resipi roti menggunakan mesin dalam ruangan SJ tidak lama dulu.

ROTI (guna mesin membuat roti)
¾ cawan susu segar, dihangatkan (gunakan susu rendah lemak/susu soya)
6 camb mentega/marjerin, dibiar lembut (gunakan marjerin kerana ia tiada kolesterol)
1 biji telur, dipukul sedikit
3 cawan tepung roti/high protein flour
½ cawan gula kastor (boleh dikurangkan 1/4 cawan)
1 camt garam
1 ½ camt yis

Sukat bahan ke dalam mesin roti mengikut peraturan yg ditetapkan oleh pengeluar mesin tersebut. Pilih doh atau manual setting. Bila pusingan selesai, keluarkan doh dari mesin (atau biar supaya ia masak sebagai roti sandwich) dan bentukkan mengikut kesukaan atau bungkus dengan plastik dan simpan di dalam peti sejuk selama 24 jam. Jika disejukkan, biar selama 45 min sebelum digunakan.

Jika dibentuk bulat, letak di atas tin pembakar berlengser marjerin. Tutup dengan tuala lembab dan biar di tempat hangat selama 20 min atau hingga kembang 2x ganda. Bakar pada 205 C selama 15-20 min. Sapukan putih telur atau sebiji telur kemudian taburkan dengan oat, jika suka. Bila masak, sapu mentega atau marjerin di atasnya. Menghasilkan 20-24 roti “roll”.

Nota: Tambah biji bunga matahari (dlm adunan) atau tabur oat di atas roti supaya roti menjadi lebih berkhasiat. Boleh juga dikurangkan gula dan dimasukkan sedikit buah-buahan kering supaya rasa manisnya lebih "asli".

________________________________________

Linawati Ismail
Gadong Beribi, Brunei.
jojojiji_119@hotmail.com

Cara Bakar Kek Lapis

Assalamualaikum Kak Lina, saya pernah meminta penjelasan mengenai oven jenama National (ada api atas dan bawah). Jadi saya nak lebih memahami lagi kegunaannya. Berapa timer dan suhu yg sesuai utk masakan berikut?

1) KEK ROLL - Guna api atas dan bawah, 200 C selama 12-15 min.

2) KEK BIASA - Gunakan api bawah, 190 C selama 40-45 min bergantung kepada ketebalan kek.

3) CHEESE KEK - Letak tin berisi adunan kek ke dalam tin yg lebih besar berisi air mendidih (teknik ini dipanggil 'baien-marie' atau 'double-bath'). Gunakan api bawah, 160 C selama 1 jam. Biar kek sejuk di dalam oven. Keluarkan dan simpan di dalam peti sejuk selama 2 jam sebelum memotongnya dengan pisau yg sudah dipanaskan terlebih dulu.

4) KEK KUKUS - Tidak boleh di dalam oven (kukus atas dapur biasa)

Pernah juga saya mengikuti kursus buat kek lapis. Adakah lapisan pertama
dibakar dulu menggunakan api bawah, kemudian lapisan kek kedua menggunakan api atas dan seterusnya hingga yg terakhir menggunakan api bawah?

Lapisan pertama dibakar api atas dan bawah.
Lapisan kedua dan terakhir, digril (elemen pemanas di atas, bukan setakat pemanas biasa yg tidak akan menggaringkan lapisan kek)
Selepas lapisan atas keperangan, ubah dgn membakar bawah saja pada 180 C selama 15 min (tutup atas kek dgn foil) supaya ia masak sempurna.
Harap Kak Lina dapat memberi penjelasan kepada saya dan pembaca nanti. Terima Kasih.

________________________________________

Mohd Faizal Mat Bahari
Kampar, Perak.
sodiumbikarbonat@yahoo.com.my

Sodium Bikarbonat



Bolehkah sodium bikarbonat dijadikan bahan untuk melembutkan daging? Caranya hanya merebus daging bersama sodium bikarbonat tadi. Apakah ini boleh dilakukan? Apakah ia akan membawa sebarang kesan sampingan?
Caranya ialah dengan melumurkan daging yg sudah di potong dengan sodium bikarbonat secukupnya selama 2 jam, kemudian bersihkan sebelum dimasak seperti biasa. Tiada kesan sampingan sebab sodium bikarbonat yg digunakan itu sudah "dibuang" bila anda membersihkan daging dengan air paip. Jika tidak dibersihkan betul-betul, daging mungkin akan berasa pahit.

