Mulai minggu ini, kami akan memaparkan kolum baru yang dinamakan E-MEL MINGGU INI. Kolum ini memaparkan e-mel anda yang kami rasakan menarik untuk tatapan para pelayar yang lain. Anda yang berminat bolehlah menulis apa sahaja pendapat anda. Tajuk adalah bebas. Bagaimanapun kalau boleh, tulisan biarlah berkisar dalam bidang pembacaan. Contohnya, 'Apakah novel yang boleh membentuk minda?', 'Mengapa masyarakat Malaysia masih belum rajin membaca?' atau 'Kesan internet terhadap tabiat membaca buku,'.



JANGAN LUPA!
Tuliskan nama, nombor telefon dan alamat penuh anda. Sila tuliskan e-mel anda kepada alaf@alaf21.com.my

Untuk minggu ini, kami paparkan beberapa e-mel yang kami anggap menarik. Sebagai penghargaan, mereka akan menerima hadiah berupa sebuah novel (Bergantung pada stok) terbitan kami.

 
1. Bagi pemenang yang belum mendapat hadiah, sila tuliskan nama dan alamat penuh dan e-melkan kepada molee@alaf21.com.my . Sila tuliskan HADIAH sebagai tajuk e-mel anda itu.

2. Kepada mereka yang tidak memberikan nama dan alamat secara lengkap, tetapi e-melnya pernah tersiar, sila e-melkan nama dan alamat anda kepada molee@alaf21.com.my supaya kami dapat menghubungi anda. Tuliskan HADIAH E-MEL sebagai tajuk e-mel anda.

 

Anda akan mendapat sebuah novel terbitan ALAF DUA PULUH SATU
Perhatian: Tajuk buku bergantung kepada stok yang ada dan tidak semestinya buku-buku
yang ada di atas. Harap maklum!

Kami mengalu-alukan bagi anda yang tinggal
di sekitar Shah Alam, Klang, KL atau yang ingin mengambil sendiri hadiah anda 'by hand' hubungi terus di 019-2926401 (Cik Molee) atau 016-2670802 (Pn. Ruby) untuk janji temu.

Waktu urusan: 8.30 pagi - 4.00 ptg
Waktu rehat: 1.00 - 2.00 ptg
Setiap hari kecuali Jumaat, Sabtu & Ahad


EMEL1

Tuan Asmas Tuan Junoh
asmaselyaza@yahoo.com

Kurang Tidur Gara-Gara Novel

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan sekalung tahniah kepada Alaf 21 kerana berjaya mengeluarkan novel-novel yang bagus. Kebanyakan novel yang saya miliki dan baca adalah terbitan Alaf 21.

Minat membaca novel ini telah berputik semenjak saya berumur 15 tahun lagi. Dan minat itu tidak pernah pudar sehinggalah sekarang malah semakin menebal walaupun telah mempunyai seorang anak berusia 3 tahun. Saya akan membaca novel pada waktu malam iaitu setelah anak saya tidur. Saya sanggup membaca novel hingga lewat pagi kerana tak sabar untuk mengetahui jalan cerita tersebut. Kadang-kadang saya hanya tidur dua atau tiga jam sahaja sebelum bangun bersiap untuk ke pejabat.

Melalui pembacaan novel juga saya mendapat pengetahuan am secara tak langsung dan ia berguna dalam kehidupan seharian kita. Banyak mesej-mesej yang baik terdapat dalam novel yang boleh kita ambil sebagai iktibar dan pengajaran. Ini juga membuktikan bahawa sesetengah pendapat yang mengatakan membaca novel hanya akan membuatkan kita hanyut dalam dunia khayalan dan melalaikan adalah salah sama sekali.

Dari segi penulis pula, saya amat meminati Damya Hanna dan Nia Azalea. Penulis-penulis lain juga saya minati tetapi mereka merupakan idola saya. Kesemua novel mereka saya miliki. Gaya bahasa dan jalan cerita digarap dengan menarik dan menyentuh hati. Saya memang jatuh cinta dengan watak-watak yang terdapat dalam semua novel mereka.


EMEL2

Khairulnurazmaniza Husain
khairulnurazmaniza@yahoo.com

Ayuhlah Membaca!

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Saya merupakan seorang yang fanatik terhadap novel juga bahan bacaan lain. Asalkan saya memegang sesuatu yang boleh dibaca, saya pasti terpaku dan akan menghabiskan bahan bacaan tersebut sebelum menyambung kembali kerja yang tergendala. Syukur Alhamdulillah, semua ahli keluarga saya juga begitu. Jadi, tidak hairanlah kami semua membelanjakan sejumlah wang untuk membeli novel juga bahan bacaan lain. Saya juga mempunyai sebuah almari khas untuk menempatkan semua bahan bacaan saya. Saya juga sangat sayang semua novel dan bahan bacaan yang saya beli. Bagi saya setiap bahan itu mempunyai input yang berbeza dan menambahkan pengetahuan saya. Semasa saya menuntut, semua bahan bacaan yang saya miliki banyak membantu saya terutama sekali dalam membuat karangan. Hasilnya, saya pernah dianugerahkan pemenang tempat pertama kategori esei peringkat negeri Kedah.

Tetapi, sayangnya saya sangat sedih melihat purata masyarakat Malaysia yang kurang membaca. Sungguh sedih melihat adik-adik yang tidak menggemari bahan bacaan lain terutama bahan bacaan ilmiah. Saya menyokong sesiapa sahaja yang berminat membaca sama ada novel, majalah, komik dan sebagainya. Bagi saya sekiranya dihalang membaca semua bahan bacaan ini, minat yang sedikit pun boleh terhapus begitu sahaja. Jadi, bacalah. Tambahkan purata membaca di kalangan masyarakat Malaysia.

