BULETIN ISNIN ALAF 21


 

 TERBIT SETIAP ISNIN - Informasi terkini ALIFIN

DEMONSTRASI MASAKAN CENDAWAN
OLEH NORZAILINA NORDIN
MENARIK PERHATIAN PENGUNJUNG


Norzailina sedang menurunkan
tandatangan kepada peserta dari Sabah...

BERTEMPAT di ruang legar Wisma Tani pada hari Selasa, 29 November 2005 yang lalu sempena majlis menandatangani MOU antara Kementerian Pertanian dengan Universiti Malaya. Ramai peserta terdiri daripada pengusaha cendawan, pemilik industri berasaskan cendawan (kerepek, jus dan sebagainya), ahli-ahli Persatuan Penyelidik Cendawan dan kakitangan kementerian dari seluruh pelusuk tanah air termasuk Sabah dan Sarawak hadir di majlis tersebut.

Majlis dirasmikan oleh Menteri Pertanian, Datuk Seri Muhyiddin Yasin. Selepas ucapan dan menurunkan tandatangan MOU, beliau mengambil kesempatan melawat gerai-gerai yang mengadakan pameran serta singgah selama lebih kurang 10 minit di meja Demonstrasi Masakan untuk merasai Pai Shiitake dan Cucur Cendawan.

Norzailina sempat menunjukkan buku-buku Variasi Sajian Utara, Variasi Sajian Selatan dan Variasi Sajian Pantai Timur yang diterbitkan oleh Alaf 21 Sdn Bhd kepada beliau . Beliau juga meluangkan masa menyaksikan penyediaan Pai Shiitake dan membasahkan tekak dengan jus cendawan.

Sebelum beredar, Datuk Seri juga menjenguk meja yang mempamerkan buku-buku masakan terbitan Alaf 21 Sdn Bhd. Puan Zaliha dari Kementerian Pertanian turut mengusulkan agar diterbitkan pula buku ‘Aneka Cendawan’ supaya lebih ramai orang dapat menikmati pelbagai jenis cendawan yang lazat dan berkhasiat.

Selain Pai Shiitake, Norzailina turut menunjukkan cara-cara membuat Kerabu Cendawan pada jam 1.00 tengah hari. Kemudian diikuti oleh Masak Cili Cendawan sebelum peserta seminar kembali semula ke dalam dewan untuk pembentangan kertas kerja yang berikutnya.

Pihak Alaf 21 yang diwakili oleh Saadiah Mohamad, Didi, Azura dan Azlan turut mengadakan jualan buku di sana. Demonstrasi Masakan dan Jualan Buku mendapat sambutan hangat daripada para peserta dan Kementerian Pertanian sendiri berhasrat untuk menjemput pihak Alaf 21 lagi pada majlis-majlis yang akan datang.

1- Norzailina sedang membuat demonstrasi membuat makanan berasaskan cendawan
2- Rakan-rakan dari Alaf 21 turut hadir memberikan sokongan
Kembali ke menu utama