Mulai minggu ini, kami akan memaparkan kolum baru yang dinamakan E-MEL MINGGU INI. Kolum ini memaparkan e-mel anda yang kami rasakan menarik untuk tatapan para pelayar yang lain. Anda yang berminat bolehlah menulis apa sahaja pendapat anda. Tajuk adalah bebas. Bagaimanapun kalau boleh, tulisan biarlah berkisar dalam bidang pembacaan. Contohnya, 'Apakah novel yang boleh membentuk minda?', 'Mengapa masyarakat Malaysia masih belum rajin membaca?' atau 'Kesan internet terhadap tabiat membaca buku,'.



JANGAN LUPA!
Tuliskan nama, nombor telefon dan alamat penuh anda. Sila tuliskan e-mel anda kepada alaf@alaf21.com.my

Untuk minggu ini, kami paparkan beberapa e-mel yang kami anggap menarik. Sebagai penghargaan, mereka akan menerima hadiah berupa sebuah novel (Bergantung pada stok) terbitan kami.

 
1. Bagi pemenang yang belum mendapat hadiah, sila tuliskan nama dan alamat penuh dan e-melkan kepada molee@alaf21.com.my . Sila tuliskan HADIAH sebagai tajuk e-mel anda itu.

2. Kepada mereka yang tidak memberikan nama dan alamat secara lengkap, tetapi e-melnya pernah tersiar, sila e-melkan nama dan alamat anda kepada molee@alaf21.com.my supaya kami dapat menghubungi anda. Tuliskan HADIAH E-MEL sebagai tajuk e-mel anda.

 

Anda akan mendapat sebuah novel terbitan ALAF DUA PULUH SATU
Perhatian: Tajuk buku bergantung kepada stok yang ada dan tidak semestinya buku-buku
yang ada di atas. Harap maklum!

Kami mengalu-alukan bagi anda yang tinggal
di sekitar Shah Alam, Klang, KL atau yang ingin mengambil sendiri hadiah anda 'by hand' hubungi terus di 019-2926401 (Cik Molee) atau 016-2670802 (Pn. Ruby) untuk janji temu.

Waktu urusan: 8.30 pagi - 4.00 ptg
Waktu rehat: 1.00 - 2.00 ptg
Setiap hari kecuali Jumaat, Sabtu & Ahad


Nota: Jika ada antara e-mel yang disiarkan ini pernah@sama disiarkan pada minggu-minggu yang lepas, hadiah hanya akan diberikan SEKALI sahaja! Ianya dianggap kesilapan teknikal. Harap maklum.

EMEL1

Hizamnuddin Bin Awang
Kg Pandan, K. Lumpur
hizamsi@pop.jaring.my

Bahan Bacaan Bermutu Karangkraf, Alaf 21 dan Karya Bestari

Saya memang suka membaca, sejak dari mula mengenal huruf sehinggalah sekarang. Saya masih ingat emak saudara saya berkata bahawa dia kagum dengan semangat saya membaca semasa saya bersekolah rendah. Saya pun tidak ingat bahawa saya begitu tekun menelaah buku-buku teks sekolah, sebagaimana diceritakan oleh emak saudara saya itu. Menurut beliau, saya begitu tekun membaca dengan hanya bertemankan pelita minyak tanah sahaja, tanpa menghiraukan siapa pun yang datang ke rumah pada waktu itu.

Sungguh, memang keluarga saya minat membaca dan menimba ilmu. Emak saya
sampai sekarang masih meneruskan minat membacanya, dan antara buku-buku atau novel yang emak amat suka ialah novel hasil tulisan Ramlee Awang Murshid. Jangan terkejut, emak saya yang berumur lebih 50-an pun meminati novel Ramlee, kerana me-nurut beliau, tulisan Ramlee lain dari yang lain. Dan itu saya akui kerana emak saya membaca novel Ramlee yang saya miliki, kesemuanya. Setiap kali beliau berkunjung
ke rumah saya di Kuala Lumpur, terus dia tanya, “Novel baru Ramlee ada?”.

Jangan terkejut jika saya nyatakan bahawa adik saya, seorang Ustaz, juga meminati
novel Ramlee. Pastinya setiap kali beliau berkunjung ke rumah saya, bila beliau lihat ada novel Ramlee terbaharu dalam rak buku saya, dia akan segera ke kedai buku untuk membelinya.

Karangkraf, Alaf21 dan Karya Bestari memang sejak dahulu berjaya menghasilkan
bahan bacaan yang baik, yang berjaya membuka minda masyarakat Melayu dan sekaligus berjaya mengenengahkan mutu Bahasa Melayu yang boleh menjadi rujukan kepada pemahaman bahasa itu sendiri.

Karya Bestari dengan buku-buku agamanya mempelopori isu-isu terkini dalam
menjawab persoalan Islam kontemporari. Saya kira tidak banyak penerbit yang berani seperti Karya Bestari. Walaupun buku-bukunya tidak berapa tebal, tapi persembahan yang menarik dengan gaya bahasa yang mudah difahami berjaya menarik minat saya untuk memiliki buku-buku tersebut. Ditambah lagi dengan harga yang amat murah!
Rugi kalau saya tidak membelinya.


idayu ideris
Teluk Panglima Garang, Selangor
dayu91@yahoo.com.my

NOVEL BERMUTU PENTING UNTUK
MENJANA MINDA MASYARAKAT

Kita dapat menimba banyak pengalaman orang lain dengan membaca. Apa sahaja
bentuk atau genre buku, saya amat pasti semuanya bermanfaat kepada manusia, pastinya ianya turut bergantung kepada apakah niat asal kita membaca.