________________________________________


Nurul Alia
Kuala Terengganu
nuriasya@yahoo.com

Daging Masak Hitam



Assalamualaikum puan, saya ingin mengetahui resipi daging masak hitam. Harap-harap puan tidak keberatan untuk berkongsi bersama. Terima kasih.

DAGING MASAK HITAM
600 gm. daging lembu batang pinang – hiris nipis 2 cm
3 sudu besar rempah kari daging
1 sudu besar rempah kurma
3 sudu besar pes cili
1-2 sudu besar kicap hitam
2 sudu besar kicap manis
400 ml air (atau secukupnya utk mengempukkan daging)
2 sudu besar gula merah
garam secukup rasa
5 tangkai daun bawang }
5 tangkai daun sup } dipotong 2 cm
2 cili merah – dihiris menyerong
100 ml minyak masak

Bahan A:
5 biji bawang besar } dihiris halus
2 biji tomato }
2.5 cm halia } dikisar
3 ulas bawang putih }
4 biji cili merah }

Cara membuatnya:
1. Panaskan minyak. Tumis bahan A hingga kekuningan.
2. Masukkan rempah, pes cili dan daging tadi. Tuangkan air dan rebus hingga daging menjadi lembut. Tambah air lagi jika perlu.
3. Bila kuahnya pekat, bubuh kicap hitam, kicap manis dan garam secukup rasa.
4. Akhir sekali, campurkan daun sup dan daun bawang. Kacau dan angkat.
5. Hiaskan dengan cili merah kemudian hidangkan.


________________________________________


Farah Suria
baiyinah@brunet.bn

Rempah Bunjut

Assalamualaikum Kak Norzailina, sudi kiranya kakak terangkan kepada saya sukatan dan rempah-rempah yang digunakan untuk membuat sup (seperti sup tulang dan sebagainya).
Kalau boleh saya tak nak gunakan rempah sup bunjut. Saya tak pernah buat sup sendiri dan ingin mengetahui rempah-rempah yang dibuat bunjut itu.

Sukatan di bawah adalah untuk 1.25 kg daging. Jika tak pernah buat sup, ada baiknya menggunakan bunjut yg sedia dijual sebab membuat rempahnya sendiri agak cerewet.

Rempah Sup Bunjut
10 biji buah pelaga, dihancurkan
1 kuntum bunga lawang, 2 segmen dihancurkan
10 kuntum bunga cengkih, ditumbuk kasar
30 biji lada hitam, dikisar kasar
5 cm kulit kayu manis, dipecahkan menjada 3-4 kpg

Rempah sup
4 camb serbuk ketumbar
1 camb serbuk jintan manis
1 camb serbuk jintan putih
3 camb serbuk biji sawi

________________________________________

Mary Lee
marylkl@yahoo.com

Gantian Bahan Masakan

Hello Puan Norzailina Nordin, saya mempunyai beberapa soalan. Harap puan dapat memberi jawapan. Saya selalu membeli barangan dapur di Pasaraya Giant. Harap2 barangan yang disebut dalam soalan saya dapat dibeli di Giant.

Apakah itu Worcestershire Sauce? Apakah gantiannya? Bolehkah didapati di Giant?
Ia adalah sejenis kicap berwarna hitam yg berperisa unik.
Gantikan dengan Lea & Perrins (dlm botol kecil).


Apakah gantian untuk wine, red/white wine vinegar dan alcohol?
Red wine vinegar gantikan dengan cranberry juice, prune juice atau grape juice
(campur 1/2 camt cuka biasa untuk 1 cawan juice).
White wine vinegar gantikan dengan apple juice (campur 1/2 camt cuka biasa untuk 1 cawan juice).
Untuk alcohol, gunakan non-alcoholic wine.

