FRAGMEN KUDAMBA BAHAGIA

“D R. HISHAM, ada orang nak jumpa pesakit di bilik 6A tu.” Maisarah bersuara, menghalang Dr. Hisham yang sedang dalam perjalanan untuk memeriksa pesakit. Tepat seperti yang dijangkakan, langkah Dr. Hisham terhenti. Perlahan-lahan dia berpatah balik dan berhenti betul-betul di hadapan Maisarah. Wajahnya yang serius penuh dengan tanda tanya. Sememangnya, sejak semalam mereka mencari waris pesakit di bilik 6A itu.

Agak menghairankan mereka kerana sejak pesakit itu dibawa masuk, tiada seorang pun ahli keluarga yang datang bertandang, walaupun berita kemalangan itu telah tersebar luas. Yang ada pun, hanyalah rakan taulan yang nampaknya lebih mengambil berat daripada keluarga sendiri. Polisi mereka, tidak akan membenarkan sesiapa pun datang melawat sebelum keluarga terdekat diberitahu dahulu.

Prolog 2

“Siapa? Lelaki yang selalu dia sebut-sebut tu ke?” Pantas Dr. Hisham bertanya. Masih terngiang-ngiang di telinga wanita itu menyebut nama seseorang. Hanya sekadar nama. Sedangkan pemiliknya entah di mana. Maisarah menggeleng. Dia turut berasa kecewa kerana mengetahui tetamu yang berkunjung itu bukanlah insan yang dinanti-nantikan. “Habis tu, siapa?” “Katanya, dia kawan baik pesakit. Tu, dia ada kat sana.”

Dr. Hisham memanjangkan lehernya mencari seseorang yang ditunjukkan oleh Maisarah. Wajahnya jelas hampa mendengar penerangan itu. Kawan lagi. Sejak semalam hanya itulah yang didengarnya. Kawan dan kawan. Mana keluarganya yang lain? Sudah tiada wariskah wanita malang itu?
Dia melirik lagi ke arah seorang pemuda yang jelas benar berada dalam kegelisahan. Setelah berfikir seketika,
dia membuat keputusan. Tanpa berlengah lagi, dia mendekati pemuda itu.

DENGAN perasaan yang berdebar-debar, dia menolak daun pintu. Di situ, dia melihat Alia terbujur di katilnya. Begitu kaku sehinggakan dia terfikir adakah Alia masih bernyawa lagi. Kalau tidak kerana turun naik dadanya, pasti dia menyangkakan yang dia sudah kehilangan Alia. “Lia...” Dia memanggil perlahan. Tiada reaksi. Dia mencuba sekali lagi dan kali ini terdapat sedikit pergerakan pada tubuh Alia. Nampak sungguh tidak bermaya tubuh itu. Melalui pergerakan yang perlahan itu, dia sedar
Alia berada dalam kesakitan. Dan, dia bakal menambah kesakitan itu dengan berita yang bakal disampaikan. “Abang... abang datang?” bisik Alia perlahan. Suaranya
kedengaran serak. Bibirnya terasa kering seperti kertas pasir.


3


Mendengar nada Alia yang semacam menyebabkan pemuda itu semakin mendekati. Dia melihat mata Alia masih lagi terpejam rapat. Tepat seperti yang dijangkakan, Alia
menganggap dirinya adalah Taufik. “Lia... Lia, bangunlah. Abang datang ni.” Mendengar suara itu, tiba-tiba mata Alia terbuka luas. Mereka bertatapan buat seketika. Alia cuba melihat di belakang pemuda itu, mencari insan yang amat dinantikan kehadirannya, namun hampa. Pandangan Alia yang penuh mengharap membuatkan dia tunduk mengalah. Tidak sanggup hendak bertentang mata dengan Alia yang seolah-olah tahu apa yang akan disampaikannya. “Dia dah tak ada? Dia dah pergi, kan?” “Abang akan telefon dia. Abang akan panggil dia balik.” Dia
memberi jaminan. Tidak mahu wanita itu berputus harap. Alia menggeleng perlahan. Dahinya berkerut. Mungkin sakit kerana pergerakan itu. “Tak apalah, bang. Dia dah buat keputusan. Lia tak boleh nak halang.” “Tapi dia tak tahu keadaan Lia macam ni. Percayalah cakap abang. Kalau Taufik tahu, dia pasti kembali.” “Jangan. Dah tak penting lagi dah. Yang pasti, dia dah pergi. Janji pada Lia yang abang takkan beritahu dia. Tolong jangan ceritakan keadaan Lia pada dia.” Alia cuba menghalang.
“Jangan macam ni, Lia. Dia berhak tahu keadaan Lia.” “Tak perlu lagi, bang. Janjilah pada Lia.” “Lia...” Dia merayu supaya Alia mengubah fikirannya. Dia benar-benar tersepit. Antara dua orang teman yang amat disayangi, mana satu arah yang perlu dia turuti? Dia tahu Alia sakit. Fikirannya mungkin terganggu. Dan mungkin juga
Alia tidak sedar dengan keputusan yang dibuatnya. Dia berterusan memujuk, namun Alia semakin berdegil.


