BULETIN ISNIN ALAF 21


 

 TERBIT SETIAP ISNIN - Informasi terkini ALIFIN

 

AKU DAN NOVELKU

HARI demi hari, novel Alaf 21 semakin dekat di hati para peminat. Ada kalanya, kami tidak putus-putus menerima emel dan telefon memperkatakan novel Alaf 21. Begitu juga dengan buku-buku Alaf 21 yang lain.

Di sini, kami ingin berkongsi cerita daripada seorang peminat Alaf 21 yang mengirimkan e-mel baru-baru ini. Peminat yang kami maksud itu ialah Saudara Zainal Abdul Kadir. Menurut beliau, tujuan beliau mengirim e-mel ini adalah untuk menceritakan penangan novel yang dibacanya sekarang. Tak lain tak bukan novel BAGAIKAN PUTERI. Tengoklah... siap ada gambar sekali disertakan.

Jadi, apa kata kita ikuti cerita beliau ini..


Aku adalah salah seorang peminat novel Alaf 21. Jangan ingat kaum Hawa sahaja yang minat membaca novel. Ada ramai lagi kaum Adam seperti aku yang tidak terlepas menjadikan membaca novel sebagai minat mengisi minda. Tetapi sejak akhir-akhir ini, aku terpaksa menghentikan aktiviti membaca ini memandangkan terdapat masalah-masalah yang membatasi aku berbuat demikian.

Di sini aku ingin menceritakan penangan sebuah novel daripada Ramlee Awang Murshid iaitu Bagaikan Puteri yang aku beli di sebuah kedai buku. Sebenarnya, tergerak hati aku untuk menyambung aktiviti yang sudah lama aku tinggalkan.

Sebaik sahaja aku membaca dua tiga halaman, aku mula jatuh hati untuk membaca cerita seterusnya. Seminit pun aku tak boleh tinggalkan novel itu di atas meja mahupun di atas katil kerana sekali tertinggal, aku menjadi resah. Nak tahu sangat apa yang terjadi perjalanan cerita seterusnya. Sehinggalah aku membawanya semasa bercuti di Cameron Highland pada 10 Disember 2005 yang lalu. Malah, aku tidak boleh berenggang langsung dengan puteri tersebut!

Lihatlah gambarku ini, entah bila masa ia diambil ketika aku sedang ‘syok’ membaca Bagaikan Puteri.

Di sini juga aku ingin mengucapkan syabas kepada Ramlee Awang Murshid kerana berjaya menghasilkan novel sebegini rupa. Bahasa yang digunakan memang baik sekali. Mudah difahami dan garapan yang menyentuh mood yang memberangsangkan dalam jiwa pembaca.

Aku berharap sangat selepas ini, Ramlee akan menampilkan lagi novel yang terhebat seperti Bagaikan Puteri pada masa yang akan datang.

Tengoklah... macam-macam gaya orang membaca novel. Sayang sekali nak tinggalkan seminit hanya semata-mata nak tahu kesudahan cerita.

Ke menu utama