Herbs kering; Thyme, Sage, Corriander, Basil, Parsley dan Oregano Leaves,
di manakah saya boleh dapat dalam sukatan 1kg, instead of small bottle?
Boleh beli di Hock Chun, Jln Ampang (depan Sucasa) atau Cold Storage
(Great Eastern Mall, Jln Ampang atau KLCC).

Apakah gantian untuk herbs kering yang disebutkan?
Tidak ada ganti untuk Thyme, Sage atau Oregano kerana ia herba dari luar negara
(mungkin ada ditanam di Cameron Highlands).
Ganti Coriander = daun ketumbar
Parsley (jenis daun halus) = Chinese parsley (daun sup)
Basil = daun kemangi

Apakah itu Oregano Leaves?
Herb yang banyak digunakan di dalam masakan Italy (pizza, bolognese dll)

Apakah perbezaan di antara Mustard dan Dijon Mustard? Di mana nak beli Dijon Mustard? Giant?
Dijon mustard mempunyai campuran wine/arak dan rasanya lebih KUAT. Mustard (biasa) adalah pes biji sawi dan lebih 'pure' atau tulin rasanya. Jika anda memasak resipi American, anda boleh gunakan Dijon mustard.
Dijon Mustard boleh dibeli di Hock Chun atau Cold Storage. Juga di Jaya Jusco atau Carrefour. Saya tak pasti di Giant.


Apakah itu Cumin, Scallion, Salsa? Mana nak dapat bahan ini? Giant?
Cumin = jintan putih
Scallion = bawang merah (atau pangkal daun bawang)
Salsa = boleh dibeli di dalam botol, di Cold Storage.


Apakah bahan pengawet untuk memastikan daging lembu atau daging ayam dapat tahan lama
dan tak cepat busuk?
Bahan pengawet hanya digunakan di dalam masakan,
bukan digunakan untuk daging lembu atau ayam yang belum dimasak.


1oz equal to 25g, how about 1 Ib equal to how many gram?
1 lb = 400 g

Will this method spoil the taste of meat (minced meat form in patty);
cook on hot lightly greased grill or flateplate for a few minutes (half cooked) and then broil until cooked?
Apakah cadangan puan supaya dapat menyingkatkan masa masak? I prefer broil but it takes time.
Cooking under the grill or hotplate is to give the meat a brown skin.
This would seal the juices and make the cooked meat juicier (not dry). If you simply broil it straight, the meat will be dry and tough. To save time, brown in a non-stick wok or frying pan with a little oil.
Only turn meat when the underside is brown (if you push it around in the pan,
it will not be properly browned). Then bake/broil till done.


________________________________________

Cik Heidi
Kuching, Sarawak.
mgroffice@hirdb.com

ISTILAH

Assalamualaikum puan, baru-baru ini saya melayari lawan web http://mypantry.blog.co.uk. Terdapat resipi-resipi yang agak menarik di situ tetapi agak mengelirukan kerana menggunakan Bahasa Indonesia. Diharapkan puan dapat membantu menterjemahkan senarai bahan-bahan di bawah ke Bahasa Melayu.
• Kecap Inggris – sos Worcestershire/Lea & Perrins
• Bawang Bombay – bawang besar warna merah
• Buah Kemiri – buah keras
• Temu Kunci – sejenis halia
• Air jeruk (air jeruk limau = jus limau nipis/fresh lime juice)
• Wortel – lobak merah
• Daun jeruk – daun limau purut
• Kecipir – kacang botol
• Gula palem – gula merah/gula melaka
• Cingur goreng – tulang rawan hidung sapi, digoreng
• Edam – sejenis keju
• Petis ikan – pes ikan seperti pes udang (petis)
• Mente – gajus
• Kemangi – daun herba/ulam
• Kenari - badam
• Lorjuk – kupang/mussel
• Air daun suji – air daun pandan
• Kentang tes – ubi kentang
• Buah oyong - petola
• Cabe rawit – cili padi
• Daun salam – daun herba/ulam
• Silken tofu – tauhu jenis lembut
• Terasi - belacan
• Kalsu bubuk – (tidak diperolehi)
• Kencur - lengkuas
• Konnyaku bubuk – serbuk agar-agar Konnyaku
• Horenzo – daun bayam
• Daun pre – daun bawang

________________________________________

Zalida Abdullah
Shah Alam
eyxamie@yahoo.com


Cara Bersihkan Ketuhar?

