|
1.
Tahniah di atas kelahiran RINDU BELUM BERHENTI (RBB). Boleh
ceritakan bagaimana Dhiya mendapat idea dan berapa lama masa
yang diambil untuk menyiapkan keseluruhan manuskrip?
RBB adalah kisah seorang lelaki yang insaf atas kesilapan
masa lalunya yang kotor dan hitam. RBB juga kisah seorang
wanita yang tiba-tiba menjadi pelarian atas jenayah yang dirancang
ke atasnya. Takdir menemukan mereka berdua dan tanpa sedar
ada sejarah / rahsia yang tersembunyi di antara mereka. Idea?
Kebanyakannya hasil daripada menungan saya yang tidak henti-henti.
Apabila sudah mendapat plot secara kasar, barulah saya buat
research serba sedikit. RBB lahir bersama KDB. Semasa menghantar
manuskrip pertama, hampir 65% RBB telah siap. Cuma terhenti
seketika semasa arwah ayah sakit. Saya tidak mengira masa
berapa bulan atau tahun saya menulis, yang pasti seperti target
saya, setahun mesti sebuah buku.
2. Membaca `Tinta Penulis' dalam RINDU BELUM BERHENTI,
Dhiya ada mengatakan ini merupakan percubaan pertama saudari
mencuba genre action-romantis. Berbeza sangatkah berbanding
karya yang pertama?
Saya tidak mengubah genre secara total. Saya masih mengekalkan
unsur cinta di dalam novel saya. Ini merupakan percubaan pertama
dan juga cabaran buat saya untuk melihat sama ada saya mampu
untuk menulis cerita-cerita aksi sebegini. Secara jujurnya,
saya lebih menggemari cerita-cerita yang berunsurkan action
romance ataupun action thriller ini daripada kisah cinta semata-mata.
Sejak dari zaman persekolahan, saya lebih terdedah dengan
cerita-cerita begini. Jadi, saya cuba menulis cerita yang
saya suka dan mengharapkan pembaca juga suka apa yang saya
garapkan.
3. Antara karakter Alia & Taufik dalam KUDAMBA BAHAGIA
(KDB) dengan Adni & Zack dalam RINDU BELUM BERHENTI, yang
manakah lebih menjadi kesukaan dan yang manakah lebih sukar?
Untuk memilih antara dua pasangan ini, sememangnya sukar kerana
saya amat mengemari mereka. Saya sukakan kelembutan Alia dan
kesetiaan Taufik. Saya sukakan hubungan mereka walaupun menerima
dugaan yang bukan sedikit. Adni pula, saya sukakan ketegasannya.
Dia tidak pernah kenal erti putus asa. Tidak pernah mengalah
untuk memperjuangkan cinta. Adni tahu apa yang dimahukan dan
dia berusaha untuk mendapatkannya. Zack, inilah watak yang
agak payah untuk dipotraitkan. Saya kena menyelami ke lubuk
hati seorang lelaki yang tersepit di antara rasa dosanya pada
masa silam dengan keinginannya untuk hidup bahagia bersama
Adni. Walaupun payah, tapi saya sukakan Zack dan berharap
agar pembaca juga sukakan watak ini.
4. Kami yakin peminat yang telah berpuas hati dengan
KUDAMBA BAHAGIA akan merasakan perasaan yang sama dalam RINDU
BELUM BERHENTI. Komen sikit.
Saya percaya genre apa yang kita tulis sekalipun, kalau garapannya
bagus, wataknya meyakinkan, plotnya menarik, cerita itu tetap
akan bagus. Itu kenyataan. Saya bercakap secara umum, bukan
tertumpu pada karya saya sahaja. Secara peribadi, kemahiran
penulisan saya semakin berkembang dalam RBB. Saya juga yakin
RBB lebih baik daripada karya saya sebelumnya. Pembaca tidak
usah takut. Kalau pembaca mencari cinta, RBB juga ada cinta.
Kalau mahu air mata, RBB juga bisa mengalirkan air mata anda.
Nasihat saya, bacalah dahulu dan nilaikan kemudian. Perlu
diingat juga, saya masih dalam proses pembelajaran..
5.
Pastinya ada kenangan manis dan tidak kurang yang pahit sepanjang
Dhiya bergelar novelis. Jika tidak menjadi keberatan, kongsi-kongsilah
dengan kami.
Menjadi seorang penulis adalah impian saya sejak dari alam
persekolahan lagi. Apabila sudah berjaya, maka apa sahaja
yang berlaku selepas itu adalah manis-manis sahaja. Cuma,
apa yang membuatkan saya ralat/kesal adalah kerana arwah ayah
saya tidak berpeluang untuk melihat hasil kerja saya. Hanya
tiga minggu ayah pergi dan saya mendapat tahu bahawa karya
saya akan diterbitkan. Arwahlah yang beria-ia memupuk minat
dan semangat saya untuk terus menulis. Kini, walaupun ayah
telah tiada, namun semangatnya tetap bersama saya, abadi selama-lamanya.
6. Harapan Dhiya terhadap RBB tentunya yang indah-indah belaka.
Ya, kan?
Sudah semestinya! Saya mengharapkan yang baik-baik sahaja
untuk RBB. Saya berdoa agar RBB boleh diterima pembaca, kerana
tanpa pembaca siapalah saya. Saya juga berharap siapa yang
menyukai KDB akan menyukai RBB. Seperti yang saya katakan
tadi, baca dahulu dan nilailah kemudian. Semoga anda semua
berpuas hati.
7. Target Dhiya?
Insya-ALLAH... selagi ada kudrat, saya akan terus menulis.
Saya mensasarkan sebuah novel setahun. Dan buat masa ini,
saya berjaya mencapai target saya itu. KDB terbit pada 2007
dan RBB pula pada tahun ini. Kalau tiada aral, mungkin KTU
(judul sebenar biarlah rahsia dulu, ya...) akan terbit pula
tahun 2009. Insya-ALLAH. Semua ini tidak akan berjaya tanpa
sokongan anda semua. Terima kasih kerana masih menyokong saya.
|