Salam semua!

Dengan segala hormatnya, memperkenalkan editor baru Alaf 21, Haryani Kamilan. Haryani atau nama glamornya Nanie merupakan editor bagi Unit Remaja Alaf 21. Walaupun beliau tidaklah remaja lagi, tetapi beliau telah diberi mandat menguruskan novel-novel remaja, kanak-kanak dan dewasa muda yang selepas ini akan dikenali sebagai Alaf 15.

Berbekalkan pengalaman selama lima tahun dalam dunia penerbitan dan penulisan, beliau nampaknya sangat optimis dalam membangunkan unit Alaf 15 ini.

Sebelum bergelar editor di Alaf 21, beliau pernah menjadi wartawan bagi majalah KLIK dan menjadi penulis bagi siri TV Impian, 3R dan drama pendek Cinta Secangkir Kopi.

Kemudian, beliau menimba pengalaman di sebuah syarikat penerbitan yang popular dengan produk remajanya sebagai editor. Tidak cukup dengan itu, beliau juga merupakan seorang novelis yang sudah pun menghasilkan dua buah novel, Hilangnya Seri Malam dan Gelora Asmara.

Berpegang kepada motto ‘Berfikir Di luar Kotak!” , Nanie menyimpan harapan tinggi agar unit Alaf 15 dapat berkembang sejajar dengan dasar kerajaan yang menggalakkan rakyat Malaysia membudayakan ilmu. Hari ini, genap sembilan hari Nanie menjadi keluarga Alaf 21, beliau gembira bekerja bersama rakan-rakan editor yang sentiasa ceria dan tidak lokek memberikan tunjuk ajar.

Semoga beliau akan terus bersemangat dalam menjalankan kerja-kerja seharian, dan bagi yang berminat menonjolkan bakat dalam penulisan cerita remaja, harap dapat e-melkan sebarang pertanyaan kepada haryani@alaf21.com.my.