Assalamualaikum puan. Saya ada beberapa soalan yang ingin ditanya.
Saya ingin tahu bagaimana untuk membersihkan ketuhar. Saya telah cuba membersihkannya dengan sabun tetapi karat di sekitar pemanas dan dinding ketuhar itu tidak tanggal.
Bagaimana cara yang betul untuk menanggalkan karat dan membersihkan ketuhar serta mengelakkannya berbau. Dan bolehkah juga digunakan untuk periuk yang berkarat.
Banyak produk menghapuskan karat (pencuci cecair atau jenis krim) di pasaran,
anda boleh pilih mengikut kesesuaian [pilih yg sesuai digunakan utk ketuhar kerana jika ada bahan yg boleh terbakar, ia akan membahayakan bila anda memanaskan ketuhar tersebut].
Ikuti peraturan pada botol. Lazimnya, ia disembur kemudian dibiar seketika sebelum dibersihkan. Untuk mengelakkan ia dari berbau, selalu cuci selepas digunakan (jangan tunggu sampai ketuhar sejuk betul). Supaya ketuhar tahan lama, gunakan foil supaya minyak/sos/adunan bahan yg dibakar tidak menitik ke atas lantai ketuhar. Foil boleh dibuang selepas selesai membakar.

Saya juga ingin tahu ketuhar yang bagaimana sesuai jika kita selalu menggunakannya untuk membakar kek, kuih dan ayam juga daging?
Ketuhar yg saya sendiri gunakan lebih 15 tahun (2 kali servis) adalah jenama EUROPA. Ia ada elemen pemanas (gril) di sebelah atas untuk memanggang ikan/daging (buat ayam percik) dan untuk membakar kek lapis.

Penimbang yang bagaimana paling sesuai untuk menimbang tepung dan bahan kering menggunakan gram?
Penimbang eletronik untuk lebih tepat (guna bateri) atau penimbang biasa yg boleh dibeli di kedai peralatan bakeri atau pasaraya besar (lebih mahal, lebih tahan lama).

Di mana boleh saya mendapatkan esen peppermint?
Sudah puas saya mencarinya di baking section di supermarket dan hypermarket tetapi tidak ada.
Di kedai menjual peralatan bakeri. BAGUS di Jln Rugbi 13/30,
Seksyen 13, Shah Alam (tel:55110688).


________________________________________

Noor Ariff Ahmad
noorariff@gmail.com

Daging Rendang Mamak



Assalamualaikum Kak Lina. Boleh tak Kak Lina beri resipi Daging Rendang Mamak. Saya cuba cari resipi dalam internet tapi tak dapat. Duduk di perantauan ni susah nak rasa masakan Malaysia. Baru aje balik Malaysia makan kat Restoran Kampung Pandan di Jalan Yap Kwan Seng. Dia punya Daging Rendang power. Kalau Kak Lina termakan di restoran itu harap dapatlah
Kak Lina beri sedikit tip untuk saya di sini. Sekian, wassalam.
Saya tak pernah ke restoran itu tetapi saya harap inilah resipi yg anda inginkan:

RENDANG ala MAMAK
1 kg daging batang pinang
4 camb rempah kari daging
2-3 camb pes cili
4 pelepah daun kari
2 batang serai, dititik
100 ml kicap manis
2 camb kicap pekat
4 camb sos cili
2 camb air asam jawa
4 camb kerisik
100 ml minyak
Air utk mengempukkan daging
Garam, gula secukup rasa

Bahan kisar
¬8 ulas bawang merah
6 ulas bawang putih
5 cm halia
5 cm lengkuas
4 batang serai

Perap daging dengan air asam jawa dan separuh rempah kari selama 1 jam.
Panaskan minyak, goreng daging separuh masak. Angkat.
Tumiskan bahan kisar, baki rempah kari, pes cili, daun kari dan serai hingga harum.
Masukkan kicap, sos cili, air asam jawa dan daging. Kacau hingga terbit minyak.
Tuangkan air secukupnya dan kacau sekali-sekala. Bila daging empuk, masukkan kerisik dan kacau rata.
Tambah garam dan gula. Masak lagi hingga pekat.

