AKHIR YANG INDAH

Penulis: Azah Khalida
Halaman: 464
Harga: RM18.00

ISBN: 978-983-124-404-3

Sinopsis:

SYADIA TAQWA gelisah diburu cinta tiga jejaka. Ketika mengenali Emir, dia telah lama melupakan episod kasihnya bersama Irfan sewaktu di kolej dulu. Baginya, kisah kasih antara dia dan Irfan telah berakhir.

Selembar waktu berlalu, perwatakan Emir yang tenang mencuit hati wanitanya. Namun, perasaan itu cuba dihindari. Dalam pada itu, dapat dirasakan perhatian Afiq terhadapnya bukan sekadar sebagai seorang ketua dengan pekerja.

Tiga lelaki yang berbeza peribadi membuatkan Syadia lemas sendiri. Dia bingung dalam menilai erti cinta sebenar. Malah, dia bimbang jika tersilap pilihan. Adakalanya Syadia berasa bosan dan mahu sahaja menolak ketiga-tiga cinta itu untuk terus menyendiri. Namun, hati kecilnya mula menerima satu getaran kasih luhur yang meresap di sanubarinya. Sebagai gadis desa, Syadia belum berani mendengar bisikan hatinya.

 


Tinta Penulis:

Anak kelahiran Terengganu, Azah Khalida pasti akan menyambut hari ulang tahun kelahirannya pada tarikh 17 Julai setiap tahun. Desa kecil Kg. Gemuroh yang terletak di pinggir bandar Kuala Terengganu pernah menyaksikan kelahirannya. Meskipun begitu, penulis ini membesar di negeri Cik Siti Wan Kembang iaitu Kelantan Darul Naim, negeri kelahiran ayahnya.

Mendapat pendidikan sejak dari bangku sekolah rendah hingga sekolah menengah di negeri Kelantan. Bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Bukit Jawa dan SMK Bukit Jawa di Pasir Puteh ini akhirnya melanjutkan pelajaran ke Institut Perguruan Kuala Terengganu, Batu Rakit, Terengganu untuk mencapai cita-citanya menjadi seorang guru.

Kini, beliau bertugas sebagai seorang pendidik di Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak, Kuala Terengganu. Meski pun sudah bergelar seorang guru, namun beliau terasa ilmu masih kurang di dada. Walaupun sibuk dengan tuntutan tugas di sekolah, beliau tetap mahu mengejar impian. Berbekal kecekalan, beliau kini sedang menyambung pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di bawah Program KPM-OUM.

Beliau mula berkarya sejak di bangku sekolah menengah. Sejak bertahun-tahun lalu beliau telah menjana minda melahirkan karya bertinta. Genre sajak, cerpen dan skrip drama radio merupakan bidang yang pernah beliau terokai. Cuma kebelakangan ini cuba berjinak-jinak melangkah ke genre penulisan novel, kalau-kalau mampu menempa nama dan bertapak di hati penggemar novel.

Novel ‘AKHIR YANG INDAH’ merupakan karya pertama Azah Khalida di bawah naungan Alaf 21. Harapan beliau agar dapat menghiburkan setiap penggemar novel dengan titipan karyanya. Insya-ALLAH.

Salam silaturrahim,
Azah Khalida