Membaca amat penting bagi semua orang dalam membentuk fikiran yang luas. Ada orang membaca kerana ingin menimba pengetahuan untuk tujuan peperiksaan dan ada yang membaca kerana untuk memenuhi masa lapang. Namun bagi saya membaca adalah satu cara untuk memperoleh ilmu adalah melalui pembacaan. Namun begitu, harus diingat bahawa membaca bahan-bahan bacaan yang berbentuk picisan atau sastera murahan akan menjadikan kita terpesong dari jalan yang benar dan tergelincir
dari lunas-lunas budaya baik yang dapat membina sahsiah diri.

Saya ingin memfokuskan ulasan saya kepada novel-novel kreatif yang ditulis oleh penulis yang amat saya minati, Ramlee Awang Murshid. Saya kira tidak keterlaluan sekiranya saya katakan Ramlee telah berjaya membuka satu arus baru dalam penulisan novel dalam Bahasa Melayu. Novel berbentuk thriller dan misteri yang matang itu telah diselitkan dengan unsur-unsur murni dalam Islam serta nilai murni masyarakat Malaysia.novel sebegini amat baik dalam membina sahsiah anak-anak Melayu.

Novel berbentuk sedemikian mempunyai penggemar di Malaysia. Sudah sekian
lama pasaran negara dibanjiri dengan novel thriller, misteri dan fiksyen dari barat. Usaha murni Ramlee, yang amat berjaya, harus diteruskan dan diikuti oleh penulis-penulis yang lain.

Novel thriller, misteri dan fiksyen dari barat sudah semestinya, antara lain,
memuatkan nilai-nilai budaya barat yang kurang sesuai dengan masyarakat timur, terutamanya masyarakat Malaysia. Walaupun tidak dinafikan ada unsur-unsur kemanusiaan sejagat dalam karya-karya kreatif dari barat, namun demi untuk menyampaikan mesej mereka, ada sesetengah penulis barat lebih cenderung
menerapkan propoganda barat yang kadang-kadang tidak bertepatan dengan
budaya timur.

Dengan berkata demikian, saya tidak menolak satu isu bahawa pembaca yang matang dapat menyaring unsur-unsur kurang sihat/propaganda yang cuba hendak disampaikan oleh penulis barat. Apa yang penting bagi saya ialah kita membaca dan dalam masa yang sama menimba atau meminjam pengalaman orang lain; yang kurang elok atau berniat jahat kita jadikan sempadan dan panduan, yang baik kita ambil dan praktikkan dalam kehidupan.

Justeru, amat perlu novel-novel kreatif dalam negara disuburkan lagi dengan
kehadiran karya-karya seumpama yang dihasilkan oleh Ramlee, supaya kita dapat mempelbagaikan genre novel di Malaysia. Dalam masa yang sama, saya amat berbangga dengan Alaf 21 kerana menghasilkan novel-novel cinta yang bermutu, bukannya novel cinta murahan. Paling kurang pun, pembaca dibina dengan sahsiah peribadi Muslim, bercinta secara jalan agama, terutamanya Islam. Akhirnya novel yang bermutu akan berjaya membentuk minda.


khairul khairul
Manir, Terengganu
khairulganu@yahoo.com.my

SABAN HARI LAYARI LAMAN WEB ALAF 21

Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada warga Alaf 21 kerana
sehingga kini Alaf 21 masih menjadi peneraju utama dalam pasaran novel. Ini berdasarkan permintaan yang tinggi terhadap novel-novel keluaran Alaf 21 yang
laris bagaikan goreng pisang dan sentiasa panas dengan jalan cerita yang
menarik dan memikat hati para pembaca.

Bahkan saya tahu ramai antara kenalan saya amat meminati novel keluaran Alaf 21. Pernah satu ketika saya bertanya kepada mereka tentang novel, mereka mula bercerita mengenai penerbit, penulis dan novel-novel Alaf 21. Saya sendiri sebenarnya peminat setia Alaf 21. Walau ke mana jua saya pergi, walau di mana saya berada tak pernah sehari pun saya lupa untuk menjenguk laman Alaf 21 untuk mengetahui perkembangan terbaru. Saya takkan berpuas hati selagi saya tidak membuka laman Alaf 21 walaupun hanya meluangkan masa selama 10 minit.

Sebagai seorang pelajar, sudah pastinya tugas yang berat menanti saya. Namun minat yang mendalam terhadap novel tidak membantutkan niat saya untuk terus bersama Alaf 21. Saya akan berusaha mencari dan membeli setiap kali ada novel keluaran terbaru Alaf 21. Antara percaya atau tidak setelah letih menelaah pelajaran seharian, hanya kepuasan dari membaca novel Alaf 21 sahaja yang membantu saya mengurangkan tekanan. Selain itu kulit luar novel yang penuh dengan warna-warni amat menarik perhatian saya. Ia menjana minda saya kerana banyak pengajaran serta motivasi yang terdapat dalam
novel ini yang boleh saya jadikan panduan dalam kehidupan seharian.

Sesungguhnya minat membaca ini dipupuk sejak kecil lagi. Ini membuatkan
pembacaan saya tidak terhad kepada satu jenis bahan bacaan dan satu penerbit.
Namun hanya koleksi penuh novel Alaf 21 sahaja yang berada dalam simpanan saya. Saya berharap Alaf 21 akan terus maju dan menjadi penerbit novel yang bukan sahaja untuk dibaca di kalangan dewasa tetapi juga di kalangan pelajar sebagai salah satu pembinaan sahsiah diri mereka dalam menjana minda dan keperibadian pelajar.

Arkib e-mel minggu ini
Ke menu utama