________________________________________

Ahmad Ridzuan Bin Mohd Said
Taman Setapak Indah
flex_titan@yahoo.com

ROTI ARAB

Assalamualaikum. Moga dirahmati Allah kepada akak yang telah banyak membantu.
Roti Arab - mungkin akak pernah lihat atau makan roti ini. Saya terjumpa roti ini di negeri Perlis tempoh hari.
Teringin sangat hendak mencuba tapi tak tahu resipi. Lihat gambarnya di sini; http://www.adpost.com/classifieds/upload/my/business_products_services/
my_business_products_services.2006.1.jpg Jika tidak keberatan dan jika akak tahu bagaimana hendak membuatnya saya amatlah menghargai bantuan dari akak. Terima kasih.

ROTI ARAB
1/2 camb yis kering
1/2 camt gula kaster
1/2 cawan air suam
7 1/2 cawan tepung gandum
2 1/4 camb garam
1/2 cawan susu tepung tanpa lemak
2 1/2 cawan air suam
1 1/2 camb minyak jagung

Campurkan yis dengan gula dan 1 cawan air suam. Biar 5-10 minit atau hingga kembang. Satukan 6 1/2 cawan tepung dengan garam dalam mangkuk besar (1 cawan adalah untuk menguli). Masukkan 2 ½ cawan air suam, minyak dan campuran yis. Kacau dengan senduk kayu atau tangan hingga adunan sebati. Ubah ke atas papan ditaburi tepung dan uli hingga rata selama 10-15 minit. Bila doh menganjal dan mengandungi gelembung bila dibentuk bebola, ia sudah sedia. Proses menguli dengan betul adalah penting supaya roti mudah mengembang.
Letak di dalam mangkuk berlengser minyak dan tutup dengan kain kering. Biar doh naik 2 kali ganda (2 jam) kemudian uli semula menjadi saiz asal.

Sapu sedikit minyak pada tangan kemudian bentukkan menjada 28-30 bebola. Tutup dengan kain kering dan biar di tempat hangat selama 30 minit atau hingga kembang. Canai setiap bebola menjadi bulatan setebal 2 cm. Letak atas meja/dulang kemudian tutup sekali lagi dengan kain kering. Biar selaam 1 jam. Panaskan ketuhar kepada 225 C. Letak roti tadi atas tin pembakar. Masa mengalih dari meja/dulang, terbalikkan supaya bahagian atas terletak di sebelah bawah. Bahagian bawah akan naik/kembang lebih mudah. Bakar atas rak tengah, selama 4-6 minit. Selepas 2-3 minit, roti akan kembang dan menggelembung. Bakar 2-3 minit lagi hingga bahagian bawahnya menjadi perang sedikit. Alihkan roti ke atas dulang dan semburkan dengan sedikit air. Tutup dengan kain lembab. Bila sejuk bolehlah ditindan (alas dgn kertas kalis minyak, jika suka). Tutup dengan tuala lembab selama 2-3 jam lagi. Kemudian baru disimpan di dalam peti sejuk atau dimakan terus.

________________________________________

Norihan Md Ishak
Bukit Sentosa, Rawang.
norihan74@hotmail.com

Len Chee Kang

Assalamualaikum. Saya inginkan resipi untuk membuat dan menyediakan len chee kang. Terima kasih.

LEN CHEE KANG
40 g gula melaka
50 g gula kaster
40 g biji teratai (lotus seed) direndam dlm air
10 kpg longan kering, dibilas
10 kpg bunga lili kering, direndam dlm air
1 camb biji selasih
1 camb biji sagu } dibasuh & toskan
2 camb biji barli }
600 ml air
1 camt esen pandan (jika suka)
1 camt esen ros
bahan lain- kacang goreng, fungus putih (rendam hingga kembang), laici dll

Rebus gula melaka, gula kaster dan air hingga gula larut.
Masukkan biji teratai, longan kering, bunga lili kering, biji selasih, sagu dan biji barli. Biar mendidih hingga biji teratai dan bunga lili lembut. Masukkan esen. Biar campuran sejuk sebelum dihidangkan dengan bahan lain jika suka.

