| Tinta
Penulis:
Qursiah Hanum dilahirkan pada Ogos 1956 di Kg. Mesira, Palekbang, Tumpat, Kelantan. Mendapat pendidikan di Sekolah Kebangsaan Morak, Tumpat, Kelantan, SMK Kg. Laut, Tumpat, Kelantan dan SMK(P) Jalan Kolam Ayer, Kuala Lumpur. Kemudian melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya dalam Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan Kepujian Kelas Dua Tinggi dan Diploma Pendidikan pada 1979.
Kini bermastautin di Besut, Terengganu. Bertugas sebagai guru dan pernah berkhidmat di SMK Aminudin Baki, Chemor, Perak, SMK Sultan Ismail, Kemaman, Terengganu, SMK Sultan Abdul Jalil, Kluang Johor, SMK(LKTP) Kahang Timur, SM Teknik Besut, dan kini mengajar di SMK Seri Nering, Besut. Berpengalaman mengajar Bahasa Melayu dan Sastera Melayu.
Selama 31 tahun bertugas sebagai pendidik dan pernah memegang semua jawatan pentadbir dalam pentadbiran pendidikan di sekolah. Pada bulan Oktober, 2008 beliau membuat keputusan untuk melepaskan jawatan sebagai pentadbir dan berkhidmat sebagai guru penolong. Jiwanya amat serasi sebagai guru biasa agar pergaulannya dengan rakan guru, staf sokongan dan murid-murid mesra terjalin tanpa sekatan. Beliau mahu mereka menerima kehadirannya seadanya.
Saban hari, beliau bergelumang dengan dunia pendidikan. Beliau yakin masyarakat di luar sana tidak tahu dalam erti kata yang sebenarnya tentang dunia pendidikan. Justeru, beliau menggunakan bakat kreativiti anugerah ALLAH kepadanya untuk mencipta sesuatu yang lumrah, tetapi asing bagi para pembaca. Menjiwai watak guru dengan segala macam masalah menjadi lebih mudah.
Beliau berasa terpanggil untuk melontar ke luar pagar sekolah tentang pelbagai permasalahan yang berlaku di dalam pagar sekolah agar khalayak pembaca lebih prihatin tentang permasalahan yang dialami.
Beliau juga mahu masyarakat luar menghargai pengorbanan guru yang bertanggungjawab menggilap modal insan bertaraf dunia. Para pentadbir juga seharusnya berfikiran terbuka dan memberi sokongan padu kepada para guru dalam melestarikan tugas mereka sebagai pendidik. Daya pemikiran kreatif dan inovatif harus dipupuk bukannya dihalang.
Untuk mengenali Qursiah Hanum lebih lanjut, lawatilah blog: http//www. wankursiah.com. Terima kasih. |