Mulai minggu ini, kami akan memaparkan kolum baru yang dinamakan E-MEL MINGGU INI. Kolum ini memaparkan e-mel anda yang kami rasakan menarik untuk tatapan para pelayar yang lain. Anda yang berminat bolehlah menulis apa sahaja pendapat anda. Tajuk adalah bebas. Bagaimanapun kalau boleh, tulisan biarlah berkisar dalam bidang pembacaan. Contohnya, 'Apakah novel yang boleh membentuk minda?', 'Mengapa masyarakat Malaysia masih belum rajin membaca?' atau 'Kesan internet terhadap tabiat membaca buku,'.



JANGAN LUPA!
Tuliskan nama, nombor telefon dan alamat penuh anda. Sila tuliskan e-mel anda kepada alaf@alaf21.com.my

Untuk minggu ini, kami paparkan beberapa e-mel yang kami anggap menarik. Sebagai penghargaan, mereka akan menerima hadiah berupa sebuah novel (Bergantung pada stok) terbitan kami.

 
1. Bagi pemenang yang belum mendapat hadiah, sila tuliskan nama dan alamat penuh dan e-melkan kepada molee@alaf21.com.my . Sila tuliskan HADIAH sebagai tajuk e-mel anda itu.

2. Kepada mereka yang tidak memberikan nama dan alamat secara lengkap, tetapi e-melnya pernah tersiar, sila e-melkan nama dan alamat anda kepada molee@alaf21.com.my supaya kami dapat menghubungi anda. Tuliskan HADIAH E-MEL sebagai tajuk e-mel anda.

 

Anda akan mendapat sebuah novel terbitan ALAF DUA PULUH SATU
Perhatian: Tajuk buku bergantung kepada stok yang ada dan tidak semestinya buku-buku
yang ada di atas. Harap maklum!

Kami mengalu-alukan bagi anda yang tinggal
di sekitar Shah Alam, Klang, KL atau yang ingin mengambil sendiri hadiah anda 'by hand' hubungi terus di 019-2926401 (Cik Molee) atau 016-2670802 (Pn. Ruby) untuk janji temu.

Waktu urusan: 8.30 pagi - 4.00 ptg
Waktu rehat: 1.00 - 2.00 ptg
Setiap hari kecuali Jumaat, Sabtu & Ahad


Nota: Jika ada antara e-mel yang disiarkan ini pernah@sama disiarkan pada minggu-minggu yang lepas, hadiah hanya akan diberikan SEKALI sahaja! Ianya dianggap kesilapan teknikal. Harap maklum.

EMEL1

azuan abdullah
Pokok Sena, Kedah
azuan1974@yahoo.com

HANTU BUKU YANG KUKENALI

Siapa kata hantu tidak wujud pada zaman globalisasi ini? Hantu wujud dalam pelbagai rupa. 'Hantu Buku' pastinya dengan bukunya. Tapi apa yang pelik,'Hantu Buku' hanya dengan novel terbitan Alaf 21nya sahaja. Apa yang menariknya dengan terbitan Alaf 21? Setelah dibangkit asal-usulnya, maka 'Hantu buku' ini pun menceritakan bahawa plot ceritanya amat menarik. Kalau membacanya, seolah-olah cerita yang ditulis itu betul-betul terjadi. Ceritanya realiti, bukan fantasi. Jalan ceritanya menarik dan bahasanya begitu puitis dengan bait-bait ayatnya. Hinggakan 'Hantu Buku' ini lupa pada masalah kerjanya. Hampir segenap masa terluang, novel Alaf 21 jadi teman.

Aku pun hairan dengan 'Hantu Buku' ini. Setelah puas dibaca, dicerita pula sebagai modal untuk bersembang. Tapi aku tak hairan kini, novel Alaf 21 memenuhi gerabak almariku. Apa nak buat 'Hantu Buku' itu adalah isteriku. Siang berteman buku, malam menemaniku!


ROHAIDA YUSOFF
Serdang, Selangor
adeeya_zulaikha@yahoo.com

KAU RASA APA YANG KURASA?

Terlebih dahulu saya ucapkan tahniah kepada semua warga Alaf 21 kerana mengadakan ruangan ini. Sejak membaca buku Sambutlah Cintaku karya saudari Bikash Nur Idris, saya terus jatuh hati dengan novel-novel terbitan Alaf 21. Selepas itu semakin banyak novel telah saya beli. Sehingga hari ini saya telah mempunyai pelbagai jenis novel dari novel cinta sehinggalah novel bertemakan thriller dan motivasi.