________________________________________

Sazliana Sapuan
Pelabuhan Klang, Selangor.
sazliana@pacneptune.com.my

Resipi Laksam



Puan, saya dah lama ingin membuat laksam sebab saya amat meminatinya. Kalau boleh saya nak cuba membuat sendiri. Boleh dikatakan tiap-tiap hari minggu saya pasti membeli laksam. Saya berharap sangat puan dapat memberi resipi kepada saya. Terima kasih.

LAKSAM
Bahan Laksam

200 g tepung beras
40 g tepung gandum
1 camb tepung kanji
sedikit garam
550-600 ml air
minyak utk melengser

Bahan Kuah
600 g ikan kembung, rebus, ambil isi & tumbuk
2 liter santan (2 biji kelapa)
6 ulas bawang merah, ditumbuk
1 cm halia, ditumbuk
2-3 camt serbuk lada hitam
1 keping asam gelugur
sedikit garam

Bahan Sampingan
6 biji cili merah, dikisar dengan sedikit garam
1 biji timun, dihiris halus
10 btg kacang panjang, dihiris kecil
40 g daun selasih, dimayang
30 g daun kesum, dimayang
200 g taugeh, dibuang ekor
3 cm kiub belacan, dibakar
3 biji limau nipis, dibelah 4

Cara membuatnya:
Utk kuahnya, jerang semua bahan kuah hingga mendidih. Perlahankan api dan renihkan hingga pekat. Angkat dan ketepikan.
Untuk laksam, kacau semua jenis tepung dengan garam dan air hingga menjadi adunan yg sebati. Lengser tin/loyang bulat 22 cm dengan minyak. Tuangkan sedikit adunan agar membentuk satu lapisan nipis. Kukus selama 3-4 min atau hingga masak. Sapukan sedikit minyak pada permukaannya dan gulung kemas ketika masih panas. Hiris setebal 1 cm bila hendak memakannya dengan bahan sampingan dan kuah.

________________________________________

Muza
Serdang, Selangor.
muda@agri.upm.edu.my

Lemak Sayuran



Apakah perbezaan antara bahan2 ini; krimwell/crisco/lemak sayuran? Ada resipi yang menggunakan lemak sayuran, bolehkah saya gunakan krimwell atau crisco sebagai ganti? Terima kasih.
Lemak sayuran adalah vegetable shortening dan crisco memang sejenis lemak sayuran yg diimport dari USA (harganya mahal berbanding dengan lemak sayuran tempatan). Krimwell adalah dlm bentuk pepejal putih-kekuningan, dicampur dengan mentega dan gula aising (dan dipukul hingga gebu) untuk membuat aising mentega (butter icing) atau dikenali sebagai buttercream. Tidak boleh digunakan utk menggantikan crisco atau lemak sayuran. Satu jenama lain bagi krimwell adalah marvello.

________________________________________

Choi Leng Buergi
choileng@gmx.ch

Tauhu Dan Agar-Agar



Assalamualaikum, bolehkah puan emelkan saya resipi membuat tauhu?

TAUHU PUTIH
Sediakan 6 liter susu soya (dari 320-400 g kacang soya). Tuangkan ke dalam periuk besar dan didihkan sekali. Perlahankan api dan renihkan selama 5-10 min. Biar suam hingga 170-180 F. Sediakan coagulant (larutkan 1 camt ‘natural magnesium chloride’ atau 2 camt ‘natural calcium sulfate) di dalam 250 ml air suam.

Nota: Jika kurang coagulant digunakan, tauhu akan lebih lembut. Jika lebih, tauhu menjadi keras.
Tuangkan campuran tadi perlahan-lahan ke dalam air soya sambil mengacaunya. Berhenti mengacau bila ¾ campuran telah dimasukkan. Tunggu selama 2-3 min. Kacau perlahan pepejal yg terbentuk dan renjiskan baki campuran ke bahagian yg masih cair. Bila tiada bahagian cair (semua bertukar pepejal), berhenti menuangkan campuran. Jika masih ada air soya cair dan campuran sudah habis, bancuh campuran lain.

Bila susu menjadi pepejal sepenuhnya, tuangkan ke dalam ‘