Ayuhlah membaca! Membaca apa sahaja bahan bacaan akan mampu membuatkan minda kita terbuka. Seeloknya, bacalah bahan bacaan yang boleh membuatkan minda kita berfikir.

Ayuhlah membaca! Berapa banyak gedung membeli-belah dibuka dan setiap satunya mempunyai gedung buku yang menempatkan berpuluh malah beribu mahupun berjuta buku yang sesuai dijadikan bahan bacaan. Masyarakat seharusnya sedar bahawa membaca akan membantu dalam membangunkan sesebuah tamadun. Dengan membaca juga, masyarakat akan dapat meningkatkan tahap kemahiran dan keupayaan diri. Kita patut contohi para pendebat sama ada pendebat sekolah mahupun pendebat negara yang merupakan orang yang banyak menjadikan bahan bacaan sebagai satu medium untuk mereka mengutarakan isu dan permasalahan semasa bertanding. Hal ini kerana mereka pasti menyiapkan diri dengan bahan bacaan sebelum menghadiri pertandingan. Menarik bukan?

Saya meminati novel kerana setiap novel mempunyai jalan cerita dan input yang berbeza. Malahan, pengetahuan saya juga bertambah setiap kali saya selesai menghabiskan sebuah novel. Begitu juga dengan majalah dan bahan bacaan yang lain. Yang memuaskan hati saya ialah saya rasa saya semakin matang dengan membaca. Sudah semestinya novel-novel terbitan Alaf 21 menjadi pilihan saya. Abang saya turut melanggan novel bulanan secara pos untuk dijadikan bahan bacaan kami sekeluarga. Kami juga tidak senang duduk jika sehari tidak membaca.

Aduhai masyarakat Malaysia, sedarlah bahawa membaca akan mematangkan fikiran dan menambahkan pengetahuan. Pupuklah minat membaca dari sekarang kerana belum terlambat bagi kita semua untuk memulakan minat ini kerana di Malaysia kita mempunyai banyak gedung ilmu yang menyediakan semua keperluan bahan bacaan. Bak kata pepatah ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Anda pasti tahu dengan program 'Nilam' yang dianjurkan oleh kerajaan kepada para pelajar sekolah bagi memupuk minat adik-adik serta anak-anak kita terhadap bahan bacaan. Oleh itu, janganlah dihapuskan minat membaca kerana membaca memberikan pelbagai kemahiran dan kepentingan kepada diri kita.

Justeru, jadilah buluh yang mudah dilentur rebungnya supaya semua orang mendapat manfaat daripadanya. AYUHLAH MEMBACA!


EMEL3

khairul k-own
jex9763@gmail.com

Indahnya Novel

Selalunya orang melihat membaca novel sebagai satu aktiviti yang membuang masa. Ini kerana ramai yang menganggap novel hanya mengkhayalkan pembacanya dengan watak dan imaginasi yang terlalu tinggi. Tetapi, sebagai pembaca novel yang begitu fanatik, saya mentah-mentah menolak anggapan begitu. Kenapa mereka berkata begitu saya tidak pasti kerana bagi saya semua novel yang pernah saya baca memberikan input yang cukup berguna.

Novel karya Norhayati Berahim cukup memberikan impak terhadap pemikiran dan pengetahuan saya. Betapa setiap novel yang ditulisnya membuatkan saya terfikir sejenak dan membuat muhasabah diri terhadap apa yang telah ditulis. Syabas kepada Norhayati kerana novel beliau menjadi pilihan saya dan keluarga. Malahan, saya tidak akan ketinggalan untuk membeli semua novelnya kerana saya akan berasa rugi jika tidak membaca hasil tulisannya. Setiap bait dan kata-kata membuatkan saya jatuh hati dengan novel Norhayati Berahim.

Hasil tulisan daripada penulis-penulis seperti Aina Emir, Anis Ayuni, Sri Diah, Bikash Nur Idris, Damya Hanna dan ramai lagi yang tidak mampu saya sebutkan banyak menambahkan pengetahuan kepada saya sekeluarga. Hal ini kerana setiap penulis mempunyai jalan cerita, watak utama dan sampingan yang berbeza. Mereka mempunyai garapan cerita yang berbeza untuk pembaca dan membuatkan pembaca mendapat input yang tak ternilai dari novel itu.

Kebanyakan mereka membuat novel yang menggarap nilai kemanusiaan, kekeluargaan, percintaan dan macam-macam lagi. Kisah yang mereka paparkan kadang kala tidak pernah kita lalui atau alami. Jadi, apabila membaca novel kita umpama menghadapi sendiri masalah itu dan menyelesaikannya.

Berpegang pada kata-kata ‘penulis adalah perancang yang pintar’ yang diambil dari novel pertama yang saya baca semasa di tingkatan 2, saya percaya bahawa setiap cerita yang ditulis oleh penulis telah dirancang dengan sebaik mungkin dan mereka tahu hasil tulisan itu dapat memberikan input kepada pembaca mereka. Penulis juga tidak akan menulis sambil lewa kerana sebelum mereka menjadi penulis, mereka juga adalah pembaca seperti kami. Setuju tak? Jadi, mereka tahu apa yang pembaca mahu.

Akhir kata, tahniah kepada semua penulis Alaf 21 yang telah membuka lembaran baru kepada semua yang memiliki jiwa dan minat untuk membaca. Justeru, majulah novel untuk ketamadunan masyarakat kita. Tahniah Alaf 21!



Arkib e-mel minggu ini
Ke menu utama