Sebenarnya ramai yang berkata kepada saya buat apalah buang masa beli buku-buku novel seperti ini. Mereka berpendapat buku-buku ini tidak mendatangkan faedah. Hanya merugikan sahaja. Tetapi saya tetap mempertahankan pendapat saya kerana sememangnya saya memang suka membaca dari kecil lagi. Cuma terdedah dengan Alaf 21 waktu saya sekolah menengah sahaja.

Bagi saya, apabila membaca novel lebih-lebih lagi terbitan Alaf 21 saya merasakan amat bahagia sekali.Tak terucap dengan kata-kata. Seolah-olah perasaan saya jauh melayang mengikuti perkembangan novel-novel ini. Kalau seminggu tak ada novel baru tak lengkapla hidup saya. Saya menjadikan novel-novel Alaf 21 ini sebagai guru dalam hidup saya. Banyak pengetahuan yang saya dapat melalui novel-novel ini.

Saya juga amat mengagumi para penulis novel ini contohnya seperti Ramlee Awang Mursyid, Anis Ayuni, Aisya Sofea, Dr. H.M Tuah Iskandar dan ramai lagi. Saya juga berharap satu hari nanti saya juga dapat menjadi seperti mereka ini. Ini kerana impian saya adalah ingin menjadi penulis seperti mereka.

Karya-karya mereka telah membuat saya menyedari sesuatu di dalam kehidupan kita ini. Apabila saya sedih atau gembira saya akan berkongsi perasaan saya dengan novel-novel ini. Selain itu apabila saya membaca novel Bagaikan Puteri dan Cinta Sang Ratu saya berasa diri saya terlalu kerdil di hadapan Allah S.W.T. Ia juga membuat saya sedar betapa saya alpa selama ini dengan nikmat keduniaan sehinggakan terlupa tentang perjalanan kita ke kampung akhirat. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada saudara Ramlee Awang Mursyid kerana novel beliau tersebut telah membuatkan saya merasa betapa agungnya segala penciptaan Allah S.W.T dan kasih sayangnya serta rahmat kepada hamba-hambanya. Saya juga berharap semua pembaca juga dapat merasakan apa yang saya rasa.


Tamsis Mosdor
Jerantut,Pahang
halifdimen@gmail.com

Asas Lahirkan Ahli Fikir

Maksud tajuk di atas adalah mengenai syarikat ALAF 21 yang banyak menerbitkan pelbagai jenis buku bagi bacaan masyarakat Malaysia. Banyak buku yang dikeluarkan oleh syarikat ini memberi pelbagai ilmu kepada para pembaca. Tak perlu dinyatakan tajuk buku yang dikeluarkan oleh syarikat ini kerana ramai pembaca di luar sana merupakan pengikut setia ALAF 21.

Asasnya ilmu itu diperolehi melalui pembacaan. Dari pembacaan itu akan lahirlah insan-insan yang berfikir. Bahan bacaan yang diterbitkan oleh ALAF 21 merupakan satu wadah yang baik bagi mereka yang dahagakan ilmu. Kedudukan ilmu amat tinggi didalam Islam seperti yang dinyatakan oleh Saidina Ali bin Abi Talib yang berbunyi " Ilmu itu lebih baik daripada harta. Ilmu menjaga engkau dan engkau menjaga harta. Ilmu itu penghukum (hakim) dan harta terhukum. Harta itu kurang apabila dibelanjakan tapi ilmu bertambah bila dibelanjakan".

Oleh yang demikian jangan kita bazirkan masa yang terluang terbuang begitu sahaja. Ini kerana masa itu sangat penting seperti firman Allah ' Demi masa sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian kecuali orang yang beriman dan beramal salih yang berpesan dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran'. ( Surah al-Asr : 1-3 ) .

Marilah membaca buku–buku yang banyak sekali manafaatnya kepada para pembaca. Setiap wang yang saya belanjakan untuk membeli buku keluaran ALAF 21 memang mempunyai pulangan yang setimpal. Bagi mereka yang memang telah menjadi pengikut setia ALAF 21 teruskan sokongan anda dan bagi mereka yang belum lagi membaca buku–buku keluaran ALAF 21,saya sarankan anda cuba membacanya. Bila anda sudah membacanya pasti hendak membaca lagi. Jika tidak percaya boleh cuba.


melin tang
Beaufort, Sabah
mel_blue89@yahoo.com

DASAR WAJIB BELI BUKU TEMPATAN

Industri buku tempatan mempunyai potensi besar. Sebagai negara yang semakin maju, budaya 'suka membaca' sepatutnya seiring dengan pembangunan negara yang pesat.
Perlaksanaan program atau dasar "wajib beli buku tempatan" harus dilaksanakan. Okjektif dasar seperti ini dilaksanakan adalah untuk menghasilkan rakyat yang berilmu dan berpengetahuan luas serta kreatif dari segi pemikiran. Program seperti ini juga akan menggalakkan karyawan tempatan untuk menghasilkan lebih banyak karya memandangkan kuantiti karya yang terdapat di negara kita terlalu sedikit.