4


Dia sendiri tidak tahu bagaimana hendak mengubah kedegilan Alia itu. Dalam pada itu, dia turut sama menyelar sikap Taufik yang membuat keputusan tanpa memikirkan akibatnya. “Janji pada Lia...” desak Alia tidak putus-putus. Akhirnya, dia terpaksa berjanji. Dia tidak sampai hati untuk menolak permintaan itu. Setelah berjanji untuk datang lagi, dia meninggalkan Alia sendirian. Dia hanya mampu berharap Taufik akan memaafkannya apabila rahsia ini terbongkar nanti. Sesungguhnya, dia benar-benar serba salah. Alia hanya menghantar pemergian pemuda itu dengan ekor matanya. Dia cuba menutup perasaan pilu yang bersarang
dalam hati. Dia memegang dada, cuba menenangkan perasaan. Apabila bukan Taufik yang berada di hadapannya sebentar tadi, dia telah pun menerima kenyataan. Taufik tidak akan kembali lagi!


5


“HAPPY birthday to you, happy birthday to you, happy birthday to Sarah, happy
birthday to you.” Berkumandang lagu hari jadi itu di nyanyikan oleh sekumpulan
kanak-kanak yang berusia antara lima hingga sembilan tahun. Wajah masing-masing menggambarkan rasa tidak sabar untuk menjamah kek berbentuk Tweety Bird yang amat menarik dan nampak begitu lazat. Dari muka pintu dapur, Taufik tersenyum melihat keletah anak kesayangannya menyambut hari lahir yang ke tujuh. Diam tak diam, sudah tujuh tahun dia hidup bersendirian ditemani anak yang seorang itu. Kalau tidak kerana Sarah Nabilah, sudah lama dirinya tewas sebelum berjuang. Dan
jika tidak kerana anak bermata bundar itu, sudah tentu dia tidak berada pada tahap sekarang. Dia menatap wajah jernih itu dalam diam. Sarah masih


6


leka bermain dengan teman-temannya. Begitu khusyuk sehingga tidak menyedari kehadirannya di situ. Tidak mahu mengganggu detik indah di hadapannya, dia terus memerhati. Secarik senyuman bahagia tercipta di bibirnya. Dengan tidak semena-mena, perasaan rindu hadir dalam jiwa. Seperti tahu bahawa dirinya diperhatikan, Sarah menoleh memandang papanya. Bibir mongilnya mengulum senyuman. Taufik membalas, namun jauh di lubuk hati, kepedihan masih terasa. Senyuman Sarah mengingatkannya kepada seseorang. Seorang insan yang cuba diluputkan daripada fikiran, tetapi semakin kejap mencengkam kotak ingatan. Melihat Sarah membesar tanpa kasih sayang seorang ibu, sering kali mengundang rasa bersalah dalam dirinya. Dia tahu, Sarah rindukan kehadiran seorang wanita yang boleh dipanggil ibu. ‘Ibu’. Satu perkataan yang cukup pendek, tetapi kalimah suci itu mampu mencorakkan hidup seseorang manusia. Kuasa seorang ibu cukup hebat. Tersinggung perasaan ibu, Aqamah seksa menghadapi sakaratulmaut. Melukakan hati ibu, Tanggang berubah menjadi batu. Wajarkah dia menidakkan hak Sarah untuk mempunyai ibu selama ini? Salahkah perbuatannya dulu? Taufik bingung. Tapi, apabila mengenangkan perbuatan tidak bertanggungjawab Alia, hatinya kembali bergolak.

Perempuan yang sanggup meninggalkan anaknya ketika berusia lima bulan bukanlah seorang ibu yang baik. Biarlah dia pergi daripada melukakan hati Sarah kemudian hari. Perlahan-lahan, dia mengorak langkah mendekati sekumpulan kanak-kanak yang sedang asyik menghadap juadah yang terhidang di atas meja. “Hah... Sarah, makan elok-elok sikit. Habis comot pipi ni.” Dengan penuh kasih, pipi Sarah dibersihkan dengan tisu. “Papa, sedaplah kek Tweety ni. Banyak Sarah makan, tau.


7


Nini pun makan banyak,” balas Sarah merujuk kepada kawan baiknya. “Nanti papa beli kek yang ada gambar Donald Duck pulak ya?” sambung Sarah lagi. Taufik menggeleng. “Nak Donald ke, Slyvester ke, Bugs Bunny ke, habiskan semua ni dulu. Kalau Sarah dengar cakap papa, makan elok-elok. Kalau tak...”
“Alah... selama ni pun Sarah memang baik. Betul tak Nini?” Budak yang berambut keriting halus itu hanya mengangguk mengiakan. “Kalau uncle beli, nanti Nini datang makan aje,” ujarnya seketika kemudian.

Taufik ketawa besar. Anak-anak zaman sekarang petahnya mengalahkan orang dewasa. Setelah berpuas hati melihat Sarah dan kawan-kawannya makan, dia meninggalkan mereka. Budak-budak pun macam orang dewasa juga. Perlukan privacy untuk dunia mereka sendiri. Langkahnya terus dihalakan ke arah bilik kerja. Semenjak peristiwa yang berlaku dulu, hanya dua perkara yang menjadi tumpuan utamanya. Pertama, Sarah Nabilah dan kedua, tanggungjawab menerajui syarikat milik datuknya. Melihat Sarah membesar di depan mata adalah suatu pe ngalaman yang teramat indah dan bermakna dalam hidupnya. Anaknya itu seakan dapat menyesuaikan diri walaupun baru beberapa bulan mereka kembali ke tanah air setelah lama menetap di London. Ingatannya jatuh kepada Alia. Apa khabar agaknya dia sekarang? Apa perasaannya jika dia berpeluang berjumpa dengan Sarah semula? Anak yang sudah beberapa tahun tidak berjumpa. Rasa simpati menerjah di lubuk hati mengenangkan Alia. Walau bagaimana luka hatinya kerana perbuatan isterinya itu, dia tetap tidak dapat menafikan, dia pernah mencintai wanita itu sepenuh jiwanya.


8


Sedarkah Alia terhadap kehilangan mutiara yang tidak ternilai dalam hidupnya? Semakin dewasa Sarah Nabilah, bermakna semakin besar jurang antara mereka. “Alia...” Nama itu diseru perlahan. Memenuhi segenap jiwa dan mindanya. Taufik mengambil sesuatu dari laci mejanya. Kotak kayu berwarna coklat keemasan dikeluarkan. Dia merenung seketika kotak itu. Jemarinya sedikit menggeletar ketika mahu membuka kunci yang tidak pernah dibuka sejak dia menutup kotak itu beberapa tahun yang lalu. Sebuah kotak kecil diambilnya dari bekas tersebut. Cincin pemberian Alia direnungnya dengan perasaan sayu. Semenjak dia keseorangan, cincin itu tidak lagi menemani dirinya. Tanpa sedar, dia menyarung cincin itu semula. Jiwanya semakin diruntun pilu.



 

Lot 12, Persiaran Kemajuan 16/16, 40200 Shah Alam Selangor / Tel: 55118820 / Fax: 55113817 / Co. No. 276419M
Laman ini disediakan oleh webmaster ALAF DUA PULUH SATU SENDIRIAN BERHAD.
Segala pertanyaan boleh menghubungi talian 019-2926401