Jika dilihat di mana-mana kedai buku dan perpustakaan awam atau sekolah, bilangan karya barat (negara luar) berlipat kali ganda daripada bilangan buku tempatan. Malahan jika ditanya pada orang ramai, apakah buku kegemaran mereka? Tajuk-tajuk buku luar negara yang menjadi jawapan. Berapa orang sahaja peminat karya tempatan?

Sayang seribu sayang kerana karya tempatan lebih bermutu berbanding karya luar negara tetapi karya tempatan juga mendapat "ranking" entah ke berapa dalam hati rakyat tempatan. Perubahan masih boleh dibuat jika semua pihak bekerjasama. Kepada sesiapa yang begitu mengemari novel atau karya negara luar, cubalah jinak-jinakkan diri dengan karya-karya hasil penat lelah karyawan kita.


jahanifah hj. mat zain
Balik Pulau, P. Pinang
honey_jahanifah04@yahoo.com

MENAIKI BOT UNTUK DAPATKAN NOVEL

Ketika kecil, saya amat sukar untuk mendapatkan bahan bacaan. Bukan sekadar kerana masalah kewangan, tetapi kerap juga kerana didorong faktor tempat tinggal yang sukar dihubungi kenderaan. Untuk keluar ke bandar mungkin hanya setahun sekali. Itupun ketika hampir musim perayaan. Jika ingin keluar juga, saya perlu menaiki bot pada pagi-pagi hari dan pulang hanya lewat petang. Tiada tempat lain yang saya tuju melainkan gerai akhbar dan majalah. Sebuah komik pasti menjadi habuan buat saya yang kadangkalanya membuatkan bapa saya mengeluh. Bagi bapa, mengisi perut adalah sangat penting pada waktu itu berbanding menghabiskan wang untuk membeli bahan bacaan. Namun biasanya saya tidak pernah gagal memiliki impian saya kerana permintaan itu lebih baik daripada saya meminta bahan permainan. Bapa saya akhirnya akur juga.

Akibat tidak puas dengan bahan bacaan yang kurang, akhirnya saya mencari jalan lain. Buku-buku di khutub khanah sekolah rendah pada waktu itu yang sangat terhad bilangannya menjadi mangsa saya. Oleh sebab pinjaman hanya boleh dibuat seminggu sekali sahaja, saya terpaksa menyeludup dua buah buku setiap hari. Biasanya buku Enid Blyton yang telah diterjemahkan dan buku siri penyiasatan yang lain. Malahan saya juga membaca buku berbentuk hikayat seperti Hikayat Malim Deman dan saya mampu menghabiskan dua buah buku sepanjang petang selepas pulang dari sekolah sebelum memulangkannya semula pada keesokan hari. Akibat banyak membaca bahan bahasa Melayu ini saya mendapat A dalam subjek Sains Awalan dalam Peperiksaan Penilaian Darjah 5 pada waktu itu. Satu-satunya pelajaran yang agak sukar buat pelajar kawasan pedalaman pada masa itu. Benarkah ilmu sains tidak boleh dikuasai jika disampaikan dalam bahasa Melayu?

Apabila sampai usia begini, saya masih membaca novel-novel Melayu walaupun sehingga jam 5.00 pagi. Bagi saya inilah peluang terbaik untuk berada di dunia yang lain. Dunia yang tidak memerlukan kita banyak bergerak dan berbelanja. Kawan-kawan sering mentertawakan saya kerana masih membaca novel cinta. Namun bagi saya bukan kisah cinta itu yang menjadi perhatian utama tapi kehebatan penulisnya mengadunkan elemen-elemen tertentu sehingga cerita itu menjadi menarik. Bukan semua orang memiliki kehebatan ini.

Jika kita kagum dengan kehebatan seorang artis, maka bagi saya kita juga perlu kagum dengan kehebatan penulis. Seorang penulis sebenarnya seorang pemikir, bukan setakat bakat sahaja. Pembaca yang membaca novel sebenarnya membaca buah fikiran orang lain. Apakah tindakan ini tidak akan menjana minda positif pembaca? Bukan novel Melayu tidak menjana minda positif pembaca, tetapi pembaca yang tidak mempositifkan mindanya terhadap novel Melayu. Hanya pembaca yang matang sahaja akan mempositifkan mindanya.

Arkib e-mel minggu ini
Ke Menu Utama